Perkahwinan ialah Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis. Ia fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempurna dan bahagia. Berkenaan dengan persoalan di atas kami nukilkan jawapan Dr. Fathi Yakan, antara lain menyebut:
Sesungguhnya dalam usaha membantu saya berjaya dalam membina rumah tangga Muslim, agama Islam telah menunjukkan kepada saya jalannya. Kandungan risalah Islam telah mengisyaratkan kepada saya beberapa faktor, sebab-sebab yang mempermudahkan lagi tanggungjawab yang dipikul ini dan merealisasikan matlamat yang ingin saya capai.
Antaranya:
1. Hendaklah perkahwinan saya ini semata-mata kerana Allah iaitu membina rumah tangga yang mengamalkan ajaran Islam, melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah dan merealisasikan usaha bagi memastikan hidayah Allah SWT berterusan dan tersebar ke seluruh alam ini.
Firman Allah SWT:
ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِن بَعْضٍ ۗ
Maksudnya: (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
(Surah Ali Imran:34)
2. Hendaklah matlamat perkahwinan saya ini untuk menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan supaya menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT sebagai tuhan yang saya sembah. Dalam permasalahan ini, Rasulullah SAW pernah bersabda:
ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ
Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”
Riwayat al-Tirmidhi (1655), al-Nasa’I (3218)
Baginda bersabda lagi:
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.
Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)
3. Saya hendaklah membuat pilihan terbaik untuk calon isteri dan teman hidup saya sebagaimana pesanan Rasulullah SAW:
تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: Hendaklah kalian membuat pilihan bakal isteri yang terbaik untuk bakal zuriat kalian, hendaklah kalian berkahwin dengan yang sekufu, dan kawinkanlah mereka dengan perempuan yang sekufu
Riwayat Ibn Majah (1968)
4. Hendaklah saya memilih calon isteri yang berakhlak dan beragama sekalipun tidak mempunyai harta dan kecantikan berdasarkan petunjuk sabda Rasulullah SAW:
لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ
Maksudnya: Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta-harta mereka, berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya.
5. Hendaklah saya berhati-hati daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dalam urusan perkahwinan ini, berjaga-jaga daripada ditimpa kemurkaan-Nya serta balasan-Nya yang pedih. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ تَزَوَّجَ امْرَأَةً لِعِزِّهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا ذُلًّا، وَمَنْ تَزَوَّجَهَا لِمَالِهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا فَقْرًا، وَمَنْ تَزَوَّجَهَا لِحَسَبِهَا لَمْ يَزِدْهُ اللَّهُ إِلَّا دَنَاءَةً ، وَمَنْ تَزَوَّجَ امْرَأَةً لَمْ يَتَزَوَّجْهَا إِلَّا لِيَغُضَّ بَصَرَهُ أَوْ لِيُحْصِنَ فَرْجَهُ ، أَوْ يَصِلَ رَحِمَهُ بَارَكَ اللَّهُ لَهُ فِيهَا ، وَبَارَكَ لَهَا فِيهِ
Maksudnya: Sesiapa yang berkahwin dengan seseorang wanita keran ingin mendapatkan kebanggaan dengan kemuliaan yang ada padanya, tidaklah Allah SWT menambah baginya selain kehinaan. Sesiapa yang mengahwininya sebab harta semata-mata tidaklah Allah SWT menambah baginya selain kefakiran. Sesiapa yang mengahwininya kerana pangkat kedudukan wanita tersebut, tidaklah Allah SWT menambah baginya melainkan semakin rendah kedudukannya di sisi manusia. Sesiapa yang berkahwin dengan seorang wanita yang dia tidak ingin berkahwin dengannya, melainkan untuk dia menundukkan pandanganya, menjaga kehormatan dirinya atau dia menyambung hubungan kekeluargaan; nescaya Allah memberkati baginya wanita tersebut, dan memberkati bagi wanita tersebut untuk dirinya.
Tanggungjawab Selepas Perkahwinan
Sesungguhnya pilihan terbaik saya dalam memilih calon isteri tidaklah menggugurkan kewajipan saya untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri selepas perkahwinan. Bahkan sesungguhnya tanggungjawab terbesar bermula sejak saat pertama perkahwinan. Bermula dari sinilah, saya perlu melaksanakan beberapa tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Antaranya:
1. Hendaklah saya berbuat baik kepadanya dan bergaul dengan mesra bagi mengukuhkan keyakinan antara saya dengannya serta merealisasikan sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.
Riwayat Ibn Majah (1977), Riwayat al-Tirmidhi (3895)
Sabda Rasulullah SAW lagi:
إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya.
Riwayat al-Tirmidhi (2612)
2. Hendaklah hubungan yang dijalinkan bukan semata-mata hubungan di tempat tidur dan hubungan untuk memenuhi keinginan syahwat, bahkan wajib sebelum itu semua untuk merealisasikan antara kita persamaan pemikiran, jiwa dan perasaan. Kita membaca dan menelaah bersama-sama, menunaikan sebahagian ibadah bersama-sama serta menguruskan urusan rumah tangga bersama-sama, kemudian hendaklah juga terdapat ruang untuk bergurau-senda dan bermain bersama-sama.
Dalam urusan ibadah, Allah SWT telah berfirman:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) supa berterusan mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.
Surah Taha (132)
Firman-Nya lagi:
وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا
Maksudnya: Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!
Surah Maryam (55)
Adapun dalam perihal bergurau senda dan merehatkan jiwa dengan bermesra dengan isteri; Baginda SAW pernah berlumba lari dengan Saidatina Aisyah R.Anha. Dalam keadaan Aisyah berlari mengejar Baginda. Begitu juga dalam perihal saling membantu dalam menguruskan urusan rumahtangga, Rasulullah SAW banyak membantu para ummahat al-mukminin dalam pelbagai urusan antaranya Rasulullah SAW sering menjahit kasut Baginda sendiri bagi meringankan kerja para isteri R.A.
3. Hendaklah hubungan yang terbina antara saya dan isteri berlandaskan perkara yang digariskan oleh ketetapan syarak. Hubungan ini tidak boleh dijalankan berlawanan dengan Islam atau pada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Perkahwinan adalah suatu tanggungjawab yang besar, yang diamanahkan oleh Allah SWT. Hendaklah kita memenuhi sepertimana yang disebutkan di atas bagi menggapai erti sebenar keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman untuk kita dalam mengamalkan syariat Islam. Amin.
Sumber: Majlis agama Islam