COVER STORY

Isabella Manfredi – Girls Like To See Girls Dressed Up Like Princesses

[thb_gap height=”35″]

Saya tercari-cari quote yang sesuai dibaca saat ini dan terjumpa kata-kata ini, “You can have anything you want in life if you dress for it,” kata Edith Head manakala Ralph Lauren berpendapat, “I don’t design clothes, i design dreams.” Seterusnya Iris Apfel, “What’s my style is not your style, and I don’t see how you can define it. It’s something that expresses who you are in your own way.”

Begitu jawapan mereka tentang subjek fesyen. Mahu saya sertakan pula maksudnya mengikut pemahaman saya – kalau dibandingkan dengan lapangan seni yang lain, fesyen adalah yang paling berkuasa. Ia melibatkan pergerakan, rekaan dan seni bina – all in one. Ia merupakan satu platform untuk kita tunjukkan pada dunia siapa kita dan apa yang kita mahu. Fesyen berubah-ubah dan pantas peralihannya.  Ia juga memperkasa dengan cara yang membolehkan kita maju ke hadapan, dalam masa yang sama tidak meninggalkan sejarah kita.

Mahu saya panjangkan lagi topik ini, dengan membawa kepada anda bicara saya bersama Isabella Manfredi, wanita muda dari Itali yang merupakan pensyarah rekaan fesyen di Snips College of Creative Arts (SCCA)  Sungei Wang, Bukit Bintang. Bekas penuntut sekolah fesyen terbaik di Itali iaitu Istituto di Moda Burgo Milan ini kini bertugas membimbing pelajarnya dalam aspek jahitan, pattern juga trend fesyen.

[thb_gap height=”35″][thb_gap height=”35″]

Jom ikut bicara bersama Isabella Manfredi.

Ceritakan tentang latar belakang anda.

Saya dilahirkan di Milan, Itali. Di sana saya menghadiri sekolah antarabangsa British bersama dua adik beradik perempuan saya. Selepas menamatkan sekolah menengah, saya menyambung pelajaran dalam jurusan rekaan fesyen di Politecnico of Milan University dan kemudian melengkapkan pengajian saya dengan mengambil pendekatan yang lebih praktikal di Istituto of Moda Burgo (IMB) Milan, di mana saya menamatkan pengajian dalam jurusan penggayaan fesyen dan penghasilan pattern pakaian wanita.

 

Sudah berapa lama anda bekerja sebagai pensyarah rekaan fesyen?

Sudah masuk beberapa tahun. Pada mulanya saya bertugas sebagai pembantu di ibu pejabat IMB Milan yang mana saya mempelajari segala-galanya tentang tugasan ini, dan sekarang saya di IMB Milan cawangan Kuala Lumpur, di bawah SCCA. Saya tinggal di Malaysia selama hampir setahun setengah.

 

Siapa yang memperkenalkan anda kepada SCCA, dan mengapa anda mengambil keputusan untuk tinggal dan bekerja di sini?

Peluang datang daripada ketua IMB Milan iaitu Mr. Burgo. Dia memberitahu saya mengenai pembukaan cawangan baru IMB di sebuah kolej fesyen di Malaysia. Mr. Burgo tahu saya suka travel jadi dia mencadangkan saya ke sini. Dan dia juga secara peribadi mencadangkan nama saya kepada Dato Mike Loh sebagai pensyarah fesyen.

[thb_gap height=”20″][thb_gap height=”20″]

Siapakah pelajar anda dan adakah kesemuanya rakyat Malaysia?

Mereka adalah golongan muda yang ingin bekerja dalam industri fesyen; punya minat dalam bidang ini dan ingin belajar sesuatu selain daripada rekaan fesyen Melayu. Hampir kesemua pelajar saya perempuan; satu perbezaan besar jika dibandingkan dengan Milan. Pelajar saya bukan sahaja rakyat Malaysia, sebaliknya ada juga yang datang dari pelbagai negara di Asia seperti Myanmar dan saya turut ada pelajar dari Bangladesh dan Kuwait.

Apa pendapat anda tentang etika kerja dan apa pendapat anda tentang etika yang diamalkan dalam fesyen?

Etika kerja melibatkan banyak perkara, antaranya tentang siapa dan bagaimana seseorang itu. Jadi ia sesuatu yang penting. Etika melibatkan sikap, tingkah laku, penghormatan, komunikasi dan interaksi; bagaimana hubungan individu itu dengan orang lain. Karakter seperti kejujuran dan akauntabiliti boleh mewujudkan persekitaran kerja yang merangsang dan positif, seterusnya membawa kepada hasil yang lebih baik.

