CANTIKGAYA HIDUP

Cantik Asli – Buatan Sendiri

Berbicara perihal cantiknya orang dulu-dulu, saya teringat pada atuk saudara sebelah emak yang bernama Habibah. Bila Tok Bah datang kami adik beradik suka benar mengerumuni dia. Asyik, ralit, hingga kami berteleku menatap wajahnya kala dia berbual dengan mak. Hingga terkadang Mak terpaksa ‘menghalau’ kami dari ruang tamu kerana menyibuk di situ dan menganggu perbualan mereka. 

Mengikut kisah kononnya kecantikan arwah terkenal serata bandar Johor, sebut namanya semua orang tahu. Moyang saudara saya, ibu kepada Tok Bah pula ketika itu mengikut cerita adalah perempuan pertama memegang jawatan pegawai kastam di Johor dan terkenal dengan panggilan ‘Mak Yang Kastam’ jadi semua orang memang kenal sangat. 

Kecantikan Tok Bah menjadi impian teruna dan rebutan para jejaka di zamannya malah tidak hairanlah jika dia pernah dirisik kerabat Diraja seberang untuk diperisterikan. Namun jodohnya tidak ditentukan demikian, Tok Bah akhirnya berkahwin dengan Tok Nail, jejaka tempatan yang kacak dan berjaya menambat hatinya.  

Kulit putih merah…

Kulitnya putih merah, raut wajahnya menawan, renungan mata coklatnya redup namun cukup galak untuk menawan dan membuat hati sesiapa saja yang terpandang berbunga cinta. Rambutnya coklat pekat dan berombak ikal mayang. Susuk tubuhnya sederhana, walaupun tidak tinggi lampai seperti seorang peragawati, namun begitu sempurna untuk menuntut perhatian dan membuat yang memandang menoleh dua tiga kali.

Apa yang saya selalu dengar cerita daripada mak, Tok Bah memang dilahirkan istimewa cantiknya, namun begitu dia sendiri pula rajin dan begitu taksub dengan menjaga diri dalam perihal kecantikan. Kerana ayah mak meninggal waktu usia muda, jadi mak dibela moyang dan membesar bersama sepupu-sepupunya yang lain termasuk Tok Bah. Mereka semua membesar menjadi gadis sunti di bawah satu bumbung. Dari situlah mak banyak belajar menjaga kecantikan cara tradisional yang diamalkan turun temurun dan mereka beramai-ramai membuat sendiri bahan-bahan kecantikan yang mereka gunakan.

Selain bedak Cuticura (bedak talkum zaman dulu yang didatangkan dalam bekas tin berwarna oren dan putih) dan bedak nyonya, selebihnya barangan kecantikan dibuat sendiri. Baik bahan penjagaan rambut, kulit wajah hinggalah badan semuanya dibuat sendiri di dapur.  Hanya di tahun-tahun lewat 40-an barulah mereka mendapat akses produk kecantikan seperti bedak padat Max Faxtor.

[thb_gap height=”20″]
[thb_gap height=”40″]
[thb_gap height=”20″]

Bedak sejuk (gambar kiri) buatan sendiri menggunakan beras yang direndam dan dikisar. Bedak talkum Cuticura dan ‘Bedak Nyonya’ adalah produk kecantikan yang popular kala dulu.

[thb_gap height=”40″]

Satu yang masih saya ingat dan diamalkan juga oleh emak dan kakak-kakak saya ialah menggunakan tulang sotong sebagai penghalus kulit wajah dan beras pulut dengan air asam jawa. Ketika saya remaja ada juga beberapa kali emak membuat bahan-bahan kecantikan tersebut. Apa yang dilakukan ialah mengumpulkan semua tulang sotong basah kemudian membersihkannya tanpa menggunakan sabun. Bila bersih tulang sotong tersebut dilap dan dijemur. Kemudian mak menggilingnya menjadi serbuk halus dan cara menggunakannya mudah, cuma dicampur air masak suam, dikacau rata hingga mejadikannya sederhana pekat. Kemudian disapukan ke wajah menjadi masker dan biarkan setengah jam dan dibilas bersih. Supaya wangi dan untuk menghilangkan sisa hanyir jika masih ada, air mawar digunakan sebagai pencair. Seingat saya, pernah sendiri merasakannya, memang terasa agak sedikit mengentip-ngetip pada kulit tapi bila selesai dicuci kulit memang bersih dan lebih licin.  

