EX BIBIK

Aku Beri ‘Share’ Kepada Maid Aku

Suasana di bilik peguam kelam kabut. Sebaik wasiat dibacakan ketiga-tiga adik beradik seperti tidak percaya bahawa arwah ayah mereka ‘kejam’. “Mengapa pula harta ayah diberikan seperempat kepada Tajul sedangkan Tajul cuma pembantu di rumah? Apa hak Tajul untuk menerima harta-harta ayah?” tanya anak Datuk A. Dua beradik yang lain juga setuju, “Apa hak dia?” tanya mereka kepada peguam. Karim, Kahar dan Karima (bukan sebenar) terus membelasah si peguam. Kami fikir saudara pun berpakat dengan ayah dan Tajul pasti main bomoh.

“Saya hanya menjalankan tugas, segalanya di dalam kertas ini. Saya tidak boleh mengubah walau satu perkataan pun.”

“Kalau mama masih hidup tentu semuanya tidak berlaku,” kata Karima. “Ini semua tipu helah.” jawab Karim.

Dan tidak lama kemudian muncul bapa saudara mereka, adik kepada ayah mereka.

Semua menerkamnya. “Pak Su mesti bantu kami. Bagaimana Tajul boleh dimasukkan di dalam wasiat ini?”

“Duduk semua, lima bulan lalu aku bercakap dengan ayah kamu. Katanya enam tahun dia sakit, siapa menjaganya? Kamu ada menjengok dia? Setahun sekalipun susah. Siapa yang membawa ke hospital dan sebagai? Siapa basuh kencing beraknya? Raya pun setelah dua tiga minggu baru hendak jengok muka si tua itu. Banyaklah ayah kamu cerita macam mana kau orang berebut harta mak kamu dulu…”

“Tapi kita bayar gaji dia untuk jaga ayah?”

“Berapa sangat? Seribu tu besar sangat ke? Satu lagi, kita itu siapa, wahai anak-anak suadara ku? Ada siapa antara kamu yang pernah sekali memberikan ayah kamu duit? Ada tak?”

“Tapi ayah punya wang?”

“Okay sebab itu kamu semua tidak memberi dia wang?”

“Yalah buat apa lagi duit banyak-banyak sudah nak mati, dan dah mati pun.”

“Oh begitulah kamu menghargai ayah kamu?”

“Pak Cik tak payahlah hendak bersyarah dengan kami, hak kami hak kami lah?” kata Kahar, “Kami tak mahu dengar kalau hendak beritahu kami semua itu, yang kami hendak tahu mengapa ayah masukkan nama Tajul, anak kampong tidak bertaraf dan sekolah pondok aje. Bila tidak ada kerja minta tolong ayah, rupanya dalam pada itu nak ambil kesempatan?”

“Ini amanat ayah kamu sebelum dia pergi. Katanya, “Aku telah beri mereka kasih sayang secukupnya. Aku telah menyekolahkan anak-anak aku dan memberikan the best education, sehingga aku dan mak mereka ikat perut? Ke mana kami berpergian setiap kali mendapat bonos? Apa pakaian kami berdua, selain daripada kasut Bata dan baju dari Kamdar? Semua demi masa depan anak-anak? Bukan sahaja tanggung sekolah, tanggung sampai kahwin, tetapi selepas itu mereka ke mana? Nak jengok Hari Raya liat. Hendak tanya khabar pun susah, sebulan sekali pun tidak ditanya ayah makan apa, dan bawa ke klinik ke? Mereka berhutang dengan aku?”

“Apa pula kami berhutang dengan ayah sendiri?” tanya Karima. “Ya dia kata tidak payah bayar hutang apa-apa yang telah diberikan selama ini kerana ayah kamu pun tidak mahu. Tetapi dia berhutang dengan Tajul dan itu sebab dia mengambil seperempat untuk membayar segala hutangnya. Kalau dia ikutkan hati dia mahu mengambil semua tetapi katanya, supaya kalau hidup kamu orang susah nanti, ada juga tanah-tanah untuk dijual.

“Tapi ayah beri gaji pada Tajul setiap bulan?”

