AGAMA

Memburu Malam Lailatulqadar

Lailatulqadar atau juga disebut sebagai malam tujuh likur bagi istilah orang dahulu kebiasaannya akan diburu pada 10 malam terakhir Ramadan, bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah SAW seperti berikut;

Daripada Sayyidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda;

تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان

“Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan.”

Hadis riwayat Asy-Syaikhan, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim.

Daripada Sayyidina Ibnu Umar R.Anhuma di mana baginda Rasulullah SAW bersabda;

من كان متحريها فاليتحرها ليلة السابع و العشرين

“Sesiapa yang hendak mencarinya, maka carilah ia pada malam ke-27.”

Hadis riwayat Imam Ahmad dengan salasilah yang sahih.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, maka pada 10 malam terakhir Ramadan hendaklah dipenuhi dengan segala amalan-amalan baik dan dihidupkan dengan qiyamullail. Lailatulqadar adalah malam lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa beramal baik ketika malam berlakunya lailatulqadar maka diampuni dosa-dosanya yang telah lampau, bertepatan dengan hadis Nabi SAW seperti berikut;

Daripada Sayyidina Abu Hurairah R.a bahawa junjungan Nabi SAW bersabda;

من قام ليلة القدر ايمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

“Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar (beribadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Hadis riwayat Asy-Syaikhan.

Untuk itu, marilah sama-sama kita memburu malam yang telah dijanjikan oleh Allah SWT ini yang penuh dengan keampunan dan kemakbulan doa kerana pada malam itu juga berjuta malahan berbilion malaikat turun ke bumi untuk mengunjungi tiap-tiap rumah Allah dan tiap-tiap rumah orang mukmin bagi mengaminkan doa setiap Muslim yang menghidupkan malam-malam mereka itu. Amat beruntung mereka-mereka yang menghidupkan 10 malam terakhir mereka, manalah tahu mendapat lailatulqadar.

 

Rumusan Lailatulqadar

Bagi memburu malam lailatulqadar ini, sudi kiranya saya paparkan beberapa pendapat para ulama terdahulu tentangnya. Terdapat beberapa rumusan seperti berikut;

Al-‘Allaamah asy-Syaikh Abu ‘Abdillah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul ‘Aziz al-Azhari rahimahumUllah yang terkenal dengan gelaran al-Amir al-Kabir dalam salah satu risalahnya mentafsirkan surah al-Qadr seperti berikut;

Dan tersebut dalam Tafsir al-Khatib (iaitu tafsir As-Sirajul Munir karangan Syaikh Khatib Asy-Syarbini rahimahUllah) daripada Syaikh Abul Hasan Asy-Syadzili yang menyatakan bahawa jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad maka lailatulqadar jatuh pada 29 hari bulan; jika awalnya hari Isnin maka lailatulqadar jatuh pada 21 hari bulan; jika hari Selasa lailatulqadar jatuh pada27 hari bulan; jika hari Rabu lailatulqadar jatuh pada 29 hari bulan; jika hari Khamis lailatulqadar jatuh pada 25 hari bulan; jika hari Jumaat lailatulqadar jatuh pada 27 hari bulan; dan jika hari Sabtu lailatulqadar jatuh pada 23 hari bulan.

Menurut Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathoni pula dalam kitabnya Mathla’ul Badrain menyatakan bahawa sebahagian ulama termasuklah Imam al-Ghazali Rah.A menyatakan bahawa diketahui laitulqadar itu berdasarkan hari pertama bulan Ramadan.

Jika awal Ramadan hari Ahad atau Rabu maka ianya malam ke-29.

Jika awal Ramadan hari Isnin maka ianya malam ke-21.

Jika awal Ramadan hari Selasa atau Jumaat maka ianya malam ke-27.

Jika awal Ramadan hari Khamis maka ianya malam ke-25.

Jika awal Ramadan hari Sabtu maka ianya malam ke-23.

