Di sebalik kehidupan yang mengujakan, sudah terlalu banyak yang dia tempuhi. Ada yang indah dan tidak kurang yang penuh onak duri, membuatkan dia perlu lebih berhati-hati atau tidak, kaki yang terpijak duri sakitnya tidak terperi.
Apa yang dimiliki kini adalah daripada apa yang dia cipta bersama suami. Mereka faham apa maksud hidup dan bagaimana mahu hidup, banyak mana untuk meminta dan banyak mana pula untuk memberi. Bezanya dia seorang ibu jadi tanggungjawabnya lebih lagi kerana ada seribu tugasan menanti. Katanya, menjadi ibu cabaran menggunung tinggi. Yang bekerja tanggungjawab dua kali ganda. Apa kurangnya dengan surirumah. Siapa kata mereka boleh melepak sampai ke senja?
Saya tidak mahu memanjangkan bicara. Saya layangkan kepada anda Datin Sri Nur Shahida untuk isu kali ini, membaca ceritanya tentang suaminya Dato’ Sri Aliff Syukri yang penuh kontroversi, anak-anak, juga ada tentang Nur Sajat yang jelita dan tidak lupa tentang lagu Bobo Di Mana? Hem macam-macam ya…
Saya seronok sangat berurusan dengan Datin. Mudah. Semua pun Datin okay sahaja daripada kali pertama saya menghubungi mengajak Datin menghiasi muka depan MajalahWM.
Saya memang jenis tidak cerewet. Saya suka memudahkan kerja orang sebab bila saya mudahkan kerja orang, orang pun akan memudahkan kerja saya.
Bermaksud Datin ni orangnya tidak rumit atau tidak complicated. Berbeza Datin dengan Dato’ Aliff yang nampak complicated orangnya; banyak hal, setiap benda mesti nak kena lengkap, kena teratur?
Dia sangat complicated, cerewet dan dia mementingkan kesempurnaan. Berbeza sangat antara saya dengan dia. Dato’ selalu nak cepat dan semuanya mesti kena sempurna. Saya lebih suka mengikut keadaan. Sebagai contoh, pembantu di rumah buat silap saya susah nak marah sebab mereka pun manusia juga, saya akan fikir macam itu. Tetapi bagi Dato’ kalau kita tidak cerewet kita tidak tahu orang tidak buat kerja jadi mereka akan pijak kepala. Namun dia boleh menerima teguran saya. Pernah orang tanya tidakkah saya menasihati Dato’? Bukan saya tak nasihat cuma saya faham apa yang dia nak dan apa tujuannya. Setiap apa yang dia mahu buat dia akan tanyakan pada saya dulu. Kalau saya okay, baru dia teruskan.
Datin ada lima pembantu rumah dan ada juga pembantu peribadi tetapi anak-anak seperti semalam, lepas habis sekolah datang ke studio (tempat Datin menjalani photoshoot). Maksudnya Datin masih sepenuh masa menjaga anak-anak?
Sekarang mereka tengah cuti semesta (anak-anaknya belajar di sekolah private) jadi setiap kali cuti mereka luangkan banyak masa dengan saya termasuk juga ikut ke pejabat setiap hari. Saya tak nak mereka duduk di rumah dan kemudian menyusahkan pembantu rumah. Budak-budak ini kalau dengan maid dia tak ada perasaan takut macam dia takut dengan mak ayah dia. Sebab itu kalau kita marah dia dengar, kalau maid marah dia tak dengar. Jadi saya tak nak susahkan maid kerana mereka pun ada banyak kerja. Apatah lagi ada dua lagi baby di rumah. Kalau dia orang dengan saya senang. Bila suruh sembahyang dia sembahyang. Kalau dengan maid mungkin tak jalanlah.
Kalau pembantu yang menjagakan anak-anak bukankah lebih ringan kerja Datin?