Berkenaan fesyen, ramai yang ingin membeli pakaian berkualiti dengan harga yang sangat murah dan ini menunjukkan mereka tiada idea tentang apa yang berlaku di sebalik tabir. Industri fesyen harus berusaha ke arah lebih kukuh dengan meminimumkan kesannya terhadap alam sekitar sama ada pencemaran saluran air daripada bahan kimia atau pewarna toksik, pengeluaran sisa-sisa, kegunaan pembungkusan yang terlalu banyak, penggunaan racun perosak pada kapas, air yang diguna berlebihan semasa proses pembuatan atau penggunaan minyak dan petroleum untuk menghasilkan fabrik tertentu. Saya juga percaya bahawa lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada kebimbangan hak asasi manusia seperti memansuhkan buruh kanak-kanak, memastikan pekerja dilayan dan dibayar dengan adil dan persekitaran kerja yang selamat.

Bercakap tentang pelajar anda, apakah yang boleh anda katakan kepada mereka, tentang impak kepada industri fesyen selepas tamat pengajian dari pusat pengajian Italian Burgo Fashion Institute?

Pelajar lulusan Istituto Moda Burgo contohnya, mereka bersedia sepenuhnya dalam menghadapi realiti kerja, kerana sekolah kami memberi tumpuan kepada pemerolehan praktikal, dan bukan teori. Ada yang akan memulakan jenama masing-masing dan ada yang memilih bekerja dengan pereka fesyen sedia ada. Walau apa pun pilihan, graduan IMB tahu apa yang mereka lakukan dan akan menjadi aset kepada industri fesyen.

Apakah maksud fesyen?

Fesyen pada saya adalah satu bentuk seni yang boleh diungkapkan pada tubuh kita. Tidak ada batasan tentang apa yang boleh dianggap sebagai mewah atau over the top, satu-satunya had yang ada adalah yang diputuskan oleh diri kita.

Apakah kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk menjadi pereka fesyen yang berjaya?

Pereka fesyen yang berjaya memperolehi kemahiran yang diperlukan dalam ilustrasi dan corak pembuatan sama ada di kolej fesyen atau melalui pembelajaran sendiri. Yang paling penting bagi seorang pereka adalah pengalaman dan praktik, bukan sekadar kajian teoretikal. Ini sesuatu yang anda boleh pelajari dengan bekerja rapat dalam industri.

Adakah anda seorang yang celik komputer dan teknologi? Adakah sebarang perisian tertentu yang anda gunakan semasa membuat rekaan?

Penting untuk tahu menggunakan komputer dan teknologi, dan perlu juga punya kebolehan bekerja cara lama. Perisian yang biasa kami gunakan untuk urusan reka bentuk adalah Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, dan juga perisian AutoCAD seperti Lectra Modaris, ia perisian yang membolehkan anda membuat draf corak pada komputer. Satu lagi penggunaan teknologi dalam rekaan fesyen adalah penyelidikan trend menggunakan perkhidmatan seperti WGSN yang meramal warna dan trend untuk tahun yang akan datang.

Bagaimana anda kekal up to date dengan fesyen?

Saya menonton semua pertunjukan fesyen terkini dari seluruh dunia, terutamanya dari dua kota yang sentiasa di hati saya, Milan dan Paris.

Apakah aspek yang anda gemari akan kerjaya seorang pereka dan bergelar guru kepada seseorang yang punyai inspirasi untuk menjadi pereka fesyen?

Saya sukakan proses kreatif daripada memikirkan konsep kepada penghasilan lakaran dan corak. Seperti timbul satu perasaan puas apabila melihat pakaian yang kita bayangkan itu menjadi nyata. Dalam pengajaran pula saya suka berkongsi pengetahuan bersama orang yang bersemangat sama seperti saya. Saya juga seronok melihat perbezaan kreativiti setiap pelajar.

Apakah perbezaan antara rekaan fesyen Itali dan rekaan fesyen Malaysia?