Untuk kulit badan pula mak rendang (goreng tanpa minyak) semangkuk beras pulut dalam kuali tanpa minyak hingga kekuningan. Bila sejuk ditumbuk dalam lesung tapi tidaklah terlalu halus hingga seperti tepung supaya masih terasa berbiji-biji halus. Sekarang baru saya tahu kenapa, untuk menjadikannya sebagai exfoliator rupa-rupanya sepertimana almond scrub yang kita beli di farmasi hari ini. Bila siap, simpanlah ia di dalam bekas atau botol kaca yang kedap udara.

Cara menggunakannya ialah dengan mencampurkan lebih kurang empat sudu besar beras tersebut (cukup untuk menyental badan satu orang) dengan segenggam asam jawa yang telah dijadikan pati dengan campuran tiga suku gelas air suam. Gaul sebati hingga jadi pekatan yang sesuai sebagai penyental atau body scrub

Sapu ke seluruh badan dan biarkan lebih kurang lima minit atau jangan sampai kering, sental serta gosok-gosokkan pada seluruh badan terutama pada siku, lutut, celah paha dan tumit kaki. Jika terasa kesat dan mengering, renjis sedikit lagi air mawar air supaya mudah untuk menyental (boleh gunakan penyembur air atau liquid diffuser seperti yang digunakan kala menggosok pakaian) dan adalah cara terbaik meratakan air. 

Biarkan sisa sentalan tadi yang bergentel jatuh ke lantai. Itulah daki dan sel kulit mati yang terkupas sementara air asam jawa yang terkandung mempunyai ejen pencerah semulajadi atau AHA membuat kulit kelihatan cerah. Anda boleh lakukan sekali atau lebih baik dua kali seminggu. Sebaik selesai membilas badan, anda boleh dapati kulit nampak lebih cerah, lembut dan licin.

Mak selalu juga mengajak kami sama-sama untuk sesi sental-menyental ni. Keempat-empat kakak saya memang akan turut serta. Saya dan adik yang ketika itu masih bersekolah rendah, mungkin sebelas atau dua belas, tetapi kamilah yang paling seronok dan sentiasa menunggu-nunggu waktu itu. Anda juga boleh lakukan ini bersama adik atau kakak pada hujung minggu atau bila ada teman berkunjung kerana ia lebih menyeronokkan dan anda boleh saling membantu menyental bahagian belakang yang sukar untuk dilakukan sendiri. 

Begitulah caranya orang dulu-dulu walaupun sukar dan tiada teknologi canggih serta kemudahan, kecantikan perlu dijaga dan diberi keutamaan.

[thb_gap height=”40″]

Kini apabila mencari bahan penjagaan kulit wajah mahupun badan kita sering terfikir untuk menjelajah ke mall atau farmasi sedangkan kita tidak sedar bahawa di belakang rumah atau di dalam peti sejuk juga di dapur terdapat banyak bahan asli yang selamat, bebas kimia dan berkesan untuk menangani masalah yang dihadapi  malah hasilnya adakalanya menakjubkan dan setara jika dibandingkan dengan produk jenama mahal.

Orang dulu-dulu tidak ada produk canggih yang hanya perlu memutar penutup dan tepek ke muka. Wallaa! Kulit wajah jadi tegang, kedut menghilang dan jeragat terhapus. Di zaman dahulu keadaan tidak semudah sekarang di mana teknologinya canggih. Jadi apa yang dipakai oleh orang dulu-dulu yang membuat kulit mereka masih tegang dan rambut pun masih tidak beruban pada usia mencecah 50-an? 