Memang sangat meringankan beban. Kalau tak ada mereka rasanya saya boleh jadi gila kerana sepanjang masa saya di office dan sebaik pulang, saya ada anak kecil yang perlu dijaga. Pada saya walau ada banyak pembantu sekali pun hal mendidik anak mesti mak bapa yang kena lakukan. Pembantu rumah hanya menjaga anak, dia tidak mendidik. Abah dia busy keluar sana sini mencari rezeki. Jadi saya perlu jalankan tanggungjawab di rumah. Dan saya memang garang sebab saya tidak mahu anak-anak hanyut dengan kemewahan, kerana saya nampak anak-anak sekarang melihat pembantu rumah macam hamba dia. Semua kerja mengharapkan pembantu menguruskan. Saya pastikan anak-anak menjalani kehidupan biasa kerana katalah satu hari nanti kita hidup susah, jadi mereka tak mengeluh kesah. Mereka boleh terima keadaan itu kerana sudah biasa menjalani kehidupan sederhana.
Saya membaca komen di IG (Instagram) Datin, banyak yang memuji kerana Datin simple orangnya, ada yang cakap Datin baik dan sebagainya. Sebaliknya berbeza buat Dato’. Hampir setiap post yang dia upload mesti ada yang kecam. Kadang yang mengecam sampai beribu. Apa perasaan Datin bila melihat perkara sebegitu terjadi pada suami?
Waktu mula-mula kena kecam dulu saya sangat stress. Saya sensitif. Saya malu nak berhadapan dengan masyarakat. Saya tak nak keluar rumah dan selalu bergaduh dengan dia. Tetapi lama kelamaan saya fikir kenapa saya perlu ambil kisah kata-kata orang sedangkan suami saya tidak buat benda tak elok. Dia tidak buat maksiat, tidak buat jenayah, tidak menipu orang. Jadi saya memandang pada kebaikan dia. Apa lagi yang saya mahukan daripada seorang suami? Dia bukan kaki perempuan, tidak merokok, bukan kaki judi. Dato’ tidak pernah keluar malam pun. Jadi apa lagi yang saya nak? Cuma kurangnya dia gila-gila dan dia mengharapkan orang faham perangai dia. Saya belajar kekurangan dia kerana saya juga banyak kekurangan. Saya cuba elak membaca komen netizen kerana saya tak nak sakit hati. Saya ada satu habit, bila sakit hati nanti akan nampak jelas pada riak muka yang saya tengah bad mood. Soroklah macam mana sekalipun tetap akan terlihat juga riak wajah sakit hati itu. Selain itu kalau saya moody saya akan tarik muka dengan semua orang. Jadi saya cuba mengelak membaca komen-komen negatif takut hati saya terguris. Benda ini memberi kesan pada keluarga. Saya tidak kisah kalau orang kutuk saya cuma netizen sekarang semakin melampau. Kalau mereka menyalahkan saya atas benda yang dilakukan suami saya tidak mengapa lagi, tetapi kalau mengaitkan anak-anak saya marah. Saya bukan nak jadi ustazah tetapi ada ketika mereka komen, “Itulah kau langgar hukum Allah. Tuhan laknat. Nanti kau dengan anak-anak kena bala.” Ramai yang tak sedar dalam kehidupan sehari-hari pun mereka ada melanggar hukum Allah; tengok rancangan hiburan, tengok artis berpakaian menjolok mata. Asyik mencari kesalahan orang sampaikan terlupa yang diri sendiri pun ada yang tak kena. Sebolehnya saya tak nak bergaduh dengan orang seperti itu kerana dia nak dia saja yang menang. Jadi tak mengapalah. Kita buat yang terbaik untuk keluarga kita. Kalau kita berhujah dengan orang sebegitu tidak ada gunanya.
Walaupun banyak orang mengecam Dato’ tetapi dia tidak give up dan kita masih nampak juga kehadiran dia. Apa kelebihan Dato’ yang membolehkan dia survive dengan kecaman-kecaman itu?
