COVER STORY

Kyrina Kassim Queen of TikTok Bercakap Tentang Rumahtangga, Bisnes dan Dunia Maya

Sama ada kamu hebat dalam skil bersosial atau miliki anxiety issue, pasti ada rasa tidak selesa kala berjumpa orang baru. Namun jika bernasib baik, yang sebaliknya boleh berlaku kerana ada orang yang kita akan cepat dapat keserasian walau pertama kali meluangkan masa bersama. Ini yang saya rasakan ketika bersama Kyrina Kassim. 

Satu jam kami bersembang, daripada satu topik ke topik seterusnya mengalir bagaikan air. Bayangkan entah macam mana di awal perbualan kami boleh bercakap tentang cara membuang caj negatif dari badan. Boleh tiba-tiba bercakap fasal aura? Namun saya mesti kongsikan tips daripada Kyrina, “Kalau i rasa marah, i akan buka baju (sepersalinan) yang i sedang pakai dan baju tu i akan basuh. I akan pakai baju lain. Satu lagi, mandi air garam bukit atau garam laut. Letakkan segenggam dalam besen, berselawat tujuh kali dan ratakan air tersebut di seluruh tubuh. InshaAllah bagus untuk buang caj negatif, sifat marah dan aura yang tak bagus dari badan.”

Kyrina Kassim, 32, seorang pengasas produk minuman diet. Cantik sekali orangnya dan melihat pada muka depan yang dirakam jurugambar Azam Neurmaya, hampir tak ubah seperti pelakon sinetron Indonesia. Namun Kyrina bukan pelakon atau penyanyi tetapi statusnya tidak kurang glamor. Dengan sejumlah 986,900 pengikut di TikTok, Kyrina atau nama glamornya Lady Na dianggap sebagai ‘Queen’ di platform tersebut. Yes, kali ini MajalahWM.com tidak menjemput sembarangan orang tetapi dalam kalangan ‘Your Majesty’ menghiasi isu April ini. 

Wajah Glamor TikTok

Di ketika menulis artikel ini, tular kisah profesor T20 menyelar pelajarnya yang berstatus B40 dan menyuruh membeli laptop yang kata si profesor berharga cuma RM800. Murah sangat tu? Jadinya, macam biasa banyaklah rakyat kita yang tak nak kalah memberi hujah dan mengaitkan isu yang sedang tular dengan suka duka pengalaman hidup masing-masing. Lain ceritanya dengan si Kyrina, dia buat live di Tiktok meniaga produknya dan nak tahu, 200 kotak terjual dalam kurang 30 minit! Padanya, “Jangan penatkan diri nak mengulas semua isu yang berlegar di sekeliling kita. Lebih baik fokus pada hal yang penting dan memberi kelebihan sahaja.”

Sebenarnya bukan hal bisnes yang membuat Kyrina popular di media sosial tetapi some fun videos aktivitinya berbasikal yang menjulang profilenya sehingga ke Indonesia dan Singapura (pada 13 November 2020 dia memuat naik video berterima kasih kepada 20 ribu yang mengikuti akaunnya.) Saya kira formulanya mudah iaitu berkongsi hal yang dekat dengan diri, iaitu hobi – berbasikal. Kini selain bisnes dia juga membuat perkongsian tentang gaya hidup sihat diiringi lagu-lagu trending. Video-videonya pula biasa mendapat ratusan ribu like dan beratus-ratus komen. Tak kalah dia dibanding selebriti malah sama popular, kerana itu dia dipilih menjadi wajah koleksi Hari Raya Shawl Publika – lihat penampilannya berbaju kurung moden.

Pengasas Produk Minuman Diet

Kyrina memulakan bisnes minuman diet Juzfit semenjak 2015. Mengapa memilih minuman diet? Kerana dia sendiri obses dengan berat badan. Kini syarikatnya ada variasi perasa antaranya lemon, dark chocolate dan red cappuccino.

