Sumbang mahram adalah penganiayaan seksual yang menjejaskan biologi, kesihatan mental dan masa depan mangsa. Jika hamil anak hasil sumbang mahram tersebut berhadapan dengan risiko menjadi manusia yang tidak normal, mengalami kerencatan otak dan kecacatan anggota badan atau organ dalaman malah terdapat kes yang berkesudahan dengan kematian. Jika mereka hidup sempurna, mereka mengalami kekeliruan identiti dan gangguan psikologi sepanjang hidup.
Antara punca berleluasanya perlakuan terkutuk ini ialah pelaku di bawah pengaruh dadah, menjadi hamba nafsu, hilang pedoman hidup, mengabaikan undang-undang, kebanjiran sumber pornografi dan tata hubungan yang melampaui kewajaran. Bahan lucah dan gagal menjaga aurat serta kesempatan yang terbuka mempunyai hubungan langsung dengan maksiat ini. Akhirnya, berlaku zina secara rela atau paksa.
Dari ufuk falsafah maqāsid, syariat melaknat perbuatan terkutuk ini tidak lain kecuali kerana memelihara nasab keturunan dan kehormatan manusiawi. Al-Quran melarang manusia agar tidak sekali-kali mendekatinya. Tafsiran larangan ‘mendekati’ ini menjadi lebih jelas apabila diteliti menerusi sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebutkan peringkat zina ialah zina ‘ain (mata); melihat bahan pornografi atau aurat terlarang dengan bernafsu, zina lisān (lidah); suara mendesah dan ghairah, zina yadin (tangan); menyentuh dan merangsang, zina qalb (hati); membayangkan dan menginginkan kenikmatan seks seterusnya berlakulah zina.
Menurut Ibn Hajar al-Haitami (seorang fuqaha Mazhab Syafie, ahli Kalam dan Tasawuf dalam kitab Az-Zawājir ‘an Iqtirāfi al-Kabā’ir) mengatakan bahawa zina yang paling keji adalah berzina dengan mahram sendiri. Penzina atau pelaku sumbang mahram tidak layak untuk tinggal di muka bumi Allah sebagaimana pencerahan seorang ahli sufi Ibrahim bin Adham apabila ditanya tentang maksiat, beliau memberikan beberapa syarat jika ingin terus melakukan maksiat iaitu: “Kalau kau mampu melaksanakan lima syarat ini, kau boleh melakukan dosa iaitu jangan makan rezeki Allah, jangan tinggal di bumiNya, carilah tempat yang tersembunyi daripadaNya, sempatkan diri bertaubat saat malaikat maut mencabut nyawa dan akhir sekali, sedia mampu lari jika diseret ke neraka oleh malaikat Zabaniah.”
Sebaliknya bagi mereka yang ingin bertaubat dari segala maksiat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik pesalah ialah mereka yang bertaubat” (h.r Ibn Majah). Taubat mampu membersihkan diri daripada dosa kerana Allah Maha Pengampun. Mafhum firman Allah: “Kecuali orang yang bertaubat, memperbaiki diri dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan dengan tulus ikhlas menjalankan agama semata-mata kerana Allah. Maka mereka itu bersama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang beriman” (Al-Nisa’: 146).
Selain menjanjikan kebaikan kepada mereka yang ingin pulih dengan bertaubat, Islam juga mencegah kemungkaran dengan mengekang jalan-jalan menyampai kepadanya. Islam menetapkan hukuman sebat kepada penzina yang belum berkahwin dan rejam kepada yang berkahwin. Sumbang mahram boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 376A dan Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara dan sebatan.
Hukuman tegas terhadap pesalah sebenarnya menzahirkan ciri rahmatan lil ‘alamin kerana hukuman yang keras dapat mengekang orang tersebut mengulangi dan menimbulkan kegerunan kepada orang lain yang bercita-cita melakukannya. Sudah pasti kedua-dua situasi ini baik untuk pesalah dan masyarakat keseluruhannya.
