EYE ME

Ibumu, Ibumu, Ibumu. Kemudian Ayahmu

“I have never seen a place for creatures to be nurtured like the hugs of mothers.” Ma’rouf Al-Rasafi

Mei bulan istimewa. MEI (mummy, emak, ibu). Emak sudah lebih dua bulan pergi yang tidak akan kembali. Yang ku panggil ibu (ibu angkat kepada suami) juga sudah lama meninggalkan kami. Syukur saya masih ada mei, tempat bermanja dan bercerita kerana seorang lagi insan teramat istimewa dalam hidup ini, insan yang saya panggil mummy (ibu suami).

Cerita mummy banyak mengenai zaman silamnya. Dia yang berkahwin pada usia masih muda dan lama tinggal bersama mentua, sementara daddy nun di belantara dalam uniform sebagai tentera. Hidup dengan mentua, kata mummy dia banyak menimba ilmu rumahtangga.

Mengguna sepenuh masanya untuk menjadi menantu yang disenangi. Memasak, membasuh, mengemas, itulah antara tugasnya setiap hari. Dari pagi sehingga mentari pergi dan malam menyepi. Bangun pagi bekerja lagi demi memenuhi tugasan seorang suri. Melayan suami dengan hidangan yang digemari, sebagai ibu sudah tentu kerjanya tidak pernah berhenti.

Tidur yang sering diganggu, makan orang lain yang terpaksa didahulu. Hati-hati lain yang juga perlu dijaga untuk memastikan tiada hati yang iri, semua  mesti dihormati, dijagai silatulrahim setiap seorang di dalam famili.

Hem sungguh besar pengorbanan mummy yang dunianya di dalam rumahnya sendiri. Dan bila masing-masing keluar berkerja, mummy masih menjadi penghuni di dapurnya, untuk menyalakan api memasak capati, kari dan banyak lagi. Pulang mereka hanya duduk di kerusi, menunggu pinggan diisi. Membasuh dan mengemas sekali lagi, pagi ke malam sebagai suri itulah kerjanya hari-hari sehinggalah hari ini usia menyingahi 76 tahun kini. Tetapi mummy enjoy memenuhi tugasan ini. Dia melakukan dengan rela hati, dan bangga masakannya sentiasa dipuji. Sehingga hari ini, daddy sehingga berat sekali membeli makanan dimasak oleh orang lain, kecuali sang isteri. Dan seribu kalipun saya memasak kari, tidak akan sama dengan air tangan mummy, dan suami memperli.

Saya juga ibu. Cuma tidak seperti mummy.  Saya isteri berdikari, keluar mencari rezeki bersama untuk menanggung famili. Keliling saya bertukar setiap hari, kadang-kadang jauh ke luar negeri dan ada masa makan bersama Menteri. Ada ketika mengopi dengan teman-teman di balkoni.  Di rumah saya ada bibik/orang gaji, tidak perlu mencuci dan saya boleh memiliih untuk memasak atau bibik yang masak kari. Kadang-kadang saya pulang tetapi masih menghadap laptop, deadline, mana boleh menunggu sehari atau dua lagi. Anak-anak ada guru tuisyen sendiri, saya tidak susah hati kerana markah ujian dipantau cikgu tuisyen.

Mummy jika hendak membeli barang peribadi, mesti tunggu daddy free, saya pula suami pun kadang-kadang tidak tahu apa yang saya beli, dan suami tidak kisah apa yang saya beli, beli handbag ribu-ribu pun dia tidak tanya sebab katanya itu hak saya, duit saya, saya boleh buat apa sahaja. Dan ke mana saya hendak pergi waima melancong keluar negara sekalipun, suami tidak pernah question ini itu, yang penting saya tahu jaga diri dan, saya happy, penat bekerja perlukan masa untuk bersendiri, kata suami. Dan yang penting hubungi supaya dia tidak tercari-cari.

Siapa pun ibu anda, berkerjaya atau suri sepenuh masa, tanggungjawabnya sama, memastikan rumahtangganya berjaga. Memastikan sifat keibuan tidak tercela, mendidik melayan dan mencintai mereka.

