COVER STORY

Forever Zahnita

EMBRACING NEW BEGINNINGS AND POSITIVITY

“Rindunya!” dan saya menyambut rindu Zahnita dengan gembira kerana dalam keadaannya sekarang, saya percaya dia lebih senang menyendiri daripada bertemu dengan sesiapa lebih-lebih lagi wartawan. “Nak cerita apa lagi Kak Mahani. Tak mahu lah cakap hal yang sama, I’m exhausted. Enough is enough!” tambahnya. 

Apapun hasrat kami ke Kuantan dipenuhi Zahnita. 

Tanggal 16 Disember 2024, seperti dijanjikan, saya dan Wirda, bersama jurugambar Syarief dan jurusolek, Nurul Pretty Lulu meredah kesibukan pagi Isnin dari Kuala Lumpur ke kediaman Zahnita di Kuantan, tepat 10 pagi waktu yang dijanjikan. Setibanya kami, dan sebaik pintu pagar dibuka, Zahni merangkul erat kami berdua, dan kami saling berjuraian airmata. Bagaikan tidak mahu melepas pelukan dan terharu dengan sokongan moral yang kami berikan padanya kala melalui saat-saat pilu dalam hidupnya. 

Saya percaya ramai pun sudah membaca kisah Zahnita di akhbar dan di media sosial. Simpati atas nasib malang yang menimpa dan kerana antara kami bukan sekadar hubungan editor model tetapi rakan karib, dukanya juga dapat kami rasakan, dan andainya mengembalikan dia di muka depan majalah seperti zaman kegemilangannya di dunia peragawatinya dulu, dan bercerita dengan kami boleh menghilangkan sedikit kesedihannya, itu sudah amat menyeronokkan kami. Begitupun saya berpegang pesan awalnya, “Kak, pesan mama, apa pun jangan sesekali penggambaran ini mengundang pandangan serong masyarakat dan peminat. Zahni pun kalau boleh tak mahu buat semua ni lagi. Mama juga belum bersedia melihat Zahni muncul beraksi seperti dulu apa lagi kembali menjadi peragawati.”

Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, bekas pelakon dan peragawati terkenal. Wajah Pan Asia, kacukan New Zealand sebelah bapa dan ibunya Melayu. Saya mengenali ketika usianya 17 tahun. Ceria dan peramah, Zahni (panggilan rakan seperjuangan) sebenarnya telah mula beraksi di pentas peragaan dan di depan kamera sejak usia 10 tahun lagi. Kerjaya Zahni bermula kala dia ditemui oleh seorang talent scout ketika dia bersama ibunya di sebuah pusat membeli-belah. Untuk tugasan pertamanya Zahni memperaga produk fesyen jenama antarabangsa Guess Kids.

Bukan Buka Aib, Tapi Tak Sanggup!

“Ya Kak, Zahni memang dari awal malu nak berkongsi cerita. Rasa macam buka aib sendiri,” Zahnita dengan nada kesal memulakan cerita. Waktu mencemburi kami sambil bersolek itulah masa terbaik bertanyakan kisah yang terjadi. “Jika ada yang mahu kata Zahni membuka aib sendiri… terpulang. Kerana malu dan sifat kewanitaan yang ada pada diri inilah yang menyebabkan Zahni menanggung siksa selama 20 tahun. Dan, Zahni sudah fikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan ini.”

Ibu Zahni yang tetiba keluar dari bilik terus menyambung, “Janganlah kata dia buka aib sendiri, tidak cukup lama kah dia berusaha, dan tersiksa demi mempertahankan rumah tangga dan masa depan anak-anaknya? Janganlah sapa-sapa berani mencemuh dia. Dia anak aunty, aunty tahu sangat dia macam mana.” Dan terus merangkul erat Zahnita yang berlinangan air mata. “I’m lucky that I have my mom who’s always been so supportive of what I do and believe in me. Thanks mummy.” Zahnita pula memujuk ibunya. “Latest by 3pm we have to leave, we have an appointment,” si ibu mengingatkan dia. 

Sebagai ibu, Puan Janieyah Ghazali adalah wanita yang kuat dan sentiasa berada di belakang Zahnita. Menurut Zahni, emosinya sekarang memang amat lemah dan tidak begitu stabil malah selalu datang rasa bimbang memikirkan masa depan anak-anaknya.