Itali ada sejarah dan tradisi yang telah sekian lama dimiliki. Label ‘made in Italy’ dikenali di seluruh dunia kerana mereka (Italian) tahu bagaimana menurunkan sejarah fesyen daripada generasi ke generasi. Di Itali terdapat daerah fesyen yang memenuhi setiap segmen industri fesyen dan menyediakan bahan-bahan berkualiti juga mutu kerja yang sangat baik. Kebebasan berfikir dan ekspresi membolehkan fesyen Itali berkembang, namun aspek seperti ini ditolak banyak negara. Saya berjumpa banyak pereka tempatan Malaysia, saya menyukai rekaan mereka tetapi saya merasakan kerana pasaran yang terhad membuatkan mereka tidak punyai satu arah yang tertentu.

Bagaimana cara bekerja dalam dunia fesyen hari ini berbanding ketika anda bermula dulu?

Fesyen sentiasa berubah membuatkan kita harus belajar menyesuaikan diri. Kunci kejayaan adalah berfikiran terbuka dan inovatif dalam idea dan rekaan, dan inilah cara bagaimana fesyen telah berubah berbanding ketika saya mula bekerja, ia sentiasa bergerak ke arah masa depan. Sekarang terdapat banyak idea eksperimen yang dijalankan seperti perkembangan fabrik di makmal menggunakan bakteria untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan sisa, atau percetakan fabrik menggunakan pencetak 3D. Fesyen kini berkait rapat dengan sains untuk keperluan inovasi, dan saya fikir ia adalah perkara yang baik.

Apakah peranan media sosial dalam dunia fesyen hari ini?

Kewujudan media sosial sangat penting pada masa kini kerana melaluinya anda boleh mendekati target pelanggan yang sangat besar dan mengkhususkan pasaran yang tepat untuk koleksi anda dengan mencipta imej jenama yang anda suka.

Anda mempunyai jenama pakaian sendiri bernama Izabele dan sedang dijual di kedai-kedai terpilih di Monza, Itali. Terangkan bagaimana look koleksi anda dan siapa yang merancang rekaan dan mengendalikannya sekarang?

Jenama saya mensasarkan wanita muda yang minat pada sesuatu yang berbeza dan membuatkan mereka berasa unik. Jenama saya bermatlamat untuk mengeluarkan rekaan di mana setiap bahagian menggunakan butiran atau fabrik yang berbeza supaya apabila pelanggan memakai baju rekaan saya, dia tahu hanya dia yang memilikinya. The look is fresh but edgy, wearable tetapi masih bergaya dan inovatif. Setiap helaian dihasilkan secara custom made sepenuhnya. Buat masa ini pasukan saya di Itali yang menguruskan jenama saya tetapi kami memperlahankan progres berikutan saya kerap travel.

Ada perancangan untuk tinggal lebih lama di Malaysia?

Saya akan tinggal di sini selagi saya gembira dan ada peningkatan peribadi. Saya juga akan mengikut saja ke mana kehidupan membawa saya.

Pernah jatuh cinta?

Saya mengalaminya sekarang.

Pernahkah ada sesiapa memberitahu wajah anda seperti seorang figura terkenal?

Pernah ramai memberitahu wajah saya iras Kendall Jenner namun saya tidak pasti bersetuju dengan mereka.

Di tempat asal anda, antara kesemua empat musim, mana satu yang anda paling sukai? Atau benci, mungkin?

Sebelum berpindah ke Malaysia jawapan saya pastinya musim panas kerana saya tidak menyukai cuaca sejuk. Tetapi yang sebenarnya, setiap musim bagus untuk fesyen kerana ia memastikan adanya perubahan berlaku, sesuatu yang tidak dapat dilihat di sini. Saya juga rindu pakaian musim sejuk saya.

 

 

Terima kasih Dato’ Mike Loh, Pengasas Snips College Of Creative Arts (SCCA)
Lokasi penggambaran: Studio SCCA, Tingkat 6, Sungai Wang Plaza, Kuala Lumpur
Jurugambar: IqqiVR.photogministry
Solekan & dandanan: Snips College Of Creative Arts
Pakaian: Koleksi Isabella Manfredi
Arahan seni: Wirda Adnan
Penyelaras: Shaufik Yunus
[thb_gap height=”40″]

Related posts

DATO’ SURAYA YAACOB, FOOTBALL IS NOT JUST A MAN’S GAME

Wirda Adnan

Fariz Jamaluddin

Wirda Adnan

DATO’ AZIE SHEIKH MOHAMED ‘NO REGRETS IN MY LIFE’

Mahani Awang

Leave a Comment