EX BIBIK

Bibiknya, Anaknya Sendiri

Hidupnya yang melarat di zaman anak-anak membuat Leda mahu menutup rapat-rapat zaman silamnya. Kerana hidup yang terdesak juga Leda tidak dapat meneruskan pengajiannya dan tamat tingkatan lima dengan dua kertas sahaja yang lulus, dia pun dikahwinkan.

Perkahwinan yang tidak pernah diredhainya, dan sembilan bulan setelah berkahwin, dia keluar dari rumah tanpa menyedari yang perutnya telah berisi dua bulan.

Mencari kerja di ibu kota tidak mudah, seminggu dua bolehlah menumpang rumah kawan, rumah saudara tetapi jikalau lama-lama orang pun bosan. Dan tanpa kelayakan juga pengalaman sudah tentu agak sukar untuk Leda mendapatkan kerja. Dan baru dua bulan bekerja di kelab malam sebagai waitress perutnya sudah membesar. Leda cuba juga membuang kandungannya tetapi gagal, dan bencinya dia kepada kandungan itu Allah saja yang tahu…”Menyusahkan hidup aku, kalau kamu tiada hidup aku lebih senang!”

Apabila dia diberhentikan kerja kerana tidak sesuai lagi menjadi pelayan di kelab, Leda tiada pilihan selain pulang ke kampungnya. Emak dan ayah sekalipun menerima kehadirannya tetapi dengan hati yang amat tawar. “Kamu hendak buat apa pun lantaklah…ikutkan aku, aku tidak mahu lagi melihat muka kamu, mencontengkan arang ke muka keluarga. Malu aku pada orang kampung. Betina apa kamu, diberi orang baik-baik untuk dijadikan suami tetapi kamu buat tahi. Aku pun malu hendak beritahu besan aku yang kamu ada di sini. Ni anak dalam kandungan kamu ini, entah-entah anak siapa pulak tu?” “Leda pun tidak mahu mereka tahu, okey. Cukup, lepas habis pantang Leda akan keluar dari sini.”

“Bawa anak kamu sekali, kami tidak sudi menjaganya.” jawab si ayah.

Kembali ke ibu kota selepas habis pantang dengan anak kecil bernama Linda. Berkerjalah Leda semula di tempat lamanya. Dia menemui aneka rupa dan perangai manusia… dan akhirnya jatuh ke tangan seorang Datuk. Untuk berapa ketika sebagai perempuan simpanannya dan kemudian mereka berkahwin, bermadu sebagai isteri kedua.

Bermulalah kehidupan barunya bersama seorang Datuk yang boleh pun dipanggil ayah. Tetapi tidak mengapa kerana yang penting dia adalah Datin dan yang lebih penting dia tidak mahu sesiapa pun tahu asal usulnya. Anaknya Linda tidak pernah sekalipun dia mengakui itu anaknya, kerana tidak mahu kawan-kawan mengetahui yang dia pernah berkahwin. Anaknya juga tidak dilayan seperti seorang anak. Dia meletakkan anaknya di tempat jagaan sejak budak itu kecil, sebulan sekali dia melawat, membayar pada mak cik yang menjaga anaknya dan makan minum serta persekolahan anaknya itu ditanggung. Semenjak menjadi Datin wang yang diberi pun lebih banyak, dan sementelah sekolah kebangsaan juga berdekatan dengan rumah mak cik itu, segala urusan persekolahan juga diminta diuruskan oleh mereka.

Di rumah dua bilik tentulah sempit sedangkan rumahnya sekarang besar dan berhias cantik tetapi dia lebih senang tinggal berdua-duaan dengan suaminya. Dan di tahun ke dua perkahwinan dia mengandung.

