Bulan berganti bulan dan kes gangguan seksual dan liwat pengetua pusat tahfiz Darus Syabab dibicarakan di mahkmah. Free Malaysia Today bertarikh 23 September 2018 antara lain menulis, “Polis mengesahkan suspek kes liwat 9 pelajar tahfiz di Kepong sudah didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Putrajaya, Rabu lalu. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.”
Ketika berlangsungnya persidangan, segala bukti dan cerita dikeluarkan dan selepas ditimbang tara, pada April 2019, pengetua Pusat Tahfiz Darus Syabab, Ustaz Muhammad Shahril Bin Abdul Salam yang dihadapkan di mahkamah dengan 11 pertuduhan, didapati tidak bersalah. Maksudnya, berita yang dihebahkan media sebelum ini yang antara lain berbunyi, ‘salah seorang mangsa diliwat hingga mengalami kecedaraan usus,’ ‘mangsa selebihnya mengalami gangguan emosi yang teruk,’ ‘mangsa dipaksa melakukan onani, mandi bersama, diraba,’ juga ‘ada mangsa bawah umur yang dibawa ke beberapa penginapan di Bukit Bintang dan Chow Kit untuk melakukan perbuatan keji’ semuanya tidak benar belaka.
Ada cerita yang terjadi di sebalik tuduhan gangguan seksual dan liwat terhadap Ustaz Shahril dan ianya bukan tentang seorang agamawan yang bernafsu songsang. Sebaliknya ia berkenaan wang peruntukan berjumlah satu juta ringgit yang bakal diperolehi pusat tahfiz Darus Syabab.
Dari kiri Aidah Arshah, Ustaz Shahril, Adam Corrie, Dato
Ayu, Aiman Ismail dan Johan As’ari
Tuduhan direka kerana tiga orang tenaga pengajar mahu menggunakan sebahagian daripada wang peruntukan bagi pembangunan pusat tahfiz Darus Syabab dan pelajarnya, untuk kegunaan peribadi. Walau bagaimanapun, keinginan mereka mendapat tentangan Ustaz Shahril menyebabkan mereka mengambil keputusan menyingkirkannya dari institusi itu.
Mereka sepakat menyuruh sembilan pelajar mengaku diliwat dan diganggu secara seksual di hadapan pihak berkuasa. Pun begitu, malang buat mereka kerana pelajar tersebut selurus pembaris, langsung tidak tahu apa itu liwat dan apa itu gangguan seksual. Apabila polis membawa pelajar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, terbukti tiada perbuatan songsang dilakukan. Malah kesemua yang terlibat itu juga tidak mahu pun punggung mereka diperiksa. Masing-masing malu dan kata mereka, “Liwat tu apa? Kenapa nak check punggung? Ustaz tak pernah buat apa-apa pun?” Jadi di mana cerita liwat kalau tidak berlaku sebarang tusukan ke dubur? Malahan pegang-pegang atas bawah yang menjurus kepada gangguan seksual pun tidak ada.
Bagaimana dengan tiga orang tenaga pengajar yang memulakan cerita memfitnah Ustaz Shahril? Mereka berhenti kerja dan menghilangkan diri sekitar September tahun lalu, ketika kes belum dibicarakan lagi. Guru-guru itu juga meninggalkan pelajar yang masih berbaki di pusat tahfiz tersebut terkontang-kanting di bawah jagaan senior mereka.
Fitnah dajal itu sangat dahsyat. Kerana wang, orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Saya berjumpa Ustaz Shahril sekitar awal Jun lalu, atas jemputan Dato’ Normashayu Puteh (Ayu Puteh), pemilik Pencil Pictures yang mengadakan rumah terbuka meraikan anak-anak tahfiz Darus Syabab. Dato’ Ayu juga menggunakan kesempatan itu untuk membantu Ustaz Shahril membersihkan namanya yang terpalit isu negatif. Beberapa selebriti dan rakan media turut hadir seperti Wanna Ali, Adam Corrie Lee, Johan Ariff As’ari dan Joyrevfa selain media seperti Mstar.
BERSIHKAN NAMA Ustaz Shahril Salam
Berikut temubual saya bersama Ustaz Shahril, Pengetua Pusat Tahfiz Darus Syabab;
Tentu ustaz biasa membaca kisah fitnah yang terjadi di zaman nabi dan rasul, juga yang berkaitan ahli politik dan satu hari, cerita yang hampir sama terjadi pada ustaz sendiri. Apa komen ustaz?
Kes liwat di pusat Tahfiz Darus Syabab adalah kes yang agak panas. Ketika itu, banyak pusat tahfiz lain yang terkesan sehinggakan mudir atau pengetua tahfiz dari madrasah lain menghubungi saya bertanyakan adakah betul saya terlibat. Ia satu peristiwa yang sangat menyedihkan. Saya direman selama hampir seminggu. Satu keadaan yang sukar untuk saya lalui. Kerana duit boleh menyebabkan iman goyah. Kerana duit institusi Islam boleh berpecah. Jadi seeloknya apa yang berlaku di tabayyun balik. Apabila berlaku kes seperti ini masyarakat cepat menjatuhkan hukum dan ia menjadi buah mulut hingga ke hari ini. Ramai yang tidak tahu ini adalah sebahagian daripada fitnah dajal. Dan kesnya sekarang sudah pun selesai, saya terbukti tidak bersalah tetapi ramai yang belum tahu tentangnya.
