Saya ada memori yang manis sekali dengan barang kemas. Masih ingat masa itu sebaik keluar dari pejabat, saya bergegas ke The Curve kerana ada satu jenama barang kemas membuka booth promosi di situ. Tiba di sana, saya jadi rambang mata melihat koleksi yang dipertonton. Cincin saja ada lebih 500 bentuk, manakala gelang, subang dan rantai… ah banyak sungguh. Dan saya bertanyakan pada sales girl, untuk sekian bajet apa yang boleh saya miliki dan dia mencadangkan sebentuk cincin. Tanya dia, “Beli untuk bakal isteri?” “Bukan, saya nak beli untuk mak saya…”
Yang sebenar saya langsung tak pernah membeli walau sebutir emas, malah nak peruntukkan berapa ringgit pun saya tidak tahu. Bagaimana dengan saiz? Saya mencubanya dengan jari telunjuk sendiri. Main hentam saja. Dan pilih punya pilih, akhirnya saya pulang dengan sebentuk cincin belah rotan. And guess what, cincin yang saya beli betul-betul muat tersarung di jari manisnya.
Satu ingatan istimewa yang sentiasa tersemat dalam minda saya dan baru-baru ini, memori itu kembali membunga apabila melihat koleksi batu permata Infiniti Jewels.
Di satu petang, jika di luar panas membahang sehingga 32°C, berbeza di ruang pejabat Infiniti Jewels di Ampang. Di hadapan saya, duduknya dua wanita yang sama-sama punyai kepandaian, pengalaman dan kuasa dalam bidang yang diceburi mereka; YM Tengku Datin Sri Nurzaheran Tengku Hisham (Ku Nur) dan Puan Wirda Adnan. Kak Wirda khusyuk menanyakan satu persatu soalan kepada Ku Nur bagi mengenalinya lebih lagi, berselang-seli dengan cerita barang kemas Infiniti Jewels yang mana Ku Nur merupakan insan yang bertanggung jawab mengemudi jenama ini untuk pasaran Malaysia. Manakala saya, memerhati dan sesekali membelek koleksi barang kemas yang dibariskan di hadapan kami.
Aura Cantik Campuran Darah Diraja Kelantan juga Thailand, Cina dan Pakistan
Melihat Ku Nur tika itu membuat saya happy sekali. Seronok bersua muka dengan orang daripada status berbeza namun pembawaan diri biasa-biasa saja. Orangnya juga cantik, kulit mulus dan gebu.
“Teringin nak tahu rahsia cantik Ku Nur? Mana tahu kot-kot kerabat Diraja ada petua khas?”
“Ermm… rasanya tak ada tip tertentu. From those days saya hanya pastikan muka dibersihkan dulu sebelum tidur. Kalau pakai mekap saya akan cuci sehingga kapas betul-betul bersih. Saya orang yang sederhana saja. Tak pakai banyak produk, hanya moisturiser, sunblock dan serum. Selain daripada itu, tak ada.”
Cemburunya saya. Orang lain walau produk berganti-ganti, kulitnya tetap sama tak berubah. Bersiramlah walau satu jam sekalipun, keluar bilik mandi, muka tetap macam itu juga tak ada pun jadi sekacak Henry Golding (cakap fasal diri sendiri.) Mungkin kerana Ku Nur berasal daripada susur galur keturunan Diraja, yang kita tahu dilahirkan sedia cantik. Ayahandanya adalah kerabat Diraja Kelantan dan bondanya anak Gabenor Satun (Thailand) manakala datuk juga neneknya (sebelah bonda) memiliki darah campuran Pakistan dan Cina, dan neneknya juga merupakan kerabat Diraja Kelantan.
“I believe if we know how to handle and control our mind, if we are happy and take things easy, we will look beautiful. Beauty comes from the inside. Besides, saya rasa jika kita sentiasa dekatkan diri dengan al-Quran, jaga solat dan sentiasa berwuduk, kita akan nampak cantik.”
Yang ini saya setuju. Tak perlu nak terkumat-kamit, ” Ribu-ribu di kanan jalan buaya melintas tasik, ribu-ribu orang berjalan aku juga yang paling cantik….” (pantun orang lama untuk naik seri) hanya basahkan muka dengan air wuduk, seri wajah akan terserlah.
