COVER STORY

Gemilang Cinta Datin Ramziela

Saya rasa sudah lebih 30 kali menonton video Datin Ramziela menyanyi lagu This Masquerade oleh The Carpenters yang saya rakam ketika di majlis MajalahWM – A Celebration Of Beautiful People. Saya suka sangat-sangat suaranya yang husky dan nyanyiannya something euphonious, sungguh cantik dan menyenangkan sekali.

Satu pengalaman menyeronokkan menonton persembahan penyanyi lama. Walaupun malam itu dia tidak seperti 30 tahun dulu, yang lincah menyanyi, menari dan ada ketikanya dipanjatnya speaker atau segala tiang yang ada di tepi pentas. Ya, Ramziela was as wild as a rockstar could be. Daripada zamannya menyanyi di merata kelab dan hotel di Kuala Lumpur, Melaka, dan Pulau Pinang antara lain, kemudian membawa diri ke Singapura. Selama lima tahun di sana kemudian dia dilamar Ramli MS yang kebetulan menonton persembahannya di satu malam keramat, yang menjadi permulaan kepada kerjaya sebagai artis rakaman. 

Hari ini, Ramziela masih berbisa dan masih melekat aura seorang bintang rock. Saya membayangkan alangkah bagus kalau Ramziela menyertai Gegar Vaganza, tentunya penonton dapat melihat warna persembahan yang berbeza berbanding yang dipersembahkan penyanyi lain sebelum ini. Saya percaya itu juga yang diinginkan Ramziela namun belum ada rezeki, atau barangkali platform sebegitu tidak sesuai untuk penyanyi sepertinya kerana forte Ramziela rock dan suaranya lebih sesuai menyanyikan lagu klasik dan slow rock, manakala Gegar Vaganza lebih ke arah pop Melayu yang meleleh.

Ramziela menjadi penyanyi ketika muzik rock mendunia. Sekitar 1990, album pertamanya Hati Seorang Wanita menjengah pasaran muzik, bersaing dengan penyanyi baru tika itu seperti Dilla Hussein dan Shima dan di tahun yang sama, kumpulan Search keluar dengan lagu Sejati manakala Rahim Maarof popular dengan lagu Istana Menanti. Oh, that was the magical musical days of our entertainment industry.

Menurutnya, dunia nyanyian zaman itu sungguh ‘liar’ sekali. Kalau tidak pandai membawa diri boleh hanyut. Pendapatan menyanyi juga sudah boleh dikira mewah. Sebutnya, zaman itu untuk satu show boleh dapat sekitar enam ribu ringgit. Malah Ramziela pernah dibayar 80 ribu menyanyi selama dua minggu di atas kapal Virgo milik Kumpulan Genting yang berlayar dari Singapura ke Hong Kong.

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”11998″][thb_gap height=”40″]

Puteri Ramziela – Gabungan Restoran Ramziela dan Habsah Hassan

Saya senang sekali melihat wanita seperti Ramziela; ageing appropriately dengan wajah yang tidak pernah melalui pembedahan dan botoks. Yang penting padanya adalah kesihatan dan hidup dalam kegembiraan dan ketenangan. Tidak perlu jadi seperti sesetengah orang yang galak mengejar pakar bedah bagi memastikan wajah mungil seperti patung barbie dan pinggang seramping anak dara sunti. Keutamaan Ramziela adalah mengejar kehidupan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Dan ketika artikel ini ditulis, dia seronok sekali di rumah meluangkan masa dengan suami dan anak tunggalnya, memasak bermacam juadah untuk mereka. Sebutnya, “Sedar tak sedar, sudah lama sangat tak makan semeja. Kot ini yang bagusnya dengan PKP ya (perintah kawalan berkurung) kerana sebelum ini kebanyakan masa saya berada di restoran Puteri Ramziela, suami pula sibuk menguruskan syarikat security manakala anak perempuan belajar di kolej. Sekarang baru ada masa untuk makan bersama.”