Berikut ada beberapa petua lama yang telah diamalkan sejak dulu dan mungkin anda mahu mencubanya. Bukan sahaja ia berkesan dan selamat malah, mudah dibuat sendiri dan menjimatkan pada zaman kemelesetan ekonomi di mana sebotol krim pelembap wajah boleh mencecah ratusan hingga ada yang ribuan ringgit. Jom jangan tunggu lagi?

[thb_image full_width=”true” alignment=”center” lightbox=”true” image=”12862″][thb_gap height=”20″]

Beras pulut

[thb_gap height=”40″]
  1. Minyak kelapa asli dan buah keras untuk melebatkan rambut

Masih ingat lagi masa kecil dulu nenek arwah Tok Chah selalu buat minyak rambutnya sendiri. Minyak ini dapat melebatkan dan menghalang rambut daripada cepat beruban. Diperahnya santan kelapa tua, dan santan ini akan dimasak hingga menjadi minyak. Kemudian diasingkan minyak tersebut daripada pepejal yang lahir atau dipanggil ‘tahi minyak’. Disimpannya dalam botol yang di bubuh di dalamnya bunga tanjung atau bunga kenanga.

Cara penggunaan: Di sapunya mewah pada kulit kepala dan dibungkus hingga pagi dua kali seminggu sebelum tidur. Namun seingat saya nenek gunakan juga minyak itu untuk mengemaskan rambut nya setiap pagi sebelum menyiput rambut.

Buah keras pun juga mempunyai khasiat yang sama. Cuma cara penyediaan dan penggunaannya berbeza sedikit. Anda perlukan tujuh biji buah keras yang telah dibuang kulit kerasnya, pecah-pecahkan (tidak perlu hingga halus) dengan lesung dan letakkan dalam periuk leper. Masak atas api yang kuat hingga keluar minyaknya dan menjadi kehitaman. Tapis dan  simpan. 

Sapukan pada kulit kepala dan balut. Biar hingga pagi, basuh dengan syampu dan bilas hingga bersih. Lakukan dua kali seminggu. Anda akan dapat lihat hasilnya hanya beberapa kali menggunakannya. 

  1. Tomato untuk awet muda

Tahukah anda tomato mempunyai kandungan air yang tinggi bagi melembapkan kulit dan sarat dengan mineral, kalsium, vitamin A, vitamin C, flavonoid, vitamin B kompleks, tiamin, folat dan niacin. Ia juga mempunyai anti-oksidan. Mungkin nenek dan mak dulu tak faham sangat terma-terma sains yang kompleks ini, tetapi kata mereka tomato bagus untuk menutup liang pori-pori yang terbuka, menegangkan wajah dan melicinkan serta menghilangkan jeragat di muka.

Cara penggunaan: Hiris tomato dan tampalkan je di setiap bahagian muka. Biarkan sampai ia kering baru dibilas. Atau, kalau rajin kisar dan lumur di muka seolah-olah memakai masker. Amalkan setiap hari dan anda akan lihat hasilnya. Kalau nak tahu amalan ini juga menjadi rutin Amy Search, tengok saja la muka dia yang awet muda tu walaupun dah lebih 50 tahun!

* Parut sebiji tomato dan gosokkan pada muka dan leher secara perlahan-lahan. Tomato sangat bagus untuk hilangkan parut. Biar selama setengah jam kemudian cuci dengan air suam. Tomato yang dibuat jus atau dicincang ke dalam minuman juga adalah cara terbaik untuk mendapatkan khasiat tomato.

  1. Air didihan nasi

Air nasi yang mendidih ada banyak khasiatnya. Apabila memasak nasi, ambil air didih nasi ketika ia sedang menggelegak, biarkan beberapa minit.

Cara penggunaan: Kemudian sapukan pada kulit muka. Biarkan dalam antara lima minit hingga 10 minit. Anda merasakan kulit tegang dan ketat. Biarkan, ia sedang menjalankan tugasnya. Kemudian bilas dengan air hingga hilang sisa air didih yang melekit seperti kanji.  

