AGAMA

Mas Kahwin Wajib, Jenis Mahar dan Kadarnya

Mas kahwin atau mahar (Bahasa Arab: مهر) ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Dalam masyarakat Melayu, ia disebut sebagai mas kahwin – mungkin merujuk kepada pemberian dalam bentuk cincin emas. Mas kahwin adalah ibadah yang diwajibkan dan terkandung dalam rukun nikah. Hukum Mahar Wajib.

Hukumnya adalah wajib berdasarkan dalil ayat Al-Quran:

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. ” – (Surah An-Nisa’: 4)[]

Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri.

Cara Mahar Diberikan

Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.

Kadar Mahar

Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam 

menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguhpun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar

mempermudahkan mahar sebagaimana dalam sabdanya :

” اعظم النساء برآة أيسرهن مؤنة “

Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang perbelanjaan ( mahar ). ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )

Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah (rendah) maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy) Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setengah daripada keberkatan wanita ialah mudah peminangannya dan mudah maharnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqiy) Abu Hurairah berkata, “Adalah sodaq kami ketika zaman Rasulullah ada bersama kami 10 waqyah.” (1 waqyah bersamaan 40 dirham).

Saidina Umar berkata: “Awas! Janganlah kamu melampau dalam memberi mas kahwin kepada wanita kerana sesungguhnya jika wanita itu seorang yang mulia di dunia atau seorang yang bertakwa di sisi Allah, nescaya Rasulullah SAW orang yang paling utama berbanding kamu dalam memberi mas kahwin yang banyak. Padahal aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berkahwin dengan mana-mana isterinya atau mengahwinkan mana-mana puterinya dengan mas kahwin lebih daripada 12 waqyah.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi )

Mengenai kadar melampaui batas, menurut Ibn Qudamah (Mazhab Hambali), tidak digalakkan lebih daripada 500 dirham, iaitu kadar mahar isteri Rasulullah SAW, begitu juga pendapat ulama Mazhab Syafie, Maliki, had melampau ialah kadar melebihi kebiasaan orang ramai. Walau bagaimanapun suami boleh memberikan mahar yang tinggi kepada isteri berdasarkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 20 :“ Kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak.“ Di Malaysia pemberian mahar diberikan oleh suami kepada isteri dalam bentuk wang ringgit yang kadarnya berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain. Jumlah mas kahwin bagi seorang perempuan, mengikut negeri dan kategori. (Diambil daripada Ustaz Abd Aziz bin Harjin Pensyarah Tamadun Islam Universiti Teknologi MARA Perlis).

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kenapa Islam menetapkan mas kahwin dalam perkahwinan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kawin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Surah al-Nisa’ (4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ»،

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin daripada besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/190)

Menjawab persoalan di atas, penetapan mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Kami kemukakan di sini beberapa hikmah pensyariatan mas kahwin dalam Islam.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan: Mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia. Begitu juga untuk membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan dirinya dengan keperluan perkahwinan, seperti pakaian dan perbelanjaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/586)

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi menyebut, Allah SWT memfardukan mas kahwin ke atas pihak lelaki untuk diberikan kepada pasangan wanitanya adalah sebagai bukti ikatan cinta antara kedua-duanya. Ia juga bertindak mengikat perhubungan kedua-dua pasangan dengan kasih sayang dan belas kasihan di bawah pimpinan pasangan lelaki tersebut. (Lihat Ahkam al-Usrah li Bait al-Muslim, hlm. 75)

Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut, pemberian mas kahwin disyariatkan sebagai lambang kemuliaan dan penghargaan terhadap wanita melalui sebuah perkahwinan. (Lihat al-Mar’ah Baina al Fiqh wa al-Qanun, hlm. 56)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, mas kahwin bertujuan untuk menzahirkan keutamaan dan kepentingan sebuah perkahwinan di samping memuliakan kedudukan wanita. Penyediaan mas kahwin di dalam Islam juga dilihat sebagai ukuran tahap persediaan pasangan dalam menempuh alam perkahwinan yang lebih mencabar. Mas kahwin yang diberikan turut menjadi perlambangan kesucian dan keikhlasan pihak suami untuk menjalani kehidupan bersama-sama pasangan wanita yang dipilihnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/239)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam menjelaskan hikmah disyariatkan mas kahwin menyebut, antaranya:

  • Penetapan mas kahwin adalah bagi menunjukkan kemuliaan kaum wanita. Hal ini menandakan bahawa merekalah yang dicari, bukan mencari, dan yang mencarinya ialah lelaki, bukan dia yang berusaha mencari lelaki. Lelaki itulah yang mencari, berusaha, dan mengeluarkan hartanya untuk mendapatkan wanita. Berbeza dengan bangsa-bangsa atau umat yang membebani kaum wanita untuk memberikan hartanya atau harta keluarganya untuk lelaki, sehingga si lelaki ingin mengahwininya.
  • Bagi menzahirkan cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya, sehingga pemberian harta itu sebagai nihlah daripadanya, iaitu sebagai pemberian, hadiah, dan hibah, bukan sebagai pembayar harga seseorang wanita seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak. Kerana itu al-Qur’an menyatakan dengan bahasa yang jelas:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kawin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Surah al-Nisa’ (4)

  • Mas kahwin juga menunjukkan sebagai lambang kesungguhan. Pernikahan bukanlah sesuatu yang dapat dipermainkan kaum lelaki dengan begitu saja, dengan mengatakan kepada seseorang wanita: “Saya nikahi engkau,” sehingga menjadikannya terikat. Kemudian tidak lama setelah itu si wanita dilepaskan begitu saja, dan dia mencari lagi wanita lain untuk diperlakukan sama dengan yang pertama, dan seterusnya…. Pemberian harta ini menunjukkan bahawa lelaki bersungguh-sungguh dalam mendekati wanita, bersungguh-sungguh dalam membina hubungan dengannya.

Apabila dalam hubungan yang tahapnya masih di bawah hubungan perkahwinan pun manusia mahu memberikan cenderamata, perlindungan dan hadiah – sebagai tanda kesungguhan – maka dalam jalinan kehidupan kekeluargaan tentu lebih utama memberikannya. Kerana itu Islam mewajibkan kepada lelaki membayar separuh mahar jika dia menikah dengan seorang wanita tetapi kemudian menceraikannya sebelum melakukan hubungan suami-isteri. Hal ini sebagai penghormatan terhadap perjanjian yang berat dan perhubungan yang suci, juga sebagai petanda bahawa persetubuhan bukanlah tujuan paling utama – kerana dalam kes ini belum terjadi hubungan persetubuhan. Allah berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ

Maksudnya: Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada mas kawin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskawin itu dengan sepenuhnya).

Surah al-Baqarah (237)

Sumber 

Wikipedia dan JAIS

Related posts

Antara Habil dan Qabil Mana Satu Watak Kita?

admin

Fadilat-Fadilat Maulid Sayyidina Maulana Nabi ﷺ

admin

Hikmah di Sebalik Virus Covid-19

admin

Leave a Comment