Pun begitu, tipu sangat jika dia tidak risaukan keadaan sekarang. Kerana PKP, sudah dua minggu restoran Puteri Ramziela di Taman Tun Dr. Ismail terpaksa ditutup. Dan kini PKP dilanjutkan pula sehingga 14 April. Ini masalah buat pemilik perniagaan sepertinya, bagaimana nak melunaskan sewa kedai dan gaji pekerja juga bermacam lagi kos lain? Namun tiada pilihan, terpaksalah dia dan Habsah Hassan (pemilik bersama) menghentikan seketika operasi restoran. Menyebut tentang penerbit dan penulis lirik terkenal ini, restoran Puteri Ramziela adalah gabungan dua restoran, satu milik Ramziela dan satu lagi milik Habsah atau biasa dengan panggilan Kak Chah. Sebelum ini, Ramziela mengusahakan sebuah kafe di Bukit Jelutong di bawah nama MisiCafe dan kemudian membuka restoran berdekatan stesen MRT TTDI yang dipanggil Ramziela Delights, namun atas  beberapa sebab dia menutup restoran itu dan semenjak enam bulan lalu, restoran Ramziela bergabung dengan restoran Kak Chah, Puteri Penchala. Sebelum ini Kak Chah mengusahakan restoran Puteri bersama dramatis Rubiah Suparman. 

Katanya, yang sebenar, dia dan Habsah Hassan telah merancang pelbagai juadah berbuka daripada menu yang sedia terkenal dari kafe Ramziela seperti seperti Asam Pedas Muo, Bubur Teochew juga menu popular di restoran Kak Chah seperti Siput Sedut Masak Lemak Cili Padi dengan Daging Salai termasuk beraneka menu baru untuk santapan pengunjung yang datang berbuka puasa. Bayangkan, followers Ramziela dan Kak Chah bergabung, pasti setiap hari sepanjang Ramadan restoran akan dipenuhi pengunjung namun nampak gayanya, terpaksa ditangguhkan dulu rancangan tersebut sehingga Covid-19 reda nanti.

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”12000″][thb_gap height=”40″]

Mencari Cahaya

Ketika ini, sedang hangat di Twitter dan media sosial lain tentang perang antara pelakon Zarina Anjoulie dan warganet versus beberapa orang selebriti. Isunya terjadi apabila Zarina dan warganet menempelak sesetengah selebriti yang menyuarakan pendapat meminta kerajaan memberi peruntukan khas untuk pekerja industri hiburan terutamanya artis senior yang terkesan sepanjang PKP, sedangkan warganet dan Zarina sendiri berpendapat, mereka boleh saja memohon bantuan yang disediakan oleh kerajaan, sama seperti rakyat biasa yang lain sementelah golongan tersebut juga termasuk dalam kumpulan B40. Dan isu ini berlanjutan hingga melibatkan lebih ramai artis yang mana mereka tidak puas hati dengan komen Zarina dan warganet. Dan meleret-leret hal ini sehinggakan ada perbualan dari kalangan selebriti di dalam satu group Telegram yang khabarnya memburukkan Zarina dan warganet, didedahkan kepada umum seraya membuatkan ramai orang naik angin… Hem panjang lebar ceritanya. 

Sebenarnya dalam waktu genting seperti ini, masing-masing stress memikirkan diri dan keluarga, adakah akan terus terlindung daripada bahaya? Dan bagaimana pula dengan makan dan minum… kalau sebelum ini satu dua menu masih boleh dihidang atas meja, esok dan lusa bagaimana? Dan kerana PKP terpaksa dilanjutkan, banyak syarikat terpaksa ditutup dan apabila Covid-19 reda nanti akan datang pula satu lagi masalah besar iaitu inflasi. Jadi semua orang mengalami tekanan dan dalam keadaan terdesak, membuatkan masing-masing mudah naik angin.

