Satu permulaan baru buat Council of Fashion Designers of America (CFDA) yang mana organisasi itu menamakan Tom Ford sebagai Pengerusi baru, menggantikan Diane von Furstenberg, yang telah memegang peranan itu selama 13 tahun.
Selepas mengadakan undian pada 19 Mac lalu, CFDA mendedahkan pelantikan itu akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. “Saya diberi keistimewaan menjadi ahli komuniti American Fashion selama bertahun-tahun dan telah menikmati apa yang dilakukan oleh CFDA untuk ahli-ahlinya dan industri secara keseluruhan,” sebutnya dalam satu kenyataan daripada CFDA. “Setelah bergelumang di setiap kota fesyen utama dunia, saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengarah bagi memajukan lagi suara American Fashion dan pereka-pereka yang dinaunginya.”
Pengerusi semasa DVF menyatakan kegembiraannya untuk pelantikan Ford, “American Fashion membayangkan wawasan yang lebih baik untuk terus mengembangkan impaknya dalam landskap fesyen global. Ford adalah role model bagi kita semua, dan kami amat bertuah memilikinya sebagai Pengerusi CFDA yang akan datang.”
Von Furstenberg menjadi Presiden CFDA bermula 2006 dan dinamakan sebagai Chairwoman pada 2015. Dia mengikuti jejak Perry Ellis, Oscar de la Renta, Bill Blass, Norman Norell, Stan Herman, Mary McFadden, Carolyne Roehm, Herbert Kasper dan Sydney Wragge, yang sebelum ini memegang peranan sejak penubuhan CFDA pada 1962.