GAYA HIDUPKhas Perkahwinan

Majlis Pernikahan Imtiaz & Elisa

Pernikahan adalah pelangi antara dua hari daripada pelbagai perasaan; cinta, kesedihan, kebahagiaan, kejujuran, kepercayaan, rahsia, rasa hormat, dan bekerja sama untuk mencapai syurga.”

Tanggal 1hb Oktober 2022 jam 10 pagi, pasangan Imtiaz Hisham dan Elisa Soraya selamat diijabkabulkan. Majlis ringkas disaksikan oleh kedua belah pihak keluarga. Majlis diadakan di dewan serba indah Hotel Concorde Shah Alam.

Majlis bermula dengan perarakan masuk tujuh jelitawan  ‘dulang girls’ yang tinggi lampai, berpakaian sedondon warna pic. Sesampai di ‘halaman’ pelamin, mereka menunggu perarakan masuk lima jejaka yang membawa dulang bagi pihak lelaki. Berbaju Melayu lengkap bersongkok bersampin segak kesemua, sambil bersama-sama meletakkan dulang-dulang di pelantar khas,  maka bertambah seri singgahsana.

Mengatur bicara, pihak perempuan mengalu-alukan kehadiran orang sebelah maka bermulalah istiadat penyerahan dan menerima barang hantaran. Antaranya yang dibawa bersama pihak pengantin lelaki ialah sirih junjung sebagai pelengkap adat resam Melayu.  Ia membawa maksud tersirat yakni sebagai lambang kehidupan berumah tangga yang ada suka dan dukanya. (Sirih junjung yang digubah menggunakan daun sirih dan campuran beberapa bahan lain seperti buah pinang, kapur, cengkih antaranya serta bunga segar dan buah-buahan.)

Turut sama ialah mas kahwin sebanyak RM1,101 bersama duit hantaran, sebentuk cincin bertahta berlian, bersama persalinan pakaian dan manisan. Pihak perempuan membalas dengan sebentuk cincin dan enam hadiah untuk bakal suami.  

Mewakili wali bapa pengantin perempuan ialah Imam besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam, Al Fadhil Ustaz Muhammad Farhan bin Wijaya, dengan memulakan bacaan doa dan nasihat ringkas sebelum istiadat pernikahan dimulakan. Bukan sahaja kedua pengantin mesti mengambil iktibar daripada nasihatnya itu tetapi hadiran, kerana ia perkara wajib diketahui dan dilakukan oleh suami dan isteri. 

Ya, tiada hubungan terindah seorang lelaki dan seorang wanita kecuali hubungan pernikahan. Seorang wanita dapat mengubah rumah tangga menjadi syurga sebagaimana ia dapat mengubahnya menjadi neraka, yang kita tidak terbayangkan dahsyatnya. Maka berperilaku baik terhadap isteri dan jangan pernah lelah dalam menasihati dengan kelembutan kerana wanita tercipta daripada tulang rusuk yang bengkok. Ambillah teladan daripada Siti Khadijah nilai kejujurannya, daripada Aisyah nilai kejujurannya, daripada Asiah nilai kesabarannya, daripada Maryam nilai ketabahannya dan daripada Fatimah nilai keteguhannya.Dan sebaik-baik kalian suami adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri.”

Imam menyudahi nasihatnya, “ Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana menjaga ikatan keluarga dalam Islam. Dia suka menghabiskan waktu bersama keluarga dan selalu mengingatkan keluarganya untuk tetap berada di jalan yang benar dan berbuat baik.”

Majlis berakhir dengan makan tengah hari dan bersalam-salaman serta berkenal-kenalan kedua belah keluarga yang kini sudah disatukan. “Bahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan dunia adalah keluarga bahagia.”

Related posts

Mandarin Oriental Kuala Lumpur

adminwm

ADAKAH KAMU BENAR CINTA DAN CARA MENGENALINYA

adminwm

Kenapa Wajib Vaksin?

Wirda Adnan

Leave a Comment