DESPERADO

“Abah, Kami Yang Berdosa…

Seperti yang diceritakan oleh Salmah Hanum…

Aku menulis ini kerana teringatkan abah. Abah yang sudah lama pergi namun dalam jaga dan tidurku selalu terkenangkan abah. Rasa berdosa, dan bersalah kepada abah tidak pernah padam. “Abah ampun dosa-dosa  kami anakmu, dan isteri mu, juga.”

Kami enam beradik, empat lelaki dan dua perempuan. Di mana salahnya abah, keenam-enam anaknya ‘benci’ kepadanya. Maaf perkataan benci barangkali keterlaluan sikit tetapi ya, beginilah, kami seolah menyalahkan abah atas apa juga perkara yang berlaku kepada kami. Kalau mama lambat hidang makanan di meja, kami salahkan abah kerana tidak ke pasar atau tiada apa yang hendak dimasak, jadi bagaimana bisa mama hidangkan makanan?  Dan kami beri alasan, yang mama terpaksa mengeluarkan duit simpanannya untuk membeli barangan dapur, sebab abah gagal membelinya. Ya apa sahaja yang kami rasa tidak kena, kami akan salahkan abah.

Barangakali sudah dididik daripada kecil oleh mama dan menanamkan kebencian kami kepada abah. “Abah kamu kedekutlah, abah kamu tidak sayang anak-anak dan melebihkan ibunya dan adik beradiknya. Daripada  kecil sehingga dewasa itulah yang mama sebut, dan banyak cerita-cerita seperti adik beradik abah bomohkan mama, sebab itu mama selalu sakit, dan adik beradik abah kikis duit abah dan sebagainya bagi menambahkan kebencian kami kepada abah dan saudara maranya.

Abah seorang guru, guru lepasan maktab sahaja. Abah juga seorang yang strict bila tiba hal-hal sekolah. Dia mahu memastikan kami semua mendapat A dalam semua mata pelajaran, membuat kami memang tertekan. Balik dari sekolah soalan pertama, ada homework dan kami tahu apa yang patut dibuat seterusnya. Salin baju, makan, tolong mama di dapur, lelaki perempuan pun kita basuh pinggan dan mengemas. Kemudian solat dan buat kerja sekolah. Jam lima setengah barulah boleh keluar ke padang. TV… diharamkan kepada kami, nampaknya yang menonton hanyalah mama.

Bagi mata pelajaran yang kami kurang mahir, abah sediakan guru tuisyen. Abang dan akak masuk asrama, kata mama eloklah bagi mengurangkan tanggungan mereka. Mama pula asyik komplain abah kedekut. Kata mama abah itu bukan tidak berduit, dia tanggung bukan sahaja ibu ayahnya tetapi adik beradik dan anak-anak saudaranya. Itu sebab kami hidup melarat (daripada kaca mata mama).  Mama selalu kata dia tidak dibelikan baju, dibelikan lipstik dan sebagainya, dan kerana dia tidak dibelikan baju, adik beradiknya lah yang terpaksa belikan mama baju. Kesian mama, dianak tirikan. Kesian mama, suami hanya memperkayakan adik beradiknya dan membiarkan anak isterinya hidup melarat dan dalam kemiskinan, dan nak tukar baju pun kena minta daripada adik beradiknya.

Semua cerita-cerita mama memburuk-burukkan abah membuat kami semakin hari semakin kami menyampah dengan abah.  Dalam diam berdoa biarlah abah mati sahaja supaya hidup kami lebih senang. Tambahan bila abah menegur kami kerana keputusan peperiksaan rendah, dan tidak mendapat A, sudah tentulah kami mahukan abah mati sahaja. Kata mama kalau abah mati, hidup kami lebih senang. Mama boleh dapat pencen dan anak-anak bolehlah senang sikit hidup,” itu kata mama. Maknanya juga mama pun suka kalau abah mati sahaja supaya semua masalah selesai.

