GAYA HIDUPSANA-SINI

BMW Malaysia Meraikan Ulang Tahun BMW M ke-50 Bersama Lima Kenderaan Berprestasi tinggi

Bersempena ulang tahun BMW M yang ke-50, BMW Malaysia mengumumkan ketibaan BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition versi Sedan serta Coupé yang baharu – kedua-duanya didatangkan dengan sistem M xDrive buat julung kali, di samping BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu, serta jentera elektrik tulen BMW M yang membuat penampilan sulung – BMW i4 M50.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Selama 50 tahun bersama BMW M, kami telah mempersembahkan sebuah portfolio yang dibarisi kenderaan-kenderaan yang ikonik lagi handal, yang mendefinisikan kereta prestasi premium dalam era masing-masing. Subjenama BMW Group ini memperkayakan pengalaman dan pencapaian kami sebagai pengeluar kenderaan premium, membantu kami menunaikan janji untuk membekalkan ‘Sheer Driving Pleasure’ merentasi seluruh produk yang ditawarkan. M melambangkan nyalarasa para jurutera kami dalam menggabungkan kefungsian sukan permotoran yang sebenar dengan inovasi-inovasi yang terkini menerusi pelbagai jentera bertaraf premium. Hari ini, kami teruja untuk meraikan M selama lima dekad yang gilang dengan perungkaian lima model premium berprestasi tinggi terbaru buat pelanggan dan peminat setia kami, termasuk para peminat sukan permotoran premium di Malaysia.”

Tambah beliau, “Sambil terus mengambil langkah progresif ke hadapan, kami memastikan aspek teknologi, prestasi, elektrifikasi dan pembangunan lestari diberi perhatian, di samping mengekalkan keunikan dan DNA yang sinonim BMW M. Sumber-sumber hala tuju ini  menjurus kepada transformasi yang signifikan – antaranya melahirkan kenderaan elektrik M yang pertama di dunia, yang bakal menyuntik dunia automotif dengan lebih keterujaan. Kita berada di kemuncak sebuah sejarah yang begitu panjang dan bermakna, lantas sambutan ulang tahun ’emas’ untuk M kali ini adalah tepat dengan pengenalan BMW i4 M50 yang sulung di samping jentera-jentera berprestasi tinggi yang lain buat para pelanggan dan peminat di Malaysia.”

Sempena sambutan M selama 50 tahun, BMW Malaysia juga sedang menjalankan misi pencarian model-model M yang tertua bagi setiap siri model kenderaan tersebut di serata negara. Para pemilik BMW M klasik digalakkan untuk menghantar butiran kenderaan mereka di sini selewat-lewatnya 8 Jun 2022, untuk memenangi hadiah BMW M yang eksklusif serta sorotan khas oleh BMW Group Malaysia.

Related posts

‘Gifts of the Forest’

admin

Koleksi Baru Wardrobe

admin

Cara Anda Minum Madu Salah, Patut Lah Tidak Menjadi Ubat

admin

Leave a Comment