Hakikat Kejujuran
Kejujuran adalah kesempurnaan ikhlas.
Bismillah…
Seorang muslim adalah orang yang jujur, mencintai kebenaran dan senantiasa menetapi kebenaran, lahir mahupun batin, di dalam berkata dan tindakan, kerana kebenaran itu menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan itu menunjukkan kepada syurga, sedangkan syurga itu cita-cita seorang muslim dan puncak angan-angannya. Sedangkan kedustaan menunjukkan kepada neraka, dan neraka itu seburuk-buruk tempat yang ditakuti setiap muslim dan menjauhkan diri darinya.
Seorang muslim memandang kejujuran bukan sekadar akhlak yang utama saja yang wajib dilakukan tanpa lainnya, akan tetapi ia memandangnya lebih jauh daripada itu, ia berpendapat bahawa kejujuran adalah penyempurna imannya dan penyempurnaan Islamnya.
Firman Allah SWT:
وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ
Ertinya: “Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mengkhianat.”
(QS. Al-Anfal: 58)
Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (rahimahullah) ada enam tingkat kejujuran. Orang yang mencapai darjat kejujuran yang sempurna layak disebut sebagai orang yang benar-benar jujur, antara lainnya:
Pertama
Jujur dalam perkataan, di setiap situasi, baik yang berkaitan dengan masa lalu, masa sekarang dan yang akan datang
Kedua
Kejujuran dalam niat. Hal itu berupa kemurnian, yang menjurus pada kebaikan jika di dalamnya terdapat unsur campuran lainnya, bererti kejujuran kepada Allah SWT telah sirna.
Ketiga
Kejujuran dalam bertekad. Seseorang bisa saja mempunyai tekad yang bulat untuk bersedekah bila dikurniakan rezeki. Juga bertekad untuk berbuat adil bila dikurniakan kekuasaan. Namun adakalanya tekad itu disertai dengan kebimbangan, tetapi juga merupakan kemahuan bulat yang tanpa keraguan. Orang yang mempunyai tekad yang bulat lagi kuat disebut sebagai orang yang benar-benar kuat dan jujur.
Keempat
Memenuhi tekad. Seringkali jiwa dibanjiri dengan kemahuan yang kuat pada mulanya, tetapi ketika menginjak tahap pelaksanaan, boleh melemah. Kerana janji tekad yang bulat itu mudah, namun menjadi berat ketika dalam pelaksanaan.
Kelima
Kejujuran dalam beramal. Tidak mengekspresikan hal-hal batin, kecuali batin itu sendiri memang demikian adanya. Ertinya, perlu adanya keselarasan dan keseimbangan antara yang lahir dan yang batin. Orang yang berjalan tenang misalnya, menunjukkan bahawa batinnya penuh dengan ketenteraman. Bila ternyata tidak demikian, di mana kalbunya berupaya untuk menoleh kepada manusia, seakan-akan batinnya penuh dengan ketenteraman, maka hal itu adalah riya’.
Keenam
Kejujuran dalam maqom-maqain agama. Ini adalah peringkat kejujuran tertinggi. Seperti maqam takut (khauf), harapan (raja’), cinta (hub), redha, tawakal dan lain-lain.
Seluruh maqom tersebut memiliki titik tolak, hakikat dan puncak akhir (klimaks). Contohnya, “Ini adalah rasa takut yang benar (al-Khauf al-Shâdq)” dan “Ini adalah kesenangan yang jujur/ benar (al-Syahwah al-shâdiq). Inilah tingkatan-tingkatan (maqom) kejujuran. Orang yang mampu mewujudkannya secara keseluruhan, dialah orang yang benar-benar jujur. Orang yang belum mampu mencapai sebagian peringkat kejujuran, tingkatan dirinya sesuai dengan kadar peringkat kejujuran yang telah digapainya.
“Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke surga, sesungguhnya jika seseorang yang senantiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan mengantarkan pada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiring ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.”
(HR. Bukhari)
Wallahua’lam.
https://www.facebook.com/cerminsufi