Dan begitulah Ku Nur seperti yang disebutnya tadi, orangnya cukup sederhana. Tas tangan Chanel yang disandang ke sana ke mari, tetapi dianggapnya biasa saja janji boleh diisi barang. “Saya bukannya pandai hal-hal fesyen ni. Baru sekarang nak belajar pergi majlis glamor,” ujarnya ketawa. Tak mengapa Ku Nur, bila-bila you perlukan tip fesyen, I boleh bantu.
Boldness
Sambil mendengar mereka bercerita, saya cuba memahami perjalanan Ku Nur seraya teringat yang Helen Keller pernah menyebut, “Life is a daring adventure or nothing…” Maksud saya, Ku Nur daripada keluarga kerabat Diraja namun rancak berbisnes, sedangkan setahu saya anak Raja mahupun kaum kerabat mereka kalaupun ada peniagaan sendiri, jarang menguruskannya, sebaliknya mengupah orang lain, antara sebabnya kerana tak manis anak Raja ‘merayu atau meminta tender perniagaan dari orang lain’. Berbeza dengan Ku Nur yang semenjak belajar di Universiti Putra Malaysia sudah memulakan perniagaan sendiri seperti membekal alat tulis dan kertas. Pendek kata, anything that can generate income. Dan ia berlanjutan hingga kini melalui Infiniti Jewels Creation Sdn. Bhd. dan Oxford United Sdn. Bhd. Pernah Ku Nur berhenti kerja sebaik mendirikan rumah tangga namun hanya bertahan sebulan. Alasannya kerana tak biasa sekadar duduk saja. Padanya, “If you are more fortunate than others, build a longer table not a taller fence.”
Dan Ku Nur tidak mewarisi perniagaan keluarga, sebaliknya membina empayar sendiri. Sebelum memulakan Oxford United Sdn. Bhd. syarikat yang membekal bahan-bahan seperti paip dan injap untuk kegunaan di platform pelantar minyak, beliau pernah menjalankan perniagaan membekalkan barang-barang asas untuk MINDEF seperti perabot, pinggan mangkuk dan membekal senjata.
Pengalaman Ku Nur dalam perniagaan oil and gas dan engineering bermula sebelum memulakan Oxford United lagi. Ketika itu, seorang teman yang punya pengalaman luas dalam pelbagai sektor korporat meminta Ku Nur menguruskan sebuah domain company bernama Oxford Alliance Sdn. Bhd. Ku Nur menerimanya dan menerusi syarikat tersebut Ku Nur antara lain menjalankan projek untuk syarikat mega dan seterusnya dia mempelbagaikan lagi kepada perusahaan minyak dan gas. Dengan kecekapan dalam bisnes, Ku Nur telah ’groom’ syarikat tersebut daripada sebuah syarikat kecil sehingga menjadi sebuah syarikat yang kompetitif dalam bidangnya dan memiliki pegangan kewangan yang tinggi.
Kata si pendeta Hamka, “Kalau hidup sekadar hidup, khinzir di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.” Sudah alang-alang melakukan bisnes, Ku Nur mahukan anak buahnya dapat membina kehidupan yang selesa. Dilayannya mereka seperti keluarga sendiri. Pejabat dianggap seperti rumah dan pekerja sebagai keluarga. Kalaupun marah, tidak terbawa-bawa hingga mengakibatkan orang di kiri kanan merasa tempiasnya. Atau misal kata kalau di rumah sudah bad mood, tidak dibawa perasaan itu ke tempat kerja. Sebutnya, dia tidak mahu orang lain terbeban atau terganggu dengan sesuatu yang bukan urusan mereka. Terangnya, “Jangan jadikan masalah yang kamu lalui sebagai beban kepada orang lain.”
Semarak Cinta Februari
“Ingat tak masa dia melamar?” Kak Wirda cuba mengorek kisah rumah tangga Ku Nur.
Perkenalan bersama suaminya Dato’ Sri Zakaria Abdul Rahman bermula sehari sebelum Ramadan. Tidak ada dating makan malam di bawah cahaya lilin. No…no… Romantik mereka cara lain, iaitu sama-sama ke masjid menunaikan tarawih juga qiamullail.