Tentang pemasaran, syarikatnya memberi fokus pada TikTok khasnya. Katanya, “Sesi live di IG hanya keluar di laman pengikut sahaja sebaliknya untuk TikTok, video live boleh ditonton lebih ramai orang kerana ia akan pop-up secara random di laman umum pelayar. Tambahan jikalau ramai yang menulis komen #fyp boleh menarik sehingga ratusan ribu tontonan.” Selain media sosial, produk juga dipasarkan melalui rangkaian agen dan sekarang dia punya 4,000 agen di seluruh negara.

Yang sebenarnya, sebelum ini saya menganggap TikTok satu aplikasi yang kebudak-budakan kerana yang banyaknya content berjoget-joget. Daripada malam ke pagi asyik-asyik itulah yang keluar di feed. “Apa budak-budak ini tak ada kerja?” Sebaliknya lain yang berlaku. Graf berubah. Semakin ramai golongan profesional yang berTikTok. Ada kalangan peguam, guru, petani dan ahli perniagaan. Masing-masing berkongsi pengalaman dan kepakaran. Peguam sebagai contoh, buat posting mengajar hak-hak rakyat marhaen kala ditahan pihak berkuasa, si petani dan penternak berkongsi perihal racun tanaman dan makanan ternakan dan ada pula seorang guru Bahasa Isyarat bernama Anissa Jailani yang mengalami masalah pendengaran mengajar bahasa isyarat pada lebih 597,000 pengikutnya. Ketahuilah yang TikTok sebenarnya jauh lebih menyorokkan. Malah guru marketing juga menggalakkan pemilik bisnes buat iklan di sini kerana dengan lebih satu billion pengguna aktif serata dunia, viraliti TikTok yang tidak konvensional mencipta peluang dunia nyata untuk jenama. 

Yang saya terkedu kala terjumpa tweet ini, “People who refuse to download TikTok are thinking they got a PhD in maturity,” ibarat meludah ke langit dan terkena muka sendiri kerana sekarang saya pun sama naik ralit scroll video sampai ke pagi.

TikTok menjadi satu fenomena budaya baru. Nielsen Study (ditugaskan oleh Tiktok) membuat tinjauan dengan menganalisis data dari lebih 8,000 responden yang mana mereka ditanya soalan mengenai persepsi terhadap kandungan TikTok. Jawapan yang diperolehi, responden menyifatkan ia sebagai: authentic, genuine, unfiltered and trendsetting. Sentimen tersebut juga meliputi iklan. Pengiklanan di TikTok dilihat sebagai real, unik dan fun. Ini sebabnya orang berbisnes seperti Kyrina menggunakan platform ini sebagai cara memperluas perniagaan sehingga mampu beroleh keuntungan enam angka. Akaun rasmi Juzfit sendiri ada lebih 35 ribu pengikut dan tak lepas membuat posting baru dengan kerap. Walaupun video hanya berdurasi 10 saat tetapi impaknya membolehkan penonton ralit berjam lamanya. 

Berbalik pada hal ‘kebudak-budakan’ yang saya sebutkan di atas, how can it be kebudak-budakan jika orang bisnes seperti Kyrina can make six figures income out of it? Rasa nak tepuk sahaja dahi sendiri – macam manalah aku boleh terfikir sampai macam itu sekali?

Perkahwinan

Saya beritahu pada Kyrina, saya terkejut yang dia punya anak sebab tak nampak gaya seorang mak (Kyrina miliki seorang anak lelaki hasil perkahwinan yang terdahulu.) Malah saya menyangka dia masih 20-an, tetapi rupanya dia setahun lebih muda daripada saya. 

