Mempunyai ijazah dalam Seni Halus dari UiTM Shah Alam, Selangor. Saya memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Pemasaran di salah sebuah syarikat penerbitan sebelum menjadi Pereka Grafik di salah sebuah syarikat penerbitan terkemuka. Kerana minat yang mendalam dalam bidang penulisan, saya menulis cerpen, sajak dan menulis buku sebagai penulis hantu. Saya juga berkecimpung dalam bidang motivasi sebagai Penceramah dan berlatar belakangkan sebagai Pakar Hipnotis dan Pakar Hipnotis Klinikal di Klilikal Institut Penyelidikan dan Pendidikan Neuro Lanjutan, (AN-RE), New York.
Dan antara penglibatan saya termasuk juga sebagai jurulatih ke Arah Kecemerlangan – Bengkel Badan Minda & Jiwa, anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Mesir, Kaherah, Mesir (2021), juga jurulatih di Bengkel Alam Sekitar Zon Bersih anjuran Majlis Perbandaran Subang (MPS), Kuala Lumpur antaranya. Terkini, saya juga adalah anggota Kumpulan Nasyid El Qash yang aktif bernasyid, marhaban dan berqasidah. Itu antaranya dan banyak lagi penglibatan saya termasuk aktif sebagai jurulatih kecemerlangan diri secara personal dan penglibatan dalam masyarakat.
Ibu adalah sekolah. Ibu adalah lembaga pendidikan utama. Ibulah yang membekali anak, sikap, watak, keperibadian, akhlak, iman dan pemahaman bahawa dunia ini berkerikil, dan kerikilnya dapat sering membuat si anak terjatuh. Ibu yang baik akan mempersiapkan anaknya menghadapi kerikil-kerikil itu agar ketajamannya tak membuat cedera hidup di dunia, apalagi cedera di akhirat – Hasyim El Hanan Awal perkahwinan saya telah biasa ditinggalkan suami atas kesibukan dan tuntutan kerjayanya. Saya banyak berdikari termasuk dalam pantang juga saya melaluinya sendiri, tanpa suami di sisi. Suatu ketika saya dalam pantang, suami berada di luar negara dan saya melaluinya sendiri kerana tidak mampu mengupah pembantu ketika itu. Apabila saya ditukarkan ke bahagian akhbar dan jadual bekerja mula tidak menentu, saya berasa risau kerana masa dengan anak-anak jadi semakin terbatas.Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan nekad untuk meletakkan jawatan dan memilih bekerja sendiri agar dapat memberikan lebih tumpuan kepada anak-anak.
Kesibukan suami menyebabkan anak-anak lebih dekat dengan saya. Ketika tidak dapat kuantiti masa bersama anak-anak, saya memilih untuk masa yang berkualiti bersama mereka. Saya amat hargai setiap momen dan masa itu berharga kerana saya membesar dalam keadaan ibu dan bapa yang berpisah semasa kecil. Saya tidak mahu anak-anak lalui kesunyian dan kesedihan seperti yang pernah saya lalui. Saya hargai setiap momen yang ada dengan menggembirakan anak-anak dan mendidik dengan kasih sayang. Banyak momen indah yang kami lalui bersama tanpa figura seorang ayah.
Dan apabila diuji untuk melepaskan dengan keikhlasan sebuah ikatan perkahwinan, saya sudah bersedia dan anak-anak juga berlapang dada kerana mereka rapat dengan saya sejak kecil berbanding ayah mereka.
Sebelumnya saya memilih bertahan demi anak-anak. Tetapi anak-anak yang lebih bersedia dan selalu mengingatkan saya untuk kebahagiaan diri saya. “Mama berhak bahagia.” Itu yang mereka selalu ucapkan. Selepas berpisah, anak-anak semua tidak teragak-agak untuk memilih bersama saya kerana memang tidak rapat dengan ayah mereka sejak kecil.