Bila saya mengingatkan balik cara abah menegur kami, tidak pula abah bersuara tinggi. Cuma sebab kebencian itu sudah ditanam, suara yang sederhana pun dirasakan nyaring dan menyakitkan. Bila abah ajak kami pergi ke surau untuk bersolat jemaah kami geram dan mengutuk dalam hati. Walaupun kami pergi, terutama yang lelaki,  tetapi dengan hati yang marah dan tidak happy. Kalau abah balik lewat dari sekolah, kami rasa macam beraya sebab tiada siapa yang hendak suruh solat. Sekali fikir mama tidak pula hendak marah kalau kami tinggal solat, dan kerana itu kami sayang mama. Kerana mama sporting dan tidak menekankan kami untuk belajar dan belajar dan bersolat.

Namun fikir balik, sebenarnya mama seorang yang garang. Mama memukul kami kalau kami bergaduh sesama adik beradik atau tidak mahu membantunya membuat kerja dapur. Anak lelaki ke anak perempuan mama suruh  buat semua kerja; basuh pinggan, menyapu, masak dan sebagainya, malah masa dekat periksa pun kami terpaksa membuat kerja rumah. Kurang sikit kerja kalau abah di rumah, sebab mama macam hendak tunjukkan kepada abah yang dia penat bekerja, dan anak-anak tahu makan sahaja dan belajar, sebab itu yang abah mahu kami buat.

Dua adik bongsu selalu juga menjadi mangsa mama, sebab kalau salah mama akan pukul dan warning kami, jangan sesiapa beritahu abah, sebab nanti abah akan tanya mama dan sebagainya. Jadi abah pun tidak berapa tahu apa yang sebenarnya terjadi di kala dia tidak ada rumah, sebab bila dia di rumah, mama dengan mulut manis akan menyuruh kami belajar. Apa pun kami terus tidak menyalahkan mama, dan sifat kepura-puraan mama kami tidak nampak langsung sebenarnya.

Pendekkan cerita kerana ketegasan abah dalam mata pelajaran anak-anaknya, seorang demi seorang berjaya ke menara gading. Mana tidaknya, tidak cukup dengan ilmu di sekolah, sudah saya katakan, abah menghantar kami tuisyen. Tuisyen persendirian terutama waktu-waktu peperiksaan, abah hire the best tuition teacher and i must say sehingga kami semua mendapat keputusan cemerlang.

Walaupun sudah masuk universiti, kami sebenarnya tidak pernah berasa yang kerana abahlah kami ini berjaya. Malah kami selalu marah abah kerana lambat memasukkan wang ke bank, dan selalu minta abah duit, kadang-kadang mama yang paksa kami minta duit daripada abah, dan kalau abah tidak beri, mulalah kami menuduh yang bukan-bukan. Pernah satu hari saya sendiri dengan marahnya menempelak abah, dan mengatakan yang abah melebihkan adik beradiknya dan anak-anak saudara dan sebab itulah kata saya kami ini hidup melarat. Abah terdiam  dan walaupun saya kurang ajar, tidak pula abah menyepak saya. Cuma selepas beberapa minit, katanya, “Kau orang tidak pernah faham. Satu hari anak-anak abah akan faham.” Sempat lagi saya menjawab, “Yalah abah, satu hari itu bila kami sudah besar dan bekerja, masa itu kami tidak perlu lagi duit abah. Berilah banyak-banyak kepada mereka.”

Lepas saya cakap itu, abah sedikit meninggikan suara. “Jaga mulut kamu, dengan orang tua jangan biadap.”

Saya teringat selepas itu saya mendengar suara mama yang tinggi di bilik. Mungkin mereka bergaduh, tetapi yang saya dengar hanya suara mama. Dan saya pula yang happy sebab sudah bantu mama untuk melepaskan perasaannya selama ini. Saya kasihan mama yang mendapat suami kedekut dan suami yang tidak sayangkan rumah tangganya sendiri.

Masa berlalu, masing-masing sudah pun bekerja, dan kami sebenarnya tidak melayan abah. Dapat duit gaji kami hanya beri kepada mama, kerana mamalah yang pada fikiran kami telah berkorban selamanya. Mamalah yang  layak dibalas budinya, sedangkan abah pada kami menyusahkan hidup kami.

