PERSONALITI

Aida Khalida Cantik Di Usia 65, Tanpa Botox dan Filler

Saya teruja setiap kali menonton Aida Khalida di television. Tinggi orangnya, dengan postur badan yang tegap, senyuman manis malah saya merasakan wajahnya boleh dianggap sebagai definisi wajah Melayu yang jelita. 

Dan Aida Khalida cukup pandai bergaya. Saya teringat di salah satu penganjuran Festival Filem Malaysia di tahun 90-an, Aida hadir menyarung gaun petang Christian Dior zaman John Galliano lengkap dengan fur. Anggun sungguh! Manakala di Anugerah Bintang Popular di Genting Highland, Aida bergaya dalam gaun kemban kelabu (atau barangkali biru muda, saya lupa warnanya) dipadan bersama oversized jacket. 

Semenjak 2008, Aida Khalida menukar penampilan daripada glamorous actress kepada yang berpenampilan sederhana, bertudung menutup dada dan pakaian longgar menjadi pilihannya. Pun begitu dia masih cantik. Lihat wajahnya tanpa botox atau filler dan postur badan juga masih menarik malah di usia 65 masih aktif bekerja, membuat saya dan pasti ramai lagi tertanya, apa rahsia Aida? 

Saya berpeluang menemubual Aida Khalida bagi mengorek rahsia bagaimana dia menjaga kecantikan dan kesihatan. Ikuti temubual bersamanya di bawah;

Di usia 65, Kak Aida masih cantik juga nampak sihat. Pasti teliti menjaga pemakanan?

Saya kurangkan makan. Kadang-kadang berselera cuma saya pastikan makan dalam porsi yang kecil lebih kurang satu senduk nasi sahaja dan akan makan ulang-ulang (bila terasa lapar.) Juga saya banyakkan sayur-sayuran dan buah buahan.

Bagaimana dengan makanan bersantan?

Sesekali makan juga nasi briyani atau nasi kandar tetapi dalam kadar yang kecil. Dan setiap kali selepas makan, saya amalkan minuman detoks. Dua sudu besar apple cider campurkan dengan segelas air. Ada orang yang mencampurkan apple cider dengan jus, tetapi saya minum dengan air kosong sahaja. Ataupun perahan lemon bersama segelas air. 

Ada makanan yang Kak Aida suka sangat tetapi tak boleh elak?

Durian. Saya suka tetapi saya kurangkan.

Kak Aida menjual rempeyek di Instagram. Adakah Kak Aida jenis suka makan makanan ringan?

Ha ha. Ya, bisnes saya bersama anak perempuan. Jika nak order boleh call 011-55563258. I actually suka makanan macam tu tetapi saya kawal. Saya rasa walau apa saja makanan kalau diambil dalam kuantiti terkawal atau sederhana bukan satu masalah.

Saya payah sangat nak minum lapan gelas air sehari. Bagaimana dengan Kak Aida?

Sama juga. Risau juga bila tak dapat cukupkan lapan gelas tetapi tak mengapalah sebab kita sibuk dengan penggambaran dan sebagainya, nanti kerap pula nak ke toilet. Dapat lima gelas pun sudah cukup. Give our body a break. Yang penting saya pastikan minum air suam sebaik bangun pagi. Saya tak minum kopi sebab ia buatkan saya pening kecuali jenis kopi kampung. Sesekali saya minum teh. Saya sebenarnya lebih suka minum Horlick dan akan minum tanpa susu.

Ada ambil makanan tambahan?

Sebelum ini saya biasa ambil beberapa jenis suplemen contohnya untuk jantung, hati, usus dan mata tetapi tidak ambil kesemuanya sekaligus. Saya minta pandangan ahli farmasi berkenaan jenis yang sesuai diambil. Actually, saya dah ubah rutin pemakanan. Saya kurangkan suplemen semenjak saya ambil jus MAG. Bagus untuk cut down kolestrol, darah tinggi, diabetes, kembalikan tenaga dan banyak lagi khasiatnya. Saya tak tinggal terutamanya sepanjang shooting. Bagus untuk sakit urat dan kembalikan tenaga selepas berhari-hari jalani penggambaran. Sekarang sudah botol ketiga dan Alhamdulillah saya sudah boleh kurangkan pengambilan suplemen.

Jam berapa paling lewat makan?