Saya nekad berpisah ketika covid melanda. Allah telah mendidik saya berdikari dan saya lebih kuat setelah menetap di Mesir selama lima tahun untuk menjaga anak-anak kandung dan anak-anak angkat di sana. Saya sendirian di Mesir membesarkan anak-anak dan Allah sebaik-baik penjaga. Pulang dari Mesir, saya ada kekuatan untuk melepaskan ikatan perkahwinan. Anak-anak saya juga kuat dari segi emosi kerana selama ini mereka telah banyak melalui kehidupan suka duka bersama saya. Anak-anak saya manja namun mereka matang kerana saya selalu ingatkan mereka, kita boleh manja tapi kita jangan manja dengan situasi. Saya bersyukur kerana dikurniakan lima anak yang mudah mendengar kata dan mudah dijaga. Anak-anak saya rapat, ada selang dua tahun dan kembar dua minit. Cabaran saya semasa anak-anak kecil ialah anak-anak kerap sakit kerana asma. Ada yang eczema. Kerap juga keluar masuk hospital kerana asma. Tetapi anak-anak saya jenis mudah dijaga dan tidak banyak ragam. Saya banyak gunakan elemen psikologi dan komunikasi serta membina hubungan kasih sayang yang kuat sejak kecil. Alhamdulillah kini anak-anak sudah menginjak remaja dan dewasa, anak-anak kekal rapat, tetap manja dengan saya dan mereka adalah sahabat saya. Saya tidak menunggu mereka dewasa untuk menanamkan di minda mereka, mama adalah sahabat mereka. Bahkan anak lelaki tunggal juga rapat dan kerap ditafsir dia suami saya setelah dia remaja. Perkara yang membimbangkan saya ketika anak remaja ialah mereka memilih lebih percaya orang lain, mendengar kata orang lain berbanding saya sebagai ibu mereka. Setelah melalui frasa itu, saya sangat bersyukur anak anak tetap mendahulukan saya dan masih lagi anak-anak saya yang manja dan mendengar kata.
Nasihat pada anak-anak: Untuk kejayaan hidup..
Dahulukan Allah dan mama. Tidak ada yang lebih hebat selain kuasa Allah dan kuasa doa seorang ibu. Letakkan Allah di depan, segalanya kerana Allah. Jadi anak yang membahagiakan dan membanggakan mama. Hadiahkan diri dengan kebahagiaan dan banggakan diri dengan kejayaan. Hidup kita biarlah memberi makna yang indah dalam diri sendiri dan kehidupan orang lain. Itu yang saya kerap pasakkan dalam minda anak-anak.
Untuk keselamatan diri…
Letak Allah di depan dan dahulukan mama. Maknanya apa-apa yang mereka lakukan biarlah dalam pengetahuan mama. Jujur dengan mama dan jujur dengan diri sendiri. Kuasa doa seorang ibu sangat penting dan kasih sayang seorang ibu sangat perlu untuk membina keyakinan diri anak-anak. Kekuatan emosi dan jati diri sangat penting untuk setiap langkah mereka.
Untuk menjadi ‘parent’ yang bertanggungjawab..
Belajar daripada pengalaman mama dan daripada pengalaman mereka membesar sebagai anak mama. Belajar juga dan pengalaman hidup orang lain. Anak-anak melihat saya membesarkan mereka dan mereka juga terdedah melihat kehidupan orang lain kerana ketika berpeluang, saya akan membawa mengikuti saya dalam program dan ceramah saya. Saya dedahkan mereka realiti kehidupan. Hidup ini sentiasa dengan ujian demi ujian. Kita perlu lalui dan selusuri dengan sebaiknya. Hidup ini singkat untuk dipersiakan. Hargai setiap momen yang ada. Syukuri setiap nikmat yang ada. Jadi orang yang membahagiakan dan memberi makna dalam kehidupan orang lain.