Dato’ kuat semangat dan berhati kering. Semangat dia kental. Dia tidak kisah apa orang nak cakap sebab dia tahu apa dia nak dalam hidup.
Banyak juga yang mengecam Dato’ dan Datin kerana berkawan dengan golongan LGBT dan membantu mereka menjalankan bisnes?
Tidak kisah macam mana sekalipun orang itu, kalau dia baik kita berkawan dengan dia. Tak perlu kita memboikot atau memulaukan mereka. Cuba fikir, apakah sebabnya kita nak memboikot mereka? Mereka berniaga mencari rezeki yang halal. Banyak kebaikan yang mereka boleh lakukan dengan rezeki yang mereka dapat itu. Kalau kita boikot jadinya mereka tak ada kerja, katalah nanti mereka kembali buat kerja maksiat di belakang lorong, kita juga yang sama kena tanggung dosa. Jadi kenapa nak kena pulaukan perniagaan mereka? Kita sebagai kawan sudah menasihati dan cuba menunjukkan contoh yang baik, tetapi mungkin belum sampai masa mereka menerima hidayah Allah. Bukan semua orang bertuah dapat hidayah Allah. Ada orang perlu mencari dan ada juga yang tak perlu pun mencari kerana ia datang dengan sendiri.
Tetapi tidakkah berkawan dengan mereka akan memberi kesan tidak bagus pada kehidupan Datin dan keluarga?
Macam mana saya nak cakap ya. Kita berkawan tetapi tidaklah terlalu rapat walaupun Sajat atau Safiey Ilias sekalipun. Nampak macam rapat tetapi tidak. Kalau berjumpa hanya atas urusan kerja sahaja. Saya kenal Sajat. Dia ni orangnya lurus bendul dan selalu kena tipu. Dia kena tipu dengan pekerja dan ada yang mencuri duit dia. Dia tidak ada kawan terdekat yang boleh bagi nasihat atau guide dia. Saya menghormati Sajat dan tidak pernah ambil tahu hal peribadi dia. Jadi berkawan hanya setakat itu saja.
DHerbs satu perniagaan yang besar, kemudian ditambah dengan cabang bisnes yang lain seperti resort dan perabot Palace by Aliff Syukri. Dato’ Aliff memang jenis yang pandai berbisnes ya?
Dia suka berniaga. Dia menganggap berniaga itu satu hobi, bermaksud dia minat sangat-sangat. Dia selalu ada idea yang orang lain tak terfikir. Jarang jumpa orang yang boleh kembangkan daripada satu bisnes kepada rangkaian bisnes yang lain, tetapi dia berjaya melakukannya. Yang orang nampak dia terkinja-kinja di IG sedangkan kerja keras dia orang tak nampak. He’s a morning person. Kalau balik rumah pagi, dia bangun tidur tetap juga awal pagi. Walau macam mana penat dia tetap akan pergi kerja. Dia bukan jenis yang kalau di rumah memanjang tidur. Dan dia tak ada cuti. Setiap hari dia akan tanya personal assistant apa jadualnya hari itu. Kalau kosong tanpa sebarang aktiviti dia akan melenting kerana pada dia tak mungkin dia tak perlu buat apa-apa sepanjang hari.
Datin juga pandai menguruskan bisnes sama macam Dato’?
Saya jenis yang multitasking. Kita sama-sama tidak bersekolah tinggi tetapi kita ada persamaan, macam-macam kerja kita boleh buat. Memang betul dia datang daripada keluarga senang namun orang tak faham yang saya ini kahwin dengan anak orang kaya, bukan dengan orang kaya. Yang kaya itu mak dia, bukan dia. Dato’ Aliff tak ada apa-apa. Mak dia jenis yang mengajar anak, “Yang kayanya aku bukan kau. Kalau kau nak, kena dapatkan sendiri.” Dia train anak dia cari duit sendiri. Zaman sekolah dulu Dato’ tak berapa pandai. Oleh sebab dia macam tu orang tak bagi kepercayaan untuk dia pegang apa-apa jawatan. Jadi dia nak buktikan pada maknya, walaupun tak pandai dan orang kebelakangkan dia tetapi dia boleh berjaya. Saya banyak belajar perkara yang baik daripada Dato’. Orang luar hanya tahu mengutuk, tetapi banyak benda bagus yang kita boleh belajar daripada dia. Tak ada orang yang sempurna, yang baik kita ambil yang tidak elok janganlah.