 “Memang Zahni fobia. Tapi pada masa sama Zahni tertanya-tanya sampai bila harus disimpan, disorok dan berpura-pura hidup bahagia seperti orang lain?  Sebenarnya pada tahap ini bukan kesabaran sahaja yang perlu diberikannya fokus tetapi Zahni sedang belajar mengawal emosi supaya dapat mengimbangi situasi dan menangani isu peribadi ini dengan baik.”

“Zahni banyak terhutang budi kepada semua yang menyokong. Tak pernah terfikir dan mimpikan begitu ramai yang berada di belakang Zahni untuk memberi semangat kala menghadapi saat-saat genting ini. Terima kasih banyak-banyak.”

Bercerita tentang anak-anak, Zanita meluahkan rasa gembira yang amat sangat kerana baru dua hari (pada tarikh kami bertemu) dia mendapat hak penjagaan terhadap dua anak perempuannya tetapi masih terkilan kerana ada pula masalah lain yang timbul.  “Anak sulung, masih dengan ayahnya kerana sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Untuk tidak menjejaskan prestasinya dan demi menjaga emosi anaknya itu Zahni mengalah dan redha.  

Solekan dan sembang kami tergendala beberapa kali. Kami yang melihat pun penat. “You all tengoklah si kecil tu, he is so hyper. Pantang pintu dibuka, dia akan berlari keluar,”  kata Zahnita, tetiba bangun dan berlari mengejar anaknya, kerana pintu pagar dibuka oleh Kashfi dan krew designernya yang sampai dengan barisan pakaian-pakaian dari Kuala Lumpur untuk shooting hari itu. Kashfi juga rindu dan mahu penggambaran kali ini menjadi kenangan manis buat Zahnita. Lagipun Zahnita adalah ‘muse’ kepada koleksi fesyennya. “Masa tidak ada orang kenal jenama Kashfi, Zahni lah satu-satu yang sudi bersama saya untuk menaikkan jenama ini,’” katanya.

Anak-anak adalah anugerah dan saya tidak berdendam

“Ya, keputusan yang diumumkan mahkamah memberi cahaya harapan buat Zahnita, setelah hampir dua minggu dia tidak dapat berjumpa dengan anaknya, Zahrafeena, 18, Zasharayna, 10, Zahlia, 7.  Tempoh dua minggu itu merupakan ujian paling berat buat Zahnita, sebelum keputusan mahkamah dikeluarkan pada 6 Disember 2024. Dan arahan oleh pihak berkuasa sebelum dia mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya keluar dari rumah bekas suami, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, dipatuhinya.

“Cuma satu saja hari itu, dan Zahni bertanya pada diri, “perlukah Zahni lalui ujian saringan air kencing? Jujur Zahni katakan, Zahni rasa amat terhina dengan peristiwa itu. ”Seperti yang diyakininya sendiri hasil saringan mendapati Zahnita  bebas daripada sebarang penggunaan bahan terlarang. “Alhamdulillah, Allah Maha Besar dan saya percaya itu satu keadilan.” 

Lumrah kehidupan, bagaikan roda yang ada turun naiknya dan pasang surutnya. Walaupun marah dengan keadaan dan orang tertentu, Zahnita tidak pula bongkak malah sedar yang dirinya juga bukanlah sempurna. Sering juga timbul rasa mahu menyalahkan diri.

“Saya tidak pernah terfikir mahu hidup sendirian dan berdikari. Situasinya tidak semudah itu. Masalahnya sejak awal lagi dia tidak mahu melepaskan Zahni. Mungkin masih ada perasaan sayang antara kami? Entahlah… yang pasti dan lebih penting Zahni punya zuriat yang masih memerlukan kasih sayang ibu dan ayah mereka.” 

“Anak-anak adalah anugerah Allah yang tak ternilai baginya. Sebagai ibu sudah jadi  tanggung jawab Zahni menjamin kebahagiaan masa depan mereka. Kepahitan hidup bersama dia yang Zahni lalui biarlah jadi rahsia. Bukan untuk dihebahkan kepada khalayak dan Zahni berazam mahu anak-anak membesar dalam satu unit keluarga yang sempurna.” 

Malangnya pintas Zahnita lagi, istana yang diimpikan itu hanya tinggal kenangan dan angan-angan semata. Ketika berlaku permasalahan dalam rumah tangga, Zahnita keliru dan tidak tahu apa yang mesti dilakukannya. Yang penting dan sentiasa bermain di kepalanya ialah dia tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak boleh meleraikan cinta seorang bapa kepada anak-anaknya.