Perkara yang paling takut untuk membesarkan anak-anak
Saya telah dididik dengan cabaran hidup yang sukar sejak kecil. Allah memberi ujian sesuai kemampuan hambaNya. Cuma sebagai manusia ada kalanya saya bimbang jika anak-anak saya goyang dalam ujian di pentas dunia. Risau jika anak-anak jauh daripada Allah dan dari saya sebagai ibu mereka. Sebab itu saya selalu kena ingatkan, kita ada Allah yang Maha
Kuat, Maha Hebat. Apa jua keadaan, Allah tetap ada. Anak-anak ada mama dan kuasa doa seorang ibu. Fikirkan akibat daripada setiap tindakan yang dibuat. Baik atau buruk kita yang bertanggung jawab. Jika terjatuh kita kena cepat bangun, kena cari Allah tempat berpaut. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, saya selalu ingatkan tiada kasih sayang yang lebih kuat dan insan yang tulus ikhlas menyayangi mereka tanpa syarat selain Mama.
Siapa orang yang saya boleh percaya?
Seiring dengan masa, saya menjadi semakin matang dan dewasa. Saya jenis mudah kasihan, mudah percaya dan melihat kebaikan orang lain. Saya belajar daripada pengalaman hidup, saya kena percaya kepada diri sendiri dahulu. Saya kena ikhlas dengan diri saya dahulu. Walau bagaimana pun saya bersyukur daripada perjalanan hidup ini saya ditemukan dengan sahabat-sahabat yang ikhlas menerima saya tanpa syarat. Setelah emak meninggal dunia, saya telah kehilangan tempat mengadu, tempat bermanja dan tempat bercerita. Emak tiada galang gantinya tetapi saya bersyukur ada anak-anak sebagai sahabat dan beberapa orang sahabat yang boleh dijadikan tempat bercerita dan meminta pandangan sekiranya perlu.
Pandangan tentang lelaki bergelar suami?
Berdoa kepada Allah agar dikurniakan lelaki yang kita perlu berbanding apa yang kita mahukan kerana kehendak manusia ini tidak terbatas. Serahkan kepada Allah sebaik-baik penjaga dan Dia sebaik-baik perancang. Dia lebih tahu apa yang kita perlu, sesuai dan mencukupi dengan keperluan diri setiap hambaNya. Baik untuk kehidupan di dunia mahupun kehidupan ke negeri abadi.
Tentang figura wanita bergelar ibu dalam hidup.
Emak merupakan figura penting yang menyaksikan jatuh bangun suka duka saya. Pemergian emak memberikan impak yang besar dalam hidup saya kerana saya anak yang manja dan rapat dengan emak. Ketika hayatnya, saya menyaksikan emak seorang wanita hebat yang berjiwa kental. Sejak berpisah dengan abah ketika di usia masih muda, emak tidak pernah berkahwin lagi. Meski bertubuh kecil, dia mempunyai semangat juang yang tinggi. Emak suri desa yang bersemangat waja. Dia gigih membesarkan lima anak yang kesemuanya perempuan. Saya masih ingat emak mampu membuat dapur kayu seorang diri, mengampak kayu, mengacau sekuali besar dodol dan wajik serta membuat lemang juga dilakukan sendiri. Emak pandai memasak, menjahit dan menyulam. Emak seorang yang pemurah dan suka bersedekah meskipun duitnya tidak seberapa. Mengajar mengaji juga percuma. Tidak hairanlah kematiannya di hari yang baik, mudah diuruskan dan wajahnya tenang dalam lena yang panjang. Al Fatihah untuk emak. Semangat juang emak ini diwarisi oleh anak-anak emak.
Perkara yang menggembirakan saya sebagai seorang anak ialah menghadiahkan emak sebidang tanah untuk menyempurnakan hasrat emak memiliki rumah di tanah sendiri. Adik beradik yang lain pula sepakat mendirikan rumah untuk emak. Kami lima beradik berusaha untuk menggembirakan arwah emak, kerana tanpa kekuatan kasih sayang dan doa emak, kami bukanlah sesiapa sekarang ini. Alhamdulillah berkat doa emak, lima anak emak semuanya berjaya menyambung pelajaran di dalam dan luar negara. Begitu juga dengan cucu-cucu emak.