Siapa mentor dalam berbisnes?
Tak ada. Kita lakukan semuanya sendiri. Kita hanya berserah pada nasib. Kita berniaga untuk memperbaiki kehidupan. Tidak pernah terfikir untuk jadi kaya raya. Dapat beli rumah dan beli kereta pun sudah cukup bersyukur.
Dato’ Aliff post dalam IG pasal bibik mencuri, anak pecahkan pasu post dalam IG. Datin pula post video anak mengaji dalam IG. Ke mana pergi semuanya tertera dalam IG. Adakah Datin selesa perihal keluarga dikongsi dengan orang luar?
Dato suka buat video. Terbaru ada video Youtube TV Terlajak Laris jadi ke mana pergi akan dipaparkan dalam Youtube. Secara jujurnya kita tak senang, tetapi ini adalah harga yang kita bayar untuk miliki kehidupan yang selesa ini. Pernah terfikir juga, kalau zaman dulu tak ada orang kenal, jadi kita ada privacy tetapi kita tak ada rezeki hidup senang macam sekarang. Dulu nak beli makanan kena catu duit, sekarang apa saja nak makan boleh beli. Tak ada orang yang punya kehidupan sempurna. Ada yang kaya raya tetapi diuji dengan masalah rumah tangga. Ada yang hidup penuh kasih sayang namun diuji masalah kewangan. Semua orang ada masalah, bezanya sama ada boleh menanggung atau tidak sedangkan Allah mendatangkan sesuatu berdasarkan kemampuan hambanya.
Kalau terlalu banyak yang dipost bermaksud ramai orang tahu tentang keluarga kita. Pada saya tidak seronok kehidupan macam itu. Tetapi saya percaya pada Datin sendiri, tak adalah teruk sangat pun…
Memang betul, sebenarnya tidaklah teruk sangat. Dalam pada ramai yang mengecam, banyak juga yang suka melihat kehidupan keluarga saya terutamanya telatah anak-anak. Setiap kali baca komen positif kita jadi seronok kerana ada orang menghargai keluarga kita.
Pernah marah haters di IG?
Biasanya yang menghantar DM (direct message) complaint itu ini, pernah juga saya berhujah balik. Maki tak pernah. Contohnya saya ambil gambar ketika majlis pemberian zakat dan kongsikan dalam IG. Ada yang kata riak, kata mereka kalau sedekah kena sembunyi-sembunyi. Saya jawab balik, “Awak tahu beza tak sedekah dengan zakat? Sedekah perlu sembunyi, zakat perlu terang-terangan supaya boleh mengingatkan orang lain untuk turut membayar zakat. Lepas kena hujah, terus dia delete komen dia tadi lepastu dia block saya. Terbalik pula, patutnya saya yang block dia.
Sebelum ini Dato’ Aliff buat projek dengan Nur Sajat lagu Abang Nak Tegur. Terbaru buat lagu Bobo Di Mana bersama seorang transgender Indonesia, Lucintaluna. Ramai yang mengkritik. Apa pendapat Datin tentang projek Dato’ itu?
Dato’ memang suka glamor. Daripada dulu impian dia untuk menjadi terkenal dan nak menjadi penyanyi walaupun suara dia tak sedap. Kalau nak tunggu syarikat rakaman offer buat album entahkan bila sebab dia bukannya ada suara. Jadi bila dapat peluang untuk menyanyi, dia terima asalkan dia dapat jadi penyanyi.
