DESPERADOGAYA HIDUP

Tipu! Suami Tak Akan Boleh Adil, Percaya lah

‘Rasulullah bersabda, barang siapa yang mempunyai dua isteri, dan dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dalam keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah’-  riwayat Ahmad bin Hanbal.

Aku isteri kedua kepada seorang Dato Seri. Jumlah isterinya yang aku ketahui sekarang ialah tiga, kalau dia berkahwin seorang lagi, aku tidak tahu lah tetapi instinct isteri, rasanya kekal tiga yang ada. Sebelum ini beliau juga mempunyai dua isteri tetapi kedua-duanya sudah pun lama bercerai. Dato juga mempunyai anak bersama kedua bekas isteri tetapi sudah besar dan sebenarnya aku tidak beberapa tahu tentang kedudukan mereka sebab sebenarnya suami tidak banyak cakap (banyak bini aje, hah).

Hari ini aku menjadi isteri kedua sekalipun aku yang paling lama bersama dia. Zaman jahiliyah  aku mengakui hidup bergelumang dengan dosa. Aku mengenali Dato ketika bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat dan syarikatnya banyak berurusan dengan syarikat tempat bekerja. Sebagai setiausaha khas kepada bos, aku akan hadir sama di dalam mesyuarat, di mana bos berada, aku pun ada. Pendek kan cerita di situ aku mengenalinya, dia yang cukup serius manusianya.  Muka dia handsome juga tetapi kerana tidak tahu senyum dan tegas, aku  selalu berkata, “mujurlah aku tidak kerja jadi setiausahanya, kalau tidak seksa hidup.”  Apa pun aku tidak pernah tahu dia rupanya menaruh hati, dan saat syarikat tempat aku bekerja tutup, pada satu ketika di mana aku dihantar oleh bos mohon berurusan atas kerja-kerja yang tergendala, dari situlah bermulanya perhubungan kami.

Semenjak aku  tidak bekerja itu lah, dan kerana aku perlukan wang untuk menanggung keluarga yang miskin, akhirnya aku terjebak menjadi perempuan simpanannya. Mengapa tidak berkahwin? Sering aku ajukan soalan itu kepadanya, katanya, “jangan bimbang kita akan kahwin.” Dan dalam pada itu masa berlalu begitu sahaja, kami hidup tanpa berkahwin sehingga satu hari aku mendapat tahu dia telah berkahwin dengan seorang wanita yang punya nama. Pernah juga aku bertanya padanya kenapa dia bercerai dengan isteri kedua dulu, dan jawapannya membuat aku pelik, “Sebab she is so unislamic.” “Jadi hidup kita ni islamic sangat ke?” Aku tanya dia. “You simpan I macam ni, I tak komplain mengenai yang lain, tapi my status bagaimana?” I tahu you beri I wang ringgit, beautiful place to stay, kereta dan sebagainya. You tahu I menumpang dengan you tetapi you take me for granted.” 

Apa pun semua alasan, dia hanya berdiam diri. Kerana dia pun datang sekali sekala, bila dia bersama, cerita kahwin pun tenggelam begitu sahaja.

Memang mak ayah aku tahu kami tidak pernah berkahwin tetapi mak pun asalnya convert itu pun yang membuat aku sendiri pun tidak beberapa kisah. Bila sekali dua menyuarakan kepada Dato Seri, dia tidak menolak yang dia akan mengambil aku sebagai isteri tetapi lima tahun berlalu tanpa ikatan. 

Dato Sri Berkahwin

Majlis perkahwinannya dibuat besar besaran juga dan dunia pun tahu perempuan jelita ada nama itulah isteri Dato Sri. Untung lah dia kerana dengar kata hubungan mereka tidak lama dan terus diijab kabulkan. Mungkin kerana perempuan itu ada nama, lalu perlulah ditayangkan ke dunia. Dan satu lagi, pada kawan-kawan dia pun konon katanya sudah lama membujang lalu wajar sekali berkahwin.

Cerita dia berkahwin itu membuat aku tersedar bahawa dia rasa aku hanya layak dijadikan sebagai perempuan simpanan. Buat aku tersedar yang aku adalah alat memuaskan nafsunya. Ya dia kaburkan mata aku dengan sedikit kemewahan, dan untuk aku mengunci mulut barangkali. Dan mengapa dia tidak mahu berkahwin pun aku tidak tahu, mungkin aku sudah pun secara amnya adalah haknya, jadi dia menjadikan hubungan kami ini sebagai biasa sahaja. Dia pun nama sahaja Islam, dan konon bercerai dulu sebab isteri tak islamic, tetapi cara hidup dia pun tidak langsung berlandaskan Islam. Aku pun terikut caranya dan lupa aku melakukan dosa besar kerana berzina dengannya bertahun-tahun.  