Dalam hidup ada pasang surutnya. Sebelum ini kita menyangka 2020 akan menjadi tahun gemilang, sebaliknya Covid-19 sudah takeover, membuatkan kita jatuh dan terkurung, tertanya-tanya tentang nasib sendiri. Menyebut ini, Ramziela berkongsi perjalanannya sewaktu bergelar penyanyi yang juga punya naik dan turunnya.

Cerita Ramziela, selepas keluar dengan album ketiga iaitu Gemilang Cinta, namanya menginjak popular bersaing dengan penyanyi hebat seperti Shima dan Ziana Zain. Barangkali, dia menyangka tajuk album itu memberi tuah berpanjangan pada kerjayanya namun malang yang datang menimpa kerana Ready Cushion Records, syarikat rakaman tempatnya bernaung menamatkan operasi. “Sony Music ada offer i tapi seorang teman daripada syarikat rakaman lama menghalang kerana masa tu dalam Sony Music dah ada ramai penyanyi terkenal seperti Amy Mastura, jadi ada kemungkinan i dianak tirikan. Dia mencadangkan i buat album guna duit sendiri dan nanti album tu boleh dijual kepada mana-mana syarikat rakaman. So I ikut cakap dia.” 

Oleh kerana menggunakan duit sendiri, perjalanan merakam album mengambil masa hampir dua tahun. Setelah album siap, tiada syarikat rakaman yang mahu membelinya kerana rata-rata sedang fokus mencari bakat baru. Kawan yang dulu menjanjikan itu ini juga menghilangkan diri. Lebih malang buat Ramziela kerana salah satu lagu yang sudah dirakam untuk dimuatkan dalam album itu, dinyanyikan pula satu kumpulan popular, tanpa pengetahuannya. “Dulu nak buat album kena ada 10 lagu. Jika tak ada 10 lagu tak boleh keluar album. Jadi kerana album tersebut mengambil masa lama untuk disiapkan, seorang komposer yang menyumbang lagu dalam album tu telah jual lagu dia yang i sudah beli dan rakamkan terlebih dahulu, kepada satu band terkenal. Dan kebetulan, lagu tu meletop. I punya sakit hati. Actually i boleh ambil tindakan mahkamah sebab i ada bukti yang i dah record lagu tu, tetapi i biarkan. Mungkin tak ada rezeki.”

Walaupun album keempatnya tidak berjalan seperti yang dikehendaki, tetapi Ramziela masih menerima banyak undangan nyanyian. “Waktu tu promoter suka panggil i untuk job showtime macam Anita Sarawak selalu buat. I was on the top of the list selain Leina Hangat dan Hanna Yaakob.” Selain itu, Tourism Malaysia juga memilihnya bersama Azlina Aziz, Roy dan Salimah Mahmood sebagai resident artists dan mereka berempat kerap kali dibawa menyanyi sehingga ke Eropah, Jepun, Australia dan Los Angeles antara lain.

Seronok mendengarnya mengimbau kisah naik turun sebagai penyanyi. Yang menariknya Ramziela boleh ingat setiap nama kelab dan hotel tempatnya menyanyi dulu, daripada Subang View Hotel (kini Sheraton), Malacca Street Inn, Holiday Inn On The Park termasuk kelab di Singapura seperti Club 392, Caesar’s Club dan Top 10 (sekadar menyebut beberapa nama).

Pada 1999, di tahun lagu Purnama Merindu (Siti Nurhaliza) dan Syurga Di Hati Kita (Ziana Zain) sedang meletop di radio dan tahun yang sama muzik tradisional mendunia, malah penyanyi seberang seperti Kris Dayanti juga mula melebarkan sayap ke sini, sebaliknya buat Ramziela yang memilih menoktahi kerjaya nyanyian dengan mendirikan rumahtangga bersama suami, Datuk Dr. Sallehuddin Kassim, dan sekitar setahun selepasnya mereka dikurniakan cahaya mata yang kini berusia 19 tahun, Lily Nurlynna.

