FESYEN

STYLE, MODESTY & AGE-Bila menutup aurat bukan bermakna menutup gaya

Ada satu perkara yang semakin saya faham apabila usia bertambah: kita tidak lagi berpakaian semata-mata untuk dilihat cantik. Kita berpakaian untuk rasa selesa dengan diri sendiri.

Dan bagi seorang wanita Muslimah, ada satu lagi pertimbangan yang tidak boleh dipisahkan daripada soal gaya — aurat.

Tudung bukan trend. Ia bukan aksesori yang dipakai kerana musim fesyen sedang menyukainya. Dan apabila seorang wanita semakin berusia, kewajipan menutup aurat juga tidak tiba-tiba menjadi kurang penting. Malah, bagi saya, semakin usia membawa kita dekat kepada penghujung perjalanan, semakin kita mahu apa yang kita pakai selari dengan apa yang kita percaya.

Tetapi siapa kata menutup aurat bermakna kita harus berhenti bergaya? Tidak sama sekali.

Saya juga tidak pernah melihat modesty sebagai alasan untuk seorang wanita meninggalkan keindahan. Cuma keindahannya mungkin berubah. Daripada menunjukkan bentuk tubuh kepada memilih siluet yang cantik tanpa ketat.

Daripada memperlihatkan rambut kepada bermain dengan warna, tekstur, potongan dan fabrik.

Daripada pakaian yang menjerit meminta perhatian kepada pakaian yang mempunyai quiet confidence.

Dan mungkin inilah kecantikan yang lebih matang.

TUDUNG BUKAN PENAMAT GAYA

Kita boleh bercakap tentang wanita Muslimah yang bertudung tanpa menjadikan mereka semua kelihatan sama. Ada yang memilih tudung bawal. Ada yang selesa dengan shawl. Suka warna neutral — ivory, taupe, chocolate, navy, olive suka  pilih brooch kecil mahu pun langsung tidak memakai aksesori.

Ada yang suka blazer dan tailored trousers tidak kurang memilih skirt labuh.

Ada yang memakai dress longgar dan ada menggabungkan kurung moden dengan sneakers. Dan ada yang masih suka handbag cantik, jam tangan, kasut yang baik dan sedikit perfum — kerana menjadi Muslimah tidak bermaksud kita perlu berhenti menikmati perkara-perkara yang indah.

Yang penting ialah bagaimana semuanya dibawa.

MODEST DOES NOT MEAN MATRONLY

Kita perlu membezakan antara modest dengan matronly.

Modest tidak bermaksud tua. Longgar tidak bermaksud tidak mempunyai bentuk yang cantik. Menutup lengan tidak bermaksud memakai pakaian yang membosankan.

Tudung tidak bermaksud warna mesti gelap. Dan wanita berusia tidak perlu menghilangkan dirinya di sebalik pakaian yang terlalu besar hanya kerana takut dikatakan “over”.

Saya fikir ada kecantikan dalam well-cut clothing — pakaian yang mempunyai struktur tetapi tidak melekap pada tubuh; blazer yang jatuh cantik di bahu, seluar palazzo yang bergerak ketika berjalan, skirt A-line, tunic yang panjang, dress yang mempunyai volume, long vest, coat ringan atau baju kurung moden yang mempunyai potongan bersih.

Itulah fesyen modest  yang matang.

BAGAIMANA WANITA 50AN-  60-AN, 70-AN BOLEH BERGAYA?
1. Pilih siluet, bukan saiz yang terlalu besar

Pakaian tidak perlu ketat untuk kelihatan kemas. Tetapi jangan pula memilih pakaian yang terlalu besar sehingga tubuh hilang seluruh bentuknya.

Cari struktur.

Bahu yang baik.
 Lengan yang jatuh elok.
 Seluar yang panjangnya tepat.
 Skirt yang bergerak dengan cantik.

2. Warna adalah kawan, bukan musuh

Wanita matang tidak semestinya perlu berpakaian hitam, coklat atau navy dari kepala sampai kaki.

Cuba cream + olive,
 navy + soft blue,
 chocolate + dusty pink,
 black + ivory,
 
atau emerald + beige.

Tidak perlu neon. Tidak perlu terlalu banyak warna. Satu warna yang cantik pun sudah cukup untuk menghidupkan wajah.

3. Tudung boleh menjadi signature

Tidak perlu mengikut semua gaya tudung yang sedang viral. Cari satu cara yang membuat wajah kita kelihatan baik dan selesa. Kadang-kadang simple drape jauh lebih elegan daripada lilitan yang terlalu kompleks.

Dan bagi wanita berusia, saya rasa ini penting: jangan cuba kelihatan seperti gadis 25 tahun melalui gaya tudung. Biarkan wajah yang matang itu menjadi sebahagian daripada kecantikan.