Dan perkahwinan dia itu penyebab aku terbuka mata. Baru aku rasa betapa kotornya hidup aku selama ini. Hanya kerana hendak hidup senang dan mewah dan malas memikirkan mencari pendapatan sendiri, dan tidak kuasa berusaha cara lain, maka aku biarkan diri bergelumang dosa. Ya, aku pernah terpaksa membuang kandungan kerana Dato memberitahu dia belum bersedia. Begitu pun pada masa aku mendapat berita yang dia sudah berkahwin, tanpa aku sedari tiga bulan kemudian aku sendiri mengandung. Kali ini aku berjanji tidak mahu lagi membuang kandungan dan mahu menebus dosa dengan memelihara anak ini. Aku tahu ‘benih’ ini haram kerana persetubuhan tanpa berkahwin tetapi tidak mengapalah, aku tahu aku melakukan kerana sayang Dato dan aku merasakan dia juga menyayangi aku, cuma hanya kami  tidak berkahwin. Betul layanan dia apabila kami bersama adalah terlalu baik. Dia juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk menyediakan segala kesenangan, kondo ini pun atas nama aku, kereta-kereta mewah dan dua pembantu serta pemandu juga disediakan. 

Begitu pun peristiwa dia berkahwin itu membuat aku bertekad untuk menamatkan hubungan kami. Dengan wang simpanan yang cukup, aku mengambil keputusan meninggalkan kondo itu, itu cara terbaik bagi mengelakkan dia tidak datang lagi. Betul aku tidak mahu dia hadir lagi dalam hidup ini. Aku redha atas apa yang berlaku. Aku berazam untuk memperbaiki akidah dan berjanji membimbing anak aku ini menjadi orang yang beragama walaupun aku sendiri sudah terpesong jauh, melahirkan dia sebagai anak haram. Aku bertindak keluar dari kondo itu, dan  mencari rumah lain, yakni jauh daripadanya. Sambil itu melantik agen untuk urusan menjual kondo yang telah kami duduki hampir lima tahun. Aku berpindah ke tempat lain dengan harapan dia tidak dapat mencari aku lagi. Lagipun semua yang ada atas nama aku, dan dia pun tidak berhak untuk mengambil apa pun daripada aku. Pada aku itulah juga bayaran selama lima tahun bersamanya.

Seorang bayi yang bakal aku lahirkan, tanpa aku pun mahu memberitahunya bahawa anak di dalam kandungan ini adalah anaknya. Pada aku tidak perlu pun untuk dia tahu, dan aku tidak mahu kalau-kalau dia pula akan menguruskan untuk aku bertemu pakar sakit puan dan sekali lagi bayi dalam kandungan terpaksa dibuang.

Dua tahun berlalu, anak lelaki yang aku lahirkan dibesarkan tanpa ayah. Memang ‘papa’ dia ada mencari, tetapi aku tidak mahu lagi apa-apa daripadanya. Peliknya bank aku tetap diisi dengan wang seperti mana selalu. Pada aku okay kamu beri, aku ambil tapi aku tidak sudi lagi bersama kamu. Anak kamu aku besarkan, aku boleh beri dia kasih sayang sekalipun dia tidak mendapat kasih sayang daripada insan yang boleh dipanggil papa. Lagipun aku sedar dari segi agamanya, title papa pun tidak sah untuknya, jadi tidak perlulah sibuk untuk menemukakan dia dengan papanya.

Masuk tahun ketiga kami tidak berhubungan. Aku pun tidak komplain. Hidup seperti biasa, cuma aku tidak perlu menyimpan dua pembantu, seorang cukup malah tidak perlu pun pemandu. Menjalani hari-hari dalam kesederhanaan. Masih boleh bantu serba sikit keluarga sambil aku menjalankan bisnes kecil-kecilan. Sesekali keluar menguruskan bisnes, sesekali melancong bawa anak mengenal dunia. Sesekali aku bawa famili ke luar negara. Sesekali  bawa kawan-kawan enjoy bagi menghilangkan kebosanan. Adeel pun sudah diuruskan masuk ke pusat jagaan khas, yang pasti aku tempatkan dia sesuai dengan kemampuan, dan kerana ‘papa’nya tidak pernah lupa untuk memasukkan wang setiap bulan aku letak dia di pusat yang agak mahal. Itu sebagai ‘hutang’ aku kepadanya lagipun apa gunanya wang kalau bukan untuk hari depan anak. (barangkali pun ‘papanya’ lupa yang dia ada potongan untuk aku dan sebab itu wang aku tidak pernah putus).

Namun begitu ke mana aku mahu lari sebenarnya. Kuala Lumpur ini kecil, dan satu hari aku pun tidak tahu bagaimana dia boleh mendapat pas masuk ke kondo baru aku. Aku pelik dan tiba-tiba dia sudah muncul di depan pintu. Kerana lif condo adalah ‘private’ ia terus ke pintu utama yang aku jarang menguncinya ketika di siang hari, lagipun tiada tetamu boleh masuk tanpa kebenaran.