Abah jatuh sakit. Okaylah kalau ada masa terluang kami balik ke rumah abah. Masa itu kami sudah masing-masing bekerja, abang dan kakak pun sudah berkahwin. Teringat pula masa mereka berkahwin, majlisnya sederhana sahaja. Kata mama, abah tidak mahu mengeluarkan belanja jadi mamalah yang terpaksa berhutang dengan adik beradiknya untuk menampung sebahagian daripada duit kenduri. Ya lah walaupun sederhana tetapi ribu-ribu juga, dan lagipun abang dan kakak baru bekerja. Manalah mereka ada duit. Atas sebab itu abang dan kak Yan marah sangat abah, dan mereka jarang pulang menziarahi abah.

Begitu juga masa saya yang kahwin. Saya lambat kahwin kerana simpan duit, dan saya belanja sendiri perkahwinan saya.  Adik-adik pun begitu, abah kata mama tidak berbelanja banyak masa kami kahwin. Kata mama, dia terpaksa minta tolong adik beradiknya, untuk mengahwinkan anaknya.

Masa abah sakit, anak-anak jarang menjengok, Mereka kata mereka sibuk. Tetapi bila mama sakit, kesemuanya pulang serentak dan berhari-hari ambil cuti. Begitulah macam mana kami semua melayani mama dan bukan sahaja tidak melayan abah, rasa sedih pun tidak bila mengetahui abah sakit. Satu perkara lagi, mama pun tidak beberapa galak kami pulang menziarahi abah. Kata mama, abah sengaja buat-buat sakit dan hendakkan perhatian anak-anak, Kata mama, abah tidak malu, kedekut dengan anak tetapi minta perhatian anak-anak.”

Lama abah sakit, dan keadaan abah bertambah teruk. Abah terpaksa dipindahkan ke bilik bawah, sebab abah tidak lagi mampu turun naik tangga. Tetapi abah sahaja yang tinggal di bilik bawah sementara mama di atas. Kata mama dia malas hendak membawa barang keperluannya turun dan tidak suka bilik bawah yang kecil dan bilik airnya pun kecil.

Penyakit abah tidak menampakkan dia akan pulih malah keadaan abah bertambah teruk. Abah juga kata mama tidak mahu makan ubat,  tetapi bila saya tengok ubat pun tiada, mungkin mama tidak pergi mengambil ubat untuknya, dan tidak membawanya ke hospital untuk rawatan. Sesekali saya balik dan melihat keadaan abah dan mahu membawanya ke hospital ditegak mama, “Tak apa, pergi hospital pun buat apa, abah kamu bukannya hendak makan ubat, penat kita sahaja.”

Abah kuat semangat, dia sendiri pun tidak mengharapkan banyak daripada kami dan isterinya barangkali. Dia sendiri ke bilik air dengan kerusi rodanya tanpa minta dibantu. Ada sekali saya mahu bantu, kata mama, tidak perlu biar abah buat sendiri sebab kata mama kalau kami tiada, siapa pula yang boleh menolong? “Biar dia sendiri uruskan dirinya sendiri.”

Satu hari saya pulang ke kampong. Tidak pula memberitahu mama yang saya akan pulang. Sesampainya ke rumah, saya tidak nampak kereta, mungkin mama keluar membeli barang-barang. Pintu rumah pun tidak berkunci… saya masuk ke bilik abah, melihatnya dalam keadaan yang sungguh sedih. Abah kurus sangat. Dia tersenyum melihat saya. “Abah dah makan?” Abah menggelengkan kepala. Di tepi katil saya melihat satu bekas, dan isinya nasi tetapi sudah basi… dan air susu juga sudah berbuih-buih, basi. Itu sahaja. Dalam hati berkata, mama ni keluar tidak sediakan dulu makanan abah ke?”

“Abah lapar?” saya bertanya, abah mengganguk.” “Ya Allah, tak kan begini kot?’ ‘Mana mama?” saya menghubungi tetapi talian telefon ditutup. Saya ke dapur, mencari makanan, tetapi apa pun tiada, malah di sink, periuk nasi yang berbuih-buih kerana tidak berbasuh. Pinggan mangkuk yang kering di dalam sink. Nampak macam sudah dua tiga hari ditinggalkan.