Zahnita menambah, perjalanan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana proses undang-undang memakan masa. “Saya tahu, saya perlu sabar tapi kini saya lega hak jagaan sementara mereka berpihak kepada saya,” tambahnya. 

“Mengharungi detik-detik genting sejak beberapa tahun lalu amat menyakitkan. Then we come to our senses. Kami kembali bersama. Sesungguhnya tidak semudah itu untuk melepaskan kenangan bersama dan akhirnya berpisah. Kita hanya merancang dan Allah tentukan segalanya. Zahnita yakin apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.”

Menurut Zahnita masalah yang berlaku antara dia dan suami, tidak melibat orang lain khususnya ahli keluarga. Kerana itulah katanya dia berterima kasih kepada keluarga bekas suami yang pernah menerimanya menjadi sebahagian keluarga mereka dan tidak pernah menyimpan dendam.

Melalui hantarannya sebelum ini, Zahnita menceritakan pengalamannya hidup seperti seorang hamba sepanjang bersama suami, yang menimbulkan spekulasi berlakunya keganasan rumah tangga. 

Ikuti cerita Zahnita seterusnya dan kenapa dia jadi berani lalu bangkit membela diri sendiri.

Sering dilihat ceria menerusi hantaran di Instagram, Zahnita mengejutkan ramai selepas dia berkongsi foto bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam kesan didera. 

“Kenapa baru sekarang berani mendedahkan hal ini?”

I have gone through so much pain and abused… baik secara fisikal mahupun sumpah seranah dan tekanan emosi. Memang Zahni pilih untuk berdiam diri selama ini atas beberapa sebab but I have never truly spoken just about domestic violence. By doing this, I’m hoping I can help someone else.”

Pada pandangan Zahni mengapa agaknya sukar bagi masyarakat mempercayai apalagi memahami bahawa seseorang boleh melalui pengalaman keganasan domestik seperti Zahnita alami?

Domestic violence happens everywhere. Masalahnya para pelaku bijak menyembunyikan sikap sebenar mereka di khalayak. Mereka berlagak gentlemen di depan orang tetapi di dalam rumah mereka menjadi orang yang berbeza. Seperkara lagi mereka pandai memujuk dan dengan kata-kata kesal dan manis, itulah yang sering membuat mangsa menjadi pemaaf malah ada kalanya berasa bersalah pula dan menganggap segala yang terjadi adalah berpunca daripada diri sendiri. Sebab itulah bila ia didedahkan oleh mangsa dan dibawa ke muka pengadilan, adakalanya bukan sahaja mendapat cemuhan masyarakat, malah ahli keluarga sendiri pun boleh terkejut dengan kenyataan mereka.”

Ramai orang tidak perasan bahawa penderaan domestik bukan hanya secara fisikal malah meliputi paksaan, ancaman, juga pengasingan, pengabaian nafkah dan kasih sayang. Sering juga mangsa bertindak menyalahkan diri sendiri. Saya percaya penderaan domestik amat mengganggu emosi dan membuat mangsa traumatik.  Apa pandangan dan pengalaman Zahnita sendiri?

“Benar. Penderaan domestik berlaku dalam banyak bentuk. It doesn’t matter which abuse it is – it all hurts. Bagi saya penderaan fizikal itulah yang membuat saya tidak mampu bertahan lagi. Mungkin saya kuat untuk menahan segala deraan emosi dan mengawal diri daripada dimaki hamun atau untuk bertindak balas, tetapi saya tidak cukup kuat untuk bertahan apabila diperlakukan secara fizikal. With physical abuse you may have broken bones and bruises but emotional abuse hurts just as bad.

Cuma satu yang saya pegang, dia menyayangi anal-anak namun pada masa sama, penderaan terhadap saya berlaku di depan anak-anak. Oleh kerana itu, saya tidak mahu anak-anak membesar dengan kebiasaan situasi seperti itu yang mana boleh mengelirukan mereka serta memberi impak yang negatif. Ini yang amat menyedihkan kerana sesuatu yang tidak boleh saya tangani dan di luar kemampuan sendiri.”

Zahnita selalu sebut hal keberanian dan kesedaran. Bagaimana  menasihati wanita di luar sana yang senasib?