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” image=”11997″][thb_gap height=”40″]

Doa dan Harapan

Sedang mencari petikan yang sesuai menggambarkan keadaan kini dan terjumpa kata-kata oleh Andrew Solomon. Sebutnya, “Listen to the people who love you.” Tambahnya, “Believe that they are worth living for even when you don’t believe it. Seek out the memories depression takes away and project them into the future. Be brave; be strong; take your pills. Exercise because it’s good for you even if every step weighs a thousand pounds. Eat when food itself disgusts you. Reason with yourself when you have lost your reason.” Sungguh membekas ingatan yang diberikan; supaya diri ini walau dalam suka atau duka kekal menghargai apa yang di depan mata. Sesuatu yang kita selalu ingat tetapi seringkali terlepas mengamalkannya.

Ketika ini tiada lain yang diharapkan iaitu supaya Covid-19 cepat berlalu pergi. Virus ini menjadi pengajaran besar buat kita untuk sentiasa beringat ketika senang dan bila bencana menimpa, jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya lihat juga orang di sekeliling, adakah perut mereka berisi atau berkeroncong sepanjang malam hingga menjelang dinihari? Saya cukup suka dengan tanda pagar #KitaJagaKita dan #KitaJagaKampungKita yang digunakan meluas di media sosial. Dalam pada bersungguh membantu orang jauh, jangan dilupa jiran tetangga mahupun kawan lama. Tanya khabar mereka. Kalau pun mereka tak teringat pada kita, tak mengapa, kita dulu cari mereka. Barangkali mereka dalam kesusahan namun segan meminta bantuan, jadi kita hulurkan sebagai tanda persaudaraan. Pesan Ramziela pula, “Dan sentiasa ingat, sakit pening orang tua, itu tanggung jawab kita menguruskannya. Jangan berkira-kira membantu kerana ia bukan saja saham kita di akhirat kelak tetapi menjamin kehidupan yang diredhai selama hidup di dunia.”

Dawna Markova menyebut, “You survived as a child because others helped to maintain your life. It continues to be true today, even when you think you are abandoned, rejected, neglected, and unloved: the tomatoes you eat sustain you, the crossing guard stops the traffic so you can get to the other side of the street, the dinner offered to you on clean white plates nourishes you, the paper on which these words are printed informs you. Noticed or ignored, this web of others protects and holds you and makes it possible for you to make a difference: to take what came to you as seed and pass it on as blossom, and what came as blossom and ripen it to fruit...”

Covid-19 has proved that everything around us is so temporary. Things our lives resolved around….work, gym, malls, movies, society have all gone for a toss as we are learning to live without them. It has taught us that in the end, it’s your own home and family that keeps us safe.” – Annonymous.

 

Salam sayang dari Datin Ramziela dan MajalahWM

[thb_gap height=”100″]
Penghargaan

Jurugambar: Muhammad Tuah daripada Snips College of Creative Arts (SCCA)
Juru Edit Gambar: Shafiq Ramlan Threeknack Production
Solekan: Peggy Lee daripada Snips College of Creative Arts (SCCA)
Penggayaan Tudung: Mahani Awang dibantu oleh Liza Saririah dan Ida Idrus 
Pakaian: Koleksi peribadi Datin Ramziela
Kerongsang: Infiniti Jewels
Penyelaras: Wirda Adnan 
Lokasi: Snips College of Creative Arts (SCCA)
Terima kasih Infiniti Jewels dan Yans Creation

Related posts

CHEF WAN Antara Inspirasi, Kontroversi & Famili “Wan tak ambil peduli walaupun dilenyek tanpa simpati, dihina dan dikeji… tapi ramai juga yang memuji.”

admin

Elisa Soraya Debaran Menanti Hari Bahagia

admin

Sasha Bashir – Malaysia’s Vintage Queen. Rahsia Geroboknya Dikongsi Untuk Pertama Kalinya

admin

Leave a Comment