Saya cepat-cepat mengambil kunci kereta, keluar membeli makanan. Dan memberi abah… ternyata abah memang lapar, habis dimakannya. Ya Allah abah tidak makan berapa hari ini?” tanya saya. “Abah makan?” jawabnya (tetapi saya tahu abah tipu), tetapi sudah habis. “Mama mana?” ‘Semalam dia keluar tetapi tidak pulang lagi.” “Semalam?” Maknanya abah sendirian di rumah?” “Abah diam. Kemudian dia minta saya pegang kerusi roda sebab dia nak ke bilik air. “Abah tak larat bangun, subuh dan zuhur tidak solat pun.”

Sehingga jam 10 malam baru mama pulang. Bergaya sungguh mama, dengan rambutnya siap berdandan dan bibirnya merah. Mama terkejut melihat saya. “Mengapa tidak beritahu mama Sal balik, mana anak dan suami Sal?” katanya. Saya diam. Tidak menjawab cakap mama. Sebalik terus duduk di sebelah abah, dan mama terus naik ke atas.

Mama tidak turun-turun ke bawah. Tidak pun bertanya sama ada abah sudah makan ke belum. Abah minta kitab di atas almari. “Kelmarin tu abah hendak baca yasiin tetapi Quran di atas almari dan tidak larat bangun.”

Semalaman saya tidak boleh melelapkan mata memikirkan banyak perkara yang selama ini tidak pernah saya fikirkan. Sewaktu abah tidur saya merenung wajahnya, dan melihat abah yang semakin kurus dan tidak bermaya. Saya rasa abah tidak dilayan dengan betul, makan minumnya, ubatnya. Dan saya mula memikirkan hal mama, ‘eh mama sempat bermesyuarat dan tidak pulang rumah sedangkan abah tenat. Mama sempat bergaya dengan rambutnya siap berdandan dan bibirnya menyala, walhal suaminya di rumah tidak makan. Betul ke mama bermesyuarat. Mama kuat dalam UMNO.  Ditinggalkan nasi yang basi dan susu yang sudah berbuih-buih. Apa ni, ya Allah, apa yang telah terjadi pada keluarga ini? Mengapa mama biarkan abah, tidak berubat. Saya chek bekas ubat, kosong… eh ubat abah semuanya sudah habis. masya-Allah.”

Saya menyambung cuti, dan membawa abah ke hospital. Mama diam sahaja, tidak banyak cakap. Tetapi mama pun tidak masak, pagi sehingga ke petang dia di biliknya. Saya pun beli sahaja makanan dan menyuap abah. Dalam hati saya marah sangat mama, kerana saya percaya mama memang tidak malayan abah, dan saya percaya mama selalu tinggalkan abah. Dengan pintu yang tidak berkunci. Mengapa tidak dikunci? Takut kalau orang datang, tidak boleh masuk, dan kadang-kadang mama malas turun dari bilik, siapa yang datang, boleh terus masuk dan jengok abah di biliknya.

Oh panjang cerita kalau hendak dimasukkan semuanya di sini. Saya hubungi adik beradik memberitahu apa yang terjadi, yang abah ditinggalkan sendirian. Tetapi respond masing-masing menyakitkan hati juga. “Yalah takkan nak tunggu abah selamanya. Mama kenalah keluar beli beras, beli ikan?”

“Yalah… mama bukan tunggol, nak tunggu tak bangun-bangun.” Kesian tiada simpati kepada abah sedangkan abah kan sakit. Saya minta mereka pulang, dan masing-masing kata, okay-okay, tetapi tidak seorang pun nampak batang hidung.

Saya bercadang untuk membawa abah ke rumah saya tetapi abah menolak. Kata abah biarlah dia di rumahnya dan kata abah, dia mahu mati di rumahnya sendiri. Saya juga susah hati, risau sangat kalau-kalau abah mati tidak siapa mengadapnya. Saya beritahu mama, janganlah keluar lama-lama. Mama diam dan menunjukkan dia tidak senang dinasihatkan begitu. Saya pulang ke Kuala Lumpur dengan hati yang kecewa dan berjanji akan ziarah abah lagi, kalau sempat hari minggu sebab cuti pun sudah habis.

