AGAMA

Adakah Wajib Mencatat Hutang?

Gambar ihsan Google

Soalan

Assalamualaikum datuk, adakah mencatat hutang wajib dilakukan mengikut apa yang disebut dalam Surah al-Baqarah? Mohon pencerahan.

Jawapan Ringkas

Hukum mencatat hutang adalah sunat dan digalakkan. Ini adalah kerana tujuan mencatat hutang adalah untuk mengelakkan orang yang berhutang lalai daripada membayar hutangnya serta lupa akan jumlah yang dia telah berhutang. Namun begitu, tidak menjadi kesalahan sekiranya ianya tidak dilakukan.

Huraian Jawapan

Mencatat hutang telah dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…

Surah al-Baqarah (282)

Ulama berselisih pendapat tentang kewajipan menulis atau mencatat hutang melalui ayat di atas. Ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa mencatat atau menulis hutang itu adalah wajib. Namun, pendapat oleh majoriti ulama adalah sunat hukumnya dan sekiranya tidak dilakukan tidak mengapa. (Rujuk Tafsir al-Mawardi 354/1[1]; Tafsir al-Baghawi 349/1[2]; Tafsir al-Baidawi 164/1[3])

Tambahan lagi, mencatat hutang disunatkan kerana perbuatan tersebut adalah salah satu bentuk berhati-hati dalam urusan agama dan dunia serta akan dapat mencegah penghutang daripada sikap lalai dan lupa untuk melunaskan hutangnya apabila tiba waktunya. (Rujuk Ahkam al-Quran li al-Jassas 584-585/1[4]; Fiqh al-Tajir al-Muslim h.45[5])

Perkara yang berkaitan dengan hutang terutamanya daripada aspek lalai dan culas membayar hutang sering kali membawa kepada pertikaian dan perbalahan antara pemberi hutang dan penghutang terutamanya sama ada orang tersebut betul-betul berhutang atau tidak dan juga berapakah jumlah yang dihutangnya. Oleh itu, mencatat akan dapat mengelakkan pertikaian tersebut berlaku. Hal ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan penulis kitab al-Fiqh al-Manhaji seperti berikut:

استحب كتابة العقد وبيان مقدار هذا الدين وأصله وما يتعلق بذلك مما ينفي المنازعة

Maksudnya: Adalah disunatkan untuk mencatat akad dan jumlah hutang dan segala perkara berkaitan dengannya yang mana akan dapat mengelakkan pertikaian. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 46/6)

Menerusi perbincangan yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa hukum mencatat hutang adalah sunat dan amat digalakkan kerana dapat mengelakkan pertikaian antara dua pihak serta mengelakkan penghutang daripada terlupa dan lalai dalam melunaskan hutangnya.

Kesimpulan

Hukum mencatat hutang adalah sunat dan digalakkan. Ini adalah kerana tujuan mencatat hutang adalah untuk mengelakkan orang yang berhutang lalai daripada membayar hutangnya serta lupa akan jumlah yang dia telah berhutang. Namun begitu, tidak menjadi kesalahan sekiranya ianya tidak dilakukan.

Wallahualam.

[1] وفي {فَاكْتُبُوهُ} قولان: أحدهما: أنه ندب ، وهو قول أبي سعيد الخدري ، والحسن ، والشعبي

[2] وَاخْتَلَفُوا فِي هَذِهِ الْكِتَابَةِ: فَقَالَ بَعْضُهُمْ: هِيَ وَاجِبَةٌ، وَالْأَكْثَرُونَ عَلَى أَنَّهُ أَمْرُ اسْتِحْبَابٍ فَإِنْ تُرِكَ فَلَا بَأْسَ

[3] فَاكْتُبُوهُ لأنه أوثق وادفع للنزاع، والجمهور على أنه استحباب

[4] وَلَا خِلَافَ بَيْنَ فُقَهَاءِ الْأَمْصَارِ أَنَّ الأمر بِالْكِتَابَةِ وَالْإِشْهَادِ وَالرَّهْنِ الْمَذْكُورِ جَمِيعَهُ فِي هَذِهِ الْآيَةِ نَدْبٌ وَإِرْشَادٌ إلَى مَا لَنَا فِيهِ الْحَظُّ وَالصَّلَاحُ وَالِاحْتِيَاطُ لِلدِّينِ وَالدُّنْيَا، وَأَنَّ شَيْئًا مِنْهُ غَيْرُ وَاجِبٍ

[5] قال الإمام ابن العربي المالكي: [قوله تعالى: {فَاكْتُبُوهُ} يريد أن يكون صكاً ليستذكر به عند أجله لما يتوقع من الغفلة في المدة التي بين المعاملة

Sumber asal: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5012-al-kafi-1836-adakah-wajib-mencatat-hutang 

Related posts

Adakah Berlaku Pergaulan Bebas Dalam Group Whatssap?

adminwm

Mengenai Seks & Seks Dalam Islam

admin

Memuliakan Tetamu dan Kebaikan Rumah Terbuka

adminwm

Leave a Comment