Walaupun apa yang Dato’ buat itu tidak pulang modal?
Dato’ tidak keluar duit untuk buat lagu. KRU yang keluarkan duit. Dia adalah talent KRU. So kru buat lagu untuk dia jadi KRU dapat hak cipta. Dia hanya talent sahaja. Sebab tu klip videonya keluar dalam akaun Youtube KRU. Sedangkan kalau kita punya sudah tentu akan keluar dalam akaun Youtube Terlajak Laris.
Jadi lagu Abang Nak Tegur pun KRU buat juga?
Ya, kita tidak keluarkan sebarang kos pun. Perancangan Abang Nak Tegur sepatutnya saya pun ada sekali dalam video klip yang dirakam di Spain tetapi ketika itu saya mabuk teruk kerana sedang mengandung. Jadi tak dapat pergi. So Yusry dan Lisa kecewa saya tak boleh ikut ke Spain untuk buat rakaman video klip tersebut.
Pada Datin perlu ke Dato’ merakam lagu?
Suara dia memanglah jauh kalau nak dibandingkan dengan Siti atau Sharifah Aini… memang bukan level dia. Lagipun dia menyanyi hanya suka-suka sahaja. Dato’ ni ada masanya dia terburu-buru membuat keputusan dan dia tidak fikir apa impak atas perlakuan dia. Mungkin ini ada kaitan dengan penyakit disleksia yang dia alami yang membuatkan dia kurang sensitif. Dia ingat orang boleh terima apa yang dia buat tetapi sebenarnya tidak. Bagi dia benda itu biasa-biasa saja. Dia bukan jenis yang ada sensitiviti. Orang macam ni dia berfikir di luar kotak, yang orang lain tak terfikir. Dia sudah setkan dalam otak dia apa yang dia nak.
Datin miliki semua yang orang lain impikan. Ada rumah banglo, berderet kereta mewah, bisnes besar, ada anak-anak, boleh pergi ke mana sahaja dan beli apa saja bila-bila masa. Apa lagi yang Datin inginkan yang belum Datin miliki?
Daripada segi harta benda saya rasa sudah cukup. Saya mengharapkan keluarga saya ini sempurna dalam agama, dan anak-anak saya baik akhlaknya, juga hormat orang tua. Kalau dia belajar pandai Alhamdulillah. Siapa tidak mahu anak yang pandaikan? Begitu juga dengan suami saya, mungkin satu hari dia berubah. Bukannya sekarang ni dia tak baik, dia sudah cukup serba serbi, dia baik sangat dengan saya, baik dengan mak ayah dia dan mentua, tetapi mungkin dia perlu kurangkan dunia glamor dan lebihkan hal agama.
Seronok tak tinggal di banglo bernilai 30 juta?
Seronok. Saya tidak pernah mengimpikan suatu hari saya akan ada rumah sebesar ini. Waktu kecil dulu kita berangan nak kahwin anak orang kaya tetapi kita tak pernah terfikir betapa susahnya nak jadi kaya. Dalam keadaan sekarang, bila bergaduh kita selalu ingat, apa yang kita ada ni bukan senang diperolehi. Jadi kita takkan mudah menyerah kalah semata-mata disebabkan mulut orang lain. Kita tahu yang kita buat ini demi masa depan anak-anak. Bukan untuk kita. Kita ni umur dah berapa, tak tahu sampai bila pun hidupnya. Akan datang kehidupan akan lebih mencabar. Kita tak tahu nanti adakah anak kita boleh beli rumah atau tidak, tetapi tak mengapa kerana kita sudah menyediakan untuk mereka. Kalau anak-anak pandai, dia kembangkan bisnes. Kalau tak pandai hemm… menghabiskan harta mak ayah je lah.
Bila kita kaya dan ternama kita ada banyak kawan…
Ya, ramai orang nak berkawan dengan kita. Tetapi saya bukan seorang yang peramah. Kalau berjumpa di function hanya sekadar ‘hi hi bye bye’. Tak ada nak keluar minum kopi. Itu bukan cara saya. Saya lebih seronok menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah.