Tiga bulan terakhir sebelum abah pergi meninggalkan kami, sayalah yang selalu berulang alik KL Melaka. Mujurlah tidak jauh sangat, dan dapatlah saya sekeluarga pulang menjengok abah. Adik beradik abah ada juga datang menjengok… mereka datang membawa pelbagai dan jauh daripada apa yang diperkatakan oleh mama tentang mereka.  Saya rasa mereka orang baik-baik. Saya mula memikirkan yang selama ini kami semua salah anggap dan percaya seratus peratus mengenai apa yang dikhabar oleh mama mengenai keluarga sebelah abah. Sebelum abah pergi, Mak Lang ada bercakap dengan saya, “Sal bawalah abah Sal ke rumah Sal, kesian abah kamu.” Kami selalu juga singgah ke sini… tengok abah kamu. Kesian tengok dia. Mama kamu busy sangat, kadang-kadang tiada makanan.”

Saya menelan air liur.  “Abah kamu selalu sendirian. Dia kata, dia pun tidak tahu ke mana mama kamu pergi. Kami tidak mahu masuk campur dalam rumah tangganya, dan adik beradik kamu pun membenci kami. Abah kamu adalah cerita sikit-sikit.”

Abah meninggalkan kami setelah dua bulan koma. Mama seorang yang kering hati, tidak nampak pun dia bersedih sangat abah pergi. Dan ditanya sama ada mama hendak buat kenduri arwah, mama minta dibuat di surau sahaja. Beri sahaja duit pada orang surau, dan mereka akan uruskan. Mana ada pinggan mangkuk hendak kenduri kendara.

Sehari selepas abah pergi, masing-masing sudah pulang ke rumah sendiri. “Akak nak bawa mama ke KL,” kata kakak. “Tunggulah kan tidak baik kalau kita terus kosongkan rumah ini.’ ‘Ya lah, ya lah minggu depan akak balik dan ambil mama, biar dia berehat di rumah akak,”. “Takkan semua hendak balik… kita duduk di sini tiga empat hari lagi,” saya beritahu abang, kakak dan adik-adik, tetapi masing-masing sudah berkemas. “Kenduri boleh buat di mana-mana, tidak perlu dibuat di sini,” jawab abang.

Malam abah meninggal hanya saya sekeluarga yang tidak pulang. Dan malam itu saya sekeluarga membuat kenduri tahlil di surau dan memberitahu orang surau yang kami hendak mengadakan kenduri sehingga tiga malam berturut-turut. Suami pun setuju untuk membayai semuanya.

Masa mengemas  bilik abah saya berjumpa sebuah diari, dan terus saya masukkan ke dalam tas tangan. Saya tidak ambil apa-apa kecuali diari itu dan tidak pun memberitahu mama yang saya berjumpa dengan diari. Lagipun mama tidak berapa kisah. Masa kami mengemas bilik abah, mama tidak jengok pun, dia di ata, kemas atau tidak rasanya mama tidak mahu ambil tahu.

Seminggu kemudian saya diberitahu mama pun sudah dibawa oleh kakak ke rumahnya. Tinggallah rumah abah kosong da, jadi kata abang, siapa yang sudi balik, baliklah. Atau kalau hendak lawat mama, dia di rumah kakak.

Membaca diari abah membuat saya tidak henti menangis. Rupanya abah mengeluarkan segala isi hatinya di dalam diarinya. Dia bercerita bagaimana dia mahu melihat anak-anaknya berjaya dan hidup senang. Dia bercerita bagaimana dia amat kecewa kerana isteri dan anak-anaknya tidak mempedulikan dia. Dia tahu anak-anaknya telah diracun jiwa mereka oleh ibu mereka sendiri. Dia bercerita betapa dia kecewa dengan tindakan mama yang menghasut kami semua membenci ibu bapanya yaitu nenek kami sendiri, sehingga mereka mati pun  mama tidak pergi. Dia kecewa dibusukkan dengan cerita yang bukan-bukan… mengenai adik beradiknya. Dia mencatatkan perbelanjaan bulanan, untuk semuanya dengan gajinya yang sebanyak tu… baru saya sedar gaji abah kecil dan malah tidak cukup dengan perbelanjaannya sekolah kami.

