Maria dan Jefri pasangan yang selalu mendapat jolokan pasangan paling romantik. Mereka sering dijadikan pasangan contoh, Berkahwiin lebih 18 tahun, di mana ada Jefri, di situ ada Maria, Mereka jarang sangat berengang, berjalan masih berpegangan tangan. Pakaian sentiasa sedondon. Bila hujan sang suami akan memayungkan isteri, malah kalau air naik contohnya, kira-kira kawasan itu banjir Jefri akan mendukung Maria, tidak mahu isterinya basah. Dan ada kata ia juga menyelamat kasut bini yang mahal, Bercerita mengenai kasut, memangpun Maria gila kasut, dan dia sanggup menjinjing kasut daripada memakainya andai jalan becah atau hujan.
Dikurniakan dua anak perempuan pasangan ini dikatakan pasangan contoh.
Kawan-kawan Maria dan kawan-kawan Jefri cemburu dengan kemesraan pasangan ini, mengharapkan mereka juga begitu, saling mencintai dan berdua-duaan ke mana pergi. Namun ada juga yang mual, terutama teman-teman Jefri, “You angkut bini you ke mana aje, helo brother kadang-kadang kaum sejenis kita ni hendak juga lepak sesama kita, you pula bawa bini, kita tak bolehlah nak sembang-sembang kotor…so sesekali tinggalkan saja bini you di rumah.”
Sudah tentu Jefri tidak melayan kehendak kawan-kawannya, dia akhirnya menjauhi daripada kawan-kawannya dan ‘berkawan’ dengan geng bini sahaja. Ada juga di kalangan geng-geng Maria tidak beberapa selesa. “Kita hendak enjoy sesama ladies lah, nak buka tudung bila sesama ladies. Maria, tak best lah… mengapa hubby you ekor you ke mana sahaja, dia tidak ada kawan lelaki ke? Boringlah.”
Dan bagi jenis yang suami tidak pernah hendak temankan isteri waima ke majlis keluarga sekalipun, mereka ‘mengidam’ suami seperti Jefri yang terlalu memanjakan isteri, yang dengar cakap isteri dan memuja isteri di mana sahaja berada.
Anak-anak pun gembira mama dan papa mereka saling berkasih sayang, darling dan love sahaja panggilan sesama mereka. Kata Dianni sewaktu usianya sembilan tahun, “Mama, i want to be like mama, papa love you so much. My friend told me, I am a lucky girl. Parents never shout at each other, unlike Adira, her dad sometimes scream at her mom.” “Sebab kau orang baik, papa dan mama tidaklah gaduh, kalau kau orang nakal tentu papa dan mama gaduh,” jawab si ibu. “But that is not fair, yang gaduh Dian and Daria, ngapa pula mama dan papa pula yang hendak bergaduh because of us.”
Entah di mana silapnya, di mana kurangnya atau barangkali terlalu mempercayai satu sama lain, sang suami merasakan isterinya tidak akan curang dan begitu juga isteri yang tidak sedikit pun rasa cemburu apabila suami bercerita fasal reunionnya zaman sekolah dan universitinya… perlahan-lahan pasangan dua sejoli ini bergerak sendiri. Sang isteri barangkali pun jemu diperli tidak lagi mahu sang suami berada di ‘happy hours’ dia dengan kawan-kawannya. Begitu juga sang suami, yang tiba-tiba saja bebas sangat apabila isteri tidak lagi membonceng di belakang motosikal kuasa tingginya. Dia rasa lebih relaks ‘jamming’ dengan kawan-kawan lelakinya tanpa ada bininya di sebelah. Betul kata kawan-kawannya, bila ada bini mana bisa cakap lepas. Mana bisa bercerita fasal girl-girl friends biarpun dia sendiri tidaklah ada kekasih gelap. Yang punya kekasih gelap sudah tentu mahu menyembungikan perihal hubungannya takut isteri si teman akan membuka rahsianya,
Syaitan sudah tentu amat bergembira apabila berjaya memainkan peranannya untuk memporak perandakan rumah tangga pasangan yang sudah lebih 18 tahun berkahwin ini. Barang haram lagi syaitan suka. Bila kawan-kawan Jefri masing-masing punya kekasih gelap, Jefri juga teringin mencuba, Mula-mula dia melihat kawan-kawan cuma melayan girlfriend di telefon kemudian bawa bersama membonceng di motosikal. Hem Jefri rasa iri. Dia juga ada motorsikal kuasa besar malah lebih hebat daripada motosikal kawan-kawannya. Dia juga lagi besar pangkat, dan kalaupun perutnya sudah boroi, aduh lelaki bila punya wang, tidak kiralah pendek ke, hitam ke, boroike, yang penting saku sendat. Pendekkan cerita si Jefri sudah tidur tidak lena dan mandi pun tak basah lagi… kekasihnya pula separuh usia isteri dan slim macam model Tini.