Pada kenalan barulah, asal usulnya direka seindah sebuah novel. Konon ibu dan ayahnya orang kaya, tinggal di luar negara dan setahun sekali atau dua kali setahun mereka akan menjenguk ibu dan ayahnya, terutama musim perayaan Krismas, dia akan ke luar negara konon hendak celebrate dengan keluarga. Maknya konon berkahwin dengan seorang mat salih. Tetapi hakikatnya maknya kerja jadi tukang cuci di hospital dan ayahnya, nelayan. Tidak mengapa kerana Datin Leda hidupnya mewah dan kawan-kawan pun bukan minat sangat hendak mengetahui asal usul dia, yang penting kawan-kawan melayan dia tambahan dia tidak kedekut dengan mereka, jadi ramai sayang.

Satu hari dia mendapat tahu yang mak cik yang menjaga Linda kemalangan dan meninggal dunia. Mahu tidak mahu dia terpaksa mengambil anaknya yang pada ketika itu sudah pun tamat tingkatan lima, dan tidak bekerja. Peluang besar baginya membawa si Linda ke rumah untuk dijadi pembantu rumah dan menjaga adik-adiknya yang masih kecil.

Linda tidak banyak soal pun, seorang yang pendiam, dia sendiri tidak pasti siapa dia sebenarnya. Yang dia tahu yang menjaga itu ibunya dan hubungannya dengan Datin Leda hanyalah seperti yang diberitahu oleh ibunya. “Datin dengan baik hati mahu menaja kamu, sekolah dan pembelanjaan harian kamu.” Padanya Datin Leda adalah ‘ibu angkatnya’ seperti yang diberitahu oleh arwah ibunya. Dan apabila dia diminta oleh Datin Leda untuk tinggal di rumahnya setelah kematian ibunya, dia menerima sahaja pelawaan itu sebagai tanda terima kasih. Namun sesekali hatinya terdetik juga, bila dia merenung dirinya di cermin, ada mirip Datin Leda. Dalam hati berkata apakah secara kebetulan atau apakah dia ini anak Datin Leda? Tidak mungkin, kalau dia anak Datin Leda mengapa dia tinggal di rumah flat sedangkan Datin Leda rumahnya besar dan hidupnya mewah. Dan mengapa dia dijadikan pembantu di rumah itu? Biarpun mereka ada pembantu dan tugasnya lebih banyak melayan anak-anak Datin Leda, Karena,4 dan Daniel,3.

Majikannya Datin Leda dengannya tidak banyak cakap, tetapi dengan seorang lagi pembantu sering juga dimarahi dan dijerit. Jangan buat silap pembantu itu diherdik, sering Linda membantu supaya kerjanya lebih terurus. “Saya sudah tugaskan kamu hanya menjaga Karena dan Daniel, tidak payah dibantu dia. Kamu jaga kerja kamu sahaja dan saya tidak mahu anak-anak saya jatuh atau luka, kamu faham?” “Ya Datin.” Sebelum ini dia memanggil aunty seperti yang diminta oleh arwah ‘ibunya’ tetapi sejak datang ke banglo mewah ini dia lebih senang memanggil Datin sahaja, dan diterima dengan senang hati oleh Datin Leda.

Tiba masa Karena dan Daniel dihantar di tadika, Linda diminta menguruskan segala-galanya. Kadang-kadang dia sampai menunggu sehingga anak-anak pulang. Kerana tadikanya tidak jauh dari kawasan perumahan, dia senang berjalan kaki sahaja, cuma bila hujan baru minta dihantar oleh driver… malah sejak bersekolah juga dia diminta tidur bersama mereka, sebab Karena selalu mengadu takut. Dibentangkan tilam di tengah-tengah katil dan setiap malam dia mengajar mereka mengaji Quran dan bersolat. Sayangnya pada Karena dan Daniel bertambah, katanya, “Macam adik-adik aku sahaja,” walaupun dia sedar mereka anak majikan.

Sesekali dia minta kebenaran untuk menziarah ayah serta abang dan adiknya tetapi Datin Leda selalu memberikan alasan supaya dia tidak boleh pergi… ada-ada aje yang dbuatnya hari itu supaya Linda tidak ke sana. Atau kalau pun dibenarkan, diberi masa cuma sejam dua dan paling lama pun tiga jam, siap dengan driver disuruh menunggu di dalam kereta.

