AGAMA

Hukum Hakam Agama Mengenai Adik Beradik

Bacaan surah Al-Hujrat ayat 12-13 yang bermaksud,

‘Allah meminta kita menjauhkan diri daripada sikap buruk sangka, terutamanya dalam kalangan adik-beradik. Jangan kita terlalu cepat menghukum orang dengan prasangka buruk. Allah terangkan dengan jelas dalam ayat ini bahawa sikap buruk sangka akan menyebabkan murka Allah. Oleh itu, kita kena ingat bahawa bila kita suka buruk sangka, kita akan sukar untuk masuk syurga. Dengan perasaan buruk sangka, kita akan menyibukkan diri mencari aib orang lain. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang cukup masyhur, “Barangsiapa yang menutup aib orang lain, Allah akan tutup aibnya di padang mashyar kelak.” Hormati adik-beradik dan semua ahli keluarga agar kita dapat menjaga keharmonian rumah tangga.

 

S: Apakah hukum seorang kakak yang suka memburukkan adik ipar kepada ibunya sendiri?

J: Betul, perkara ini berlaku dalam masyarakat. Tidak kiralah sama ada kakak, abang atau adik. Kita kena ingat, jika perkara yang diceritakan itu tidak benar, itu sudah menjadi fitnah. Orang yang buat fitnah tidak akan dibenarkan masuk syurga sehinggalah dia meminta ampun dengan orang yang difitnahnya. Perbuatan ini boleh menyebabkan ibu pula membenci saudara ipar kita. Oleh sebab itulah dosa fitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang cuba mengeluarkan aib orang dan memburuk-burukkan orang lain, mukanya akan dilempar dengan api neraka di akhirat kelak.” Oleh itu tinggalkan perbuatan ini. Nabi SAW mengajar kita untuk memberi nasihat dengan baik. Bercakap benarlah biarpun pahit, tetapi jangan memfitnah atau memburuk-burukkan adik-beradik.

 

S: Ada ustaz mengatakan bahawa antara tanggungjawab antara adik-beradik ialah membantu dalam bentuk kewangan. Mohon ustaz jelaskan.

J: Kita memang dituntut dalam Islam agar tidak bakhil. Orang yang bakhil tidak bersedekah, bayar zakat atau menggembirakan orang lain. Oleh itu sangat penting untuk kita agar tidak kedekut dan suka memberi hadiah, dan membuat jamuan makan contohnya. Beri bantuan kepada saudara yang susah. Jika mampu beri sebagai hadiah atau sedekah, jika tak mampu boleh beri pinjam dahulu. Adik-beradik pula jangan ambil kesempatan atas adik-beradik sendiri. Jika sudah pinjam, pandai-pandailah pulangkan ketika sudah mampu. Oleh sebab itu Allah suruh kita tulis apabila berlaku hutang. Orang yang berhutang dan tidak melangsaikan dikira berdosa, dan ditakuti akan menjadi muflis di akhirat nanti.

 

S: Kawan saya selalu bergaduh dengan adik-beradiknya. Bagaimana untuk menasihati?

J: Betul, kita perlu bertanya cara membantu rakan-rakan kita. Pertama, perlu ada niat untuk tegur sebagai nasihat. Kerana nasihat itu adalah agama. Nabi SAW menggalakkan kita memberi nasihat. Terangkan kepada mereka kepentingan adanya adik-beradik dan ajar mereka bersyukur. Selain mendengar, cuba alami sendiri masalah yang dihadapinya. Kedua: cuba usahakan untuk membantu meleraikan pergaduhan tersebut. Kita jangan jadi kawan yang mengapi-apikan keadaan pula. Ingatkan rakan yang hidup kita tak selalunya di atas, suatu hari pasti kita akan merasa berada di bawah pula. Tatkala itu adik-beradiklah tempat kita mengharapkan bantuan. Ketiga: jangan kita paksa dia ikut apa yang kita cakap. Berikan dia beberapa pilihan yang baik.