Di pihak sang isteri, dia juga dibawa arus keseronokan. Tambahan kawan-kawan ada yang menjanda dan dia rasa hidup mereka tidak terkongkong. Tidak perlu minta izin suami keluar, tidak perlu masak untuk suami dan sebagainya. Anak-anak sudah diurus oleh si bibik, guru tuition disediakan untuk semua mata pelajaran, jadi semua itu tidak perlu dirisaukan. Dan bila suami juga sudah beri dia ‘green light’ untuk berparti, dan bercuti dengan kawan-kawan lagilah dia happy.
Daripada ‘girl club’ kelab mereka sudah menerima untuk girl club bersama pasangan. Yang berkahwin sudah lupa yang mereka sudah berkahwin, yang menjanda inilah peluang mencari pasangan dan yang berpasang-pasangan belum ada ikatan lagilah happening kerana masanya untuk mereka mencari pasangan.
Mrs Jefri yang awalnya hanya mahu enjoy sekali sekala sudah lebih kerap keluar. Dan sudah ada pula insan yang mendekati dan menaruh hati kepadanya. Dan dia pula rasa setiap kali bertemu, gemuruh di hatinya, ada sesuatu pada lelaki beranak tiga ini. Tidaklah kacak tetapi mengancam. Pandai pula berlawak dan membuat dia ketawa. Bijak pula memuji menjadikan dia rasa lebih yakin dengan dirinya. Apatah lagi mereka juga penyokong parti yang sama sejak dahulu lagi. Dua-dua tidak boleh dengar nama Najib mahupun Rosmah. Jadi bila bersembang dan sependapat, lagilah rasa kemesraan terjalin.
Pendekkan lagi cerita, si Jefri sudah tidak boleh berpisah lagi dengan sang kekasih. Dan Mrs jefri pun sudah diberitahu oleh seorang temannya yang Jefri sudah ada girlfriend dan mahu berkahwin.
Perempuan mana tidak sedih mendengar cerita yang suami hendak kahwin lagi, tetapi dia juga sudah berteman… kalau Jefri kahwin lagi, dia juga selepas edah boleh berkahwin. Dan dia tidak akan rasa bersalah kerana sudah berteman sewaktu menjadi isteri. Sedih tetap sedih tetapi ini juga peluang keemasan baginya.
Maria minta diceraikan setelah diketahui hubungan Jefri dan kekasihnya dan kelangsungan cerita yang Jefri hendak berkahwin. Ingat Jefri bodoh, dan pekak dan buta, dia juga mendapat tahu yang Maria di dalam kumpulan geng janda-janda yang sedang mencari. “Oii you ingat I tak tahu aktiviti juga (sebenarnya Jefri tidaklah tahu sang isteri juga punya affair, cuma meneka sahaja. Helo ada orang beritahu I okay, yang you juga….)
Rumah tangga yang dahulunya aman tenteram tidak lagi tenang dan damai. Anak-anak mendengar pertengkaran mama dan papa mereka. Makan tidak semeja malah, si papa sudah tidur bilik berasingan.
Maria juga rasa bersalah walaupun menafikan sekeras-kerasnya yang dia keluar dengan kawan-kawan kerana sunyi, kerana sering ditinggal-tinggalkan dan kerana suami tidak mengendahkan lagi dia, sementara Jefri terus menuduh yang isterinya bermain kayu tiga dan kalau tidak dia menceraikan isterinya dia akan dituduh dayus. “Tahu tak kalau I tidak ceraikan you, I suami dayus.” Jefri mengulangi perkataan dayus, supaya dia rasa tidak bersalah menceraikan isterinya. Di sana, si perempuan tidak mahu berkahwin selagi tidak bercerai. “I tidak mahu dituduh mengambil laki orang, sayang. Kalau abang nak kahwin dengan I, I mahu abang bercerai dulu dan I juga tidak senang menjadi isteri kedua.” Jefri tiada pilihan selain menjatuh talak, sementara Maria redha kerana dia pun sememangnya bersalah.
Jefri membina hidup baru tetapi kebahagiaan tidak dirasainya, Banyak perkara yang dia kenangkan kala bersama Maria, cinta pertamanya, dan kerinduan yang memuncak untuk bersama anak-anaknya. Sang isteri juga tidak senang dibawa anak-anak di rumahnya jauh sekali tinggal bersama mereka. “Sayang, you cuba faham I kan muda, macam tidak best kalau anak-anak bersama kita… lagipun mama mereka sebaik tempat bermanja. Lagipun dia kan tinggal di rumah yang you beli, atau kalau you hendak bersama-sama anak you, you suruh ex wife you keluar dari banglo itu. Di sini kita tinggal di kondo too small for all of us.”