“Betul tetapi dia masih berhutang?” jawab si Pak Cik. “Hutang kepada Tajul kerana Tajul mengimamkan dia solat. Tajul membawa dia ke masjid setiap masuk waktu. Tajul yang membawa dia pergi umrah dan menyurungkan kerusi roda, yang memasak dan menyuapkan dia masa sakit, yang memandikan dan membasuh beraknya  kerana dia tidak mampu ke bilik air.”

“Itu kan kerja Tajul?”

“Betul, mengemas dan memasak untuknya, tetapi yang membawa dia mendekati akhirat? Yang mengajar dia mengaji? Yang akan terus bersedekahkan dia al Fatihah dan surah-surah Yassin? Yang membawa dia ke rumah-rumah anak yatim untuk dia bersedekah?”

“Mengapa pula ayah perlu sedekah pada anak Yatim sedangkan anak-anak dia di ketepikan?”

Waktu itu Pak Cik mereka sudah tidak sanggup lagi melayan anak-anak saudaranya yang tamak dan kurang ajar… “Cukuplah Karim, Kahar, Karima, kamu semua pandai, tinggi ijazah tetapi mungkin tidak dididik agama. Tuan Peguam, ini surat daripada ayahanda mereka. Bacakanlah kepada mereka. Kamu semua, kata ayah kamu kalau kamu tidak setuju dengan pengagihan harta, dia mahu hartanya diwakafkan sahaja.”

Apa sebenarnya yang ditinggalkan kepada Tajul? Sebuah rumah, sederhana tiga bilik, dengan ruang tamu dan bilik makan, dua bilik air.  Sebelah ruang tamu ialah sebuah dewan yang boleh memuatkan anggaran 20 meja untuk budak-budak mengaji Quran. Tajul berhajat untuk mengajar mengaji kepada anak-anak kampong. Menurut arwah dia boleh meletakkan harga berpatutan sebagai tenaga pengajar mahupun mengajar percuma. Dan sebidang tanah untuk dia bercucuk tanam sebagai pendapatan bulanannya.

Lagi yang ditinggal atas nama Tajul ialah sebuah kereta Proton untuk memudahkan Tajul ke pekan membeli barangan, dan duit sebanyak RM30,000. Tajul juga sudah ada calon isteri. Hajat arwah hendak mengahwinkan mereka sewaktu hayatnya tetapi Tajul berkeras kerana dia berasa tidak selesa, sedangkan kebajikan arwah sudah menjadi tanggungjawabnya. “Kahwinlah Pak Cik tidak kisah, Tajul boleh bawa dia tinggal di sini.”

“Tak pe, urusan saya itu kemudian, saya bertanggungjawab menjaga Pak Cik, nanti tidak terkejar saya dengan urusan rumah tangga saya pula.”

Begitulah terlalu banyak korban yang dilakukan Tajul, dan kata Pak Cik Hassan apakah tidak layak arwah abangnya memberikan sedikit harta-hartanya kepada Tajul. Lagipun selagi dewan itu digunakan untuk urusan agama, abangnya akan mendapat pahala. Dan dia tahu Tajul akan terus mendoakan abangnya sejahtera di alam barzakh. Dan tanah dua hektar itu pasti mengeluarkan hasil, sedangkan kalau diberi kepada anak-anak sama ada menjadi hutan atau dijual untuk mendapatkan keuntungan.

Mungkin cerita di atas bukan cerita baru. Memang ada yang meninggalkan harta kepada pembantu kerana terhutang budi kepada apa yang telah mereka lakukan.  Di bawah satu lagi kisah si bibik yang diberikan ‘share’ di dalam perniagaan.

 

“Sepatutnya dia bekerja dengan aku, tapi dia pulak yang menanggung aku.”

Kisah teman di perantauan. Empat tahun lalu, dia membungkus semua pakaiannya, terbang ke negara jiran dengan yakin untuk memulakan kehidupan baru. “Aku tutup akaun di sini, jual kereta, jual ‘share’ dan barang kemas yang ada. Aku pun tidak punya rumah sendiri, serahkan kunci dan terbang.”

Dia puas hati, dengan ilmunya dia diajak menjadi rakan kongsi (orang Malaysia) untuk satu perniagaan yang sudah dirancang rapi.

Setahun bekerja keras, dan dia mampu membayai bibik untuk menjaga makan minum dan membersihkan kediaman dua biliknya. Dia puas hati kerana segalanya berjalan dengan lancar, jika mengikut jadual tahun ketiga keuntungan yang akan diperolehi.

