GAYA HIDUPSANA-SINI

Izmir dan Bodrum Tersenarai Dalam Panduan MICHELIN di Turki

Michelin, dengan sukacitanya mengumumkan Panduan MICHELIN yang diperluaskan merangkumi İzmir dan Bodrum, Türkiye. Pilihan restoran Panduan MICHELIN yang

julung kali diadakan bagi İzmir dan Bodrum akan diumumkan bersama dengan pilihan kedua Panduan berkenaan bagi İstanbul ketika majlis unik yang bakal dianjurkan di İstanbul pada 9 November 2023. Berakar umbi daripada tradisi kulinari dan pembuatan wain tempatan Aegean dan Mediterranean Turki, İzmir dan kawasan sekitarnya termasuk daerah Urla yang serba menawan di laluan pembuatan wain ternyata menawarkan pelbagai sajian makanan. 

Daripada restoran gastronomi dan bergaya kepada kedai kopi moden sehinggalah restoran tradisional dan popular, İzmir begitu menyerlah dengan kepelbagaian kulinarinya. Sering dikendalikan oleh chef muda tempatan yang mempamerkan penghargaan kepada warisan mereka secara moden, pelbagai restoran menyarankan cita rasa Aegean

dengan tangkapan ikan segar dan aneka sajian mezze.

Alaçatı ialah sebuah bandar di Semenanjung Çeşme di Turki, terkenal dengan pantai, rumah batu lama dan tradisi pembuatan wain.

Di Bodrum, salah satu daripada destinasi pelancongan mewah Turki paling terkenal yang terletak di kota Muğla, gabungan hebat restoran Turki menyajikan cita rasa asli dan makanan laut, dengan restorannya menawarkan sajian antarabanga – paling terkenal adalah sajian Asia dan Itali – sekali gus mencipta persekitaran makanan yang amat menarik. Di sini, pusat peranginan mewah memberi tumpuan kepada pengalaman untuk menikmati hidangan terbaik dan paling kreatif.

Bodrum, antara destinasi percutian paling popular di sepanjang pantai indah Türkiye

Gwendal Poullennec, Pengarah Antarabangsa Panduan MICHELIN, mengulas: “Selepas hentian pertama di İstanbul tahun lalu, pemeriksa kami teruja untuk meletakkan İzmir dan Bodrum dalam senarai mereka. Ternyata, kedua-dua tempat ini bukan hanya lokasi hebat untuk pengalaman budaya dan pelancongan yang penuh kenangan malah ia juga menyediakan suasana kulinari yang layak untuk diterokai. Sekiranya İzmir dan persekitarannya menawarkan restoran menarik yang mempamerkan

kemahiran gastronomi yang cukup baik dalam kalangan cef muda, Bodrum pula menyerlah dengan kepelbagaian restorannya. Kebanyakan restoran tradisional dan mudah ditemui ini terletak di tengah bandar manakala konsep inovatif ditemui di pusat peranginan mewah. Dengan tambahan dua wilayah baharu dalam keluarga Panduan MICHELIN, kami berharap supaya dunia menyebarkan mesej bahawa  Türkiye merupakan destinasi gastronomi yang tidak harus dilepaskan.”

Mehmet Nuri Ersoy, Menteri Budaya dan Pelancongan Republik Türkiye, menambah: “Kami gembira selepas İstanbul, İzmir dan Bodrum pula diketengahkan sebagai ‘kota gastro’. Kami berupaya untuk mempamerkan khazanah budaya kulinari kami yang mempunyai konsep kelestarian pada terasnya, juga penghargaan kepada cef kami yang berbakat besar yang menggabungkan produk yang paling sesuai di rantau ini dengan pendekatan mereka daripada hasil ladang untuk dijadikan sajian.

Pengunjung yang tiba di İzmir dan Bodrum yang menikmati hidangan ini akan terkejut dengan lautan serba pirus di Turkaegean, khazanah warisan sejarah, kualiti kemudahan dan pelbagai kemungkinan daripada pelancongan feri persiaran sehinggalah pelayaran di lautan (gulet). Kami teruja dengan dua penambahan ini yang menunjukkan potensi persekitaran kulinari Turki yang kian berkembang, dan kami amat yakin bahawa banyak lagi kota lain yang disenaraikan dalam beberapa tahun akan datang.”

Panduan MICHELIN İstanbul yang dikeluarkan buat julung kali pada 2022, mempamerkan potensi gastronomi dan kepelbagaian kulinari di kota terbesar Türkiye. Ia mengesyorkan 53 restoran yang mana 5 beroleh bintang MICHELIN (1 mendapat Dua Bintang MICHELIN, dan 4 mendapat Satu Bintang MICHELIN), 1 MICHELIN Bintang Hijau dan 10 Bib Gourmand. Panduan MICHELIN İstanbul mengetengahkan pelbagai sajian bermusim dan khusus di pelbagai jenis restoran – daripada bistro gastronomi kepada restoran mewah sehinggalah kedai makan tradisional. Bagi semua destinasi, Panduan MICHELIN akan mengetengahkan persekitaran kulinari İzmir dan Bodrum serta mengesyorkan restoran terbaik berdasarkan metodologi sejarah dan sejagat Panduan MICHELIN. Menerusi pasukannya yang terdiri daripada pemeriksa yang tidak dikenali dan bebas iaitu semua bekas profesional industri dan kini kakitangan sepenuh masa Kumpulan Michelin, metodologi ini hanya memberi tumpuan kepada kualiti makanan yang disyorkan dengan menilai 5 kriteria berikut:

– kualiti bahan;

– kepakaran teknik memasak;

– keharmonian rasa;

– personaliti cef menerusi sajian masakan;

– konsisten dari segi masa dan keseluruhan menu.

Related posts

Misi Bantuan Banjir Tourism Selangor

admin

Cara Anda Minum Madu Salah, Patut Lah Tidak Menjadi Ubat

admin

Pulanglah Zal…

admin

Leave a Comment