Bermula episod baru bila ditemukan semula dan sebenarnya pun dia tidak terkejut melihat Adeel. Dia rupanya tahu setiap perkembangan diri ini. Katanya dia mengikuti setiap pergerakan aku melalui orang suruhannya. Okay pendekkan cerita, dia bersetuju berkahwin. Asalnya aku menolak tetapi kehadirannya macam susah untuk dilupakan semula.  Lalu jadilah aku isteri kedua. Dia berjanji untuk tidak lagi mengabaikan aku dan berjanji setia. “Dan bagaimana dengan isteri  pertama you?” Jawabnya you tidak payah menyesakkan fikiran, “you’re my wife now.” katanya.  Dan katanya aku tidak perlu pun ambil tahu hal di sana. Orang di sana katanya akan terus menjadi isterinya, dan dia tidak pun bercadang  untuk menceraikan isterinya. Dan orang di sana pun katanya tidak perlu pun ambil tahu akan dia yang punya isteri seorang lagi. Katanya kalau disebabkan dia berkahwin dan sang isteri tidak sanggup bermadu, itu hal dia. Pendek cerita kata suami aku tidak perlu ambil tahu langsung. Aku fikir, kalau begitu tidak apa lah, lagipun aku yang sepatutnya lebih marah sebab aku yang hidup lama dengannya dan aku yang lebih berhak.

Memang dasar lelaki, bila isteri pertama pun jenis yang tidak mahu bising mungkin, isteri keduanya iaitu aku yang tidak kuasa ambil tahu, yang penting aku dan anak tiada siapa yang ganggu, tiba-tiba aku mendapat tahu yang suami berkahwin lagi. MashaAllah jenis jantan yang tidak pernah puas. Bila rezeki besar, nafsu pun besar. Kali ini berkahwin dengan wanita yang tidak kurang juga terkenal, muda dan bergaya. Cerita dia berkahwin tidak begitu dihebohkan tetapi semua orang tahu suami perempuan itu ialah Dato Seri yang satu ini dan yang sudah berbini, tetapi ramai ingat perempuan itu bini yang kedua. Sebab kehadiran aku tidak ramai tahu. It doesnt matter to me, anyway, now that i am his wife dan anak aku ada ayah (dan dia memang sayang sangat pada Adeel, aku pun tidak kisah).” Dia pulang setelah tiga minggu berbulan madu dan memberitahu pada aku dia sudah berkahwin tetapi berjanji akan berlaku adil dan berjanji tidak akan mensia-siakan hari depan aku dan anaknya.

Isteri ketiganya mengandung, itu berita yang aku dapat tahu dari mulut suami sendiri. Happy sangat dia memberitahu. “Sayang jangan susah, kasih sayang I tidak akan berubah pada you dan Adeel. Mengenai giliran awalnya dia berjanji akan pastikan sama rata tapi lama-kelamaan, masa dengan aku bertambah-tambah kurang. Kadang-kadang hanya datang beberapa jam dan pulang. Ditanya kenapa tidak bermalam sehari dua seperti yang dijanjikan, dia mesti ada jawapan. Akhirnya aku pun sudah tidak kisah berapa hari dia di rumah isteri pertama dan isteri ketiga. Pada aku kalau dia balik, baliklah tapi kalau dia tidak balik, apakah aku mahu memekik melolong? Tiba satu waktu, kita sudah tidak berapa kisah hal-hal itu, dan apa yang aku mahu, ya aku mahukan seorang lagi anak. Lelaki atau perempuan aku tidak kisah sementara usia aku masih boleh mengandung.

Sejak isteri ketiha mengandung dan isteri pertamanya juga mengandung, masanya semakin berkurangan bersama Adeel. Maknanya juga sudah tidak kerap lagi pulang ke rumah. Aku hanya kata padanya, “abang janji hendak berlaku adil tapi abang sendiri yang mungkiri janji. Nia hanya hendak memberitahu pada abang, andainya Nia rasa Nia tidak boleh lagi bertahan, Nia akan membawa Adeel pergi dan jangan lagi mencari kami. Dan kali ini kalau abang mencari pun Nia tidak akan menerima abang lagi, selagi Nia bertahan tidak mengapa, lagipun Nia jenis orang yang tidak suka bising. Kalau sudah sampai tahap, Nia akan pergi.” Itu yang aku beritahu suami. Dia hanya berkata, “tolong jangan buat macam itu, abang janji berlaku adil.” Tetapi janji lelaki hanyalah palsu.