Rupanya apa yang dikatakan mama selama ini tidak benar. Adik beradik abahlah yang selalu membantu abah… abah selalu minta bantuan kewangan daripada nenek semasa mereka masih hidup dan bila kedua nenek meninggal, abah menjual bahagiannya itu, iaitu tanahnya kepada adiknya supaya wang itu dapat digunakan untuk menampong perbelanjaan kami. Duit pencennya tidak cukup,  masa itu saya dan adik masih di universiti, malah dalam sebuah catatan ada mengenangkan bagaimana saya menempelak abah tentang peristiwa yang saya ceritakan. Dan rupanya bukan saya seorang, abang dan kakak pun telah bersemuka dengan abah akan hal yang sama.

Yang saya paling sedih adalah tentang perangai mama sendiri yang abah diamkan. Abah tahu mama joli di luar, dan duit abah, mama banyak belanjakan untuk dirinya sendiri. Abah seorang pemerhatikan… dia tahu mama belanja sebahagian daripada duit dapur yang diberi untuk membeli bajunya, lipstik dan bedak dan beg tangannya. Mama juga ada membeli emas dan semua itu dengan duitnya. Lagipun mama tidak bekerja, dan saya mendapat tahu yang keluarga mama bukan orang senang.

Bila abah pergi dan barulah kami adik beradik tahu akan kisah sebenarnya. Tetapi sebagai anak tidaklah kami hendak bersemuka dengan mama, tetapi kami tahu apa yang sebenarnya terjadi. Diari itu sebagai bukti. Dan pernah kami adik beradik sahaja, keenam kami pulang ke kampong atuk, berjumpa dengan bapa dan mak saudara yang masih ada, hanya untuk bertanya beberapa hal yang kami tidak berapa jelas.

Sedih sangat dengan segalanya tetapi abah sudah tiada untuk kami memohon ampun. Banyak sekali pengorbanan abah kepada kami anak-anaknya. Saya teringat mengemas almari abah. Kasihan pula melihat baju-baju abah, bertampal sana sini… Betul abah langsung tidak memikirkan untuk dirinya. Bajunya pun buruk belaka,  baru kami sedar yang abah bukan kedekut tetapi wangnya tidak kecukupan. Besar manalah gaji guru waktu itu?

Saya tidak tahu bagaimana hendak menebus dosa saya dengan abah selain berdoa untuk kesejahteraannya di sana. Saya sempat juga minta ampun kepada abah sebelum abah pergi, tetapi yang lain, semua tidak sempat. Yang menghadap abah pergipun hanya saya sekeluarga kerana masa abah tenat dan minta mereka pulang pun masing-masing mengambil masa… mereka sampai sesudah abah menghembuskan nafas terakhir.

Saat saya menulis ini, mama sakit.  Mama selalu juga menyebut nama abah, mungkin mama kesal dengan tindak tanduknya semasa abah masih ada. Mungkin mama juga kesal kerana tidak sempat minta ampun kepada abah. Banyak kemungkinan tetapi biar mama tidak tahu yang kami semua tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Mama bertuah, sakitnya ada orang yang menjaga, kami membuat jadual untuk menjaga mama, supaya mama tidak tinggal bersendirian sewaktu sakitnya, dan kami melayan kehendak mama. Sesekali hati ini geram juga dengan mama tetapi saya tahu akan dosa dan pahala, dan biarlah kesalahan mama dengan abah, Allah yang Maha Mengetahui. Sebagai anak sekarang menjadi tanggungjawab kami menjaga ibu kami.

Related posts

Mengaku Bujang dan Graduan Universiti, Rupanya Penganggur

admin

Nak Cantik Wajah Jadi Cacat

admin

Biar Tak Kaya Asal Suami Orang Beragama

admin

Leave a Comment