Bukan mudah mendekati ahli perniagaan wanita, kerana tak semua lelaki faham pemikiran dan pembawaan diri mereka. Ibarat ‘setelah diri bertambah besar, di tempat kecil tak muat lagi, setelah harga bertambah tinggi, orang pun segan datang menawar’. Kejayaan atau pencapaian yang dimiliki membuatkan lelaki menggeruni. Tambahan lagi buat Ku Nur yang 90% kawannya adalah lelaki, jadi pasti mengundang cemburu pada sesiapa yang mendampingi.
Namun apabila datang perasaan suka sesama, perbezaan usia 18 tahun tidak menghalangi, teman lelaki (kini suami) datang berjumpa ibu bapanya untuk melamar.
“Apakah itu cinta?”
“Love is bigger than you are. Kita boleh menjemput cinta, tetapi kita tidak boleh menentukan bagaimana, bila dan di mana mengungkapkannya.”
Yes, love is inherently free. Tak boleh dijual, beli atau didagangkan. Lambakkanlah sebanyak mana wang, tak mungkin boleh membuat orang menyintai kita. Kadang cinta itu pelik. You can even find yourself loving people you don’t like at all. Itulah dia cinta, sungguh istimewa membuat kita gila dan ada yang diperdaya kerananya.
Tambah Ku Nur, “It is give and take. Perasaan selesa dan saling menerima seadanya. Teman berkongsi suka dan berkorban duka. One thing about him, dia tak kuat cemburu dan saya juga begitu.”
“Do you believe love change someone?” Kak Wirda menanyakan lagi. “Yes, change to be someone better. Seperti saya dan suami, walau kami berfikiran ‘global‘ tetapi saling mengingati tentang akhirat.” Dan untuk menghidupkan lagi cinta menurut Ku Nur, hubungan mesti diiringi kepercayaan. Tidak berkeperluan mengubah fizikal demi menggembirakan hati pasangan. Namun perlu beringat, jangan pula terlalu selesa. Maklumlah orang kita kalau makan, jin tengok pun boleh mengucap. Jadi jangan disumbat tembolok dengan segala makanan atau nanti bila baring perut lagi tinggi dari dada, pinggang dan punggung pun tak ada beza. Tidakkah sengsara?
“Husband you orang bergelar dan terlibat pula dalam politik. Pasti ada wanita yang cuba mendekati. Misal kata kalau dia kahwin lain? Boleh Tengku menerimanya?”
“Mana ada wanita yang sanggup. Entah selama mana kita boleh hidup. Anak-anak pun masih kecil lagi. Dunia ini ada putarannya. Kalau buat pada orang, esok lusa anak kita dipedajal pula. Suami pernah melalui fasa perkahwinan sebelum ini, jadi saya pasti dia tahu baik buruknya jika berlaku curang dalam rumah tangga.”
Setelah beberapa tahun menyulam cinta alam perkahwinan, Ku Nur dan suami berbahagia dengan tiga puteri, bernama Puteri Nurzaheran Sofea, tujuh, Puteri Nurzafirah Zulaikha, enam dan Puteri Nurzahra Aisha, empat tahun.
“The best among you are those who have the best manners and best character.” Sahih Bukhari, 6029. Ku Nur berpegang dengan hadis ini. Yang diharapkan agar anak-anaknya baik budi pekerti dan salah satu yang dia dan suami lakukan adalah dengan menghantar mereka ke sekolah kebangsaan. Katanya, “Biar mereka berpijak di bumi nyata dan tahu asal usul. Saya nak dia orang bercampur gaul dan kenal bangsa mereka dan ada sifat patriotisme.” Dan sebutnya lagi, “Banyak ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah swasta kerana beranggapan kualiti pendidikan yang bagus, sedangkan sekolah kebangsaan juga menawarkan pembelajaran yang bagus. Saya sendiri belajar di sekolah kebangsaan dan selepas SPM saya masuk matrikulasi hinggalah seterusnya belajar di UPM.”
Infiniti Jewels – Cut, Color, Carat and Clarity
Terkenang cerita seorang teman, diasak soalan siapa yang membelikan cincin berlian di jarinya. Dijawabnya, “Beli dengan duit sendiri.” Mendengarnya, teman yang lain ketawa memerli, “Kenapa tak suruh boyfriend you belikan?”
