Lagi pencapaian Chef Wan, yang mana dia berkongsi di Intagram-nya tentang menu masakannya bakal dihidangkan dalam Qatar Airways.
Pada 1 April lalu, Chef Wan berkongsi perbincangan yang diadakan bersama Ketua Dapur Katering Qatar Airways, Encik Decha dan Chef Eksekutif Brahim Katering (turut serta pasukannya) berkenaan menu cadangan masakannya yang bakal dihidangkan dalam syarikat penerbangan mewah, Qatar Airways.
Dalam perkongsian, Chef Wan antara lain menyebut, “Secara jujurnya, untuk mendapat peluang menu masakan saya dihidangkan dalam syarikat penerbangan yang memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia selama enam kali berturut-turut adalah sangat menakutkan.”
Sambungnya, “Bukannya saya tidak yakin dengan makanan saya tetapi lebih kepada, ‘adakah ia bersesuaian dengan syarikat penerbangan berprestij itu?’
Saya berterusan menanya diri sendiri, adakah saya akan menerima tawaran itu dan mencabar diri saya atau adakah saya akan menarik diri sekarang? Macam-macam bermain di kepala yang membuatkan saya berjaga sepanjang malam!”
Chef Wan turut berkongsi komen dari Decha, yang antara lain menyebut, “Chef Wan, we will sell you and Malaysian cuisine to the world big time and so we want to get them right the way we have tasted them today. It’s your food and it must have the CW’s approval.” Decha turut memberitahu yang mana dia sangat suka dengan makanan yang dihidangkan kepadanya ketika perbincangan dilakukan di restoran milik Chef Wan, De’Wan1958.
Dalam perkongsian, Chef Wan yakin dengan kerjasama ini memandangkan Decha berpengalaman mengendalikan urusan sebegini di seluruh dunia dan berharap mendapat bimbingan Decha dan pasukannya. Dia juga tidak sabar mempromosi makanan Malaysia di platform antarabangsa secara besar-besaran.
Menurut Chef Wan lagi, kontrak bersama Qatar Airways akan berlangsung selama satu tahun dan katering syarikat penerbangan Brahim akan menyediakan makanan tersebut di bawah pengawasannya, sebelum dihidangkan di atas kapal bermula Jun nanti.
Dia juga mengakui keterujaan menjadi satu-satunya Chef Selebriti Asia yang berpeluang bekerjasama dengan syarikat penerbangan ini, selain beberapa lagi chef ‘mat salih’ yang pernah memeterai kerjasama serupa sebelum ini.
Mengakhiri perkongsian, Chef Wan meluah rasa gementar tentang namanya bakal dipaparkan dalam menu kad Qatar Airways selama setahun kerana ia adalah satu tanggungjawab yang sangat besar untuknya.
Tahniah Chef Wan untuk pencapaian terbaru ini. Terus terbang tinggi dan selamanya menjadi nombor satu!