“Tak payahlah tunggu saya, saya boleh balik sendiri.” “Oh tidak Datin mahu saya hantar Linda dan tunggu. Tak beranilah… nanti saya dimarahi.” Ada semacam perasaan takut dan bimbang dari Datin yang tidak membenarkan dia berlama-lamaan di sana.

“Saya tidak mahu Linda duduk lama di sana, saya hendak keluar, nanti siapa hendak jaga mereka?” Dan pernah sekali dia meninggikan suara bila Linda minta untuk bermalam di sana, “Datin, ayah saya tidak sihat, saya minta kebenaran untuk menjaga ayah untuk sehari dua?” “Awak ini tidak faham bahasa ke, saya kata saya tidak benarkan, faham. Awak boleh pergi pagi ini dan tengah hari selepas lunch Pak Adam akan datang ambil. Ramai orang lain yang boleh menjaga orang tua tu, yang kamu susah hati kenapa, bagi tahu mereka awak sibuk dan Datin akan ke luar negara esok, anak-anak tidak ikut serta.”

Pelik juga Linda kadang-kadang dia terdengar Datinnya bercakap telefon yang dia akan berangkat ke London untuk holiday, tetapi masa yang dia sepatutnya di sana dia akan mengurung diri di rumah. Lebih-lebih lagi jika Datuk di rumah isteri pertama, masa itulah dia merasakan banyak yang tidak kena, dan banyak cakap-cakapnya yang tidak betul.

Satu hari dikesempatannya menziarahi ayahnya yang uzur, waktu sama Halim anak saudara kepada ayahnya ada di situ. “Lama tidak nampak?” tegur Halim. “Sibuk sikit melayan anak-anak Datin yang sudah pun masuk tadika.” “Oh adik kamu sudah masuk tadika,” tiba-tiba ayahnya yang berbaring menjawab. “Ya.. anak Datin dah sekolah.” Ayahnya terdiam dan Halim merenung tepat ke mukanya. Macam ada sesuatu yang tidak kena, tetapi Linda pula kena minta diri untuk pulang. “Ni nombor abang, senang-senang Linda call lah.”

Linda kenal Halim kerana dialah yang selalu menziarahi pak ciknya. Halim tinggal di Sabah setelah berkahwin dengan orang Sabah. “Salam pada kak Dira ya?’ sambil melambaikan tangan. Ada sesuatu yang mahu dicakapkan Halim tetapi dia sudah menuruni anak tangga dan tidak mahu terlewat sebab driver menunggu.

Halim memberitahu yang dia sudah bercerai dengan Dira dan dia yang menjaga anaknya. “Abang hendak jadikan Linda isteri abang?” kata Halim di talian. “Kita sepupu boleh kahwin ke?” kata Linda. “Lagipun abang Halim anak angkat ayah pula, tak bolehlah…” “Linda banyak yang abang hendak bagitahu Linda, tetapi itulah Linda sibuk dengan adik-adik pula. Mama awak bagaimana?” “Mama…” “I mean Datin Leda.” Halim membetulkan semula cakapnya.

Bagai dipanah halilintar apabila satu hari di kala dia berpeluang ke rumah ayahnya, dan Halim juga di situ, adik dan abang semua di situ, si ayah memberitahu keadaan yang sebenar. “Kami hanya diminta menjaga kamu, mula dia datang menjemput selang sehari dan kemudian selang sebulan, dan kemudian dia minta mak kamu jaga Linda terus. Dia kata anggaplah macam anak sendiri dan dia akan datang sebulan sekali beri duit. Dan bila dia sudah berkahwin memang dia beri lebih wang tetapi langsung dia tidak punya masa. Kami tanya juga bila sudah tidak bekerja Datin hendak bawa Linda pulang ke. Tetapi dia beralasan yang dia sibuk dan sebagainya, tetapi duit dia tidak pernah lupa memberinya. Pesannya, semua orang tidak tahu dia ada anak dan dia tidak mahu siapa pun tahu, waima Linda sendiri. Dia suruh rahsiakan semuanya.”