Bagaimana reaksi masyarakat sekitar terhadap ustaz dan pusat tahfiz ini ketika itu?
Ada yang memberi layanan yang tidak berapa baik. Ada yang tanya anak-anak tahfiz di sini, “Tak malu ke belajar kat Darus Syabab?” Gambar anak-anak tahfiz keluar di internet membuatkan mereka tak selesa dan takut dengan kamera. Tahfiz diarahkan tutup ketika itu. Saya tak tahu ke mana nak bawa anak-anak ini, jadi terpaksalah kami bergelandangan di Masjid Amaniah, Kepong untuk anak-anak ini menumpang dan meneruskan pembelajaran. Pun begitu, ada pula yang mempersoalkan kakitangan masjid kenapa membenarkan mereka tinggal di situ dan kenapa memberi perlindungan kepada pesalah. Namun, saya bersyukur pihak masjid memahami situasi kami dan mereka memberi ruang dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan. Saya tidak menyalahkan sesiapa waima masyarakat atau jiran-jiran di sini kerana sesiapa saja pasti akan marah jika mendengar kes liwat apatah lagi keluar pula cerita mangsanya pecah usus, seperti yang ramai orang baca.
Bagaimana penerimaan isteri dan keluarga ketika ustaz ditahan polis?
Tak susah meyakinkan mak dan abah saya kerana mereka tahu perilaku anak mereka. Begitu juga isteri saya. Apabila saya ajukan pada isteri, jawab dia, “Idah dengan abang, 24 jam. Idah tahu abang macam mana.” Saya merasakan satu kesyukuran kerana mereka langsung tidak mempersoalkan status saya sama ada bersalah atau tidak. Mereka tahu hati budi saya. Sebenarnya, ketika kes berlangsung saya dan isteri baru setahun mendirikan rumahtangga dan belum dikurniakan zuriat. Jadi kerana tak ada zuriat, ada yang kata, “Oh, patutlah tak tak ada zuriat, sebab itulah… (gay)” Sedangkan yang bercakap itu seorang yang bagus agamanya tetapi dia mempertikaikan urusan Tuhan.
“…mangsa diliwat hingga mengalami kecederaan usus…” “Mangsa lain mendakwa dipaksa melakukan onani, mandi bersama, diraba.” (Sekadar menyebut beberapa tuduhan) Adakah semua yang disebutkan itu benar-benar berlaku atau wartawan main tulis saja?
Itu wartawan main tembak saja, sebagai penyedap rasa. Inilah namanya dosa jaariah. Dosa jaariah bermaksud dosa yang akan tetap berjalan walau mereka telah meminta maaf pada orang yang difitnah. Ibaratnya kita genggam pasir dan campakkan dalam lautan yang mana kalau kita cari balik, kita tak kan jumpa pasir itu. Kita kena berhati-hati dengan dosa jaariah kerana kesannya bukan saja melibatkan diri kita tetapi juga pada orang lain yang mana boleh mengheret ramai orang ke kancah fitnah.
Temubual di bawah bersama isteri Ustaz Shahril, Puan Aidah Arshad;
Puan terpaksa menggantikan Ustaz Shahril yang sedang dalam tahanan di lokap. Apa yang puan lalui ketika itu?
Saya masih muda dan baru datang dari kampung. Saya langsung tak pernah terfikir akan menempuh hal sebesar ini. Ketika suami ditahan, pusat tahfiz dikunjungi ramai orang termasuk media dan menteri. Jadi saya terpaksa menggantikan tempatnya sebagai pengetua. Satu keadaan yang sangat sukar untuk saya yang tidak pernah melalui situasi seperti ini. Kami dikunjungi pihak JAWI dan ketika sedang dalam perbincangan dengan mereka, dapat pula berita Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa nak datang. Apabila datang mereka lihat ada wayar bergantungan jadi mereka mempersoalkan tahap keselamatan pusat tahfiz. Saya terangkan yang bahagian dewan sedang dalam proses pengubahsuaian tetapi mereka hiraukan saja. Ada media yang turut bersama ketika itu menjadikan wayar bergantungan sebagai antara highlight dalam berita mereka.
Boleh ustaz kongsikan doa dan ibadat yang ustaz lakukan yang ustaz percaya memberi kemudahan untuk ustaz keluar daripada kes liwat ini?