“Apa yang boleh saya katakan,“Don’t ever give up.” There will always be that one person who will listen. Jika anda mampu keluar daripada kemelut itu – get out immediately!  Jika terlalu kerap ia mengundang musibah bagi anak-anak. Dan itu petanda sudah tiba untuk anda fokus mempersiapkan diri.

“Saya percaya, persiapan diri sebelum meluahkan isi hati dan penderitaan perlu diberi keutamaan. Mesti ada strategi dan jika boleh perkukuhkan ekonomi sendiri. Cara itu sahaja untuk anda bergerak secara stabil dan berdikari. Dapatkan bantuan daripada mereka yang benar-benar anda kenal dan boleh dipercayai. Usually the abuse, from my point of view, never goes away without help.” 

Bagaimana dengan ahli keluarga Zahnita yang lain? Di mana mereka dan bagaimana mereka menerima takdir ini?

“Ibu bapa saya melalui peradaban dan kehidupan berumahtanga yang harmoni malah kami dibesarkan dalam suasana terbuka. Ada nilai-nilai baik yang kami pegang daripada kedua-duanya rumpun Barat dan Timur. Walaupun ayah orang Barat tapi kami sentiasa mempunyai keseimbangan budaya kedua-duanya. Selepas bapa kandung saya meninggal, ibu berkahwin lain dan kehidupan kami juga bahagia hinggalah ayah tiri meninggal. Kini saya punya ibu, dan adik beradik yang sentiasa berada di belakang, menyokong saya secara moral dan bantuan lain.”

Zahnita tolak tawaran memperaga pakaian Raya 2025 daripada jenama tekstil terkenal bernilai RM150,000. Kenapa? Bukankah ini peluang baik?

“Benar, ia satu tawaran yang baik dan boleh menjadi peluang untuk saya kembali ke alam kerjaya lama, tapi biarlah saya berterus terang, sudah tiba masanya saya memilih dan tidak membenarkan diri dipilih kasih dan dianaktirikan.”

Zahnita Humble Pie – A Sweetie Pie. Cerita sikit perancangan Zahnita untuk perniagaan ini.

“Inilah topik yang saya paling suka buat masa ni. Hari ini saja kami mendapat tempahan 3,000 keping Zahnita Humble Pie. Memang ini fokus saya sekarang. Dan ibu saya juga mahu saya tumpukan perhatian pada perniagaan dan anak-anak daripada memperaga secara tetap. Saya anggarkan perniagaan Humble Pie dengan pulangan lapan juta dalam jangka waktu lima tahun akan datang. Sudah ada tawaran untuk berkolaborasi dalam perniagaan pie ini dan untuk mencabangkan jenis produk, tapi saya mahu lebih berhati-hati. Kita merancang dan mengharapkan yang terbaik. Tak perlulah saya ceritakan secara terperinci rancangan saya ini. Kita tunggu dan lihat. Saya mohon doakan yang terbaik daripada semua.”

Zahni sering sebut hal mendidik anak-anak, apakah pengertian parenting buat Zahni?

“Sejak kecil kami adik beradik dididik dengan baik. For the girls we were thought to be gentle and kind. Begitu juga dengan adik beradik lelaki ciri-ciri lelaki sejati yang menjadi pelindung wanita adalah satu budaya dalam keluarga Zahni. Sesungguhnya apa yang berlaku ini sesuatu yang mereka juga tidak boleh terima. Inilah kebaikannya, at least I have someone and a place to fall back to dan paling penting ada orang untuk mengadu dan mempercayainya.”

Bagaimana Zahni lalui suasana itu setiap hari?

“Bila kita tiada pilihan dan terpaksa, kita mesti laluinya. Ia bukan mudah tapi untuk sekian lamanya Zahni rasa itulah kehidupan yang sebenarnya. Demi kepentingan yang lain Zahni ketepikan kepentingan peribadi. Bila kita berkahwin, kita sebenarnya mengahwini seluruh ahli keluarganya.”

Apabila Zahni imbas semula apa yang telah terjadi dengan keputusan untuk meneruskan juga impian ‘sebuah mahligai bahagia lagi sempurna’ ya sehingga 20 tahun lamanya bertahan, soalan Kak Mahani, apakah pengorbanan itu berbaloi?