Jadi kawan Datin hanya dalam lingkungan kecil saja?
Hanya kawan ‘gitu-gitu’ saja. Yang betul-betul rapat tak ada. Saya belajar daripada pengalaman. Saya pernah ada kawan baik. Dengan kawan baik kita akan menceritakan semua benda untuk berkongsi perasaan tetapi bila kita bermasam muka dengan dia, habis dia ceritakan semua hal kita pada orang lain. Jadi tidak mengapalah tak ada kawan rapat. Baik buruk pun keluarga kita juga yang paling penting. Saya pernah merasai dua waktu berbeza. Melahirkan anak ketika saya bukan sesiapa dan melahirkan anak ketika saya seperti yang sekarang ini (kaya). Ketika saya melahirkan anak sulung, hanya ada seorang saja yang bagi saya hadiah. Bayangkan… satu orang sahaja yang beri hadiah. Berbeza bila saya beranakkan Yusuf, saya dapat hadiah penuh satu bilik. Saya selalu ambil iktibar; begitulah lumrah manusia, kita tidak boleh menidakkan kerana ini realiti kehidupan. Bila kita ternama semua orang nak dekat dengan kita dan beri kita hadiah macam-macam. Kalau ikutkan tak perlu bagi sebab kita dah ada semua tetapi orang bagi juga. Saya sudah rasai bagaimana hidup tak berduit dan bagaimana keadaannya bila saya ada segalanya. Kisah ini saya ceritakan juga dengan anak saya… biar dia orang faham dan tahu perjalanan hidup ibu bapa mereka.
Apa yang seronok menjadi Nur Shahida?
Saya ada suami yang pada dasarnya orang nampak ting tong sebaliknya dia sangat menghargai dan mengutamakan saya. Apa yang dia mahu lakukan pasti dia akan rujuk dulu pendapat saya, walau nak membeli baju sekalipun. Kalau saya tak setuju, dia tak teruskan. Setiap kali pergi luar negara mesti ada sesuatu yang dia belikan untuk saya. Contohnya ke Jakarta, dia akan belikan juga sesuatu walaupun yang murah-murah di Mangga Dua. Dato’ Aliff ni tidaklah matured sangat namun ciri-ciri sebagai seorang suami, tidak ada yang kurangnya. Dia lelaki yang sangat bertanggungjawab walaupun dia lagi muda daripada saya.
Yang tidak menyeronokkan?
Mungkin saya nak kurangkan sifat emosi dan cepat melenting. Contohnya pasal lagu Bobo Di Mana, ada yang ‘DM’ saya dan mengecam sampai melibatkan anak-anak, “Aku doakan kau dengan suami ditimpa itu ini… aku doakan anak kau jadi sekian-sekian…” saya cepat naik angin dan akan terus marah suami saya. Saya mudah baran. Orang nampak macam lemah lembut tetapi sebenarnya saya garang.
Adakah Datin lebih garang berbanding Dato’?
Dato’ garang juga tetapi kalau dia marah, lepas dua minit dia sudah okay dan dia cepat lupa pasal marahnya tadi. Kadang dia tak ingat pun apa yang dia cakap masa dia marah tu. Kalau saya pula lepas tiga hari tiga malam pun masih moody. Tengok muka pun tak mahu. Saya jenis berdendam. Saya mahu kurangkan perangai macam ni.
Selalu juga Dato’ muat naik video dia sedang marah-marah di IG.
Dia memang selalu marah. Petang tadi pun saya kena marah masa tengah buat live IG
Saya pun ada tengok live IG tadi. Patutlah Datin nampak moody.
Memanglah. Boleh pula tengah buat live tu dia marah saya. Macam itulah saya kalau moody muka masam tak boleh control.
Adakah Dato’ Aliff lelaki yang romantik?
