Soalan
Apakah hukum mengambil sisa lebihan makanan yang ditinggalkan oleh pelanggan lain di atas meja makan dan makanan tersebut masih elok? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Mengambil sisa lebihan makanan yang ditinggalkan pelanggan lain di atas meja makan adalah dibolehkan dengan syarat meyakini bahawa pelanggan itu memang benar-benar sudah tidak mahukannya. Selain itu, perlu memastikan makanan tersebut diyakini bersih dan masih elok untuk dimakan bertujuan mengelakkan keracunan makanan yang boleh memudaratkan diri sendiri.
Namun begitu, sekiranya amalan mengambil lebihan pelanggan di restoran menimbulkan sangkaan buruk dan tomahan masyarakat, sebaiknya dielakkan. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat secara umum pula, jika ada yang bertindak untuk tidak membiarkan lebihan makanan itu, maka orang di sekeliling perlulah bersangka baik melihat kepada elak pembaziran merupakan amalan terpuji.
Huraian Jawapan
Secara umumnya, setiap Muslim hendaklah mensyukuri setiap nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Antara tanda mensyukurinya ialah memastikan tidak berlaku sebarang pembaziran makanan mahupun minuman kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada perbuatan merosakkan harta benda.
Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT,
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas”.
(Surah al-A’raf: 31)
Bahkan perkara ini juga disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA,
مَرَّ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ بتَمْرَةٍ مَسْقُوطَةٍ فقالَ: لَوْلا أنْ تَكُونَ مِن صَدَقَةٍ لَأَكَلْتُها
Maksudnya: “Nabi SAW berjalan lalu ternampak sebutir tamar gugur (dari pohonnya) pantas bersabda: ‘Kalaulah buah kurma itu bukan daripada sedekah, nescaya aku akan memakannya’(yakni: terdapat kemungkinan kurma tersebut merupakan harta sedekah)”.
Riwayat al-Bukhari (3055)
Hadis di atas memberi isyarat bahawa Nabi sangat menghargai dan sentiasa memastikan bahawa tidak ada berlaku pembaziran walaupun sekecil-kecil perkara seperti sebutir kurma yang jatuh dari pohonnya.
Kenyataan di atas dikuatkan lagi dengan sebuah hadis lain yang menunjukkan bahawa Nabi sangat menitikberatkan soal kepentingan mengelakkan pembaziran dan pembuangan makanan. Ini sepertimana yang ditunjukkan dalam sebuah hadis Anas RA yang lain,
أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ إذا أَكَلَ طَعامًا لَعِقَ أَصابِعَهُ الثَّلاثَ، قالَ: وَقالَ: إذا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْها الأذى وَلْيَأْكُلْها، وَلا يَدَعْها لِلشَّيْطانِ، وَأَمَرَنا أَنْ نَسْلُتَ القَصْعَةَ، قالَ: فإنَّكُمْ لا تَدْرُونَ في أَيِّ طَعامِكُمُ البَرَكَةُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila makan, Baginda akan menjilat tiga jarinya. Baginda juga bersabda: Sekiranya terdapat makanan salah seorang daripada kamu terjatuh (ke tanah), maka bersihkan kotoran yang menimpanya kemudian makan sahaja. Jangan biarkan makanan tersebut untuk syaitan. Selain itu, Baginda juga mengarahkan kami untuk menghabiskan dan melicinkan makanan yang berada dalam dulang (bekas makanan untuk 5-10 orang makan) lalu berpesan: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada bahagian mana makanan tersebut yang mempunyai berkat”.
Riwayat Muslim (2034)
Berdasarkan dalil dan petunjuk yang diajarkan Rasulullah SAW di atas, kami berpandangan bahawa diharuskan untuk mengambil sisa lebihan makanan mahupun minuman yang ditinggalkan oleh pelanggan lain di atas meja makan dengan syarat pelayan yakin bahawa makanan tersebut masih elok untuk dimakan dalam masa yang sama pelanggan memang benar-benar sudah tidak mahukannya.
Perbuatan seperti pelanggan selesai membayar bil dan bergerak keluar daripada kedai makanan tersebut boleh dijadikan sebagai petunjuk bahawa mereka sudah tidak mahukan makanan tersebut, maka harus pelayan mengambilnya. Uruf dan adat kebiasaan boleh dijadikan hujjah dalam hal ini.
Kriteria kebersihan juga perlu dititikberatkan supaya sisa makanan yang diambil tersebut tidak memberi mudarat kepada kesihatan pekerja bertepatan dengan kaedah Fiqh yang menyebut “Tidak boleh ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan”.
Penelitian hal di atas bertujuan di samping mengelakkan berlaku pembaziran makanan, keselamatan diri tetap terjamin, dalam masa yang sama tidak mengambil hak orang lain tanpa izin.
Akhir kata, semoga Allah berikan kepada kita kefahaman yang benar dan tepat dalam urusan beragama. Amin
Wallahu a’lam.Sumber asal: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5009-al-kafi-1835-hukum-mengambil-sisa-lebihan-makanan-yang-ditinggalkan-di-restauran