PERSONALITI

Tun Abdullah Ayub Tokoh Pentadbir Negara Dari Sitiawan

Khas 64 tahun Malaysia Merdeka, MajalahWM.com memperingati kembali jasa arwah Tun Abdullah Ayub, seorang tokoh pentadbir negara yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan sepanjang beliau berkhidmat. Rencana ini ihsan daripada cucunda beliau Jantra Naqiah untuk siaran di majalah ini, ia dipetik dari orangperak.com.

Tun Abdullah Ayub, kenalkah anda pada sebaris nama ini? Sebut sahaja nama Tun Abdullah Ayub, pasti ramai dalam kalangan kita khasnya generasi muda yang tidak mengenali siapakah tokoh ini walaupun beliau banyak berjasa kepada tanah air kita.

Tun Abdullah Ayub merupakan tokoh pentadbir negara yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan sepanjang beliau berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Beliau memainkan peranan penting dalam pentadbiran pada zaman penubuhan Malaysia, zaman konfrontasi, peristiwa berdarah rusuhan kaum pada tanggal 13 Mei 1969 dan pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran). Tidak lupa juga beliau turut terlibat dalam pentadbiran pada zaman mengisi agenda pembangunan negara. Selain itu, Tun Abdullah Ayub merupakan antara tokoh pentadbir yang terlibat dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat dan menyusun semula masyarakat ke arah integrasi nasional.

Pernah dengar tentang Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, Tun Abdullah Ayub yang memberi cadangan bernas supaya kerajaan meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar badan itu menjadi lebih berdaya maju dengan membuat pelaburan dan memiliki aset. Dengan adanya KWSP ini, masa depan seseorang pekerja lebih terjamin kerana telah mempunyai simpanan untuk persaraan.

Tokoh pentadbir negara ini dilahirkan pada tarikh 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan Anglo Chinese School, Sitiawan, dan kemudiannya meneruskan persekolahan beliau di Sekolah Menengah King Edward VII  di Taiping, Perak.

Semasa zaman penjajahan Jepun, beliau menjadi guru bahasa Jepun di Bruas, Perak. Selepas Jepun menyerah kalah, Tun Abdullah melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Kolej Raffles (kemudiannya menjadi Universiti Malaya) di Singapura.

Bermula dari 1954, Tun Abdullah Ayub menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Malaya, sekarang lebih dikenali sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di pelbagai kementerian, tetapi yang lama beliau berkhidmat adalah di bawah Kementerian Kewangan hingga 1971.

Kemudiannya pada 1972-1974 beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Mulai 1974, Abdullah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi KWSP hingga 1978.

Kecemerlangan beliau sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam pada itu, beliau juga telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara (sekarang TNB). Sebaik sahaja bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 3 Januari 1981, Tun Abdullah terus diangkat menjadi Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.

Kini segala perjuangan, sumbangan dan idea beliau telah dibukukan dalam biografi khusus yang ditulis secara bersama oleh Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datin Seri Fatini Yaacob dan isteri Tun Abdullah sendiri, iaitu Toh Puan Anna Abdul Ranee.

Antara pendedahan menarik dalam buku berkenaan adalah berkaitan penglibatannya dalam parti berhaluan kiri bagi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris.

Demi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah, Tun Abdullah Ayub telah bergiat aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersama-sama Ahmad Boestamam dan Ishak Muhammad (Pak Sako) sehinggalah parti terbabit diharamkan oleh pihak Inggeris.

Turut didedahkan dalam buku biografi berkenaan Tun Abdullah adalah tentang sikapnya yang mementingkan integriti dan tidak pernah mengambil kesempatan untuk meraih kekayaan terutama ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Apa yang dapat disimpulkan ialah tokoh ini merupakan seorang nasionalis tulen, beliau berbakti kepada negara tanpa mengharapkan sebarang balasan, pujian dan penghargaan. Bahkan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk diingati dan disanjungi.

Bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Satu lagi sikap terpuji beliau yang patut dicontohi adalah perasaan kasih kepada kaum Melayu ketika itu yang rata-ratanya miskin sehingga menyebabkan beliau meluluskan peruntukan istimewa kepada negeri Kelantan yang diperintah oleh parti PAS.

Apabila ditanya oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, beliau menegaskan bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak membantu, orang Melayu Kelantan akan terus ketinggalan daripada arus pembangunan negara.

Untuk pengetahuan para pembaca orangperak.com, sebenarnya banyak lagi kisah menarik dalam buku biografi berkenaan yang sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat mengenai Tun Abdullah Ayub, seorang pentadbir negara yang terbilang. Oleh: Freddie Aziz Jasbindar

Pengalaman Penulis Mengenai Tun Abdullah Ayub

Sebagai penulis di sebuah agensi berita, saya mula mengenali Tun Abdullah Ayub pada 2002. Pengarang bilik berita saya mengesyorkan saya supaya mendapatkan temujanji dan cuba menemuramah beliau berkenaan sumbangan beliau semasa merangka dan merancang majlis sambutan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Pertemuan demi pertemuan dirancang dan kami terus menjalinkan satu perhubungan istimewa sebagai mentor dan sahabat, teman dan guru. Seterusnya pada 2014 saya bersama rakan sekelas di UiTM  Fatini Yaacob, melancarkan sebuah biografi mengenai Tun berjudul RIWAYAT SEORANG PENTADBIR. Memang beliau banyak melibatkan diri dalam hal-hal Negara, terutamanya dalam rangka kerja sebagai Setiausaha Sulit Ketua Menteri Pertama Tanah Melayu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Tun Abdullah juga telah menganggotai jawatankuasa dalam merangka Rukun Negara, slogan-slogan kerajaan, pemilihan nama-nama tempat serta nama Bandar Baru, dan dalam merangka penubuhan beberapa organisasi seperti Pernas, Petronas dan bermacam-macam lagi.

Beliau telah berkhidmat dengan ikhlas dan cemerlang di bawah pimpinan tiga orang Perdana Menteri ia itu Almarhum Tunku Abdul Rahman, Almarhum Tun Abdul Razak dan Almarhum  Tun Hussein Onn. Mereka bekerjasama dalam pelbagai situasi pada waktu itu di mana setiap Perdana Menteri menghadapi ujian dan cabaran yang berbeza. Zaman yang dilalui beliau merupakan zaman yang begitu mencabar terutamanya ketika beliau mengalami sendiri situasi Negara semasa peristiwa 13 Mei 1969, Mageran, Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai peristiwa yang bersejarah.

Prinsip Tun terhadap kerja adalah mudah. Lakukan segalanya dengan ikhlas dan fikir sebelum bercakap. Teliti dahulu sebelum memberi pandangan dalam apa jua keadaan. Never complain and do not explain. (Jangan mengeluh dan tak perlu penjelasan panjang panjang). Seluruh hayatnya  beliau berpegang pada prinsip tersebut. – Anna Abdul Ranee.

Bersama isteri, Toh Puan Anna Abdul Ranee

Saya Jantra Naqiah ingin berkongsi tentang tokoh yang saya sayang, hormati dan sanjungi.

Tun Abdullah Ayub yakni ayahanda kepada ibu saya Puan Mariah Abdullah dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Anak ketiga daripada lapan adik-beradik kepada Tuan Ayub bin. Md. Said dan Puan Hajah Ngah Mariam bte. Mohd Ali. Cerita ibu saya, Abdullah bin Ayub memulakan persekolahan di Melayu Pasir Panjang Laut pada 1933, semasa beliau berumur tujuh tahun. Sekolah tersebut mempunyai lebih kurang 150 murid, iaitu terdiri daripada murid-murid darjah satu hingga darjah enam (boys school). Pada sebelah petang pula, Abdullah belajar agama di surau kampung tersebut. Bagi beliau, ibu dan bapanya merupakan insan yang sangat berpengaruh untuk membentuk personalitinya. Saya masih teringat beliau pernah berkongsi tentang bapanya (onyang) seorang yang bekerja kuat dan amat mementingkan pendidikan anak-anaknya. Sebaliknya ibu beliau (onyang) pula seorang yang lemah lembut, ibu penyayang, pandai menjahit dan memasak. 

