Saidatina Aisyah binti Abu Bakar seorang Ummul Mukminin, isteri Nabi SAW, Aisyah puteri kepada Abu Bakar as-Siddiq yang sangat berjasa kepada umat Islam. Tokoh wanita Muslimah yang sangat dikagumi dan dihormati.
Aisyah adalah seorang wanita berparas cantik berkulit putih, sebab itulah ia sering dipanggil ‘Humaira’. Selain cantik, ia juga dikenal sebagai seorang wanita cerdas yang Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mempersiapkannya untuk menjadi pendamping Rasulullah SAW dalam mengembang amanah risalah yang akan menjadi penyejuk mata dan pelipur lara bagi diri baginda. Suatu hari Jibril memperlihatkan (kepada Rasulullah SAW) gambar Aisyah pada secarik kain sutera berwarna hijau sembari mengatakan, “Ia adalah calon isterimu kelak, di dunia dan di akhirat.” (HR. At-Tirmidzi (3880), lihat Shahih Sunan at-Tirmidzi (3041))
Selain menjadi seorang pendamping setiap yang selalu siap memberi dorongan dan motivasi kepada suami tercinta di tengah beratnya medan dakwah dan permusuhan dari kaumnya, Aisyah juga tampil menjadi seorang penuntut ilmu yang senantiasa belajar dalam madrasah nubuwwah di mana beliau menimba ilmu langsung daripada sumbernya. Beliau tercatat termasuk orang yang banyak meriwayatkan hadis dan memiliki keunggulan dalam pelbagai cabang ilmu antaranya ilmu fikah, kesihatan dan syair Arab. Setidaknya sebanyak 1,210 hadis yang beliau riwayatkan telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim dan 174 hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari serta 54 hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim. Sehingga pembesar para sahabat kibar tatkala mereka mendapatkan permasalahan mereka datang dan merujuk kepada saidina Aisyah.
Apakah jasa yang telah dicurahkan oleh Aisyah? Mengapa Rasulullah SAW amat menyayangi dan menyenanginya?
Ilmuan Yang Tinggi
Saidatina Aisyah r.a dikenali sebagai wanita yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang fekah, faraid, tafsir dan hadis. Bahkan, Urwah bin az-Zubir pernah mengatakan;
“Tiada seorang yang lebih alim tentang halal dan haram, ilmu, syair dan perubatan melainkan Aisyah Ummul Mukminin.”
Menjadi Tempat Rujukan Para Sahabat Nabi SAW
Abu Musa al-Asy’ari pernah berkata;
“Tidaklah terjadi satu kemusykilan ke atas kami sahabat-sahabat Nabi SAW pada suatu hadis, maka kami bertanya tentangnya kepada Aisyah r.a, melainkan kami akan mendapat daripada Aisyah ilmu tentangnya.”
Isteri Yang Paling Utama Di sisi Rasulullah SAW
Selain Khadijah, Aisyah r.a adalah isteri yang paling utama di sisi Rasulullah SAW. Keduanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
Latar belakang Keluarga Yang Kuat Agama
Menjadi puteri kepada Abu Bakar as-Siddiq sudah cukup menaikkan martabatnya, apatah lagi menjadi isteri kepada Rasul sekalian alam; Baginda SAW, manakala ibunya bernama Ummu Ruman binti ‘Amir; seorang isteri yang mulia, ibu yang baik dan bijak.
Saudara lelakinya bernama Abdul Rahman bin Abu Bakar dan saudara perempuannya, Asma’ yang mendapat gelaran Zatu an-Nithaqain (wanita dengan dua tali). Mereka amat komited dalam memperjuangkan agama Islam.
Tempat Kelahiran
Saidatina Aisyah r.a lahir di Mekah al-Mukarramah, tempat yang penuh keberkatan.
Mendapat Didikan Secara Langsung dari Rasulullah SAW
Selain menjadi permaisuri hati Baginda SAW, Aisyah r.a juga turut mempelajari adab mahupun akhlak serta ilmu lain secara langsung daripada Rasulullah SAW yang mendapat didikan secara terus oleh Allah SWT.
Perkahwinan Yang Diberkati
Aisyah dilamar oleh Rasulullah SAW ketika usianya masih muda dan majlis perkahwinannya berlangsung pada bulan Syawal, tahun kedua Hijrah.
Bahkan, Rasulullah SAW tidak berkahwin dengan gadis kecuali hanya dengan Aisyah. Perkahwinan ini juga adalah kerana wahyu daripada Allah SWT. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah;
“Aku bermimpi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku dengan membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai kain sutera. Malaikat berkata, “Inilah gambaran isterimu.” Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah engkau. Maka aku katakan, “Jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya.”” Hadis Riwayat Muslim
Menjadi Pembantu Rasulullah SAW
Selain menjadi seorang isteri kepada seorang rasul, secara tidak langsung Aisyah r.a turut menjadi pembantu Baginda dalam menyebarkan risalah Allah SWT dan dakwah Islam.
Periwayat Hadis Rasulullah SAW
Jasa Aisyah r.a kepada umat terlalu banyak, antaranya banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW.
Wahyu Turun Ketika Bersama Aisyah
Tidak ada wahyu yang turun kepada Rasulullah SAW ketika Baginda berselimut dengan wanita, melainkan hanya dengan Aisyah r.a. Baginda bersabda kepada Ummu Salamah;
“Jangan sakiti aku dengan mengusiknya (kerana menyakitinya sama seperti menyakitiku). Sesungguhnya, wahyu tidak datang kepadaku sewaktu aku berada di bawah satu selimut dengan seorang wanita pun dalam kalangan isteriku, kecuali ketika bersama Aisyah.” Hadis Riwayat Bukhari
Rasulullah SAW Wafat Di Sisi Aisyah
Kata Aisyah r.a;
“Rasulullah SAW wafat di rumahku pada hari dan malam giliranku. Kepalanya diletakkan di atas paru-paru dan bahagian atas dadaku.”