4. Aksesori boleh bercakap tanpa menjerit

Jam tangan. Anting-anting — jika sesuai dalam ruang yang tidak menampakkan aurat.

Cincin. Brooch. Tas tangab. Kaca mata hitam. Kasut yang baik.

Semuanya boleh memberikan karakter. Tetapi satu atau dua statement pieces sudah cukup. Elegance needs editing.

5. Fabrik sangat penting

Ini perkara yang kadang-kadang kita terlepas pandang. Pada usia matang, fabrik yang murah atau terlalu nipis boleh membuat keseluruhan penampilan kelihatan kurang kemas.

Pilih fabrik yang mempunyai drape. Linen blend. Crepe. Silk blend. Cotton yang baik. Wool blend untuk cuaca sejuk.

Dan untuk Malaysia, fabrik yang ringan tetapi tidak melekap pada tubuh.

DAN TIDAK, KITA TIDAK PERLU RAMBUT UNTUK BERGAYA

Dalam dunia fesyen moden, rambut sering dianggap sebahagian besar daripada identiti seorang wanita. Tetapi bagi wanita Muslimah yang memilih untuk menutup aurat, rambut bukan lagi pusat kepada gaya kita. Kita tidak perlu mencari rambut palsu untuk mendapatkan kembali rasa “glamour”.  Yang paling penting, kita mempunyai presence.

Saya tidak mahu rencana ini masuk terlalu jauh dalam hukum tanpa rujukan ulama, tetapi kita boleh menyatakan prinsip yang jelas: bagi wanita Muslimah yang berpegang kepada kewajipan menutup aurat, rambut bukan sesuatu yang perlu dipamerkan untuk membuktikan bahawa kita masih cantik.

THE NEW MODEST WOMAN

Kita tidak mahu kembali kepada gambaran wanita Muslimah yang hanya ada dua pilihan: jubah atau baju kurung. Dunia modest wear hari ini jauh lebih luas. Bayangkan wanita 50- an,  60-an atau 70-an memakai:

Long tailored blazer + wide-leg trousers + silk-look hijab + structured handbag

atau

Long dress + lightweight long coat + flat shoes

atau

Modern baju kurung + straight skirt + beautiful handbag

atau

Long tunic + palazzo pants + minimalist jewellery

atau

White shirt yang longgar + long vest + wide trousers + printed scarf

Semuanya boleh sopan. Semuanya boleh menutup aurat. Dan semuanya masih boleh nampak moden, sophistikated and very much alive.

DAN MUNGKIN, INILAH STAIL YANG SEBENAR

Masa muda, kita mungkin mahu pakaian membuat orang melihat kita. Apabila semakin berusia, kita mungkin mahu pakaian membantu orang memahami siapa kita. Itu perbezaan yang besar.

Saya sendiri, apabila melihat usia 60-an saya semakin sampai ke penghujungnya dan angka tujuh semakin hampir, saya tidak mahu berpakaian untuk berpura-pura bahawa saya masih berada di usia 30. Saya juga tidak mahu berpakaian seperti saya sudah berhenti hidup. Saya mahu kelihatan seperti diri saya — hari ini.

Masih suka kain yang cantik,  suka tas tangan,  suka kasut yang bermutu, baik dan cantik designnya. Masih suka melihat fesyen berubah tetapi dalam semua itu, ada sesuatu yang saya tidak mahu tawar-menawar: kesopanan, maruah dan apa yang saya percaya.

Mungkin itulah yang kita panggil modest style. Bukan menutup diri daripada dunia. Tetapi memilih dengan sedar apa yang kita mahu dunia lihat.

Dan mungkin tidak kebetulan juga apabila kita membicarakan tentang modesty dan gaya, kita sedang menuju ke satu acara yang akan meraikan kedua-duanya.

Menjelang Fashionably Modest Asia 2026 99FMA 26), nantikan MajalahWM bersama Fashionably Modest Asia pada 13 November 2026.

Di pentas itu nanti, kita akan melihat sendiri bagaimana modest fashion terus berkembang — bukan sekadar sebagai pakaian yang menutup aurat, tetapi sebagai satu bahasa gaya yang moden, kreatif dan mempunyai identiti. Kerana modesty tidak pernah bermaksud kita perlu memilih antara menutup aurat dan kelihatan bergaya.

Kita boleh memiliki kedua-duanya.

Dan mungkin itulah yang ingin kita raikan bersama di FMA 2026 pada 13 November 2026 — fesyen yang santun, gaya yang beridentiti dan wanita yang tidak pernah berhenti menjadi dirinya sendiri.

Related posts

JIWA MELAYU MODEN-Melihat Kemewahan Melalui Nilai

Wirda Adnan

Zenith – DEFY Revival A3642

adminwm

Raya Éclat 2026: Menyulam Keanggunan dalam Setiap Helaian

Afiza Kamarulzaman

Leave a Comment