“Actually, it’s so powerful to buy your own ring. Kenapa nak tunggu suami atau teman lelaki yang beli? You don’t need a man for that,” saya mencelah. Hats off pada teman saya itu. “Esok-esok bila boyfriend nak melamar kau cakap pada dia, ‘either you match the size of my diamond or you match the size of my heart…’”
Sejak turun temurun keluarga Tengku Nurzaheran ada kecintaan pada barang kemas. Nenek moyangnya menurunkan banyak koleksi emas yang indah belaka, yang rekaannya tidak lagi boleh ditemui di mana-mana. Something beyond spectacular. Kata Ku Nur petang itu, “Kalau seutas gelang dijual boleh dapat sebuah Mercedez.”
Ceritanya, “My auntie YM Tengku Azamiah Tengku Abdul Majid memperkenalkan saya dengan satu jenama jewellery dari Singapura, Infiniti Jewels Pte Ltd. My auntie and my mom biasa membeli dengan mereka membuatkan saya turut terjebak sama. Dan kerana setia dengan jenama ini, empunya jenama menjemput saya ke majlis mereka.”
Dari situ bermula hubungan baik dengan pemilik jenama tersebut, hinggalah satu hari mereka mengajak Ku Nur menyertai syarikat mereka kerana sudah rasa selesa dan ada chemistry yang kuat dengannya. Namun dia menolak. “What do you see in me? Lagipun saya tak ada ramai kawan perempuan untuk dijadikan sasaran klien?”
Pun begitu, Ku Nur bersetuju menyertai Infiniti Jewels Pte Ltd setelah bapa mereka sendiri datang berjumpanya. “Dia cakap, jewellery business tidak berpandukan berapa ramai orang yang kita kenal tetapi yang penting adalah kejujuran dan keikhlasan. Kata-kata dia membuatkan saya bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka. Pada mulanya, saya menjadi agen untuk pasaran Malaysia. Selepas dua bulan barulah saya membuka Infiniti Jewels Creation Sdn. Bhd. Entiti yang sama tetapi dua kumpulan yang berbeza. Yang di Singapura di bawah syarikat Infiniti Jewels Private Limited. Sekarang saya menjual koleksi bukan saja di sini tetapi membawa hingga ke Abu Dhabi, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Ku Nur tidak menguruskan Infiniti Jewels secara bersendirian, sebaliknya bersama Liza Saririah sebagai rakan kongsi Tengku untuk Infiniti Jewels Creations Sdn. Bhd. dan duduk di kerusi Pengarah Pembangunan Perniagaan dan adiknya Ida Idrus Abdullah turut menyertai, sebagai Ketua Pemasaran.
Untuk menjadi rakan seperniagaan yang bagus, pasangan mestilah seseorang yang dapat melengkapi kekurangan kita. Ku Nur mempelawa Liza dan Ida menyertainya, kerana mereka berdua memiliki pengalaman dalam perhubungan awam dan pengaturcaraan majlis selain biasa berlaga bahu dengan the who’s who (Puan Sri dan mak-mak Datin) berbeza dengan Ku Nur yang terlibat dalam bidang yang banyak dikaitkan dengan ‘kerja lelaki’. Just one great partnership with the right person can have an incredible impact on your business success. Dan saya suka sangat melihat cara interaksi mereka di hari penggambaran muka depan; berbeza perwatakan dan pastinya juga berbeza dalam networking dan ilmu perniagaan. Saya rasa begitulah kiranya saya dan Kak Wirda ketika kami mula-mula bekerjasama dulu. Teringat saya pernah memberitahu pada Kak Wirda, “We’re a team. Whatever you lack, I got you. We will balance each other out. Minor setback? Guess we’ll make a major comeback. Bad day? We’ll promise you a better night. You need support? I’ll be your backbone. I’ll keep you motivated and at the top, always. As long as you appreciate me and remain consistent you don’t ever have to doubt my loyalty. You got me. I got us.”
Infiniti Jewels tidak seperti jenama barang kemas tempatan lain yang mengeluarkan beratus atau beribu produksi untuk setiap satu rekaan. Infiniti Jewels hanya mengeluarkan barang kemas bespoke dan setiap yang mereka keluarkan hanya ada satu saja rekaan sepertinya dalam dunia. Membeli koleksi Infiniti Jewels, anda membayar untuk kualiti batu permata, kehalusan kerja tangan, rekaan dan keunikan. Permata yang dipilih pula daripada gred D dan ke atas manakala clarity dari keluarga VS dan VSS. Hanya intan permata yang bermutu tinggi menjadi pilihan Infiniti Jewels.