Salah satunya adalah menggandakan hubungan dengan Allah SWT (hablumminallah), lebih daripada yang saya lakukan sebelum ini. Saya memikirkan hubungan saya dengan Allah belum cukup kuat. Saya banyak merintih padaNya dan kerap bangun menunaikan tahajud malam. Satu hari di lokap ibaratnya seperti 1,000 tahun; saya tak tahu masanya adakah malam atau siang. Waktu solat pun saya tak tahu. Saya hanya mengagak berdasarkan sedikit cahaya dari luar lokap. Saya banyak membaca rabbi yassir wala tu assir dan meminta hajat pada Allah untuk memudahkan urusan saya ketika itu. Saya mencari kekuatan dari Allah supaya saya tidak mudah melayan emosi yang boleh menyebabkan saya terjerumus membuat tindakan yang di luar batasan. Lagipun, kalau terlalu ikutkan emosi, saya boleh jadi gila. Selain itu, saya juga memperbaiki hubungan saya dengan isteri saya Aidah Arshad, ibu bapa saya dan mentua. Mereka banyak mendoakan saya, termasuk juga anak-anak tahfiz dan kelompok yang mahukan Darus Syabab terus berdiri. Saya tenang menghadapi situasi itu kerana saya memikirkan, cabaran yang dilalui Rasulullah SAW jauh lagi hebat daripada yang saya lalui. Nyatalah, Allah tidak akan menolak doa hambanya yang difitnah.
Saya rasa tidak mungkin mereka (cikgu-cikgu yang memfitnah Ustaz Shahril) akan tunjuk muka lagi di sini, tetapi katalah sebagai contoh, satu hari mereka datang minta kerja, apa yang ustaz akan lakukan?
Saya belajar daripada kesilapan. Silap saya adalah terlalu yakin dengan orang. Saya tidak meletakkan keraguan pada setiap orang apabila dia menggelarkan dirinya sebagai al-hafiz, tetapi mahu saya ingatkan, jangan sesekali menggunakan title al-hafiz atau ‘aku seorang hafiz quran’ untuk meyakinkan orang untuk melakukan perkara yang tidak benar. Allah melaknat perbuatan ini. Setelah hal liwat ini diserahkan pada undang-undang kita dapat lihat pihak yang mana benar dan yang mana salah. Hingga sekarang ini tiada permohonan maaf atau apa saja daripada mereka.
Darus Syabab terletak dalam kawasan perusahaan Cina dan lokasinya bersebelahan rumah urut. Nampak macam tidak kena bila buka pusat tahfiz di kawasan ini. Komen ustaz?
Ya, saya membuka pusat tahfiz yang dekat dengan rumah urut. Boleh bayangkan macam mana cabaran yang saya dan isteri lalui dalam menguruskan madrasah di kawasan yang sangat mencabar ini. Persoalannya bukan kenapa buka tahfiz di sini sebaliknya kenapa rumah urut boleh dibuka di kawasan tahfiz. Kita seharusnya bangga ada madrasah yang melahirkan hufaz di di bumi Kepong yang majoritinya berbangsa Cina. Sebenarnya anak-anak tahfiz Darus Syabab menjadi buah mulut masyarakat di sini. Mereka suka adab anak-anak tahfiz ini. Malah masyarakat Cina di sini selalu tanya “Macam mana you all tackle anak-anak ini menjadi lebih berakhlak dan berdisiplin?” Jadi, saya terangkan pada mereka tentang kalam Allah dan solat yang anak-anak ini amalkan. Anak tahfiz di sini sering diajar meraikan orang bukan Islam dengan menyantuni mereka.
Apa hikmah yang terjadi selepas ustaz dibuktikan tidak bersalah?
Saya tidak menganggap apa yang berlaku ini sebagai bala, sebaliknya sebagai satu hadiah dari Allah SWT. Sebelum kes ini, kami pernah menghantar permohonan pendaftaran pusat tahfiz pada pihak JAWI tetapi mereka belum mengesahkan, tetapi kini Alhamdulillah mereka telah mengiktiraf Darus Syabab sebagai pusat tahfiz berdaftar, lengkap dengan tandatangan Pengarah Jabatan Agama Islam, begitu juga pengiktirafan oleh jabatan Bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jadi, kini saya mengalu-alukan kalau ada ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka belajar di sini, boleh bawa mereka menghadiri temuduga. Jika ada yang mahu menghantar bantuan dana daripada segi wang ringgit untuk yuran pembelajaran dan perbelanjaan anak-anak ini atau bantuan untuk menaik taraf pusat tahfiz juga sangat kami alu-alukan. Boleh lawati Facebook rasmi kami di Darus Syabab Official.
Tamat sudah kisah tuduhan seksual dan liwat pengetua tahfiz Darus Syabab, Ustaz Muhammad Shahril Bin Abdul Salam. Dibicarakan dengan 11 pertuduhan tetapi akhirnya dibuktikan tidak bersalah. Satu kes yang pernah tular ketika ia berlangsung. Ramai yang mengeji dan mencaci tanpa mengetahui hujung pangkal yang sebenar. Seperti kata Ustaz Shahril, “Inilah namanya dosa jaariah, dosa yang akan tetap berjalan walau mereka telah meminta maaf pada orang yang difitnah.” Begitu juga banyak media melaporkan kes liwat dan gangguang seksual ini (seperti yang saya sebutkan dalam siri pertama artikel) namun selepas mahkamah membuktikan Ustaz Shahril tidak bersalah, rata-ratanya senyap seribu bahasa. Dengan adanya artikel ini, berharap dapat membantu Ustaz Shahril Abdul Salam membersihkan nama daripada tuduhan yang telah dilemparkan kepadanya.