GAYA HIDUPKhas Perkahwinan

Resepsi – Akan Dikenang Selamanya

Bertunang dan bernikah selesai, tiba waktu ahli keluarga meraikan kedua pengantin dalam majlis resepsi. Dua majlis terdahulu untuk ahli keluarga terdekat kedua belah pihak.

Majlis Resepsi Elieyati

1 Oktober 2022, 8 malam. Majlis perkahwinan anakanda Elieyati Samsuddin diadakan di dewan besar Hotel Concorde, Shah Alam. Hampir 500 tetamu diundang meraikan perkahwinan anak tunggalnya Elisa Soraya dengan Imtiaz Hisham.

Dewan dihias seindahnya, kiri kanan dipagari rimbunan bunga. Sebaik tetamu mengambil tempat duduk, keluarga sebelah lelaki diiringi masuk ke dewan. Dan masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Perarakan masuk kedua mempelai diiringi tiupan saksofon membawa mereka ke singgahsana. Elisa mengenakan gaun putih dan suami pula tampan dalam suit hitam. Istiadat salam restu kedua keluarga sebelum santapan bermula. Tetamu dihiburkan oleh penyanyi terkenal Farhan Azizam dan montage dua mempelai membawa kisah zaman kanak-kanak, remaja dan sehinggalah diijabkabulkan. Ibu pengantin bercerita sedikit pengalamannya mengadakan satu-satu majlis penting dalam keluarga mereka.

Majlis Resepsi Kedua 

Hajat tuan rumah, mahu mengundang seramainya saudara maranya. Jika pada resepsi pertama lebih kepada saudara di sebelah ibu Elieyati,  kini tiba waktu untuk saudara mara di sebelah bapanya dan keluarga bekas suami.

15 Oktober, 2022, 8 malam di sebuah venue indah, bernama Villa Rimba Flora, Kota Damansara. Tetamu malam itu rata-rata mengenakan batik, baik orang sebelah mahupun tuan rumah. Sementara menunggu kemasukan mempelai ke singgahsana, tetamu sempat melayan mata melihat kawasan sekitar yang indah, memang intimate sesuai untuk majlis resepsi yang memuatkan lebih 200 tetamu.

Pilihan pengantin kali ini ialah songket. Sama cantik dan tampan, selesai sudah majlis di sebelah pengantin perempuan, sebelum istiadat menyambut menantu oleh keluarga lelaki.

Malam Mehndi 

29 Oktober 2022, 8 malam. Dewan B’York KL di G Village Desa Pandan, KL, buat kali pertama mengadakan majlis Mehndi. Kata tuan punya dewan, Syeba Yip, dia amat teruja diberi kesempatan untuk menjadikan tempatnya sebagai ruang untuk majlis Mehndi keluarga Imtiaz. Mahu serba serbinya unik, lain daripada lain, hasilnya membuat tetamu terpegun. Tumpuan bukan sekadar di pentas pelamin tetapi di sekeliling dewan… dari pintu masuk sudah dihiasi dan deko-deko berjuntaian seolah masuk ke istana Bollywood. Tetamu tidak jemu-jemu mengambil gambar sebagai kenangan.

Elisa dan Imtiaz dalam persalinan Pakistan, dan menambah indah majlis kerana hampir semua tetamu pasang badan dalam busana berkelipan dan bila lagu Hindi dipasang, ruang tari dihidupkan bagi memulakan tari menari. 

Menarik hidangan malam itu juga diberikan kelainan antara chapati dan ayam Karah, menu sangat popular di Pakistan. Memandangkan ada juga tetamu daripada kalangan bangsa asing, B’York juga menyediakan antara lain pasta khas, katanya chef Pakistannya mengadunkan hidangan Timur dan Barat bagi melengkap ruang santapan.

Oh ya, majlis mehndi tidak sempurna jikalau tiada ruang mehndi (berinai). Pentas dihias selera Pakistan, dengan rug dan kusyen-kusyen berwarna warni. Sudah tentu tetamu pulang hati riang.

Resepsi di Victoria Hall, Utropolis, Glenmarie

5hb November, 2022, 8 malam,  giliran resepi bagi pihak pengantin lelaki. Mencari tempat ideal untuk majlis resepsi tidaklah mudah, ya dewan yang menepati selera ibu pengantin. Majlis kuranglah meriah jika dewannya kosong tidak berhias. Majlis akan lesu jika hiasannya seolah tidak sedia meraikan tetamu.

Seperti di taman bunga-bunga, seluruh dewan memancar cahaya kegemerlapan, rimbunan bunga-bunga melekakan tetamu, chandelier besar berjuntai memancarkan cahaya, sungguh tidak terkata keindahannya.

Perarakan masuk kedua mempelai diumumkan, tiga jelitawan comel lengkap dalam gaun kembang lace berkelipan mendahului perarakan, menabur mawar di lantai sebagai meraikan kemasukan mempelai ke singgasana. Pengantin berjalan perlahan-lahan, cantiknya pengantin dalam persalinan ditempah khas daripada pereka ternama Zang Toi. Tentu yang menarik perhatian weil meleret dengan logo indah jenama terkenal itu.

Istiadat salam restu dimulakan sebelum pengantin ke pentas bersantapan bersama-sama tetamu khas dua belah pihak.

Sambil makan sambil berhibur. Majlis tidak sepi kerana di satu lagi pentas penyanyi terkenal yang sering menghiburkan majlis diraja Dato Yusni Hamid memulakan persembahannya diiringi one man okestra Encik Hassan. Di penghujung majlis guru vokal terkenal Puan Siti Hajar dan bekas juruhebah dan pelakon drama tv Puan Faizah Noor dan Datin Nazliah Hamid turut ke pentas menghiburkan tetamu.

Terima kasih kepada Dato Yusni dan Encik Hassan yang membuat tetamu tidak beranjak dari kerusi kerana rindu akan suara merdu mu. “Kalau tahulah ramai tetamu dari Pakistan, tentu saya akan alunkan beberapa lagu Bollywood,” kata Dato Yusni.

Kepada tetamu dua keluarga ini mereka mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi hadir pada enam majlis kesemua diadakan pada 2022.

Related posts

Pisang Baik Untuk Kesihatan

admin

SPESIES BERNAMA RHUBARB

adminwm

Rencana Khas Sambutan Hari Wanita Kebangsaan

Mahani Awang

Leave a Comment