AGAMA

Sifat Malu – Rumusan Tazkirah oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

  • Malu adalah satu sifat yang baik dan ia merupakan kunci kebaikan. 

 

  • Sifat malu menyebabkan seseorang itu tenang dan merendah diri kerana Allah, dan ada pula yang menyebabkan seseorang itu lemah.

 

  • Saidina Umar al-Khatab pernah berkata, “Orang yang punya sifat malu akan bersembunyi, siapa yang bersembunyi akan bertaqwa, siapa yang bertaqwa akan terpelihara daripada keburukan.”

 

  • Ibnu Abbas berkata, “Malu dan iman punya kaitan antara satu sama lain. Bila hilang rasa malu, sifat yang lain juga akan hilang.”

 

  • Nabi Muhammad SAW bersabda, “Lā yaznī al-zānī ḥīna yaznī wa-huwa muʼmin.” Terjemahan, “Tidak berzina orang yang berzina itu sedangkan dia orang yang beriman.” Maksudnya, orang yang berzina telah membuang sifat malu dalam dirinya. Bila dia buang seolah-olah hilang kesempurnaan iman yang dimiliki. Sebab itu disebut malu dan iman punya hubung kait.

 

  • Salman Nur Farisi berkata, “Sesungguhnya jika Allah SWT mahu membinasakan hambaNya nescaya akan dicabutnya sifat malu.”

 

  • Makna yang disebut oleh Salman hampir sama dengan yang disebut oleh Nabi SAW di mana kalau nak binasa akan dicabut rasa malu daripada dirinya.

 

  • Al Hasanun Basri berkata malu ada dua jenis;
  1. Malu berasaskan keimanan – bermaksud tidak berani melakukan maksiat, mencuri, menipu, berzina, pecah amanah dan sebagainya.
  2. Malu berasaskan kelemahan – bermaksud malu kerana lemah, jadi nak belajar pun malu akhirnya makin hanyut, makin teruk,makin tak betul dan seterusnya berasa rugi dan kecewa sebab malu kerana lemah.

 

Kisah Ringkas Yang Berlaku Zaman Dulu Tentang Sifat Malu

 

  • Ada seseorang menceritakan tentang perilaku Imam Syafie, yang mana Imam Syafie, kalaupun dusta itu hukumnya harus, dia sekalipun tak akan berdusta kerana dia malu.

 

  • Mawardi, seorang ahli politik terkenal Islam juga punya sifat malu yang menebal, dia tidak akan memakai baju berlengan pendek, sebaliknya hanya menyarung baju berlengan panjang. Beliau tidak akan biarkan lengannya terdedah.

 

  • Imam bin Hambal Rahimalullah pernah disebat sewaktu zaman pemerintahan Mu’tazilah. Waktu itu, seluar yang dipakainya terlondeh sehingga ke bawah (menampakkan punggung), tetapi kemudian seluar itu terangkat dengan sendiri dan telah menutup aib dan malunya. Imam bin Hambal seorang yang sangat menjaga al-Quran, maka Allah SWT menjaga aibnya.

 

  • Rasullah SAW adalah insan yang paling pemalu. Baginda (kata seorang ulama) mempunyai sifat malu yang menebal lebih daripada perasaan malu yang dimiliki seorang anak dara (zaman dulu, anak dara duduk senyap sahaja dalam bilik, tak akan keluar kalau ada tetamu) Nabi SAW tidak akan menggunakan bahasa kasar atau mencarut. Malah jika menyebut perihal kemaluan lelaki atau perempuan, baginda akan menyebut dengan cara berlapik, baginda akan menggunakan ayat ini – ‘bila bertemu dua khitan’ (khitan merujuk kepada kemaluan). Nabi SAW menggunakan perkataan itu kerana ia perkataan yang lembut.

 

  • Aisyah r.a menceritakan satu kisah yang mana di satu ketika, kain yang dipakai Nabi SAW terselak dan menampakkan kakinya. Ketika Abu Bakar dan Umar masuk ke rumah baginda membiarkan saja kainnya tetapi kemudian apabila Uthman bin Aafan masuk, baginda membetulkan kainnya. “Aku bertanya kenapa baginda membetulkan hanya apabila Uthman masuk? Jawab baginda, “Tak patutkah aku berasa malu kepada orang yang malaikat sendiri malu kepadanya?”” Ini menunjukkan Saidina Uthman juga seorang yang pemalu dan sifatnya itu membuatkan malaikat turut malu (hormat) terhadapnya.