Bahkan sebelum wafat, Rasulullah SAW turut berkongsi kayu sugi yang telah digunakan oleh Aisyah r.a, sehinggakan Aisyah berkata;
“Segala puji bagi Allah yang telah menyatukan air liurku dengan air liur Baginda pada detik-detik terakhir kehidupan dunia Baginda.”
Begitulah antara beberapa keistimewaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Saidatina Aisyah r.a.
Kehalusan budi pekerti, akhlak mulia, tutur katanya yang penuh kesopanan ketika berdepan dengan suami tercinta menambahkan lagi bibit-bibit romantik dan kecintaan dalam hati Baginda Rasulullah SAW kepadanya.
Tidak mustahil jika Aisyah lebih dicintai berbanding yang lain. Moga keperibadian yang dimiliki oleh Aisyah ini dapat dicontohi oleh kaum wanita pada masa kini. Wallahua’lam.
Aisyah adalah isteri Nabi Muhammad SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis. Ia mengobarkan perlawanan terhadap Ali bin Abu Thalib setelah Nabi Muhammad SAW wafat.
Aisyah meninggal dunia pada Isnin malam, 17 Ramadan 58 Hijriyah, saat sembahyang sunah witir. Begitulah menurut pendapat para ulama dan ada juga yang berpendapat bahawa ia wafat pada tahun 57H, dalam usia 63 tahun dan sekian bulan.
Para sahabat Ansar juga datang pada waktu itu, bahkan tidak pernah ada satu hari pun yang lebih banyak orang mengucapkan takziah daripada hari itu, hinggakan penduduk sekitar Madinah turut datang. Aisyah dikuburkan di pemakaman Baqi’. Solat jenazahnya diimami Abu Hurairah dan Marwan bin Hakam yang saat itu adalah Gabenor Madinah.
Aisyah adalah satu-satunya isteri Nabi Muhammad SAW yang saat dinikahi berstatus perawan. Sedangkan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW yang lain adalah janda.
Aisyah lahir empat atau lima tahun setelah diutusnya Muhammad menjadi Rasulullah. Saat itu, ayah Aisyah, Abu Bakar, merasa puterinya sudah cukup umur untuk menikah. Aisyah mahu dinikahkan dengan Jubayr bin Mut’im. Tetapi pernikahan tersebut batal kerana ayah Jubair, Mut‘im bin ‘Adi, menolak Aisyah lantaran Abu Bakar telah memeluk Islam. Isteri Mut’im bin Adi mengatakan tidak mahu keluarganya mempunyai hubungan dengan kaum Muslim, yang dapat menyebabkan Jubair berpindah ke agama baru itu.
Ditentang Kaum Syiah
Menurut Kecia Ali dalam The Lives of Muhammad (2014)—dengan mengutip pendapat ulama Tabari (juga menurut Hisham ibn ‘Urwah, Ibn Hunbal and Ibn Sad)—Aisyah dipinang Rasulullah SAW pada usia tujuh dan mulai berumah tangga pada umur sembilan. Aisyah menjadi isteri ketiga Nabi Muhammad setelah Khadijah dan Saudah binti Zam’ah.
Terdapat pelbagai silang pendapat mengenai pada umur berapa sebenarnya Nabi Muhammad SAW menikahi Aisyah. Sebahagian besar (termasuk sahih Bukhari dan sahih Muslim) menyatakan bahawa upacara perkahwinan tersebut terjadi ketika Aisyah berusia enam tahun, dan ia diantarkan memasuki rumahtangga Nabi Muhammad sejak umur sembilan. Ada pula pendapat pakar yang menyebut setidaknya Aisyah berumur 19, saat menikah dengan Nabi (hlm. 180-181).
Dalam bukunya, Women’s Rebellion & Islamic Memory (1996), Fatima Mernissi meneroka bahawa Aisyah menghasilkan hadis lebih banyak daripada Ali bin Abu Thalib. Ia mengutip pendapat Ibn Hajar, pengarang 17 jilid Fath al-Bari, bahawa Ali hanya meriwayatkan 29 hadis, sementara Aisyah menyumbang 242 hadis.
Menurut Ibn Hajar pula, Fatimah tidak menyumbangkan apa-apa, meski ia adalah puteri Nabi Muhammad SAW dan isteri Ali (hlm. 166).
Kaum Syiah memberikan dukungan tanpa syarat kepada Ali dan, kerananya, mereka cenderung menentang Aisyah.
Bahkan di era moden, ideologi Syiah termasyhur, Ali Syariati dari Iran, berpendapat bahawa perempuan Muslim yang ideal adalah Fatimah, puteri Rasulullah SAW, yang tidak memainkan peranan politik yang nyata dalam Islam. Bagi kaum Syiah, Aisyah adalah anti model. Ia dicitrakan sebagai perempuan yang menyeramkan. Kaum perempuan, bagi kaum Syiah, harus berpuas diri seperti Fatimah, dengan menjadi ibu yang baik, anak perempuan yang baik dan isteri yang baik (hlm. 165-166).
Di Mesir, Sa’id al-Afghani menghabiskan waktu 10 tahun untuk menulis biografi Aisyah. Dalam bab pendahuluan dan simpulannya, al-Afghani mengatakan bahawa dia melakukan hal ehwal itu untuk membuktikan bahawa kaum perempuan harus dihalangi daripada kancah politik. Bukunya, Aishah and Politics (1971) suatu susunan yang sistematik dari seluruh karya konservatif mengenai kaum perempuan.