 

S: Abang saya menghadapi masalah dalam perniagaan. Sebagai adik, saya hanya mampu mendoakannya. Bolehkah begitu?

J: Selain doa dan pertolongan kewangan, kita boleh juga memberikan semangat dan inspirasi sebenarnya. Doa merupakan perisai orang beriman. Allah berfirman yang ringkasnya bermaksud, “Berdoalah kepadaKu, Aku akan makbulkan.” Jadi doakanlah untuk adik-beradik kita kepada Allah SWT. Kita bertemu Allah paling kurang lima kali sehari. Apabila kita mendoakan seseorang, dan orang itu tidak mengetahuinya, maka malaikat juga akan mendoakan kita doa yang serupa juga. Teruskan berdoa, semoga rezeki abang anda akan bertambah baik. Abu Darda’ setiap kali solat akan mendoakan kepada 70 orang sahabatnya.

 

S: Bagaimana untuk mengelak perasaan hasad dengki antara adik-beradik?

J: Imam Ghazali dikenali sebagai pakar merawat sakit hati. Rujuklah kitab tulisannya iaitu Ihya’ Ulumiddin. Betullah selalu wujud perasaan dengki antara adik-beradik. Kita kena ubah sifat ini dan ganti dengan sifat syukur dan redha. Ada satu cerita seorang profesor yang mempunyai empat anak. Tiga anaknya pandai dan menjadi doktor, manakala yang keempat tidak begitu pandai dan cuma bekerja sebagai kerani sahaja. Profesor itu rasa begitu pelik sehingga mengatakan yang anak keempatnya itu bodoh. Ditakdirkan, Allah menguji profesor itu terkena strok. Dalam kesemua anaknya, anak yang keempat itulah yang menjaganya sepanjang masa. Anak yang lain sibuk dengan kerjaya. Oleh sebab itu kita tidak boleh dengki dengan kelebihan yang Allah kurniakan pada adik-beradik yang lain. Seumpama jari kita yang lima, semuanya ada fungsi tersendiri. Kurang satu akan menjadi tidak sempurna.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Perasaan hasad memakan pahala amalan seperti mana api memakan kayu.” Kita perlu berlapang dada dan gembira dengan kelebihan yang dimiliki adik-beradik lain. Bagi yang lebih berjaya pula, jangan sombong dan bantulah adik-beradik lain yang kekurangan.

 

S: Kebanyakan adik-beradik bergaduh kerana harta ibu bapa. Apakah nasihat ustaz?

J: Betul, banyak berlaku pergaduhan dalam kes faraid. Harta sebenarnya adalah satu bentuk fitnah kepada manusia. Jadi ibu bapa perlu didik agar anak-anak tidak terlalu cintakan dunia. Ajar anak bersyukur dengan apa yang diterima, walaupun sedikit. Yahya bin Muaz berkata, “Harta itu seperti kala jengking. Jika kamu tidak pandai merawat, jangan ambilnya. Ambil apa yang hak kamu sahaja dan letakkan yang lain pada haknya (bersedekah).” Harta ibu bapa yang paling bernilai ialah anak-anak iaitu adik-beradik kita. Cuba perhatikan jika anak-anak sakit, ibu bapa sanggup gadaikan harta untuk menyelamatkan anak-anak. Oleh itu janganlah kerana harta ibu bapa, adik-beradik bergaduh.

 

S: Mohon penjelasan tentang sikap adik-beradik yang suka memperlekehkan satu sama lain.

J: Hukum menghina, perli orang lain adalah haram. Allah SWT melarang kita berbuat begitu. Oleh itu kita tidak boleh memperlekehkan apa yang dibuat oleh adik-beradik kita atau orang lain.

 

Sumber: Tanyalah Ustaz episod Tip Adik Beradik oleh Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim

Related posts

Do’a Ini Pendek Tapi Sangat POWER!!!

admin

HADIS DHAIF BOLEHKAH BERAMAL DENGANNYA?

adminwm

RAMADAN KAREEM ATAU RAMADAN MUBARAK?

adminwm

Leave a Comment