Maria juga berkahwin dengan sang kekasih, tetapi bermadu, Sering diserang oleh si madu, tambahan dia pula lebih tua daripada madu. Dikecam dihina. “Perempuan kalau dah janda, cam ni lah, tak sedar diri sudah tua, tetapi menggatal tak habis. Entah bomoh manalah dia guna untuk rampas suami orang,” serang si madu.
Dan sang suami tidak se-gentleman seperti masa berkawan. Banyak sekali kekurangan suami keduanya itu, tambahan dengan surat layang dan cemuhan di facebook, Maria tidak sanggup lagi untuk meneruskan perkahwinannya. Dia juga rindu akan kemesraan bersama Jefri yang selama lebih 18 tahun bersama, bila dikenangkan dia terlalu rindu untuk mendapatkan kebahagiaan itu semula.
Akhirnya Maria bercerai. Jefri yang masa itu belum lagi bercerai kembali menenangkan bekas isterinya, lalu cinta kembali berputih. Di sana juga rumah tangganya tidak seaman mana, sang isteri pula terlebih meminta-minta sehingga wangnya hampir kering memenuhi impian isterinya. Kalau dulu Maria tidak pernah pun dibelikan Chanel mahupun LV dan Gucci, isterinya yang ini asyik-asyik mengheret tangannya ke Pavilion. Maria katanya gila kasut tetapi kasut-kasut murah, bukan harga dua ribu sepasang. Dia sudah muak perangai isterinya dan kembali memikirkan Maria yang tidak pernah meminta apapun. Dan berasa bersalah menuduh Maria curang, sedangkan dia sendiri sengaja mengada-adakan cerita dan menambah bahan-bahan untuk ceritanya setelah diberitahu oleh teman yang Maria berkawan dengan bekas jandanya. Perasaan marah bekas suami si janda lalu mengadakan cerita dan cerita itulah diambil Jefri sebagai umpan untuk bercerai. Kini dia teringin kembali kepada kehidupan lamanya yang penuh kedamaian. Bila diberitahu oleh anak ibu mereka sudah bercerai, dia mencuri peluang untuk mendekati semula Maria dan menunjukkan simpati.
Maria habis endah, Jefri mengajaknya berkahwin semula. Mereka sangkakan perkahwinan kedua ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat tetapi rupanya dahulu dan sekarang sudah jauh berbeza. Maria tidak selembut dahulu. Pengalaman membuatnya menjadi keras, Suami keduanya tidak pernah menyebelahinya bilamana dia diserang. Suami keduanya tidak pernah pun mengajak dia berkenalan dengan mentua dan adik beradik mereka dan semua hal rumahtangga dia yang menguruskan. Suami keduanya bila datang ke rumah untuk gilirannya, hanya tahu makanan sudah dihidangkan, dan pandai pula mengarah, Sehingga dengan semua kejadian itu, dia menjadi lebih tough dan mual dengan perangai lelaki.
Banyak yang tidak kena pada Jefri mengenai Marianya yang sekarang. Begitu juga Maria yang tidak lagi merasakan seperti Jefri yang pernah dikahwininya dulu. Dia merasakan Jefri sama seperti bekas suaminya dahulu yang kasar dan cepat naik angin. Silap-silap dia juga diherdik oleh Jefri, dan sudah tentu pada usia mereka yang sudah pun masuk angka lima, minat untuk bermesra di ranjang terlalu kurang terutamalah Maria. Dia rasa lemas dan tidak minat untuk bersama. Walaupun dia menerima Jefri kali kedua tetapi perasaannya tidak sama lagi. Kadang-kadang dia merasa ‘semak’ bila Jefri berada di rumah, Dia lebih senang bila Jefri tiada di rumah. Lapang jiwanya sendirian, (Dua puterinya sudah di kolej). Dia rasa lebih tenang bersendiri tanpa sesiapa mengganggunya. Dia tidak mahu lagi ke dapur menyediakan sarapan dan makan tengahari dan malam. Kedai mamak pun dekat, gerai pun banyak, ada yang buka sampai tiga pagi, jadi kenapa susah-susah masak?
Ketidakan sefahaman timbul dan akhirnya dia sendiri minta diceraikan. Jefri pun merasakan Maria juga bukan Marianya yang dahulu yang suka ketawa dan bersembang macam-macam. Marianya lebih pendiam, degil dan keras hati. Marianya juga tidak rajin lagi ke dapur… dia rindu sangat asam pedas Maria, tetapi Maria bagaikan tidak mengendahkan pemintaan suami. “Sama aje rasa, you beli saja di gerai mak Limah tu, I malas nak mengemas dapur,” itulah jawapan Maria.
Akhirnya keputusan diambil untuk bercerai kali kedua, itulah yang sebaik cara kerana masing-masing tidak sefahaman lagi dan cinta dahulu sudah lama melayang dan telah hilang.