Permainan kegemaran atuk ialah congkak, gasing dan guli serta galah panjang. Namun apabila meningkat remaja beliau suka bermain bola dan badminton.

Pengalaman hidup bersama atuk terlalu banyak untuk saya ceritakan di ruangan ini namun apa yang pasti atuk banyak mempengaruhi hidup saya khasnya, kerana kami lama tinggal serumah dan saya pula cucu kesayangannya (ha ha, perasan). Banyak ilmu saya terima daripada atuk dan pelbagai nasihat dititipkan kepada saya dan cucu-cucunya yang lain. Kami bertuah mempunyai seorang atuk yang sentiasa mengingatkan cucu-cucunya supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara khasnya. Atuk selalu mengingatkan kepada kami untuk menjaga maruah keluarga, ya menjaga nama baik keluarga.

Teringat kata-kata ini, ‘Keluarga adalah sketsa kecil syurga di dunia. Dalam keluarga, kita mencurahkan kasih sayang. Dalam keluarga kita menutrisi hati kita untuk istiqomah beribadah di jalanNya. Dan dari keluarga yang bertakwa, awal peradaban Islam tercipta’ – Poppy Zhafira.

Ya atuk selalu mengingatkan kami tentang tanggungjawab kepada Allah, jaga solat lima waktu khasnya, kerana solat itu tiang agama. Berbuat baik dan ringankan tulang membantu insan yang memerlukan kerana itu sehingga kini saya sendiri senang melakukan kerja-kerja amal kerana dididik untuk berbuat demikian. Dan saya amat beruntung sempat bekerja di bawah atuk sendiri di (Lembaga Pemegang Amanah Kolej Islam Malaya (LAKIM) sebagai personal assistant. Antara tugasan saya ialah mengelolakan kerja-kerja amal. Atuk, more and more when I single out the person who inspired me most, I go back to you atuk. Atuk, Qiah tidak pernah lupa kasih sayang dan semangat juang yang atuk tanamkan dalam diri Qiah. You may no longer be by my side but you’re forever in my heart. – Jantra Naqiah Thongcharoen.

Satu Negara Menonton Moyang Di Kaca TV

“Semenjak saya kecil lagi Tun Abdullah bin Ayub (moyang) menjadi idola saya. Beliau adalah contoh yang terbaik bagi kami sekeluarga. Saya teringat satu peristiwa saya dibawa berjumpa moyang sebelum beliau bertolak ke Istana Negara. Beliau memakai pakaian rasmi istana yang dihiasi pingat-pingat negara. Saya hanya sempat bersalam dan mengambil gambar bersama beliau. Itu adalah kenangan yang terindah bagi saya. Sehingga kini saya masih lagi merasa bertuah, bersyukur dan kagum mempunyai seorang moyang yang begitu taat kepada negaranya. Saya bertuah kerana beliau adalah darah daging saya. Seorang legenda yang hebat pada pandangan saya. Lebih-lebih lagi apabila beliau dianugerahkan pangkat Tun pada 2011. Satu negara menonton moyang saya di kaca televisyen. Saya tumpang gembira dan merasa bangga atas kejayaan beliau. Saya juga bersyukur pada Ilahi kerana dapat mengenalinya serta dapat menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Walaupun oyang sudah tiada tetapi beliau sentiasa akan hidup di dalam ingatan anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit serta negara yang memperingati jasa beliau.” Wan Muhammad Azlan bin Wan Azman (cicit pertama Tun Abdullah bin Ayub)

Related posts

Man of the Month/ Personaliti

admin

Neelofa… Antara Wanita Paling Berpengaruh Di Dunia

admin

DI SEBALIK SENYUMAN MANIS

admin

Leave a Comment