Penglibatan dalam bidang motivasi dan terapi minda
Saya mula aktif dalam bidang motivasi ketika berada di universiti. Saya bermula sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ketika di zaman sekolah. Ketika di universiti saya mula aktif sebagai Peer Mentor dan Fasilitator, selain menganggotai Asabina (Asas Bina Negara) yang melatih kami dalam bidang kepimpinan. Selain itu saya juga aktif dalam bidang kesenian seperti pertandingan Pesta Pantun Intervarsiti dan Pertandingan Nasyid sehingga
terpilih mewakili Selangor ke peringkat negeri dan kebangsaan. Ketika bekerja, baru saya sedar saya mempunyai minat dan kebolehan yang boleh diketengahkan. Bekerja di bidang penerbitan membuka ruang untuk saya menggali dan mendalami ilmu tentang kehebatan kuasa minda.
Saya diuji dengan kegawatan ekonomi sebaik berumahtangga. Syarikat suami bekerja terpaksa ditutup kerana kegawatan ekonomi dan suami memilih untuk memulakan perniagaan ketika itu. Saya membuat pelbagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan bagi membantu suami selain anak-anak yang masih kecil. Selain menulis, saya berniaga kecil-kecilan seperti berniaga di pasar malam, pasar tani dan menjual makanan seperti sarapan pagi untuk rakan sekerja. Saya mengambil tempahan membuat kek, puding dan menjual makanan mengikut permintaan. Adakalanya saya menjual pakaian dan hasil jualan digunakan untuk pakaian anak-anak. Saya juga menyisihkan duit daripada overtime untuk mengikuti kursus-kursus professional yang berkaitan. Anak-anak saya lahir ketika kegawatan ekonomi dan suami pula bekerja sendiri ketika itu dengan pendapatan yang tidak menentu.
Saya bersyukur kerana syarikat tempat saya bekerja menyediakan panel perubatan secara percuma untuk kakitangan ketika itu. Ia banyak membantu. Dek kerana suami selalu out station, saya mencabar diri saya untuk mengambil lesen memandu. Saya agak lewat mengambil lesen memandu kerana pernah trauma dan fobia menaiki kereta akibat kemalangan. Ketika anak-anak semakin membesar, saya terpaksa berkorban memilih untuk bekerja sendiri bagi memastikan anak-anak tidak terabai. Arwah emak banyak membantu ketika saya tidak mampu menggajikan pembantu.
Pada 2008 setelah yakin untuk melangkah sendiri, saya nekad berhenti kerja makan gaji dan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang terapi minda. Berbekal minat dan latihan professional yang saya telah ikuti, saya melangkah dengan tenang sebagai usahawan melalui bidang terapi minda atas syarikat Annabella House of Therapy. Difahamkan saya merupakan wanita yang telah memviralkan terapi minda ketika itu. Alhamdulillah bidang yang saya ceburi ini mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat ketika itu sehingga saya juga turut diundang untuk rancangan TV tempatan seperti TV3, RTM, TV9 dan Astro untuk membicarakan. Bidang terapi minda ini juga mendapat hebahan dari akhbar dan majalah.
Pada 2012 saya memberanikan diri dengan mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan di atas jenama Annabella. Di samping produk kesihatan saya turut mengeluarkan produk minuman kesihatan, Al Kindus di bawah syarikat saya Mind Art Ventures Sdn.Bhd. Selain itu saya juga terlibat dengan perniagaan dalam bidang pengurusan acara, bidang grafik dan multimedia bersama suami saya di bawah syarikat IQ Creative Management. Meskipun sibuk dengan karier, anak-anak tetap menjadi keutamaan.
Keputusan ke Mesir
Allah kurniakan saya hanya seorang anak lelaki dan dia berminat mendalami Al Quran. Dipendekkan cerita, saya mengambil keputusan nekad untuk berhijrah ke bumi Anbiya pada 2016. Saya mengambil keputusan yang besar dengan menutup perniagaan saya demi anak dan memulakan kehidupan baru di bumi asing. Itu pengorbanan saya sebagai seorang ibu. Saya memilih untuk menjaga sendiri anak saya di Mesir. Di sudut lain, saya sedang berjuang mempertahankan rumah tangga saya. Mungkin jauh itu mampu mendekatkan. Ada keajaiban yang berlaku untuk saya ke sana. Perjalanan saya ke sana dipermudahkan serta mendapat keizinan suami. Dia tidak dapat bersama kerana masih ada anak yang belajar di Malaysia. Saya berterima kasih kepada suami ketika itu kerana beliau mendidik saya untuk berdikari dan saya cekal kerananya.