Kita berdua sama saja tak romantik. Saya membesar di kelilingi adik beradik lelaki jadi sudah terbiasa dengan environment yang kasar. Dato’ pun tahu. Ada juga dia complaint, “You ni tak romantiklah!” Bila nampak dalam IG pasangan baru kahwin yang feeling nak beromantik ni, rasa nak saja cakap, “Kau tunggulah bila masuk tahun kedua perkahwinan nanti…”
Saya rasa Dato’ ada lagi banyak koleksi barang berjenama berbanding Datin?
Dia ada pelbagai koleksi. Saya bukan penggemar handbag dan saya tak minat kasut. Aksesori juga saya tak pakai kecuali jam tangan. Saya tak begitu suka barang branded. Ada satu beg LV pada saya sudah mencukupi. Lagipun beli mahal-mahal sayang kalau tercalar. Kalau beli pun hanya ketika sale.
Bermaksud kemewahan tidak pernah mengubah diri Datin?
Tak tahulah. Kadang ada yang tanya kenapa tak buat ‘ootd’ (outfit of the day) tetapi saya tiada keinginan untuk buat macam tu. Saya lebih suka post fasal anak-anak atau video masakan saya.
Datin kini ada lima anak kandung, kemudian ditambah pula dua lagi anak angkat. Kenapa Datin membela anak angkat?
Secara jujurnya tak pernah terfikir pun untuk mengambil anak angkat. Dato’ yang nak sangat kerana ibu bapa kedua-dua bayi itu datang berjumpanya memberitahu masalah masing-masing. Jadi kami ambil keputusan menjaga mereka. Lebih baik pun tinggal dengan kita, kalau tidak entah di mana mereka membesar.
Setelah beberapa tahun berkahwin, macam-macam telah dilalui bersama. Kuat ya cinta Datin dan Dato’? Saya tak tahu ini soalan atau apa… hanya nak menyentuh sikit fasal cinta.
Dia macam ni tau, ada masanya kita tak nampak betapa pentingnya dia dalam hidup kita. Dulu-dulu saya selalu rasa, “Aku tak kisah pun tak ada kau. Aku boleh hidup sendiri,” tetapi bila bergaduh dan tak bertegur sapa, rasa kosongnya jiwa ni. Entah macam mana nak terangkan… kita duduk dalam rumah besar dan ada anak-anak tetapi kita rasa sunyi sangat bila tak bersama suami. Kita terngiang-ngiang kebaikan yang dia buat pada kita. Bila bergaduh, mesti kita teringat perangainya yang buruk-buruk saja tetapi bila renungkan semula, tak baiknya aku fikir macam tu. Dia tak pernah berkira dengan aku; harijadi aku dia belikan kereta. Jadi akan timbul rasa bersalah. Itu yang orang kata, bila ada depan mata tak hargai, dah tak ada baru merana.
Pernah bergaduh teruk tak?
Saya pernah lari dari rumah selama dua minggu sebab bergaduh dengan Dato’. Saya bawa anak-anak dengan saya. Saya nak bina hidup sendiri. Dia tak ada pun tak apa. Tetapi tak boleh kerana jiwa saya terseksa. Setiap malam saya menangis, saya rasa tak boleh hidup kalau dia tak ada. Orang tanya saya okay atau tidak, saya katakan okay saja namun bila berseorangan saya tak boleh terima. Walhal Dato’ tak ada buat benda tak elok pun pada saya, cuma saya yang terlebih emosi sampai lari dari rumah.
Apa yang Datin lakukan bila bergaduh?