Halim lah yang pergi menyiasat latar belakang Datin Leda malah mencari ibu ayah di kampung. “Ini surat beranak kamu yang kami simpan. Masa buat kad pengenalan dulu, ayah simpan surat beranak Tetapi kebetulan sahaja, nama ayah Linda dan nama ayah sama, jadi tidak keliru.”

Rasa bagaikan dia tidak mahu balik ke rumah Datin Leda lagi tetapi memikirkan adik-adiknya dia lantas minta diri. “Tolong abang pinang saya secepat mungkin, saya tidak mahu lagi dijadikan bibik. Saya tidak sangka ada juga manusia yang sanggup tidak mengaku anak.”

“Linda jangan begitu, sejahat mana pun dia tetap mak Linda,” pujuk ayahnya. Abang Halim nanti akan hantar pinangan dan tengok apa katanya.

Masa Linda memberitahu ada tetamu mahu datang menghantar pinangan, wajah Datin Leda pucat. “Kamu hendak kahwin dengan siapa?” “Dengan abang Halim, anak saudara ayah.” Datin Leda terdiam. “Hantar cincin tanda sahaja.” Linda memberitahu. “Baiklah…” dan Datin Leda terus beredar dari situ. Linda yang mulanya hendak mendapatkan kepastian langsung tidak jadi bertanya. “Biarlah aku pendamkan perasaan ini, biar dia sendiri yang memberitahu bukan aku yang bertanya,” katanya di dalam hati.

Melayan adik-adiknya adalah satu kegembiraan pada Linda, dia tahu merekalah nanti yang akan membela nasib kakaknya. Karena sungguh terang hati, sudah banyak surah-surah ringkas dapat dihafalnya dan Daniel juga sudah mengenal huruf, dia rasa ada kebaikannya dia dibawa di rumah itu, mengajar mereka mengenal Allah. Linda risau kalau nanti dia tidak bersama, apakah adik-adiknya diajarkan bersolat dan mengaji Quran. Sepanjang dia tinggal di situ, dia sendiri tidak pernah pun melihat telekung dicuci atau disidai di lampaian. Dan waktu Margrib mereka sibuk menonton tv, makan dan kemudian sehingga ke Isyak masih menghadap tv. Bila masa bersolat? Sedih Linda mengingatkan keadaan ibunya yang sampai ke tua, belum mahu sujud ke hadratNya.

Keluarga Halim minta dipercepatkan majlis pernikahan dan sudah tentu ditolak oleh Datin Leda. “Beginilah, kalau Datin tidak mahu adakan majlis tidak mengapa, ayah Linda sendiri yang akan mengadakannya. Datin hanya datang sebagai tetamu.” Merah padam mukanya. “Kami nanti yang akan meletakkan tarikh dan dewannya.” Datin Leda tidak berkata apa… minta mereka menjamah sedikit makanan yang disediakan, dan tetamu pun pulang.

Antara Datin dan Linda juga mereka tidak banyak bercakap… dia tidak bertanya apapun tentang majlis pernikahan. Tiadalah dia teringin hendak mengadakan di rumahnya, mahupun menyediakan pakaian dan sebagainya. Betul-betul dia merasakan Linda bukan anaknya tetapi pembantu rumahnya, atau pengasuh anak-anaknya. Ya dia tidak mahu nanti ada kawan-kawannya akan tahu yang pembantunya adalah anak kandungnya sendiri. Itu perkara yang paling memalukan dia.

Terkejut Datin Leda bilamana majlis pernikahan dan perkahwinan Linda diadakan di sebuah hotel. “Kaya sangatkah ayah Linda? Duduk di flat buruk tapi nak buat kenduri anak besar-besaran,” katanya. Atau semua duit Halim, apa kerja si Halim tu?