Saya ke Mesir bersama dua anak. Ada sahabat yang menitip anak-anak untuk saya jaga. Apabila anak-anak semakin bertambah saya namakan ia Akademi Quran Darul Rahman. Sayalah ibu, sayalah ayah kepada anak-anak ini. Mereka terdiri daripada anak-anak dari Malaysia di bawah umur. Sayalah mudirah, guru disiplin, guru kaunseling, tukang masak dan tukang kejut anak-anak. Segala-galanya. Banyak cabaran yang saya lalui di Mesir. Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu. Saya ke Mesir persendirian dan untuk menampung kehidupan di sana, saya berniaga makanan seperti nasi lemak, mee goreng dan kuih muih. Adakalanya saya juga mengambil upah mengurut pelajar perempuan terutama pelajar yang bersalin di sana. Peringkat awal, saya juga ikuti kelas Bahasa Arab. Tetapi hanya sempat mustawa kerana jadual yang padat.
Pada tahun ketiga di Mesir saya memberanikan diri untuk membuka homestay. Daripada sebuah kepada empat buah, dua di Kaherah dan dua lagi di Alexandria. Adakalanya saya terpaksa berulang alik Kaherah dan Alexandria seorang diri apabila anak-anak lelaki ada kelas pengajian. Pernah saya terjatuh dan kaki bengkak tapi saya redah juga ke Kaherah dari Alexandria dengan menaiki keretapi sambil terhencut-hencut. Kehidupan yang mencabar di bumi Mesir itu benar-benar mendidik saya untuk lebih kuat dan cekal. Kesakitan, air mata dan keringat yang tumpah itu silih berganti. Kepada Allah saya mengabdikan diri dan tiada daya saya melaluinya tanpa DIA yang menjaga saya dan anak-anak. Meskipun adakalanya saya terpaksa melalui gelap pekat malam sendirian, saya bersyukur tiada perkara yang tidak diingini sepanjang lima tahun saya di Mesir. Pada 2018 Akademi Quran Darul Rahman ditukar nama kepada Maahad Al Iman Mesir.
Genap lima tahun dan kebetulan COVID 19 melanda, di masa yang sama anak-anak sudah tamat pengajian, saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada 2021. Saya kembali ke Malaysia dengan sebuah diari kehidupan yang menjadi sejarah peribadi yang mencorakkan saya sekarang. Ia ada pengalaman berharga dan sebuah perjalanan rohani yang sukar diungkap dengan kata-kata. Terima Kasih Allah kerana memilih saya untuk melalui perjalanan ini.
Antara pengalaman menarik selain berpeluang mendalami sejarah para Nabi dan Anbiya di Mesir, saya juga melakar sejarah peribadi apabila berpeluang mengadakan program dan bengkel untuk pelajar Al Azhar, pelajar Maahad Al Iman terpilih untuk membuat persembahan khas semasa pertandingan Nasyid peringkat kebangsaan di Mesir dan Maahad Al iman di bawah Pari-Pari Kitchen yang saya usahakan di Mesir berjaya dinobatkan Juara Keseluruhan pertandingan Gerai Bazaar Pesta Makanan negeri Johor yang diadakan di Kaherah, Mesir.
