
Bulan lalu buat pertama kali saya seberaninya menulis tentang penyakit kanser yang dialami. Alhamdulillah setelah patuh nasihat doktor dan menjalani pelbagai perawatan termasuk kimoterapi, saya disahkan bebas kanser namun perlu terus berjaga-jaga dalam hal pemakanan dan menjalani kehidupan yang tidak tergesa-gesa, Mengambil sesuatu perkara tidak terlalu serius, terutama dalam tindak tanduk kehidupan seharian saya.
Ya, selepas melalui pengalaman yang mengubah banyak perkara dalam hidup, saya semakin memahami bahawa kesihatan bukan sekadar tentang tubuh yang kembali kuat. Ia juga mengenai hati yang belajar menerima, fikiran yang lebih tenang dan keberanian meneruskan kehidupan.
Saya mahu kembali menikmati perkara-perkara kecil. Bangun pagi dengan rasa syukur, keluar bertemu teman, merancang perjalanan dan melakukan sesuatu yang menggembirakan hati.
Namun, ada waktunya saya masih disapa rasa sayu.
Kadangkala, tanpa sebab yang jelas, kenangan ketika sakit datang kembali. Ada malam apabila saya termenung lebih lama daripada biasa. Terfikir betapa rapuhnya kehidupan, tentang perkara yang hampir kehilangan maknanya dan mengenai orang-orang yang saya sayangi.
Saya tidak selalu berkongsi perasaan itu. Bukan kerana mahu kelihatan kuat, tetapi ada kesedihan yang lebih selesa disimpan sendiri. Saya belajar bahawa tidak mengapa jika sesekali kita berasa takut, sedih atau belum benar-benar pulih dari segi emosi.
Yang penting, jangan berhenti berharap.
Kini, saya mahu lebih menghargai masa bersama keluarga, terutama anak, suami dan ibu. Mahu terus berjalan, mengembara dan melihat dunia selagi Allah mengizinkan. Tidak perlu semuanya sempurna. Kadangkala, secawan kopi pada pagi yang tenang pun sudah cukup membahagiakan.
Ada satu lagi perkara kecil yang masih saya nikmati, iaitu memilih wangian.
Saat rencana ini saya tulis, saya berada di Kenny Hills Bakers @ Bukit Tunku. Kami memang rajin ke sini, terutama hari minggu. Suasana alam semulajadi dan konsep rumah kampung moden, menawarkan ruang makan terbuka, dan kehijauan serta mural yang memaparkan sejarah tempat. Menu pastrinya sedap-sedap belaka, tapi sejak didignos kanser dulu, saya cuba hadkan pengambilan terutama keknya yang sedap dan saya kini saya tolak terus.
Oh ya, pagi ini saya memilih Diptyque Fleur de Peau, dengan aroma musk yang lembut, bersih dan sedikit powdery. Wangian yang tidak terlalu kuat, tetapi meninggalkan kesan tersendiri. Saya sukakan wangian yang tidak perlu mengumumkan kehadirannya, namun tetap diingati. Mungkin selera saya juga berubah seiring perjalanan hidup. Bagi saya, wangian mempunyai cara tersendiri menyimpan memori. Ada bau yang mengingatkan kita kepada sebuah kota, sebuah hotel, petang yang indah atau seseorang yang pernah bersama kita pada waktu itu.
Saya semakin menyukai sesuatu yang sederhana, tidak berlebihan dan memberi ketenangan.
Saya tidak tahu bagaimana hari esok akan menyapa. Tetapi saya tidak mahu menghabiskan hari ini dengan terlalu bimbang tentang apa sahaja yang di hadapan kita. Kerana saya juga semakin sedar bahawa tidak semua perkara boleh ditangguhkan. Jika ada khabar saudara mara dan kawan-kawan yang sakit, saya mesti mencari masa menziarahinya, jika pesakit itu mengizinkan. Saya tidak mahu mencari alasan tidak pergi hanya kerana petang Jumaat contohnya, kesesakan jalanraya di mana-mana, jadi tidak pergi. Atau hujan, itu semua alasan sebenarnya. Melawat orang yang sakit ganjarannya besar, 70 ribu malaikat mengiringi kita untuk pesakit dan mendoakan kesembuhan. Benar, ada orang yang ingin kita temui, tempat yang ingin kita kunjungi dan kata-kata yang sepatutnya kita ucapkan sebelum terlambat.
Bersama suami, saya mahu terus mengembara. Melihat tempat baharu, mengenali budaya dan mengumpul kenangan. Selama ini, setiap perjalanan sering meninggalkan sesuatu untuk dibawa pulang, termasuk minyak wangi yang saya pilih sebagai kenangan dari destinasi tertentu.
Sungguh, apa pun saya mahu terus menjaga diri, berpakaian cantik tidak mahu dilihat tua, sebelum tua benar-benar menyapa, memakai wangian kegemaran, ketawa bersama orang tersayang dan mengumpul kenangan baharu. Barangkali itulah hadiah terbesar selepas melalui sebuah ujian: kita diberi peluang untuk melihat kehidupan dengan mata dan hati yang berbeza.
Saya tidak meminta kehidupan yang sempurna. Cukuplah kehidupan yang masih memberi saya ruang untuk mencintai, menikmati dan mensyukuri setiap detiknya. Dan kali ini, saya mahu hidup sepenuhnya dengan lebih banyak syukur, buang keluh-kesah dan dan gembira menikmati satu hari lagi yang Allah pinjamkan. Pada saya sembuh bukan sekadar kembali sihat tetapi menemukan semula keinginan meraikan hidup.