Pun begitu, baru masuk tahun kedua, bukan sahaja tidak bergaji, sewa rumah pun tidak dibayar oleh rakan kongsinya. Bulan kedua, ketiga,  keempat dan dia diminta keluar. Gaji tidak ada, bank kosong dan rakan kongsi juga tidak diketahui ke mana menghilang. Sewa pejabat juga tidak berbayar dan kemudian dia mesti mengeluarkan barang-barangnya atau dirampas.

Tiada tempat mengadu, dan untuk pulang juga dia rasa malu; malu kepada kaum keluarga yang sudah menasihati untuk lupakan impiannya. Kepada rakan dan saudara mara juga dia tahu mahu mereka tahu keadaan sebenarnya.

Dia sudah mula pandai menggunakan bahasa mereka. Meneruskan kerjanya sikit-sikit dan itulah dikumpul untuk membayar sewa rumah. Tetapi kadang-kadang untuk makan dan tambang pun dia tidak mampu. Berlarutan sampai tiga tahun katanya si maid dialah yang tolong membelikan makanan malah terus bekerja dengannya. “Aku bagi tahu dia, tidak payah datang lagi sebab aku tidak mampu membayar gajinya. Makan pun aku kena sekat kerana betul-betul tidak berduit. Sesekali dia menghantar juga surat kepada bapanya untuk meminjam duit, dengan seribu alasan. Itulah yang penting, sewa, api dan lektrik katanya.

 

Aku beri maid aku share…

Masuk tahun ke empat teman sudah nampak banyak peluang berniaga di sana. Produknya juga dapat dijual, dan wang itulah yang digunakan untuk meneruskan hidup. Yang menariknya, dia menamakan bibiknya sebagai rakan kongsi. “Mengapa aku perlu susah-susah cari orang lain kalau di depan mata orangnya jujur dan terlalu baik hati?  Sekarang perniagaan aku kian berkembang, inshaAllah.”

“Hampir tiga tahun dia tanggung aku, kadang-kadang sewa rumah aku pun dia tolong bayarkan. Kalau tuan rumah tahu aku orang luar, sewa memanglah tinggi jadi nama penyewa pun menggunakan namanya, warga tempatan.

“Selepas tengahari, bibik aku bekerja di tempat lain dan katanya pendapatan di situ pun lebih daripada cukup, itu sebab dia tidak pernah meminta dibayar gaji. Dia terlalu-lalu faham akan kesusahan yang aku alami,” ceritanya. “Itu sebab aku menyepi diri hampir empat tahun. Adalah aku balik sesekali ke kampong halaman, itu pun ada kawan yang tolong belikan tiket,” ceritanya.

“Orang berbudi kita berbahasa, walau dia bukan sebangsa dan seagama tetapi hatinya murni, ikhlas menolong. Aku sakit dia jaga, kadang-kadang dia tidur rumah aku. Aku berharap bisnes aku berkembang… dan aku gembira, aku stay put dan tidak terburu-buru berkemas untuk balik ke tanah air. Aku tahu hidup di KL pun susah, kerja tak ada itu sebab aku bertahan di sana.”

“Rasanya aku akan terus menetap di Bangkok ini. Orang dia sungguh baik, pembersih dan aku selesa hidup berjiran dan berniaga dengan mereka. Mereka sangat jujur. Berbalik kepada orang kita, kadang-kadang aku malu, nama aje Islam tetapi kuat menipu. Sembahyang tunggang tonggek tetapi mulut lazer dan hati busuk. Di sini aku tenang, aman damai… rasa tiada kerinduan kecuali pada mama, papa, adik-adik dan seorang dua kawan.

Yang penting aku dapat rakan kongsi yang baik. Kamu orang ingat sebab dia maid, dia bodoh? Oh tidak. Selepas aku mengenali hatinya aku memang tidak risau lagi takut andai ditipu seperti yang aku alami sebelum ini.

Related posts

Awas Bila Bibik Mengurut! Dijampi Serapahnya Kamu

admin

Bibiknya, Anaknya Sendiri

admin

Curi Coli Isteri Menteri Beli Susu Baby

admin

Leave a Comment