Dan bagaimana membezakan Infiniti Jewels dengan jenama antarabangsa yang anda lihat di Starhill, Pavilion atau KLCC misalnya? Untuk jenama mewah seperti itu, dengan 150 ribu ringgit anda boleh dapat seutas rantai emas putih berhias permata 4.05 karat, sebaliknya di Infiniti Jewels dengan nilai yang sama anda boleh membeli seutas rantai dengan karat yang lebih tinggi lagi. Tahu kenapa?
Infiniti Jewels tidak ada showroom jadi tidak perlu bayar sewa, tidak perlu bayar insurans perlindungan barang kemas dan sebagainya. Dan barang kemas mereka direka sendiri oleh inhouse designer dan ditukang oleh penukang mahir di kilang mereka di Hong Kong, tidak seperti jenama barang kemas lain yang menggunakan khidmat third party bagi menghasilkan koleksi untuk keluaran jenama mereka. Kalau beli dengan jenama terkenal seperti dari Amerika atau Eropah contohnya, harga jadi berganda kerana kita membayar untuk status atau populariti jenama, selain harga meningkat disebabkan beberapa faktor seperti sewa kedai dan insurans. Itu yang menjadikan harga mereka naik berganda-ganda.
Jika tidak ada showroom bagaimana klien Infiniti Jewels membeli koleksi mereka?
“Melalui private viewing.” Terang Ku Nur lagi, “Kami mendapat jemputan ke istana atau jemputan khas dari kerabat Diraja. Selain itu, kami mengadakan private viewing dengan kedutaan luar negara yang ada di sini, termasuk juga dengan preferred clientele dari sektor perbankan seperti dan syarikat kereta mewah dalam dan luar negara. Malah, mereka baru saja pulang dari Indonesia mengadakan private viewing koleksi terbaru atas kerjasama dengan sebuah syarikat kereta mewah di sana. Untuk anda yang mahu melihat koleksi Infiniti Jewels, mereka mengadakan sesi tontonan peribadi di pejabat mereka di Dataran Palma, Ampang setiap Jumaat. Boleh menghubungi Liza di +60123646586 atau Ida +60123150553 untuk mendapatkan temujanji.
Yang sebenar saya teringin nak melihat koleksi paling berharga Infiniti Jewels iaitu sebentuk cincin pink diamond lebih satu karat berharga RM1.06 juta. Pertama dan kali terakhir melihatnya ketika ia dipertonton di acara Malaysia International Jewellery Fair bulan lalu. Berlian merah jambu sangat jarang dijumpai… bertuah empunya badan yang memilikinya nanti.
“Some say the economy means that you have to persuade people to invest in clothes – to buy less things but more expensive things. I disagree – invest in jewelry, or a house, maybe, but not in fashion.” Betul kata Donatella. Saya juga bersetuju. Kalau berkemampuan, kenapa tidak melabur dengan barang kemas tanzanite. Rasanya satu-satunya lombong tanzanite di dunia iaitu Tanzanite One Mining Limited (TML) di Tasmania ditutup buat sementara waktu sekitar Julai tahun lalu dan akan datang bakal ditutup terus (tidak tahu bila. Mungkin dah terus tutup pun) kerana batu tanzanite sudah hampir habis. Dan bila satu-satunya lombong tanzanite yang ada di dunia itu ditutup, tanzanite akan menjadi rare dan harganya pasti akan mencanak naik. Infiniti Jewels sendiri memiliki banyak permata tanzanite yang masih mentah yang mereka perolehi daripada agen khas di sana, selain mempunyai koleksi besar barang kemas tanzanite yang indah.
Berdoa Sehingga Telekung Basah Kuyup
Hidup di hari ini, masing-masing punya cerita tersendiri dan kita bebas memenuhi keperluan hak peribadi. Kita usaha, kerana mahukan yang terbaik untuk diri dan membiar keluarga mendapat tempiasnya. Walau terkadang langkah terhenti, kita tidak menoktahi sebalik kita cuba lagi dan lagi, dan meminta padaNya bukan untuk ditamatkan onak duri tetapi untuk dicekalkan hati.
