EYE ME

Wahai Anak

Selamat Hari Ibu. 

Aku memilih hari yang indah ini bercerita lagi mengenai seorang ibu. Ibuku, yang dari perutnya melahirkan 12 anak, dua meninggalkan sebelum melihat dunia. Dan berikut, 10 lagi lahir ke dunia. Hari ini, insha Allah kami dipanjangkan umur, dan sehingga tiba masanya diambilNya kembali.

  • Terselip rasa rindu,
  • Teringat masa kecil dahulu, 
  • Kau peluk kau manja diriku.
  • Sebagai ibu kini bercucu,
  • Pesanmu ibu, kini menjadi pesanku,
  • Sejuta sayang kami untukmu,
  • Buktinya bukan menabur bunga di pusaramu,
  • Bukan meratap hiba dan berlagu. 
  • Tentu mak bangga melihat anak-anakmu, 
  • Adik, kakak, abang, anak menantu, 
  • Di alam maya setiap hari untuk beberapa waktu. 
  • Al Quran, solat, puasa, bersedekah usah dilupa, 
  • Itu pesan terakhirmu. 

Sejuta sayangku untukmu bondaku. Rindu berada di pangkuanmu. Dengarkan lagi cerita-cerita dulu.

Di saat-saat seperti inilah aku mengerti besarnya cinta kasih itu. Lebih luas dari samudra, lebih indah daripada lautan, lebih berharga daripada permata dan lebih mahal daripada mutiara.

Seruling rindu telah memanggilku. Bagaikan deraian angin dari kejauhan. Diam-diam menyelinap ke lubuk jiwa.

Ibu, hanya dirimu di ruang rindu. 

Lima tahun seperti semalam, tetiba aku melihat matamu terpejam rapat di dalam pangkuanku. Di wajah itu terserlah kejelitaan seperti dara sunti. Dan itulah hadiah terbaik untuk anak-anak, cucu dan menantu, meninggalkan kami dalam senyuman yang sungguh manis, insya Allah itulah gambaran keindahan syurga kurniaNya. Dirimu yang memenuhi hidup selama 90 tahun (minus 20 tahun, berkahwin pada usia 19) lupa lelah, sering lupa lapar dan dahaga kerana lenganmu yang kasar membanting tulang membesarkan kami. Penuh dengan sabar. Mendidik, dan menumbuhkan cinta dalam setiap hati-hati yang lahir dari perutmu itu. Dalam kesusahan, kau tetap memenuhi tanggungjawab. Ada orang mungkin tidak tertanggung dan menyerahkan kepada tangan orang lain untuk menjaga, tetapi kau rela dan bersedia dan menyerahkan kepada Allah menjaga kami di depan matamu. Allahu Akbar. Sepatah kata pengarang, Linda Wooten, “Being a mother is learning about strengths you didn’t know you had, and dealing with fears you didn’t know existed.” 

Ceritaku, sakitnya Allah sahaja yang tahu untuk melahirkan anak sulung. Aku hilang kederat, lemah longlai. Di kedengaran doktor menyebut, push-push, tetapi langsung aku tidak bermaya untuk menolak dia keluar. Lama aku kesakitan, aku hanya mampu menjerit dan menggigit lengan suami, sehinggalah datang wajah mak di depan mata. “Wir, ingat Allah, baca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. 

Dan air mata ku mengalir laju. Saat itu aku malu kepada Allah dan kepada mak. Aku teringat mak yang melahirkan anak-anaknya sehingga 12 orang, hanya bertemankan seorang bidan, di rumah. Sementara aku, seorang pakar perbidanan dari hospital yang paling terkenal di ibu kota. Sebut SJMC, sebut Dr Siti Zaleha berbaris memohon beliau untuk menyambut kelahiran bayi mereka dan barisan jururawat bertauliah. Bersama aku sang suami di sisi, mengapa aku lemah sangat sehingga nanti memaksa pakar mengeluarkan bayi secara pembedahan?

Di saat bayangan emak tersenyum di hadapan mata ku, tetiba aku mendengar suara gembira Dr Siti dan suami, it’s a boy, congratulation, Wirda, Hisham.

Sakit tadi seperti kilat terus hilang dan aku mendengar azan dialunkan. 

Wahai yang bernama anak, sakitnya seorang ibu melahirkan kamu, hanya ibumu sahaja yang tahu. Yang demikian anak-anak, jangan kamu berani derhaka kepada kedua orang tua kamu. Wahai anak, kalau sayang ibu bapa walaupun mereka tiada, usah terus menerus menangisi. Dalam hadis menyebut, apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara; Sedekah yang ditinggalkan sewaktu hidup, ilmu yang manfaat dan anak yang soleh, yang mendoakan kedua ibu bapa.

Wahai anak, banyakkan sedekah seperti sedekah jariah; pembinaan masjid, wakaf tanah misalnya. Wahai anak jagalah silaturahim dengan keluarga dan sahabat baik mereka. Ini salah satu cara berbakti kepada orang tua kamu yang telah meninggal dunia. Hadis riwayat Muslim menyebut, “Menghormati mereka bererti kamu menghormati kedua orang tua kamu.”

Wahai anak, selesaikan hutang mereka, hutang dengan manusia dan hutang dia dengan Allah SWT. Ini termasuk fidyah meninggalkan puasa, hutang mengerjakan ibadah haji sekiranya dia tidak menunaikan sewaktu hidup. Dan tunaikan wasiat serta janji yang tidak sempat arwah lakukan. Juga ziarah kubur mereka, berdoa dan bersihkan kawasan tersebut. Dengan menziarahi kubur membuat kamu sentiasa mengingati kematian. Dan paling penting kamu sendiri, jaga ibadahmu, kerana pahala itu juga turut mengalir kepada kedua orang tua. 

Ingat anak derhaka, dilaknat Allah SWT. Anak derhaka disegerakan hukuman di dunia. Dan dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya juga ditolak amalan kebaikan penyebab dihumban ke neraka. Rasulullah SAW menyebut, “Seorang ibu adalah tempat pelaburan di akhirat bagi putera dan puterinya.” Ada banyak pahala Allah berikan kepada anak yang membuat kebaikan dan ketaatan kepada ibu bapanya, ‘Sungguh rugi, sungguh rugi dan sungguh rugi, orang yang mempunyai kedua ibu bapa yang sudah lanjut usia, salah seorang atau keduanya, tetapi tidak menyebabkannya masuk syurga.” Riwayat Imam Muslim. 

Sebelum tirai ditutup pesan Sayyidina Ali bin Abu Talib, “Hormati wanita kerana mereka adalah ibunya umat manusia. Islam telah mengangkat darjat wanita dari bawah bumi begitu tinggi, sampai syurga pun berada di bawah telapak kakinya.”

Related posts

Al Kisah Tentang Ibu…

Wirda Adnan

This Is Wirda

Wirda Adnan

Demi Mencari Kebahagiaan

Wirda Adnan

Leave a Comment