Muharram Yang Mulia

Bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan. Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada hari ke-10 dalam bulan Muharram?

Kelebihan 10 Muharram

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan Allah ketika menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Dzulhijjah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharram ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharram ialah bulan Allah, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharram.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah Bulan Haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan Haji. Seterusnya bulan Dzulhijjah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah Haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan Sunnah Muharram

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharram adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Nabi Musa a.s pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insyaAllah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kata Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata: Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura. [HR Bukhari 2006]

Soalan: Sekiranya saya sudah berpuasa pada 10 Muharam iaitu hari ‘asyura, adakah saya juga perlu berpuasa pada hari selepasnya ?

 Jawapan: Bulan Muharram memang tidak dinafikan ianya merupakan satu bulan yang mulia. Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan ini. Justeru, bagi menjawab persoalan yang diajukan di atas kami nyatakan beberapa perkara seperti berikut:

 Bulan Muharram Bulan Allah

Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.

Surah al-Taubah (36)

Rasulullah S.A.W telah pun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharam dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

 Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram

Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).

Riwayat Abu Daud (2429)

Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.

Riwayat al-Tirmizi (741)

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:

  • Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
  • Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.

Galakan Berpuasa Hari ‘Asyura

Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:

Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

Riwayat Ibn Majah (1738)

Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا ‏”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.

Riwayat al-Bukhari (2004)

Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad S.A.W dan hukumnya adalah sunat.

Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi

Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

Riwayat Ahmad (2154)

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:

 لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).

Riwayat Muslim (1134)

Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ

Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.

Riwayat Muslim (1134)

Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.

 Pendapat Para Fuqaha

Berikut kami nyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:

  • Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
  • Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
  • Berpuasa sehari dan selepasnya.

Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:

  • Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
  • Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
  • Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Kesimpulan

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram beserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping rezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita. Ameen.

Petikan: Datuk Dr. Zulkifli Al Bakri, 11 Oktober 2016 bersamaan 10 Muharram 1438H

 Sumber: Majlis agama Islam Wilayah & IslamItuIndah.my

CONTACT US

31 USJ4/6A Subang Jaya 47600, Selangor Darul Ehsan
Telefon: 012-2145622, 012-2320111, 013-6920850
Email: admin@majalahwn.com

FOLLOW US ON