Paling lewat makan pukul lapan atau sembilan malam. Tengah malam kalau lapar sangat saya makan dalam kuantiti sedikit.

Di usia ini, adakah selera makan masih tinggi?

Of course, kalau tak jaga memang makan sahaja tetapi kita kena control.

Berapa berat Kak Aida sekarang?

58kg. Ada ketika naik 60kg.

Adakah susah untuk maintain berat badan?

Susah kalau tak jaga daripada dulu. But it’s never too late, kalau rajin dan fokus masih boleh lakukan.

Jam berapa biasa tidur dan bangun pagi?

Kalau tiada shooting, saya akan tidur antara jam 11 atau 12 malam. Dan saya akan bangun paling lewat jam empat pagi. Sebaik bangun saya akan mandi tanpa basuh rambut. I hanya basuh rambut dua atau tiga kali seminggu.

Kenapa tak basuh rambut? Adakah sebab tertentu?

No, no… bukan sebab takut beruban atau apa. Cuma leceh nak keringkan rambut. Lagi pun kita memang tak perlu basuh rambut selalu. Dua atau tiga kali seminggu sudah cukup.

Bagaimana pula dengan senaman? Apa yang Kak Aida biasa amalkan.

Tiga kali seminggu saya akan buat sit up dan push up dalam 30 kali setiap sesi. Dulu selalu berjoging tetapi diusia sekarang saya tukar kepada brisk walk.

Di usia ini ada kerap rasa lenguh badan?

Alhamdulillah jarang sangat.

Adakah Kak Aida ada masalah kesihatan yang serius. Mungkin penyakit ‘tiga serangkai’ contohnya atau masa muda pernah alami insiden yang beri kesan jangka panjang pada kesihatan?

Alhamdulillah tak ada. Setakat ni setiap tahun saya akan buat full medical check-up untuk tahu bagaimana tahap kesihatan.

Kak Aida ada postur badan yang bagus. Berdiri nampak cantik, duduk juga nampak cantik. Apa rahsianya?

Jangan membongkok badan masa berjalan. Berjalan dengan tegak. Sama juga masa duduk, mesti tegak, cuma kadang kita terlupa kan. Jadi bila teringat kita duduk tegak semula. I tak ada amalkan berjalan dengan meletak kamus atas kepala. Kita balance sendiri sahaja, tak perlu letak kamus untuk dapatkan postur badan yang menarik. 

Wajah tak nampak kedutan jelas. Ini penting. Apa rahsia Kak Aida?

Saya selalu amalkan senaman muka. Setiap kali tengok cermin, cuba angkat kening tanpa kerutkan dahi. Dan lagi satu buka mulut luas-luas tanpa kerutkan pipi.

Ulasan Kak Aida tentang tahap kesihatan diri?

Alhamdulillah Allah bagi sihat. Saya bersyukur masih boleh memandu tanpa perlu memakai kaca mata, masih boleh hafal skrip dan masih boleh bekerja. Selain menjaga pemakanan dan senaman, kena berdoa supaya sihat, supaya Allah berkati usia ini dan mampu mengurus diri sendiri.

Nasihat Kak Aida pada golongan muda?

Live by the day. Jalani hidup dengan bersederhana, tak lebih dan tak kurang. Untuk makanan, tak usah main belasah sahaja. Sediakan health insurance untuk waktu sakit pening nanti.

Are you happy with your life now?

Of course, saya bersyukur dengan kehidupan saya. Di hujung usia ini Allah bagi saya ketenangan. Sama ada datang masalah atau tidak, saya tenang sahaja. Mungin sebab di peringkat awal dulu Allah dah hantar bermacam ujian dalam kehidupan seperti dalam kerjaya dan penceraian. Jadi kita dah melaluinya terlebih dahulu. Dan sekarang Allah gantikan dengan ketenangan. Alhamdulillah.

Ada perkara yang pernah berlaku dulu yang Kak Aida sesali?

Tak. Anggaplah itu pengajaran yang Allah nak bagi. Kita belajar daripadanya. Jangan menyesali dengan apa yang sudah ditakdirkan dulu. Apa yang pernah berlaku dulu, kita perbaiki.

Related posts

Penata Gaya Rambut Profesional Albert Nico Bercakap Tentang Buku Fotografi Terbitannya

admin

Bicara Bersama Azrel Ismail

admin

Man of the Month/ Personaliti

admin

Leave a Comment