Orang susah nampak benar susahnya kerana membanting tulang hingga kepenatan dan keperitan terlihat di raut muka. Yang susah tiada masa memikir cemburu pada yang kaya raya kerana sepanjang masa dalam fikiran mereka hanya kerja dan kerja.
Dan jangan salah sangka, yang senang pula tidak 24 jam bergembira. Kadang air mata mereka juga mengalir sederasnya. Kadang kaki mereka juga tersadung atau merasa sakit tidak terperi apabila terpijakkan duri.
Tengku Nurzaheran juga pernah melalui zaman suram. Yang paling diingati apabila meninggalkan syarikat Oxford Alliance. “Saya rasa sangat down. Saya tidak menceritakan kepada kawan kerana bagi saya, jika ada masalah biar saya selesaikan sendiri. Lagipun, seeloknya kita mengadu pada Allah dan mengaji, even sampai menangis sekalipun. It’s okay. Orang berniaga juga ada masalahnya. Along the way kita akan membuat kesilapan. Kalau pun kita gagal, tetapi jika ada passion, kita tak kan give up. Kena bangun dan buat balik. People grow through experience.
Dan kerana tidak putus asa membolehkan beliau menikmati kemanisan usahanya dan tahun lalu pencapaiannya diiktiraf olehi Des Prix Infinitus Media yang menganugerahkan C-Suite Leadership Excellence Awards 2019, selain turut menerima anugerah The Legend Outstanding Women Achievement.
Ya, berdoalah sehingga telekung basah kuyup. Kalau pun air mata itu berasa masin, ia kerana air mata asalnya garam kehidupan.
“What in life is a mystery to you?”
“Hem… masa depan? Kita tak pernah tahu. Sebab itu kita berusaha dan berdoa. Kehidupan kita tidak di dunia saja sebaliknya ada kehidupan lain di akhirat nanti. I want a good ending. Jangan nak cepat kaya dengan tikam belakang orang. Sebab dunia inikan berputar. Kalau keburukannya tak datang pada saya, mungkin anak-anak yang menjadi mangsa. Pada saya, kalau daripada awal kita mengikuti peraturan, bayar zakat dan sebagainya, pasti perjalanan akan lebih mudah. Tuhan akan sentiasa menduga but you have to be strong.”
“Yang Ku harapkan untuk masa depan?”
“I want to be a good Muslim, a better mother, wife and daughter. Saya juga mahu menjadi role model kepada anak-anak saya. Kalau saya suruh dia orang sembahyang tapi saya dan suami culas tak ada gunanya. Selain itu, impian saya menjadikan Infiniti Jewels sebagai satu jenama barang kemas mewah yang terunggul sebaris dengan jenama besar yang terdapat di Eropah sana. Dan perniagaan ini akan saya jadikan satu warisan untuk anak-anak, kerana apa yang saya lakukan semuanya kerana mereka. Saya bersyukur dan seronok kerana adanya buah hati saya iaitu anak-anak dan suami yang sentiasa memberi sokongan dan memahami urusan kerja saya, selain ibu bapa yang juga banyak memberi dorongan untuk saya mengejar kejayaan dalam apa saja bidang yang saya ceburi.
Saya membaca lagi sepanjang-panjang tulisan ini, buat ke sekalian kalinya. Pada saya, cerita Ku Nur dengan kita semua sama saja, begitu juga yang di dalam hatinya kerana dia juga insan biasa, punya Yang Maha Esa menitipkan semua. Tinggal lagi, terpulang bagaimana kita berjuang untuk kehidupan yang lebih bertakhta hingga kita menutup usia.
Penghargaan Teks: Shaufik Yunus Pakaian: Ridzuan Bohari (muka depan), Rico Rinaldi (dress copper tan), Mek Kembang Cotton (blaus kuning) dan Variante (skirt bertingkat hitam) Aksesori: Koleksi Infiniti Jewels Sepatu: Koleksi peribadi Tengku Datin Sri Nurzaheran Turban dan topi: Milik penata gaya Solekan: Helmy Sharip dibantu oleh Faizal Azhar Penata gaya turban dan tudung: Tym Fatimah Jurugambar: Fendi Shas Lokasi: White Studio Arahan Seni: Wirda Adnan dibantu Mahani Awang