COVER STORY

Datin Saadiah Abdul Rashad Secantik Primadona Filem Melayu Lama

Dengan pipi penuh, berkulit wajah putih gebu, sekali pandang tak ubah seperti primadona filem Melayu, Saadiah, ibu kepada Fauziah Ahmad Daud. Manis sekali orangnya. Dan nama juga sama, Saadiah.

Mana mungkin tidak manis jika berwajah kacukan. Atuk sebelah ayahnya berbangsa Bajau berasal dari Semporna, manakala ibu kepada ayahnya berbangsa Bajau dari kawasan Sebatik, Tawau. Sebelah ibu Saadiah pula, ayahnya berbangsa Bajau Sibutu campur Simunur yang menetap di daerah Kunak. Ibu pula berbangsa Suluk campur Cina di Lahad Datu. Wajah manis Saadiah gabungan ‘dna’ eksotik beberapa suku kaum di Sabah.

Datin Saadiah Abdul Rashad merupakan teman baru Puan Wirda Adnan. Saling berkenalan di pertunjukan fesyen Raya Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan baru-baru ini. Kerana suka dengan wajah manisnya dan memiliki latar belakang kuat dalam dunia bisnes memberi idea pada MajalahWM untuk mempelawa Datin Saadiah menghiasi isu Mei.

Datin Saadiah menetap di dua tempat berbeza, Kota Kinabalu dan Tawau. Untuk ahli perniagaan sepertinya, nampak agak sukar mengurus bisnes dari dua kawasan berbeza. Malah turut punya perniagaan di Pulau Pinang. Namun dia mengamalkan sistem monitoring. Jadi tak perlu terbang ke dua mahupun tiga lokasi dalam masa yang kerap. “Bagi saya berniaga sendiri, yang penting adalah monitoring. Setiap cawangan kena ada person in charge, seperti pengurus dalam bidang masing-masing. Contohnya siapa yang kita letak untuk mengurus bahagian jualan, akaun, admin dan sebagainya. Kita kena terima laporan harian daripada mereka berdasarkan rekod stok yang kita pegang. Sambil memastikan bahagian marketing tetap berjalan seperti yang kita rancang.

Datin Saadiah menjalankan bisnes dalam bidang ‘3S’ car sales, service, spare parts dan juga sewa kereta. Sebelum berkahwin Saadiah bekerja dengan ayahnya, memegang status pengarah urusan dan mengendalikan sepenuhnya perniagaan, selain punya bisnes jualan kenderaan Proton (3S) sejak 2000.

Pada 2005, setahun selepas mendirikan rumah tangga, Saadiah bersama suaminya yang sama-sama punya latar belakang dalam perniagaan kereta membuka bisnes dalam perniagaan kenderaan import, terpakai, lori, excavator dan mesin-mesin berat lain. Dan dua tahun selepas itu menambah satu lagi cabang perniagaan, sewaan kenderaan dan memiliki lesen pelancongan bermula 2009. Syarikat Saadiah juga memiliki AP Motorsikal sejak 2012, dilantik sebagai Pengedar Sah Honda Malaysia Sdn Bhd pada 2014 dan memiliki AP Kenderaan sejak 2018.

“My mother is pure radiance. She is the sun I can touch and kiss and hold without getting burnt.” ― Sanober Khan

Saadiah miliki empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan yang kini semuanya belajar di peringkat sekolah menengah (usia 17, 16, 15 dan 13 tahun.) Dengan jarak usia yang tidak jauh beza, tiga daripadanya hanya berbeza setahun manakala yang bongsu beza dua tahun dengan abangnya. 

Memandangkan kesemuanya di alam remaja, dia banyak menitik beratkan mendidik peribadi dan agama kerana di usia ini anak-anak pasti mudah tergoda dengan warna-warni dunia. Saadiah dan suami mengambil pendekatan menjadi kawan baik kepada anak-anaknya. Malah sebelum mereka punya ‘best friend’ di luar, dia dan suami terlebih dahulu menjadi best friend untuk mereka. Lebih mudah begitu kerana baru anak-anak akan selesa berkongsi pelbagai perkara dengan orang tua mereka. Kerana biasa terjadi ada anak yang tidak berkongsi cerita mereka di luar, ibu bapa juga tidak tahu siapa kawan anaknya, adakah punya sahabat atau lone ranger malah jauh sekali berkongsi perancangan hidup dan cita-cita. Sebaliknya buat anak-anak Saadiah, mereka terbuka dengan ibu bapa kerana begitu didikannya sedari awal. Lagi pula anak-anak pasti seronok punya ibu bapa yang mudah diajak bersembang dan berbincang. Boleh bercakap bermacam hal seperti perhubungan dan kerjaya. Lagi pula ibu bapa melihat kehidupan daripada perspektif yang berbeza kerana punya kematangan dan lebih dahulu ‘makan garam’.