Tipu, memang lelaki yang punya bini lebih satu, apatah lagi sampai tiga,  tidak akan mampu berlaku adil. Aku merasainya, kerana rasanya antara kami bertiga, aku yang paling diketepikan. Dengan yang pertama dunia pun memang sudah tahu dia berkahwin dengan perempuan itu, dan dengan yang ketiga, di kalangan kawan-kawan dan keluarga dan kelompok tertentu memang tahu dia berkahwin dengan perempuan itu dan dengan aku… dari dulu hingga kini, entah rasanya hanya seorang dua sahaja yang tahu. Dua bininya pun ingat mereka berdua sahaja. 

Dan jangan berharap bini pertama hendak berbaik dengan yang ketiga dan ketiga hendak berbaik dengan pertama, tidak mungkin. Dan aku pun andai mereka ketahui kedudukan aku, aku pun juga tidak sudi berbaik dengan mereka. Lagipun ceritanya, aku ialah ‘the invisible wife’ didatangi as and when he want to be with me. Aku tidak kisah, terima apa sahaja.

Masa berlalu, Adeel sudah ke kelas menengah satu dan Adeel pun ada adik perempuan. Dalam pada suami pulang ikut suka hati dia, sewaktu Adeel berusia lapan tahun, aku mengandung lagi. Aku pun tidak percaya pada usia 40-an aku boleh mengandung lagi tetapi, Allah berikan lagi rezeki. Aku bersyukur hajat aku inginkan anak perempuan dimakbulkanNya. Berapa adik beradik anak-anak ku semua, yang aku tahu isteri pertama ada dua, ketiga dua dan aku pun ada dua, sebelum ada ada lima. Fair lah tu cuma papa mereka sahaja yang tidak fair. Dengar cerita dia lebih banyak menghabiskan masanya di rumah bini mudanya. Suami sedar diri sudah tua jadi takut kehilangan isteri mudanya,

Bagaimana hidup bermadu? Kalau anda ingin tahu jawapan aku, kalau kau orang jenis yang mahu suami berlaku adil, aku hendak bagi tahu, Tak adanya lelaki berpoligami boleh seadil-adilnya. Semua itu tipu. Hanya mulut sahaja kata dia boleh adil, tetapi sebenarnya tidak boleh. Nasihat aku, elak berkahwin dengan laki orang. Kerana kamu jangan bermimpi dia akan memberi sama rata, oh tidak. Aku tahu dua orang di sana hidup mereka lagi mewah sebab mereka pun sudah biasa dibesarkan dengan kemewahan dan aku, seperti cerita aku tadi, aku tidak dilahirkan di dalam kemewahan, jadi yang ada pada aku sudah cukup mewah. Yang penting aku gembira, dua anak yang membuat hidup aku sempurna, dan untuk suami… pandai-pandailah kamu mengagihkan kasih sayang kamu dan memberi layanan sama rata kepada anak-anak kamu kerana kalau kamu tidak mampu berlaku adil, kamu jawab lah di akhirat nanti.

Hari ini aku hanya mahu membetulkan diri aku dan mahu menyuci diri yang terlalu banyak dosa. Aku takut Adeel akan bertanya tentang kedudukannya dan aku takut kalau dia tahu akan dirinya. Hanya Allah tempat aku berserah, dan memberi aku hidayah dan terus meletakkan aku di landasan yang benar. Aku telah banyak membuat dosa dan tidak mahu menambah dosa dengan meminta hak-hak aku, cukup apa yang ada. Lagipun setakat ini suami tidak melalaikan tanggungjawabnya memberi kesenangan cuma dalam hal kasih sayang dan membahagikan masa sama rata kepada isteri-isterinya, aku rasa itu dia gagal. Jika dalam sebulan tiga kali sahaja dia menjenguk adakah itu adil? Ke mana dia di waktu yang lain… aku tidak mahu tanya, kerana bila dia bersama aku, aku tidak akan menyebut orang di sana, dan dia pun begitu… itu bagi aku penting, dan aku pun tidak mahu tahu akan orang di sana, dan mungkin orang di sana juga tidak ingin tahu akan orang di sini. Masing-masing ada harga diri mungkin. 

Adeel dan Adila (keduanya bukan nama sebenarnya) aku mahu kamu berdua menyayangi papa kamu sekalipun kamu jarang bertemu. Kadang-kadang dia datang kamu orang sudah tidur dan dia pulang kamu pun ke sekolah. Nak buat macam mana kita berkongsi kasih dan  barangkali papa kamu lebih menyayangi anak-anaknya yang di sana… mama tidak tahu… itu mungkin perasaan mama sahaja tetapi bersyukurlah kamu masih ada papa.

Related posts

Suami Kejam, Saat Aku Bertarung Nyawa Dia Kahwin

admin

“Abah, Kami Yang Berdosa…

admin

Kandungan Gula Yang Tinggi, Boleh Dapat Strok… Apa Lagi Keburukan Minuman Tenaga?

admin

Leave a Comment