Tiada yang lebih sayu mengetahui diri yang masih punya ibu atau bapa tetapi tidak dapat berjumpa dan terpisah bertahun lamanya. Walau sesiapa yang mengalami pasti teringin menjejak dan berhubung semula dengan orang yang bertangungjawab membawa diri ke dunia.
Begitu yang dilalui seorang anak muda bernama Slash Zuindra. Telah lama dia mahu mencari bapanya namun tidak berjaya kerana dia tidak memiliki maklumat penting bapanya antara lain seperti kad pengenalan yang menyukarkan keadaan mencari, malah di mana tinggal si bapa pun dia tidak tahu.
Pun begitu, 19 April lalu Indra (nama panggilan) berkongsi tweet mencari bapanya dengan memuat naik pos dengan kapsyen berbunyi, “Sedang mencari ayah kandung saya, Haizal bin Mohd Isa. Sesiapa duduk di Klang mohon RT (retweet). Aku dah lebih 20 tahun tak jumpa dia…” Bersama tweet tersebut Indra turut berkongsi sebuah gambar yang memaparkan wajah bapanya di sebuah majlis perkahwinan.
Gambar bapanya Haizal bin Mohd Isa bersama bekas isteri (ibu kandung Indra)
Tweet Indra mendapat lebih 7.4 ribu ulang kicau dan maklum balas. Ramai yang mencadangkan mencari di Jabatan Pendaftaran Negeri dan sebagainya, dan ramai juga yang mendoakan agar anak dan bapa dapat dipertemukan kembali.
Menurut Indra, bapa dan ibunya bercerai sewaktu dia masih kecil. Ada memori bersama bapa yang dia masih ingat namun banyak juga yang dia terlupa mengenangkan waktu itu dia masih belum cukup matang lagi.
Dalam tweet-nya lagi, jejaka yang sudah mengikat tali pertunangan ini meminta warganet membantu menyebarkan mesejnya agar dia dan bapa kandung dapat dipertemukan.
Dan berita baik buatnya kerana dua hari selepas itu, Indra berkongsi update yang mana dia dapat bercakap dengan seorang wanita yang merupakan adik kepada kawan bapanya.
Menurutnya, wanita yang dipanggil auntie Sofea ini pernah menjaga sewaktu kecil dulu.
“Sebak pulak bila jumpa balik dengan orang yang pernah jaga kita dulu. Thank you, auntie Sofea☺.”
Perbualan Indra bersama auntie Sofea
Hari ini, Indra berkongsi berita yang lebih menarik lagi. Atas bantuan kawan kepada tunangnya, juga warganet, termasuk pihak polis dan wartawan, dia telah menjumpai akaun Facebook yang dipercayai milik bapanya. Salah satu aspek yang meyakinkan itu adalah bapanya kerana empunya Facebook tersebut banyak muat naik pos berkaitan AXL, dan ayahnya pula memang peminat besar band popular 90-an itu.
Jadi dia cuba menghubungi dengan menghantar mesej ke akaun Facebook tersebut, namun tiada reaksi balas diberi.
Harapan besar Indra agar dapat dipertemukan dengan ayahnya.
Dan barangkali kerana keberkatan Ramadan, akhirnya Indra mendapat maklum balas dari bapanya dan Facebook tersebut memang milik orang yang dicari selama ini. Mereka seterusnya berbual di telefon. Indra turut berkongsi video yang dirakam ketika dia bercakap dengan bapanya itu.
Seronok sungguh dia, sesuatu yang selama ini diimpikan kini menjadi kenyataan. Indra berkongsi kenangan bersama bapa yang diceritakan oleh ibunya sendiri. Sebutnya, sewaktu kecil setiap kali pulang dari kerja bapanya akan membawa dia jalan-jalan naik motor. Katanya lagi, “Ramai orang cakap ayah orang yang baik bertanggungjawab. Nenek cakap, ayah baik sangat, sanggup susahkan diri untuk orang lain.
Penceraian ayah dan mama bukan benda yang kita minta. Ada hikmah penceraian tu. Mama selalu cerita yang baik-baik pasal ayah. Bertanggungjawabnya ayah sebagai suami dan bapa. Indra bahagia sangat dapat borak kejap dengan ayah.”
Indra berbual dengan bapanya di telefon
Paparan skrin perbualan Indra dan bapanya.
Terima kasih Slash Zuindra Twitter: https://twitter.com/slashh_axl