Andai dia si ibu tidak dapat menguruskan anak-anak, wajib diberikan tangungjawab kepada orang lain untuk mengendalikan, dan itu tidak bermakna dia tidak sayang dan melepaskan tanggung jawab. Siapa pun ibumu, dia wajib dihormati, ditaati, disayangi. Sama ada dia miskin, cacat, buta huruf, dia berhak ke atas kamu dan menjadi tanggungjawab kamu menjaganya. Tidak mampu menjaga disediakan si tukang jaga, atau kalau tidak ada penjaga dan perlu dihantar ke pusat jagaan orang tua, buatlah yang terbaik. Bukan dicampak ke situ dan tidak lagi nampak muka kamu.

Saya teringat cerita suami. Setiap Ramadan dia dan kumpulan kerja amalnya akan pergi ke rumah orang tua. Yang sedihnya ada seorang Pak Cik, pada jam enam petang akan memanjat anak tangga dan pergi ke perhentian bas di hadapan pusat tersebut. Katanya kot-kot anaknya akan datang menjemput… si anak meninggalkan ayahnya di situ dan memberitahu dia akan datang semula jam enam untuk mengambil ayahnya. Dan sehingga hari ini, masuk lima kali Ramadan, dia akan menunggu sehinggalah waktu berbuka.

Seorang lagi penghuni ceritanya ada lima anaknya berkerja besar, tetapi dia dihantar menginap di situ. Dan bertahun-tahun tidak seorang pun pernah menjengoknya.

Seorang kenalan ada menghantar ibu dan ayah yang sakit di sebuah pusat, yang dibayai dengan sebahagian duit pencen mereka. Tetapi tempatnya sungguh daif, sedangkan duit pencen keduanya lebih daripada cukup. Alasan anak-anak, rugi bayar mahal-mahal (duit lebih jadi hak mereka) dan ditanya mengapa mereka tidak menjaga ibu dan bapanya, ada beralasan isteri tidak suka, ada juga kata dia sibuk dan tiada masa melayan dan sebagainya. Kasihan… bercampur gaul lelaki perempuan, pelbagai bangsa dan agama, hendak beribadah pun sukar. – ‘Apabila ayah ibu dah terguris dan kecil hati, jangan kau persoalkan kenapa tidak tenang di dunia, tidak selamat di akhirat!’

Siapa kamu kalau bukan kerana adanya mereka? Seorang ibu…mempertaruhkan nyawa saat melahirkan kamu.  ‘Mother was your door to this Dunya, mother will be your door to Jannah. Take care of this door.’

“Seorang sahabat datang kepada Rasulullah s.aw dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama sekali?” Nabi s.a.w menjawab, “Ibumu.” Dan orang tersebut kembali bertanya, “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab kembali, “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa lagi?” Nabi s.a.w menjawab, “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi. Rasulullah menjawab, “Kemudian ayahmu.”

Islam telah mengangkat darjah wanita dari bawah bumi, begitu tinggi hingga syurga pun di bawah telapak kaki ibu.

Ibu, dia adalah satu keajaiban ciptaan Allah. No person can replace a mother. Love her, respect her, listen to her and most importantly pray for her. Semoga Allah memberikan pertunjuk kepada kita untuk kita memahami darjat mulia para ibu dan memberikan kita kemampuan untuk berbakti kepadanya sepanjang hidup.

Khas Untuk mak

A light from our family is gone

A voice we love is stilled

A place is vacant in the home

Which never can be filled

But god who surely loved her best

Has finally made her sleep

Ya Allah berikan ibuku syurga, kerana dia adalah syurga hidup kami semua.

[thb_gap height=”40″]

Related posts

Pulanglah, Jenguk Orang Tua Mu

Wirda Adnan

You Gotta Have Style

Wirda Adnan

MEI (mummy, emak, ibu) Syurga Anak-Anak

Wirda Adnan

Leave a Comment