AGAMA

MAMPUKAH KITA MENAHAN KEPEDIHAN API NERAKA?

💫 Peringatan Allah Tentang Seksa Neraka

Wahai hamba Allah yang beriman! Terdapat dalam banyak ayat Allah subhanahu wa taala memberi peringatan kepada manusia agar sentiasa beriman dan bertakwa kepadaNya, mentaati perintah dan menjauhi laranganNya. Yang demikian bertujuan agar mereka terselamat daripada ancaman seksaNya.

Menerusi firman Allah subhanahu wa taala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [at-Tahrim 66:6]

🎙 At-Tabari dalam tafsirnya berkata:

“Dari ibn Abbas, firman Allah “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka” bermaksud kerjakanlah perkara ketaatan kepada Allah, takutlah berbuat maksiat kepada Allah, dan perintahkan keluargamu agar mengingati Allah, nescaya Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka.” [Lihat Tafsir Ibn Jarir At-Tabari dalam surah at-Tahrim ayat 6]

Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam mengingatkan agar orang yang beriman takut kepada seksa neraka meskipun dengan cara berbuat kebaikan dengan sesuatu yang sangat kecil.

Beliau bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة

Maksudnya: “Peliharalah diri kalian dari api neraka sekalipun (menderma) dengan separuh dari buah kurma.” [HR. Bukhari, 6540]

🔥 Bagaimanakah Panasnya Api Neraka?

Siapakah yang boleh tahan dengan panasnya api neraka? Manakala tidak ada satu pun yang boleh bertahan dengan panasnya api di dunia. Api neraka dahsyatnya, panasnya, membakarnya ialah 69 kali ganda berbanding panasnya api di dunia.

Abu Hurairah menceritakan bahawa baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

نَارُكُمْ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ نَارِ جَهَنَّمَ ‏‏‏.‏ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً‏.‏ قَالَ :‏‏ فُضِّلَتْ عَلَيْهِنَّ بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا، كُلُّهُنَّ مِثْلُ حَرِّهَا ‏

Maksudnya: “Api kalian di dunia adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian panasnya api neraka jahanam.” Sahabat berkata kepada beliau, wahai Rasulullah sesungguhnya ia (api dunia) sudah cukup untuk membakar. Beliau bersabda: apai neraka panasnya 69 kali ganda daripada apa neraka dunia yang sama panasnya.” [HR. Bukhari, 3265]

🔥 Seksa Neraka Yang Paling Ringan

Ada juga ahli neraka yang diringankan seksanya, meskipun diringankan dia tetap merasakan kepanasan yang membakar.

Imam Bukhari dalam sahihnya menyebutkan, dari Nu’man bin Basyir bahawa baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَرَجُلٌ تُوضَعُ فِي أَخْمَصِ قَدَمَيْهِ جَمْرَتَانِ ، يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya paling ringan seksaan ahli neraka di hari kiamat, ialah seseorang yang diletakkan bara api di bawah tumitnya lalu otaknya mendidih.” [HR. Bukhari, 6561]

Dalam riwayat Muslim:

إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا مَنْ لَهُ نَعْلَانِ وَشِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ كَمَا يَغْلِ الْمِرْجَلُ مَا يَرَى أَنَّ أَحَدًا أَشَدُّ مِنْهُ عَذَابًا وَإِنَّهُ لَأَهْوَنُهُمْ عَذَابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya paling ringan seksaan ahli neraka ialah seseorang yang dipakaikan sepasang terompah (sandal) yang terbuat dari api hingga otaknya mendidih sebagaimana mendidihnya air yang sedang dimasak. Dia tidak melihat seorang pun yang mendapat seksaan yang lebih pedih daripada dia, padahal sesungguhnya dialah penghuni neraka yang paling ringan seksanya.” [HR. Muslim, 213]

Ini hanyalah seksa api neraka belum lagi seksa-seksa lain yang ada di dalam neraka.

📋 Kesimpulan

Tidak ada seorang pun yang mampu menjalani hukuman Allah di akhirat kelak. Meskipun demikian orang-orang kafir dan ahli maksiat tidak dapat mengelak dan berlindung daripada azab Allah. Api neraka yang amat sangat panas membuat penghuni neraka merasakan puncak kesengsaraan dan kebinasaan.

Untuk itu cara menghindar dan menyelamatkan diri daripadanya ialah bertakwa kepada Allah, melaksanakan semua perintah Allah seperti solat, puasa, zakat, haji bagi yang mampu, dan ibadah wajib yang lain. Kerjakan amalan-amalan soleh seperti sedekah, solat sunnah, bangun malam, baca Quran, puasa sunnah dan sebagainya.

Sekian, semoga dapat diambil manfaat.

Wallahu taala a’lam

Unit Dakwah Yayasan Ta’lim
AHMD

Related posts

MAULID NABI MUHAMMAD SAW

adminwm

Doa diberikan Hidayah

adminwm

Menangislah Kerana Allah, Bukan Kerana Makhluk

admin

Leave a Comment