Anak-anak adalah kekuatan saya
Sebagai seorang ibu, tiada hadiah yang paling besar selain daripada anugerah anak-anak yang baik dan sikap mereka banyak memudahkan saya sebagai ibu. Mereka juga kuat dan mempunyai semangat yang kental. Suatu ketika saya terpaksa berpisah dengan tiga orang anak kerana menjaga dua orang di Mesir. Puteri kembar yang juga puteri bongsu mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM, Amna mendapat 9A manakala adik kembarnya Amni mendapat 8A 2B meskipun ketika itu saya dan suami baru berpisah. Anak yang sulung juga mendapat anugerah dekan. Mereka telah membuktikan perpisahan ibu bapa bukanlah asbab kegagalan. Saya sendiri terharu dengan semangat juang mereka. Mereka tidak banyak kerenah, yang penting ada Mama di sisi mereka. Kami akrab, saling menguatkan dan banyak melalui suka duka bersama.
Berkat kesabaran dan doa, Alhamdulillah kini lima cahaya mata saya sedang menyambung pelajaran di dalam dan di luar negara. Anak yang pertama Amira Nur Syafiqa sedang menuntut di tahun akhir Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam jurusan Komunikasi Massa (Pengiklanan), anak kedua Ammar Nur Syafi Iman kini berada di Universiti Yarmouk, Jordan, anak ketiga Ainna Nur Syafia sedang menunggu keputusan STPM di aliran Tahfiz, anak keempat Amna Nur Syahrah
berjaya menyambung peringkat Asasi di Universiti Islam Antarabangs, Gambang jurusan ilmu Wahyu dan yang bongsu Amni Nur Syarah berada di Universiti Teknologi Mara kampus Jasin, Melaka jurusan Sains Komputer.
Anak-anak adalah kekuatan saya. Seorang ibu perlu kuat kerana anak-anak itu juga melihat ibu itu sebagai inspirasi dan sumber kekuatan. Anak-anak selalu gagal mendengar cakap, tetapi mereka tidak pernah gagal melihat sikap. Kepada ibu muda, jangan ambil mudah
kepada emosi anak-anak. Kesibukan bukan alasan untuk anda jauh dari anak-anak. Andai tidak mampu kuantiti carilah masa yang berkualiti untuk anak-anak. Betapapun keadaan, berusahalah untuk menjadi contoh yang baik untuk anak-anak ikuti. Jaga perkataan kerana perkataan negatif boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku anak-anak. Hargai setiap momen anda dengan anak-anak kerana masa yang berlalu itu takkan berulang lagi.
Bersabarlah dengan kerenah anak-anak kerana kesabaran itu membuahkan kemanisan apabila mereka tumbuh sebagai anak yang membanggakan dan membahagiakan.
Ujian terbesar dalam hidup
Dunia ini adalah pentas ujian. Tiada siapa yang tahu episod ujian masing-masing sehinggalah mereka terpaksa melaluinya. Ujian yang silih berganti itu sebenarnya menguatkan meskipun kita rasa kita lemah kerananya. Allah lebih tahu setiap hambaNya dan selayaknya ujian untuk mereka lalui. Saya melalui frasa ujian yang mencabar apabila memilih untuk berpisah namun saya sama sekali tidak menyesalinya kerana saya telah berjuang untuk mempertahankan.
Bulan pertama berpisah, saya menekankan kestabilan emosi anak-anak. Saya mulakan kehidupan baru dengan anak-anak dengan keadaan serba sederhana. Seadanya. Bulan kedua saya sakit teruk dan terlantar setelah mengambil vaksin ketika itu. Suatu ketika saya tidak mampu bergerak dan mengangkat tangan. Vaksin kedua saya mengalami alahan yang teruk. Saya berselisih dengan maut ketika itu dan saya berjuang untuk hidup. Ketika terlantar saya berdoa agar Allah panjangkan usia saya kerana saya perlu hidup. Anak-anak saya perlukan saya, Ada perjuangan yang belum selesai.
Bulan ketiga, ketika saya masih dalam iddah dan sakit yang masih belum sembuh, saya diuji bertimpa apabila rumah kami diserbu KKM. Saya diperangkap jiran yang ada masalah kejiwaan. Akibat salah faham, rumah saya diserbu. Rumah saya digeledah dan saya disoal siasat bak penjenayah. Anak-anak terpinga-pinga dan kami melalui frasa sukar ketika itu. Saya kasihankan anak-anak kerana mereka terpaksa berhadapan dengan keadaan ini. Ujian ini ternyata membuatkan kami semakin kuat dan kami melalui detik sukar ini bersama sama. Mereka tumbuh sebagai anak-anak yang matang dan bermotivasi tinggi.