Memiliki perniagaan sendiri memerlukannya berjumpa ramai orang dan setiap kali itu ada yang berbisik-bisik akan statusnya sementelah terlihat ada anak kecil di sisi. Tak kurang ada juga lelaki yang cuba mendekati. Ini membuat saya juga nak tumpang bertanya, bagaimana dia tahu tujuan si polan ini dan si polan itu? Pasti setiap satu datang dengan keinginan yang berbeza sementelah dia cantik dan memandu Range Rover. Okaylah jika mahu berkawan tetapi bagaimana jika sebaliknya? Dan jawabnya senang, “Orang perempuan ada judgement skill yang kuat. Daripada pertemuan pertama sudah boleh baca tujuan lelaki. Kadang-kadang lelaki boleh jadi too straightforward (dan gelojoh – hah, yang ini saya tambah sendiri!) Jadi bila dapat kesan ada yang tak kena, kita ambil langkah selamat dengan mengundurkan diri.”

Pun begitu, tidaklah dia single terlalu lama kerana jodohnya ada di depan mata. Bagaimana boleh terjadi? Ceritanya, suaminya Ikwan Afiq (ketika itu sekadar teman) tahu apa yang berlaku pada Kyrina. Kerana tidak mahu datang fitnah, dia sendiri berjumpa ibu Kyrina memberitahu hasrat melamar. Dan tiadalah yang lebih baik melainkan restu seorang ibu. Akhirnya Disember lalu, mereka diijab kabulkan.

Berpasangan dan bekerja pula di bawah satu bumbung. Namun mereka memiliki set kemahiran tersendiri dan sejak awal mempunyai persempadanan yang jelas mengenai tugas dan pengurusan kerja. What happened at home stays at home dan begitu juga halnya di pejabat kerana masing-masing memiliki visi dan misi yang sama. Walaupun sudah ada kehidupan baru, Kyrina masih menjalin hubungan baik dengan bekas keluarga mentua dan tetap melawat mereka di Pekan, Pahang setiap kali berpeluang.

Start Wherever You Are 

Saya membelek lagi video-videonya di TikTok. Berbeza dengan peguam atau cikgu bahasa isyarat yang saya sebutkan di atas, Kyrina menggunakan pendekatan yang fun dan happy. Yang sebenarnya, ketika menengok dia menari-nari, saya pun sama tersenyum sekali.  Content-nya berkonsep pop ringkas sahaja tetapi dekat dengan target audiences. Saya ingat kata-katanya, “Cubalah buat satu atau dua pos dulu,” Dia cuba meyakinkan saya yang teramat segan nak menayang muka di media sosial. “Dan bagus juga jika ada kawan yang boleh push kita untuk buat content dengan konsisten. Tak mengapa jika pos yang terawal tak berapa menjadi, yang penting jangan berhenti bereksperimen.” Yalah, betul katanya. Nak cuba juga buat walau video ringkas dengan lagu, “Burung puyuh burung ketut dimakan biawak…” sebagai lagu latar sekalipun, janji start sebab itu jugalah yang dilakukan Kyrina diawal dulu. Selagi tak buat mana mungkin nampak hasilnya? Just because you’ve never done something doesn’t mean you can’t start. After all, life happens once. Get into character, and act the part you were given!

Penghargaan

  • Wajah hiasan: Kyrina Kassim
  • Gambar: Azam Neurmaya dari Neur Maya Media
  • Solekan dan Dandanan: Linda Rossa menggunakan alat solek Note Cosmetique 
  • Pakaian: I Love Wirda (hitam), Shawl Publika (koleksi Raya) dan Koleksi peribadi Kyrina
  • Pengarah Seni: Wirda Adnan
  • Lokasi: Kediaman Kyrina Kassim

Related posts

LOVE EVERY MOMENT, LAUGH EVERY DAY, LIVE BEYOND WORDS

Wirda Adnan

Style Is Knowing Who You Are

admin

Julia Farhana Marin Bercakap Tentang Cinta dan Perkahwinan, Media Sosial dan ‘Me Time’nya

adminwm

Leave a Comment