Saya jadikan pengajaran sebab saya sedar keberadaan dia itu penting. Jadi setiap kali bergaduh saya akan cuba memahami dia. Sekarang jarang sangat bergaduh. Dulu-dulu, dalam 30 hari sebulan, 25 hari kita bergaduh. Hanya lima hari saja kita berbaik. Tetapi kita belajar memperbaiki diri daripada setahun ke setahun. Makin lama kita makin kenal pasangan. Lama bercinta pun tak menjamin kebahagiaan rumahtangga. Dalam perkahwinan mesti kena sabar, sabar dan sabar. Ini yang membuatkan rumahtangga bertahan lama. Kita tak boleh expect yang indah-indah sahaja kerana kita tinggal dalam keluarga kita selama berpuluh tahun and then sebaik berkahwin kita hidup dengan orang yang sebelum ni tak pernah ada kaitan dengan kita. Bukannya senang. Kita perlu belajar memahami apa yang pasangan kita suka dan tidak suka. Sebagai isteri kena banyak mengalah.
Bagaimana dengan Dato’? Adakah dia pun pernah lakukan perkara yang sama tragik macam Datin buat dulu?
Tak pernah. Selalunya dia macam tak ada perasaan. Dia lelaki jadi ada juga egonya. Saya saja yang terlebih emosi. Dengan Dato’ mudah saja, kalau saya minta maaf dia pun sama minta maaf. Kalau dia yang datang meminta maaf saya tak layan dan kemudian mulalah meleret-leret marah.
Selalu gaduhnya fasal apa?
Hal kerja. Kalau saya bergaduh pendapat dengan pekerja, dia akan marah saya balik, “Eh kau tak boleh buat macam tu dengan dia (pekerja).” Di pejabat tidak ada istilah mendapat layanan istimewa walaupun saya isteri Dato’.
Datin sibuk menjaga anak-anak dan menguruskan Dato’, diri Datin pula siapa jaga?
Itulah. Saya jaga diri saya sendiri. Saya beruntung sebab saya tersangat jarang jatuh sakit. Demam teruk pun tidak melainkan selesema dan batuk. Saya tak pernah masuk hospital kecuali untuk bersalin. Dato’ tahu saya jenis independent. Kalau sakit saya boleh pergi klinik sendiri. Dato’ kalau sakit jadi macam budak-budak, kena paksa makan ubat.
Dan begitulah Datin Sri Nur Shahida membuka cerita tentang kisah hidupnya yang luar biasa. Dianugerahkan olehNya kehidupan dan kesenangan, keselesaan dan keamanan rumahtangga. DiberiNya kesihatan di mana dia berpeluang meneroka tempat yang dulu menjadi igauan namun satu hari terbentang di hadapan mata, dan pulangnya dia membawa pengalaman menyeronokkan. Bersyukur dia dapat merasai kehidupan yang cukup mengujakan.
Hari ini yang dia mahu adalah terus membahagiakan mereka yang di sisi; menjadi isteri sejati, menjadi anak dan menantu yang disenangi dan semestinya bos (juga pekerja) yang berdedikasi. Dia ikhlas dalam setiap yang dilakukan walaupun ada kala terlalu sukar dugaan hingga tanpa disedari, air matanya membasahi juga pipi.
Dan untuk rejuvenate diri, November ini mereka sekeluarga akan berpergian ke Australia menikmati percutian menaiki karavan sambil menikmati pemandangan indah negara kanggaru itu. Sambil bercuti nanti mereka mahu kembali mengenangkan nostalgia silam, saat mahu melamar bercinta membawa ke detik ijab kabul, hinggalah hari ini di kelilingi cahaya mata. Oh betapa saya cemburu. Beruntungnya kalau warna-warna kehidupan mereka terbias pada saya.
Semoga terus membara cinta mereka, sehingga mentari sejuk dan bintang-bintang menjadi tua…
Penghargaan:
Jurugambar: Studio 27KL http://www.satishchandramohan.com Jurusolek: Helmy Sharip https://www.instagram.com/helmysharip/ Turban: Azura Azwa https://www.instagram.com/azuraazwa/ Pakaian: Koleksi peribadi Datin Sri Nur Shahida Gaun labuh: Anuar Faizal https://www.instagram.com/anuarfaizalofficial/ Penyelaras: Shaufik Yunus