 

Kaitan Antara Malu dan Ilmu

 

  • Seorang ulama berkata, ‘tak akan dapat ilmu oleh dua golongan’ iaitu;
  1. Orang yang takbur – maksudnya malas nak tunduk disebabkan ego, jadi akhirnya dia buat saja tanpa tahu apa-apa. Hanya berlagak serba tahu saja.
  2. Orang yang malu bertanya – seorang ulama menceritakan tentang seseorang yang malu bertanya pada seorang sheikh tentang ilmu, sehinggalah satu hari sheikh itu meninggal dunia. Jadi dia berasa rugi tidak menuntut ilmu sepenuhnya dengan sheikh tersebut ketika beliau masih hidup. ilmu tidak boleh diwarisi, sebaliknya perlu dipelajari. Hilangkan rasa malu untuk belajar ilmu.

 

  • Ada empat golongan manusia; 
  1. Orang  yang tahu dan dia sendiri tahu apa yang dia tahu – maka rujuklah padanya.
  2. Orang yang tahu tetapi sebenarnya dia terlupa apa yang dia taj tahu – ini adalah orang yang lalai jadi kena beringat.
  3. Orang yang tak tahu dan dia tahu apa yang dia tak tahu – didik dan ajarlah orang seperti ini.
  4. Orang yang tak tahu dan dia tak tahu apa yang dia tak tahu – ini adalah orang yang bodoh sombong, dia perasan tahu serba serbi. Maka sedarkanlah orang seperti ini.

 

  • Ibnu Abbas r.a sanggup berdiri di luar rumah seorang alim ulama menunggu sehingga orang alim tersebut keluar rumah semata-mata untuk mendapatkan satu hadis daripadanya.

 

  • Ada sahabat Nabi SAW yang berjalan dari kota Madinah ke kota Mesir semata-mata nak mendapatkan hadis Nabi SAW nak mentashihkan satu hadis saja. Allah berfirman, “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (HR. Muslim, no. 2699).”

 

  • Jangan rasa malu, kerana apabila kita rasa malu, kita tak tanya. Kita hanya senyap dan akhirnya kita terbungkang, dalam keadaan parah dan tak betul, kita dalam kegelapan dan kejahilan.

 

  • Tafsiran malu perlu difahami dengan betul kerana malu ada perbezaannya, ada malu yang baik dan tidak.

 

  • Ada juga malu yang penting. Contohnya bila di hadapan ulama, kita tidaklah sibuk nak jawab macam-macam kerana kita malu sebab kita hormat padanya kerana memiliki buah fikiran dan ilmu yang tinggi.

 

Bagaimana Sifat Malu Boleh Mendatangkan Masalah?

 

  • Sifat malu menjadi masalah jika ia di luar dari sifat norma yang baik, maka akan datang puncak kepada sifat tak malu. Salah satu tanda-tanda kiamat adalah apabila seseorang berjalan, dia ternampak pasangan berzina di tepi jalan. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan di merata negara, sebab itu semakin banyak perkara tak baik berlaku kerana rasa malu sudah tidak ada.

 

Wujudkan Kembali Sifat Malu Dalam Diri dan Keluarga

 

  • Salah satu tanda akhir zaman adalah sifat malu makin berkurangan. Zaman dulu, bukan saja orang perempuan, malah lelaki pun punya perasaan malu.

 

  • Malu adalah sifat yang sepatutnya dibina, ditunjuk dan dididik pada anak-anak. Kalau tak ada malu, akan membawa kepada banyak kemudaratan. 

 

  • Kita kena wujudkan semula sifat malu dalam diri kita. Sebab itu orang zaman dulu mengajar anak, isteri, ibu, ayah, atau suami untuk ada sifat malu contohnya seorang ibu menasihati anaknya jangan pakai seluar pendek, sehingga terpeta dalam minda anak-anak. 

 

  • Orang dulu ada yang lambat bernikah kerana malu nak cakap pada ibu bapa. Sedangkan pasangannya bukan orang jauh, hanya orang sebelah rumah. 

 

Sumber: Tazkirah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Instagram Live

Related posts

Penzina Akan Kekal Miskin Dan Muka Gelap Sepanjang Hidupnya

admin

Puasa dan Fidyah Si Mati Yang Melangkah Tahun

adminwm

Rasulullah SAW Menyayangi Negara Sendiri

admin

Leave a Comment