Jika diamalkan selalu (dua kali seminggu mencukupi) dapat membuat kulit lebih licin dan cerah.

  1. Limau nipis untuk melangsingkan badan

Di kawasan atau di perkarangan rumah kampung  pokok limau nipis adalah pokok yang biasa dan sering ditanam. Selain enak jika diperah pada pencicah makanan seperti sambal atau kicap atau air limau sebagai minuman, ia bagus untuk kesihatan.  Orang dulu-dulu gunakan limau nipis untuk pelbagai sebab lain, antaranya untuk menurunkan berat badan selain mencantikkan kulit. Anda boleh cuba petua menguruskan badan menggunakan limau nipis. 

Anda perlu minum air limau nipis suam ini, dua kali sehari pada pagi hari dan di malam hari sebelum tidur untuk mendapatkan manfaatnya secara maksimum sehingga petua kuruskan badan dengan limau nipis ini berhasil. Namun, anda perlu mengimbangi program diet sihat dengan limau nipis ini dan lebih banyak meminum air putih bagi membantu mempercepatkan pembakaran kalori di dalam tubuh. Seperkara lagi anda juga perlu berhati-hati supaya tidak keterlaluan bimbang anda mendapat gastrik pula. Pasti perut jangan kosong ketika mengamalkan diet ini.

Cara penggunaan: Campurkan sebiji perahan air limau nipis, segelas air suam, satu atau dua sudu teh madu mengikut suka. Minum pada pagi dan petang setiap hari dan lihat hasilnya. Jika anda sudah melihat hasilnya, bolehlah teruskan dengan segelas setiap hari atau dua tiga kali seminggu mengikut perlu. 

  1. Daun sirih dan daun jambu batu untuk merawat kulit berminyak

Selain sedap dimakan buahnya daun jambu batu boleh membantu menghilangkan minyak di kulit wajah dan seterusnya menghilangkan jerawat. Begitu juga daun daun sirih, ia  boleh membantu mengatasi masalah yang sama.

Cara penggunaan: Ramas daun sirih dan daun jambu batu di dalam semangkuk air. Sapukan air itu kepada kulit wajah dan biarkan selama lima – 10 minit. Kemudian bilas dengan air suam kuku yang bersih. Pastikan wajah dilap lembut hingga kering. Amalkan selalu pada bahagian kulit wajah yang berminyak anda pasti puas hati dengan hasilnya.

  1. Daun lidah buaya untuk merawat luka dan kulit licin

Lidah buaya ataupun aloe vera terbukti mempunyai banyak khasiat. Selain sebagai ubat untuk mengubat radang kulit seperti terbakar atau luka lidah buaya juga mempunyai cici-ciri merawat dan menjaga kulit. Jika luka atau terbakar, segeralah potong lidah buaya yang ditanam di perkarangan rumah dan sapukan lendirnya. Amat berkesan untuk meredakan radang luka atau terbakar dan juga dikatakan dapat mengurangkan rasa sakit malah mengurangkan parutnya.

Cara penggunaan: Sapukan lendir lidah buaya pada kulit wajah sebagai masker dua kali seminggu. Anda akan dapati kulit lebih lembut dan lembap. Ada juga yang percaya bahawa dengan menyapu lendir lidah buaya pada bulu mata setiap hari akan menjadikannya lebat dan lebih panjang. Apapun, tidak berani untuk mencuba kerana tidak pasti sejauh mana selamat dan kesannya apabila terkena pada biji mata

[thb_gap height=”40″][thb_image full_width=”true” alignment=”center” lightbox=”true” image=”12865″]

Tomato

[thb_gap height=”40″]
  1. Kentang dan timun

Kupas kentang dan timun adalah antara barang yang mudah didapati di dapur atau di dalam peti sejuk anda. Ia mempunyai agen antioksidan dan pelembab yang tinggi. Amalkan dua kali seminggu, anda pasti dapat melihat hasil malah pada kali pertama menggunakannya.