Begitu juga laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang melihat sendiri perubahan tingkah laku dan tahap pemulihan pesalah menjalani hukuman sebatan di samping mengikuti modul pemulihan akhlak di penjara. Tidak hairanlah pelopor perundangan Islam, Profesor Ahmad Ibrahim menyimpulkan bahawa undang-undang Jenayah Malaysia dianggarkan 65% selari dengan hukuman Islam.
Kesimpulannya, jenayah dan maksiat kronik ini perlu ditangani dengan mengukuhkan kembali institusi keluarga, menjaga sempadan pergaulan, meningkatkan kecaman masyarakat terhadap sumber lucah di media serta memupuk iman dalam kalangan setiap kaum muslimin. Masyarakat jahiliah di Mekah yang dilanda krisis moral mampu dipulihkan dengan pemupukan iman yang haq (sebenar), kenapa kita tidak nampak dan yakin kepentingannya demi pembinaan peradaban manusia. Memahami Islam, membina peradaban.
Soalan:
Saya ingin bertanya betulkah sekiranya berlaku sumbang mahram contohnya ayah dengan anak atau anak tiri, maka hubungan suami isteri yang sedia ada secara automatik telah jatuh talak. Ini bermakna suami isteri berkenaan tiada lagi hubungan suami isteri dan tidak boleh disatukan semula walaupun melalui ‘cina buta’. Benarkah hukumnya demikian dan apakah nas atau dalilnya?
Jawapan:
Tidak ada nas yang mendokong pendapat ini. Talak dan pembubaran perkahwinan ditentukan oleh suami dan mesti melalui pendaftar nikah-cerai-rujuk. Namun secara logiknya mengikut hukum Islam, perkahwinan itu boleh bubar kerana:
a) Jika mereka berada dalam negara Islam yang mengamalkan hudud, maka suami/ayah yang mengamalkan inses akan dikenakan hukum rejam sampai mati kerana dia merupakan pesalah muhsyan (yang sudah berkahwin). Maka jika pelaksanaan hudud rejam, maka secara otomatik bubarlah perkahwinan.
b) Jika berada dalam negara yang mengamalkan hukum civil seperti Malaysia, kesalahan inses (sumbang mahram) dikenakan hukum maksimum 20 tahun penjara dan enam sebatan. Hukuman penjara yang lama juga adalah alasan sah untuk membubarkan perkahwinan.
c) isteri yang solehah juga sepatutnya memfailkan perceraian (fasakh) kerana bimbangkan keselamatan anak-anaknya kerana si ayah sudah terbukti seorang tidak boleh memberi perlindungan kepada anak-anaknya dan telah khianat besar kepada isterinya. Ini adalah alasan yang kuat untuk membubarkan perkahwinan.
Berdasarkan tiga alasan itu, kemungkinan ada orang yg berpendapat perkahwinan bagi suami yg inses adalah otomatik bercerai sebagai penyelesaian. Allahu a’alam
Tambahan:
Setelah meneliti semula kitab Fiqh Nikah, didapati jika berlaku inses antara ayah dan anak gadisnya, perkahwinan itu dibubarkan secara otomatik adalah pendapat madzhab Hanafi dan Hanbali serta diperkuat oleh Imam Ibn Taymiyah dan Ibn Qayyim. Hujahnya hadis daripada Kamal bin Humam (Fiqh Islami, ms 6631) “Tidak sah engkau berkahwin dengan seorang wanita yang telah engkau setubuhi anaknya.”
Penjelasan detail ada dlm kitab Kasyaf alQina’ 5/72 dan Syarah asySyagheer 2/405
Madzhab Syafi’iy dan Maliki pula sebaliknya, perkahwinan tidak batal dengan berlakunya inses (sumbang mahram), lihat Imam syaraf Nawawi, Rawdhoh Tolibin 7/113 dan Bidayah alMujtahid 2/21. antara dalil madzhab ini ialah: HR albaihaqee dan Ibn Majah,” Perkara haram (zina) tidak mengharamkan apa yg halal (nikah); sesungguhnya menjadi haram hanya dengan nikah.
Rumusan:
Jika berlaku inses, maka terbubarlah perkahwinan berdasarkan fiqh Hanafi dan Hanbali
Tidak batal /terbubar menurut madzhab Nusantara (Syafi’iy) dan Maliki. Allahu a’alam
Sumber JAIS