“Adakalanya Zahni pernah terfikir atau boleh Zahni katakan terbit satu kesedaran yang memeritkan… that sometimes your dream isn’t worth reaching for. At least, that’s what I felt for so, so long. Should I have let the dream go, so that I didn’t have to go through all the abuses. Apapun sebagai seorang ibu dan wanita yang matang saya tidak boleh fikirkan diri sahaja, setiap tindakan saya ada berkait dengan insan lain, seperti anak-anak dan ahli keluarga di pihak dia juga misalnya. Jadi Zahni mengambil keputusan untuk bertahan semampu boleh.”

Pernahkah sepanjang waktu itu Zahni berkeras dan menuntut untuk dilepaskan?

“Amat sukar untuk berfikir hingga ke tahap itu, tidak mudah untuk kita bersikap tenang dan seadanya jika setiap ketika kita berada dalam tekanan dan ketakutan. What I tried to do was to find a close person to talk to, and let them know what my plan was. So, I had somebody else that could be there to back me so I could get out. Ibu saya dan keluarga serta kawanlah yang saya percayai untuk berkongsi hal-hal peribadi seperti itu. Ibu sendiri terkejut bila mendapat tahu dan ia pula keluar dari mulut Zahni sendiri. Zahni percaya dia dapat mengagak trauma dan kepahitan hidup yang dilalui. Ini kerana saya tidak pernah langsung menyebut hal itu mahupun membincangkannya. Hinggalah penderaan yang saya alami baru-baru ini dan saya tidak sanggup lagi. Ini yang mendesak dan membuat saya tekad untuk mengambil keputusan keluar dari rumah bersama anak lelaki yang bongsu berusia empat tahun.”

Secara psikologisnya pendera domestik sering membuat mangsanya berasa mereka tiada pilihan selain meneruskan hidup bersama mereka. Biasanya mereka juga akan menggunakan kata-kata ancaman selain berlaku kasar, seperti menggertak, tidak membenarkan berjumpa anak-anak dan sebagainya. Bagaimana dengan Zahnita?

“Memanglah saya juga ada mendapat kata-kata ancaman  tapi  bukan mudah untuk keluar rumah setelah sekian lama terbiasa hidup berumahtangga. Again ia sesuatu yang saya harus lakukan. Saya harus ketepikan pandangan masyarakat dan perasaan malu dengan situasi itu. It’s really hard to know when to get out and when not to get out – especially when you have children. Sekiranya saya tidak mempunyai anak, agaknya mungkin saya sudah bertindak lebih awal.” 

Para pendera biasanya bijak memujuk untuk melembutkan hati, umpama sekeras-keras kerak nasi dicurah air, lembut juga. Apakah Zahnita melalui pengalaman sama?

“Memang kita akan termakan kata-kata manis dan lagak mereka yang penuh kesal dan penyayang namun saya ingin berpesan kepada wanita di luar sana agar sentiasa berhati-hati, mesti tabah dan kuatkan semangat. Seperti yang saya katakan tadi kesedaran itu penting diberi fokus untuk mengumpul segala kekuatan yang kita mampu.”

Setelah apa yang berlaku, dan seperti Zahni katakan beberapa kali, anak-anak adalah keutamaan. Demi sebuah keluarga yang sempurna dan demi mereka, apakah Zahni fikir akan terbuka hati untuk kembali hidup bersamanya?

“Tidak! Orang kata jodoh tiada siapa yang tahu, namun buat masa ini, tidak mungkin.”

Apakah Zahnita akan membuka peluang dan ruang untuk lelaki lain dalam hidup bersama di masa depan? Apa harapan Zahnita mengenainya?

“How you create healthy norms and to have a happy family has always been my dream. Sebab itulah saya ketepikan dunia glamor dan mahu tumpukan lebih masa untuk bisnes dan anak-anak. My son is literally Allah’s gift to me. Dia anak istimewa dan saya ada tiga lagi anak perempuan yang saya mahu besarkan dengan penuh kasih sayang dan sentiasa berada di sisi mereka.”

“Soal jodoh Allah yang tentukan, tapi sekiranya ada, saya harap lelaki itu boleh memimpin saya ke jalan Allah… sama-sama mendidik anak dan menyayangi mereka seperti dia menyayangi saya. Jika tidak, rasanya tak perlulah saya fikirkan. Lebih lagi buat masa ini, sukar untuk menerima dan belum kuat lagi … biarlah saya habiskan lebih masa bersama anak-anak dan fokus pada perniagaan dulu.”