Cara penggunaan: Bersihkan kentang, kupas dan potong nipis-nipis kemudian tampalkan pada seluruh muka dan biarkan hingga kering. Hirisan timun boleh juga digunakan untuk mengurangkan sembab di mata. Baring dan tutup mata anda, letakkan sehiris timun di kedua-dua mata anda dan rehatlah lebih kurang 15 minit hingga setengah jam. Bilas dan lap. Boleh dilakukan pada waktu pagi mahupun malam.

  1. Kunyit dan halia

Mengandungi pelbagai zat galian dan vitamin, kunyit dan halia dipercayai turun temurun sebagai sumber alam yang sangat penting bukan sahaja untuk menambah aroma makanan dan untuk kesihatan tetapi juga bagus untuk tujuan kecantikan. Memakannya memberi kebaikan seperti dapat membuang angin atau toksin dalam badan kerana kandungan Vitamin C dan bahan antiseptiknya, dikatakan dapat mencegah radang kulit akibat tumbuhan jerawat atau luka. 

Selain itu kunyit pula dapat memperbaiki kulit yang rosak akibat terdedah di bawah pancaran matahari sementara halia dikatakan dapat mengekalkan peredaran darah normal selain meningkatkan penyerapan dan dapat mengurangkan ketidakselesaan perut kerana kembung atau berangin.

Cara penggunaan: Kedua-dua sumber alam ini boleh saja dimakan sebagai perencah hidangan, dimakan mentah sebagai ulam, diminum air rendaman atau jusnya yang dicampurkan dengan madu, dihiris atau dilumatkan untuk disapukan ke permukaan kulit wajah atau badan sebagai penawar jerawat, jeragat dan untuk mencerahkan kulit wajah dan badan.

  1. Serbuk dan uncang teh

Gonyoh  serbuk teh yang telah digunakan kemudian sapukan ke seluruh muka. Biarkan lima minit dan kemudian cuci dengan air suam. Satu cara lagi ialah dengan mencelup dua uncang teh dalam air panas beberapa saat, angkat dan ketepikan. Biarkan sejuk. Sambil berbaring, tutup mata dan tepekkan ke mata selama 15 minit hingga setengah jam. Ia dapat meredakan keletihan dan menjaga kulit sekeliling mata.

  1. Lemon

Gunakan perahan  jus lemon kemudian sapukan pada wajah biarkan  selama 15 minit,  kemudian bilas dengan air suam. Kerana kandungan vitamin C yang tinggi dan sifat antioksidannya, ia juga bagus untuk menjaga kulit sentiasa halus dan cerah. 

Amalkan minum air lemon selalu, selain untuk kecantikan hirisan lemon yang direndam dalam air panas dan diminum terbukti dapat membantu mereka yang menghidap barah.

  1. Beras pulut 

Tahukah anda bahawa asid amino dan vitamin yang terkandung dalam beras pulut sebenarnya menjadikan ia sebagai agen pencerahan yang terbaik untuk kulit? Amalkan selalu atau seminggu sekali dengan menjadikan ia sebagai masker untuk kulit wajah atau sebagai lulur untuk kulit seluruh badan.

Cara penggunaan: Kisar halus tiga sudu besar beras pulut bersama dua sudu putik bunga dan masukkan satu sudu susu tepung dan kacau rata. Masukkan setengah sudu kecil air mawar atau mengikut kepekatan yang anda suka agar mudah menyapunya. Biarkan kering, sekurang-kurangnya 30 minit. Sebelum bilas dengan air bersih, basahkan masker dan sental atau lulurkan dahulu beberapa minit secara perlahan dan lembut. Basuh muka dengan air suam hingga bersih. Saksikan sendiri hasilnya!

[thb_gap height=”40″]
[thb_image full_width=”true” alignment=”center” lightbox=”true” image=”12867″]
[thb_gap height=”20″]

Uncang teh

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Petua Mudah Bersalin Yang Diamalkan Sepanjang Kehamilan

admin

5 Most Expensive Wedding

adminwm

Ramadan, Zebra Square Menunggu Anda

adminwm

Leave a Comment