Dia mendapat tahu baju nikah dan bersanding ditempah daripada seorang pereka fesyen terkenal, dia juga mendapat tahu wang hantarannya RM20 ribu dengan sebentuk berlian.

Seminggu sebelum majlis Linda minta diri untuk tinggal di hotel, dan akan terus berpindah ke rumah Halim. Datin Leda diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak juga menolak. Linda minta Datin datang ke majlis dan membawa Karena serta Danial bersama. Datin Leda tidak berkata ya atau tidak dan pada hari dia keluar rumah pun, dia tidak banyak cakap. Karena dan Daniel memeluknya erat. “Nanti Rena nak solat dengan siapa, bila kakak tidak tinggal lagi dengan kami?” Karena menarik-narik bajunya dan Daniel minta didukung. Kemudian minta diturunkan, berlari ke biliknya mengambil buku mukadam… tiga tahun tapi dia juga sudah pandai al-Fatihah dengan pelatnya. Datin Leda terkejut.

Datin Leda hadir di majlis pernikahan bersama suaminya Datuk T. Semua tetamu diminta duduk di kerusi disediakan dengan tertulis nama masing-masing. Datin Leda dan suami di baris hadapan, tetapi ada enam tempat yang dikosongkan. Tetamu sebelah lelaki pun masuk. Seorang daripada enam tetamu itu ialah Arshad, bekas suami Leda. Terkejut Leda wajahnya merah padam. Kemudian pengantin perempuan masuk duduk di pelamin. Pengumuman mengalu-alukan untuk pengantin lelaki masuk dan mengambil tempat duduk.

Di sebelah pengantin, Arshad mengambil tempatnya. Juruacara memulakan acara dan meraikan tetamu yang hadir, menyebut nama ayah pengantin perempuan Datuk Seri Arshad yang akan menikahkan anaknya sendiri.

Datin Leda terpaku tidak terkata apa. Dia sendiri hairan dan pelik. Tetamu dijemput pada sebelah malam di dewan besar di hotel sama. Tidak sanggup Datin Leda berlamaan di situ, mengajak suaminya pulang. Tidak pun dia menunggu untuk bergambar dengan pengantin malah mereka pulang tanpa bersalaman.

Datin Leda walaupun teramat malu dengan tetamu terutama keluarga bekas suami, terpaksa juga hadir pada majlis persandingan kerana tempat duduk khas sudah disediakan bersama dua anaknya. Ada juga di kalangan tetamu yang sedar Linda itu pembantu rumahnya, “Hebatlah pembantu you Datin, anak Datuk Sri lagi. Macam mana anak Datuk Seri boleh kerja dengan you. You kata ayah dia miskin dan tinggal di flat Sri Pinang?”

Dua bulan selepas majlis persandingan, Datin Leda menerima satu jambangan bunga yang amat cantik dan di dalamnya terselit sepucuk surat. Linda mencurahkan isi hatinya dan mohon dihalalkan air susunya dan segala wang ringgit untuk ibu dan ayah angkatnya membesarkan dia. Dia juga memaafkan ibunya. Masih membahasakan Datin Leda, dia memberitahu bahawa Datin Leda tidak perlu pun memberitahu kawan-kawan yang dia anaknya kalau itu akan memalukan dia. Cukup dengan dia membenarnya berbaik dengan adik-adiknya kerana mereka adalah darah dagingnya.

Kini Linda sudah ada lima adik, Karena, Daniel dan anak tiga lagi anak ayahnya. Dia juga ada seorang anak tiri, anak kepada Halim mereka semua akan memeriahkan lagi hidupnya selepas ini. “Saya berdoa saya juga cepat menimang cahaya mata supaya akan bertambahlah keluarga saya,” tulisnya sebelum menutup warkah yang dihantarkan ke alamat saya.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Suami Paksa Bibik Melakukan Hubungan Seks

admin

Aku Beri ‘Share’ Kepada Maid Aku

admin

Awas Bila Bibik Mengurut! Dijampi Serapahnya Kamu

admin

Leave a Comment