Kata Syaikh Abul Hasan Asy-Syadzili pula bahawa dengan menggunakan kaedah ini beliau sentiasa berjumpa dengan malam kemuliaan ini sejak usianya baligh lagi. Tetapi menurut sebahagian ulama, kaedah ini tidaklah mempunyai sandaran nash (suatu lafaz yang tidak mungkin mengandungi pengertian lain) tidak seperti ketentuan-ketentuan yang disebutkan terdahulu. Walau bagaimanapun kaedah ini hanya sekadar pendapat dan bukanlah satu ketetapan hukum, oleh itu sesiapa yang mahu boleh ikut dan terpulanglah jika tidak mahu. Yang penting meningkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Hanya mencari keredhaan Ilahi yang mesti disembah fi kulli waqtin wa hiin (setiap masa dan ketika), tidak hanya di malam lailatulqadar yang mulia. Allahua’lam.

 

Amalan-amalan Warid di Malam Lailatulqadar

Mencari malam penuh keberkatan ini, setidak-tidaknya (yakni yang paling minima) hendaklah kita menjaga solat isyak berjemaah, melaksanakan terawih (menurut Jumhur Ulama terawih itu 20 rekaat) berjemaah, berwitir secara berjemaah (kerana hanya dalam bulan Ramadan sahaja disunnatkan witir berjemaah sedangkan dalam bulan lain hanya harus sahaja) dan diakhiri dengan solat subuh berjemaah. Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina Utsman r.a. bahawa junjungan Nabi SAW bersabda;

من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل

ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما صلى الليل كله

“Sesiapa yang solat isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah berqiyam separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.”

Juga dinyatakan pada halaman 103-104 kitab tersebut akan satu faedah daripada al-‘Allaamah al-Wanaaie seperti berikut;

Berkata al-Wanaaie, “Telah meriwayatkan Ibnu ‘Abbas secara marfu’ bahawa junjungan Nabi SAW bersabda,

“Sesiapa yang mengucapkan ‘tiada tuhan selain Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Dermawan, Maha Suci Tuhan yang empunya tujuh petala langit dan arasy yang agung’ (tiga kali), umpamanya dia mendapat lailatulqadar.” Iaitu seseorang yang mengucapkan sedemikian pada malam yang disangkanya sebagai lailatulqadar dan sangkaannya itu meleset. Sungguhpun meleset, segala amalan soleh yang dikerjakannya pada malam tersebut adalah seolah-olah dikerjakan dalam lailatulqadar.

Dan telah bersabda junjungan Nabi SAW, “Seseorang yang membaca ayat Kursi pada malam lailatulqadar lebih disukai Allah SWT daripada dia mengkhatamkan keseluruhan al-Quran pada malam-malam selain lailatulqadar.” (Yakni menunjukkan galakan dan besarnya ganjaran beramal pada malam yang mulia tersebut serta kerugian besar bagi yang meninggalkan beramal dalam malam tersebut).

Petanda Mendapat Lailatulqadar

1) Terasa badan menggeletar secara tiba-tiba

2) Terasa badan sejuk menggigil sebentar secara tiba-tiba

3) Angin bertiup ke arah kita secara tiba-tiba

4) Air mata mudah untuk menitis keluar

Bacalah doa berikut ketika anda merasai tiga perkara diatas;

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Bertepatan dengan hadis Nabi SAW seperti berikut;

عن عائشة رضي الله عنها قالت: قلت يا رسول الله إن علمت ليلة القدر ما اقول فيها؟

قال: قولي اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

“Daripada Sayyidatina ‘Aisyah R.Anha berkata, “Aku berkata kepada junjungan Nabi SAW, “Ya Rasulullah SAW, jika aku mengetahui lailatulqadar, apa yang aku ucapkan padanya?” Junjungan Nabi bersabda, “Ucapkanlah ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku’.”

 

 

Sumber: Facebook Ustaz Iqbal Zain

Related posts

SEKUFU DALAM PERKAHWINAN

adminwm

Hukum Hakam Agama Mengenai Adik Beradik

admin

MUHASABAH DIRI

adminwm

Leave a Comment