A mother is the truest friend we have, when trials heavy and sudden fall upon us; when adversity takes the place of prosperity; when friends desert us; when trouble thickens around us, still will she cling to us, and endeavor by her kind precepts and counsels to dissipate the clouds of darkness, and cause peace to return to our hearts.” ― Washington Irving

Sama seperti ibu-ibu lain, Saadiah takut sangat anak-anak tersalah bergaul dan terdedah perkara tidak baik. Dan lagi merisaukan sementelah teknologi di hujung jari. Berita yang mahu atau pun tidak mahu ditonton boleh pop out dengan sendiri. Belum sebut tentang pelbagai jenis permainan yang melalaikan. Namun manakan boleh menolak teknologi kerana ia juga sumber mendapatkan ilmu pengetahuan terutama sekarang dengan kelas atau tuisyen atas talian. Sama juga hal pendidikan. Walau beliau mahu anak-anak lebih berjaya daripada ibu bapa mereka, tetapi tidak terlalu push untuk mendapatkan keputusan cemerlang. Katanya, “Bagi saya cukup sekadar lulus dan tidak gagal. Walau bagaimana pun, kami cuba pastikan anak-anak mendapat keputusan yang membanggakan, InsyaAllah.”

Datin Saadiah bukan hanya bergelar ahli perniagaan tetapi juga penyanyi. Mulanya hanya dianggap sebagai hobi. Nun lama dulu bapanya pernah menghadiahi set karaoke dan daripada situ semakin ‘ligat’ berlatih melontar suara. Kini Saadiah sudah merakam beberapa lagu cover untuk simpanan peribadi dan keluarga. Ada juga beberapa komposer tempatan yang memberi lagu kepadanya. “Beberapa lagu saya yang lulus tapisan siaran selalu dimainkan di radio beberapa tahun kebelakangan ini. Tidak sangka satu lagu telah dipilih untuk dicalonkan dan terpilih ke peringkat akhir dalam Anugerah Carta Lagu Bajau 2022. Tarikh untuk berentap di final akan diumumkan kelak.”

“In politics, If you want anything said, ask a man. If you want anything done, ask a woman.” ― Margaret Thatcher

Dalam pada sibuk dengan urusan perniagaan, Saadiah masih sempat meluangkan masa untuk kerja-kerja amal. Saya sempat membelek perkongsian di status Whatsapp-nya pada sepanjang Ramadan lalu yang mana antara aktiviti adalah memberi sumbangan makanan berbuka puasa kepada orang awam. “Dalam kesibukan masih sempat curi peluang untuk kerja-kerja amal?” Jawabnya, “Bagi saya ramai lagi di luar sana memerlukan bantuan dan perlu perhatian. Saya suka berkongsi rezeki seadanya. Bila saya dapat membantu keluarga mahupun orang lain, saya rasa lebih puas. Bagi saya berkongsi rezeki adalah salah satu tanda kita bersyukur dengan apa adanya.”

Dalam sedang berpanas mengedarkan makanan berbuka, saya lihat penampilan Saadiah tetap anggun dan kemas berkurung moden. Begitulah pilihan Saadiah yang gemarkan gaya sederhana. Ujarnya, “Fesyen yang penting pada saya adalah keselesaan memakai. Saya suka pemakaian secara ringkas, kemas dan sedap mata memandang.” Menurut Saadiah lagi, pakaiannya banyak dibeli di butik A’Sutra dan JKhan, dua jenama yang terkenal dalam kalangan socialite di Sabah. Malah ketika di pertunjukan fesyen JKhan Ramadan lalu banyak juga koleksi yang dibeli khas untuk dipakai Raya ini dan ke majlis-majlis makan malam. Namun untuk solekan, Saadiah akan bersolek sendiri dan tidak perlukan lebih daripada 10 minit.

“For a mother is the only person on earth who can divide her life among 10 children and each child still has all her love.”

Istimewa Mei, 8, nanti, sedunia menyambut Hari Ibu. Walau apa pun panggilan anak sama ada mummy, emak, ibu, mereka kurniaan teragung buat setiap insan di dunia ini.  Menjadi asbab anak-anak melihat dunia, dia yang bertarung nyawa melahirkan. Sakit dan perihnya melahirkan anak, Tuhan saja yang tahu. Begitupun kehadiran empat orang anaknya adalah kurniaanNya yang terindah, tidak boleh dinilaikan dengan apa jua pun. Syukurnya pada Yang Maha Esa, anak-anaknya bertanggungjawab, tahu menghargai jasa kedua orang tua dan punya cita-cita untuk membanggakan dia dan suami. Saadiah akui, she’s not a perfect mother, tetapi pastinya dengan sedaya upayanya membekalkan mereka dengan bekalan dunia dan akhirat. 

Saya mengakhiri tulisan dengan petikan ini, daripada tulisan Wirda Adnan untuk Eyeme isu Mei dua tahun lalu, “Dia, ibu, terlalu istimewa. Doa setiap ibu terlalu tinggi nilainya dan dikabulkanNya. Doa ibu setanding doa Nabi untuk umatnya. Membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki dan pintu hidayah. Maka setiap anak wajib mentaati, menghormati dan berbuat baik kepada kedua dua ibu bapa.  Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa seorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, siapa orang yang paling berhak saya perlakukan dengan baik? Rasulullah menjawab, “Ibu.” Dia bertanya, “Setelah itu siapa?” “Ibumu.” “Setelah itu siapa?” “Ibumu.” Bertanya lagi, “Setelah itu siapa?” “Bapamu.” (Bukhari & Muslim).”

Selamat Hari Ibu!

Related posts

AKHIRNYA SEMUA BUKA PEKUNG

Mahani Awang

Diana Danielle – Passionate. Full of Life. Free Spirited. Philosophical Hyperactive. A Bookworm. Always Singing

admin

Mas Idayu – Disukai Dibenci

admin

Leave a Comment