Saya berasa teraniaya dan memilih untuk berjuang. Saya nekad berjuang meskipun jika terpaksa melaluinya sendirian. Saya genggam janji Allah sebagai hamba yang teraniaya. Allah telah mendidik saya ke Mesir untuk melalui ujian sebesar ini. Setiap bulan saya turun naik mahkamah. Ke sana sini saya mencari peguam. Saya seorang melaluinya. Saya tidak benarkan anak-anak ikut ke mahkamah. Saya tak mahu emosi mereka terganggu. Pesan saya, cukup doakan mama. Alhamdulillah setelah turun naik mahkamah, berkat doa mak abah dan anak-anak saya, saya beroleh kemenangan di mana pertuduhan ke atas saya telah digugurkan. Terima Kasih PPIM yang membantu saya untuk khidmat guaman percuma.
Masih segar diingatan, hari Jumaat yang merupakan hari kemenangan saya setelah melalui episode turun naik mahkamah itu, rupanya adalah hari terakhir emak saya melihat dunia. Arwah emak pengsan dan koma sebaik pulang dari dialysis. Tiga hari kemudian emak menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sempat mengetahui kemenangan saya. Tanpa saya sempat mengucapkan terima kasih atas doa emak yang mustajab. Perkara ini sangat mengesankan diri dan hidup saya.
Anspire Signature
Setelah anak yang bongsu selesai SPM, saya mengorak langkah untuk bangkit semula dengan Anspire Signature. Saya selalu berpesan dengan anak-anak, sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Hidup ini singkat untuk dipersiakan. Jadi tinggalkanlah kenangan yang baik-baik dan mampu memberi makna dalam kehidupan
orang lain. Bersedekah itu mempunyai pengertian yang luas. Saya anggap ini cara saya bersedekah dengan ilmu dan pengalaman hidup yang tidak seberapa.
Mulanya saya ingin bertukar bidang namun klien saya yang setia masih inginkan saya meneruskan bidang ini. Apatah lagi apabila mengingatkan ramai klein saya yang pernah melalui frasa hidup yang gelap kini menjadi orang yang hebat. Mereka juga tidak melupakan saya. Ia sangat mengharukan saya. Betapa kan tidak, dariPADA seorang penagih dadah tegar yang hidup di bawah jambatan dan makan menyelongkar tong sampah kini usahawan yang berjaya. Asbab keluarga mereka tidak berputus asa membawa untuk sesi terapi untuk dipulihkan. Ada juga klien yang pernah ingin membunuh diri kini melalui frasa hidup yang membanggakan. Anxiety, bipolar, kemurungan antara kes yang saya kendalikan. Saya percaya di setiap air mata yang tumpah pasti beserta anugerah terindah. Terpenting jangan berputus asa dan jangan putus berdoa. Itu senjata ampuh seorang mukmin. Saya bersyukur kerana Anspire Signature mencatatkan kejayaan peribadi apabila menandatangani MOU dengan Uniti Office sebuah syarikat gergasi dengan disaksikan oleh Datuk Ahmad bin Hj Maslan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya menganggap ia adalah permulaan langkah untuk saya bangkit kembali meneruskan perjuangan sebelum berlari ke langit. Doakan kejayaan saya dan anak-anak. Saya juga doakan pembaca yang sedang diuji, tetap bersabar dalam kesabaran dan terus bangkit gagah berdiri bak Pheonix. Kita berhak bahagia. Kejayaan itu lebih manis jika disulami air mata. Dan pastinya kuasa doa seorang ibu pelengkap sebuah cerita
Credit
Gambar: Syarief Nurlette
Pengarah Seni/Solekan: Rossa Talip menggunakan alat solek Note, Turki