Zahni tersedar dan bangkit untuk mendapatkan keadilan. Cuba kongsikan sekadar memberi semangat untuk mereka di luar sana.

I am 39 years old now and glad that I finally understood that I didn’t deserve to be treated badly. I mean, I wasn’t able to tell someone everything that happened to me because I was ashamed. Sebagai seorang survivor, ia sesuatu yang saya baru sedar  ia terjadi, tetapi bukan salah sesiapa atau bukan salah saya sepenuhnya. I just learnt to love myself and tell myself that ‘I’m a good person.’ ‘I have a good heart.’ That’s the only way that I can make things good for me and make the best life for my family.”

Apakah yang Zahnita ingin kongsikan lagi bersama wanita dan masyarakat di luar sana, terutama mereka yang tidak pernah mengalami atau tidak tahu mengenai keganasan rumah tangga?

“Masalahnya, walaupun dikasari seawal tiga bulan perkahwinan, Zahni pada awalnya tidak menganggap ia satu isu besar apa lagi untuk melabelkan pengalaman tersebut sebagai satu keganasan rumah tangga. Itu yang perlu wanita di luar sana sedar dan tahu. Walaupun terjadi pada diri kita sendiri, selalunya kita sendiri tidak menyedarinya, malah merasakan ia perkara yang biasa dilalui pasangan lain.

Mungkin kerana kita amat sayang dan mencintai pasangan. Perasaan itulah yang mengaburkan dan membuat kita rela diperlakukan sesuka hati dan mahu terus bertahan. Lebih lagi jika sudah punya anak, lagi beratlah timbangan untuk terus bersama.”

Kerana Zahnita seorang peragawati dan pelakon terkenal, situasi dan pengalaman Zahni ini pasti akan terus menjadi perbualan dan dikupas oleh masyarakat khususnya netizen. Bagaimana Zahnita menanganinya?

“You know, I read my Instagram, but I don’t reply to everyone. Banyak komen positif dan membangun yang  Zahni terima. Zahni amat hormat dan berterima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata semangat dan cadangan bagaimana Zahni patut meneruskan kehidupan setelah berpisah. I hate violence! I hate arguing. I am strong enough now to face all that.”

Apakah masyarakat akan melihat Zahnita berbeza setelah apa yang berlaku dan tindakan yang diambil?

“The one thing I want people to realize is that it took a long time for me to ask for help because I was ashamed. Saya rasa diri ini begitu kerdil and belittled. But if you want to succeed at just living life every day, you have to take it one step at a time. I’m just not going to let anyone, or anything to stop me from being the best person that I can be for my children. And if people chose to be judgemental, that is ok… “

Tepat jam tiga petang, mahu tidak mahu shooting mesti ditamatkan. Zahni sekadar sempat bertukar empat pakaian. Mengambil gambar Zahnita bersama anaknya pun seperti tidak sempat dan tidak kena. Kerana mereka sebenarnya keluar sehelai sepinggang, tidak sempat hendak berkemas pakaian, ambil sehelai dua yang patut. “Zahni hanya fikir yang penting bawa peralatan untuk membuat pie,” katanya sambil meminta maaf kerana tidak ada apa yang boleh dijamu. “Semua dalam keadaan yang tergesa-gesa dan yang penting kami selamat di sini,” kata Zahni. “Mujur rumah ini siap untuk diduduki dan terus dapat masuk. Ini rumah Zahni dan sekarang apa pun yang terjadi Zahni mesti bekerja extra-extra hard, to pay the loan, tetapi bangga dapat membeli rumah ini untuk keselesaan kami lima beranak termasuk ibu, Alhamdullillah.”

She’s A Star

Credit 
Tulisan: Mahani Awang
Gambar: Syarief Nurlette
Solekan dan Dandanan: Nurul Pretty Lulu
Pakaian: Kashfi
Penyelaras: Mahani Awang
Pengarah Seni: Wirda Adnan

Related posts

“Nothing Is More Satisfying Than Being Able To Help Others”

admin

DATO’ AZIE SHEIKH MOHAMED ‘NO REGRETS IN MY LIFE’

Mahani Awang

SELEPAS 15 TAHUN DALAM DUNIA FESYEN ‘A Tale of The Bright Young Designer FIZIWOO’ 

Wirda Adnan

Leave a Comment