Isu Nur Sajjad atau nama sebenarnya Mohamad Sajjad Kamaruzzaman, 35, bertelekung ketika menunaikan Umrah tular. Pelbagai pihak kesal dengan tindakan pengusaha kosmetik ini mengenakan pakaian wanita ketika mengerja ibadah umrah. Hukum hakam mengenai sama ada sah atau tidak umrah itu juga meluas dibicarakan, khasnya daripada pihak mufti-mufti. Satu hal yang wajib diketahui juga oleh umat Islam mengenai hal ini, kerana sebelum ini bicara mengenai hukum memakai pakaian wanita (bagi lelaki/ dan wanita) terutamanya ketika mengerjakan rukun Islam seperti bersolat lima waktu dan mengerjakan fardu Haji dan Umrah tidak banyak ditekankan. Semoga isu Nur Sajjad ini memberikan lebih pengetahuan dalam mengerjakan ibadah khasnya bagi mereka yang sengaja mengikut hawa nafsu, berpakaian sesuka hati tanpa memikirkan akan halal haram dan sama ada sah atau pun tidak sah ibadah berkenaan.
Seyugia, diharapkan dengan penerangan di bawah ini memberikan sedikit sebanyak ilmu agama kepada kita semua.
Hukum Menukar Jantina
Menukar jantina ialah menukar jantina seseorang melalui proses pembedahan daripada lelaki menjadi perempuan, atau daripada perempuan menjadi lelaki, atau daripada khunsa menjadi salah satu daripada dua jantina.
Perlu dinyatakan di sini bahawa terdapat dua bentuk pembedahan menukar jantina, iaitu:
- Taghyir atau Tabdil (Menukar jantina)
- Takmil (Menyempurnakan jantina)
Ciri-ciri taghyir atau tabdil ialah: Seorang lelaki yang sempurna/normal kejadian jantina luarannya (alat seksnya-zakar) bersesuaian dengan organ jantina dalaman, kemudian dia menukar jantinanya kepada jantina wanita.
Atau seorang wanita yang kejadian jantina luarannya (faraj) sempurna/normal dan bersesuaian dengan organ jantina dalamannya, kemudian dia menukar jantinanya kepada jantina lelaki.
Ciri-ciri Takmil ialah:
- Seorang dilahirkan dengan dua alat kelamin (zakar dan faraj), kemudian dia melakukan pembedahan untuk mematikan salah satu dari dua alat kelaminnya, dengan menghidupkan yang satu lagi. Dia menghidupkan salah satu alat kelaminnya bersesuaian dengan organ kelamin dalamannya. Tujuan pembedahan ini ialah untuk memperjelaskan identiti jantinanya yang sebenar.
- Seseorang dilahirkan dengan alat kelamin yang tidak sempurna, contohnya keadaan zakar seorang lelaki atau faraj seorang wanita tidak berlubang. Lalu dia menjalankan pembedahan untuk membuat lubang di bahagian yang sepatutnya.
Hukum Taghyir dan Takmil
- Hukum Taghyir – mengubah status kelamin, daripada lelaki ke perempuan atau sebaliknya. Islam mengharamkannya dengan alasan:
Firman Allah Taala: Ertinya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujarat, 13)
Pengajaran ayat di atas: Seluruh manusia sama taraf dan kedudukkannya di sisi Allah tanpa memandang jantina dan kaum. Yang menjadi penentu kemuliaan hanyalah ketakwaan kepada Allah. Anugerah jantina yang normal perlu disyukuri. Menukar anugerah tersebut bermakna mengingkari nikmat tersebut.
Firman Allah Taala; “Dan saya (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotong-motongnya, dan akan saya suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), maka sungguh mereka mengubahnya. Barang siapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain daripada Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.” (Al-Nisa’, 119)
Pengajaran ayat di atas: Menurut beberapa orang ahli tafsir, bahawa antara perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah yang diharamkan ialah: Homoseks, lesbian, membuat tato, mencukur alis mata dan berpakaian dan bertingkah laku dengan lawan jantinanya. Dengan ini menukar jantina yang telah dianugerahkan juga termasuk di dalam – mengubah ciptaan Allah yang diharamkan.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan enam imam lainnya, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Allah mengutuk para wanita tukang tatu, yang minta ditatu, yang menghilangkan bulu muka, yang minta dihilangkan bulu mukanya, dan para wanita yang memotong giginya – Yang semuanya itu dikerjakan dengan tujuan untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah.”
Pengajaran daripada hadis, Rasulullah SAW menyenaraikan sebahagian daripada perbuatan-perbuatan yang dianggap mengubah ciptaan Allah yang dilarang. Melihat kepada ciri perbuatan-perbuatan berkenaan, maka dapatlah kita simpulkan bahawa menukar jantina juga termasuk dalam mengubah ciptaan Allah yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.
Hukum Takmil Islam mengharuskannya. Alasannya ialah:
Untuk menarik kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan. Maslahat bagaimana? Dan mudarat yang bagaimana? Mudarat yang diperolehi ialah, kewujudan kaum pondan (dilahirkan dengan dua kelamin) boleh mengakibatkan pelbagai penyakit sosial. Antaranya ialah gejala homoseks yang boleh mengakibatkan tersebarnya kuman HIV. Teknologi perubatan pada hari ini mampu mengatasi masalah pondan ini dengan melakukan pembedahan menyempurnakan alat kelamin mereka. Dan Islam memandangnya sebagai baik dan bagus, kerana maslahat yang dicapai hasil daripada pembedahan itu nanti lebih besar daripada kemudaratannya.
Cuba lihat sekali lagi dalil-dalil yang digunakan dalam menghukumi keharaman Taghyir (mengubah jantina). Allah dan RasulNya melarang umat Islam dari mengubah ciptaan Allah. Jadi timbul satu persoalan di sini, bukankah melakukan pembedahan untuk menyempurnakan jantina seseorang itu juga termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai mengubah ciptaan Allah? Memang benar, jika pengubahan itu tidak mendatangkan apa-apa maslahah/kebaikan atau menyebabkan mudarat maka haram hukumnya. Sebaliknya jika pengubahan itu dapat menghasilkan maslahat yang lebih besar serta dapat menghindarkan mafsadah/kerosakan, maka Islam membenarkannya.
Apakah status mereka yang mengubah jantina? Kita perlu melihat kepada tujuan mereka. Seandainya atas tujuan:
- Taghyir (mengubah), maka mereka tetap dengan status asal jantinanya. Walaupun seseorang perempuan selepas pembedahan telah menjadi seorang lelaki, namun Islam masih memandangnya sebagai seorang wanita. Daripada itu apa sahaja hukum-hakam berlaku ke atasnya sebagai seorang wanita, bukan lelaki. Sama ada hukum-hakam mengenai warisan, aurat, perkahwinan dan sebagainya.
- Takmil, maka mereka berstatus dengan jantina selepas proses bedah dijalankan. Segala hukum-hakam berjalan menurut status tersebut.
Firman Allah SWT;
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jananam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mempergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka ini seperti binatang ternakan bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” – Al A’raat: 179.
Firman Allah lagi, “Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia.”
Surah Hud: 105