DESPERADO

Akhirnya Dia Disayangi Mentua

Majlis pernikahan Maryam dan Amar diadakan di masjid, cuma. Yang hadir hanya 15 orang termasuk ibu bapa, adik beradik dan saudara mara terdekat keluarga Maryam dan dua kawan baiknya. Sebelah Amar cuma pengapit dan dua lagi temannya.

“Mana ibu ayah dan saudara mara Amar?” Ada juga suara-suara di belakang yang bertanya. “Awak tidak tahu ke, keluarga Amar tidak merestui pernikahan ini tetapi dia hendak juga mengahwini Maryam,” balas ibu Maryam kepada kakaknya. “Yang kamu hendak juga bermenantukan dia mengapa, buat malu keluarga aje?”

Tersentak juga Puan Hasnah, bisa mulut kakaknya. “Saya sudah larang Maryam tetapi dia hendak juga. Pada dia mengikut sana sini si Amar tu, elok juga dikahwinkan. Lagipun Maryam pun bukan muda sangat, tahun depan umurnya 32 tahun.” “Betul juga  nanti jadi anak dara tua,” balas si kakak. Sakit juga hati si adik, tetapi yang penting baginya lebih kepada soal agama. Kalau dilarang juga mereka berkahwin, dan untuk menantikan pihak keluarga lelaki setuju, pelbagai kemungkinan boleh terjadi.

Ibu dan ayah Amar menentang habis-habisan perkahwinan anaknya dengan Maryam. Kerana berita yang diperolehi daripada seorang wanita. Pada suatu hari, dia (ibu Amar) didatangi seorang wanita dan memperkenalkan dirinya sebagai isteri Raja Badrul. Sebut nama Raja Badrul sudah tentu Datin Shima kenal, sebab dia tahu Raja Badrul berkawan rapat dengan anaknya Amar walaupun usia mereka agak jauh bezanya.

“Amar mana?” tanyanya. “Belum balik kerja lagi,” beritahu Datin Shima. “Mungkin lepak dengan Raja Badrul,” sambungnya. “Datin, Raja Badrul sudah tidak berkawan lagi dengan Amar. Dia penat menasihati Amar supaya jangan berkawan dengan Maryam tetapi Amar degil. Dengar cerita mereka hendak kahwin. Itulah saya datang ni, disuruh Badrul. Dia rasa bertanggungjawab menasihati Amar sebab kita semua ini macam sebuah keluarga kena saling nasihat menasihati. Sebab Amar degil, saya terpaksa ke sini memberitahu Datin.”

“Amar hendak kahwin? Dengan siapa?” Terkejut si ibu, dan memanggil suaminya, Datuk Asri untuk mendengar cerita seterus.” “Saya ni Datin malas hendak masuk campur dalam keluarga Datin tetapi Raja Badrul nasihatkan saya untuk berjumpa Datin, dia kesian Datuk dan Datin. Andai nanti Amar berkahwin juga dengan si Maryam punah semuanya.”

“Siapa si betina itu?” Darah Datin Shima menyirap.” “Sabar Datin, biar saya ceritakan dulu, bawa bertenang dan kalau Datin masih hendak menerima perempuan ini sebagai menantu terpulanglah, saya hanya hendak berpesan. Sebelum ke sini, Badrul banyak cerita mengenai perempuan ini dan saya juga sudah korek sana sini untuk bertanya siapa si Maryam ini, semuanya memberi feedback yang tidak bagus.

“Maryam ini pertamanya, hisap rokok. Rokok tidak boleh lepas dari tangannya, habis sebatang sebatang.” “Ehh Amar tidak merokok, macam mana dia boleh jumpa betina yang merokok, abang dengar tak?”

”Datuk, Datin, kalau merokok itu tak mengapa juga, tetapi dia ini kaki minum. Pergi kelab. Kalau pun tidak setiap malam, malam minggu dia mesti ke sana. Kalau dah minum tu Datin, malas cakaplah jantan mana pun dia sapu. Pakaian pula masyaAllah, dia ingat bodynya cantik sangat lah tu.”

“Satu malam, kami ada jemputan di kelab itu kerana ada pelancaran sebuah produk. Di situ kali pertama kami ternampak Maryam. Sebelum kami balik, kami terserempak dengan Amar. Kami tidak jadi balik, sebab kata Amar dia hendak kenalkan Badrul dengan Maryam, yang mereka panggil Mary. Memang mengeletek budaknya Datin. Suami saya pun tidak sanggup melihat perangainya, dia langsung tidak hormat kawan, di tengah-tengah kami berbual tu juga hendak bercium-cium. Saya sendiri geli.” Dan separuh malamlah si Shila bercerita. “Amar pun sudah pandai minum Datin. Badrul nasihatkan dia, dia kata mind your own bussiness. Dia kata kalau you Badrul hendak cuba nasihatkan I, you go to hell, I memang hendak kahwin dengan Maryam.”

Menggigil badan Datin. Suaminya diam sahaja sepanjang dia mendengar cerita isteri Badrul, dia tidak berkata apa. Ada juga yang tidak kena, tetapi dia malas bersoal jawab. “Perempuan ini datang untuk memberitahu yang betul, apa pula hendak disoalkan?” sebelah hatinya berkata pula.

“Datin tidak perasan ke bau mulut Amar, dan tidak check ke baju dan seluarnya. Tidak bau rokok ke?” “Entahlah Shila, saya ini percaya sangat pada Amar, selama ini dia tidak merokok dan setahu saya dia juga tidak minum.” “Itulah kita besarkan anak kita baik-baik, tiba-tiba datang satu perempuan hendak memusnah hidup anak kita, keluarga kita.”

Amar tidak pun diberitahu kedatangan Shila. Tetapi semenjak hari itu si ibunya menjadi begitu lantang. Setiap kali hendak keluar, dia akan marah dan bertanya hendak ke mana.” Mummy ni macam tidak pernah tahu, Amar lepak dengan geng-geng kolej.” “Kolej atau pergi jumpa si betina Maryam?” Tersentak jantung Amar, dia belum lagi memberitahu kisahnya dengan Maryam, mana pula ibunya tahu?

Sebulan berlalu. “Malam ini Amar, kamu tidak boleh keluar. Mummy dan daddy kamu ada perkara hendak dibincangkan.” “Please mummy Amar sudah ada janji.” “Janji ke apa ke kamu jangan keluar sebab mummy dan daddy hendak berterus terang dengan kamu.”

Amar terpaksa akur. “Kami hendak Amar putuskan hubungan dengan Maryam.” “Why?” “Kalau kamu hendak juga dia, you get out of this house. Rumah ini bukan lagi untuk kamu kalau kamu masih berkawan dengan dia, dan haram kaki kamu dan dia melangkah ke rumah ini kalau kamu berkahwin dengan dia. Anak-anak kamu pun kami haramkan ke sini?”

Amar rasa tiba-tiba pandangannya gelap. “Mummy tak kenal Maryam lagi, apa salah Maryam?” “Mummy tak perlu jawab, sebab kamu ada jawapannya.” “Tapi Amar tiada jawapan, dia perempuan baik.”

Enough Amar, keputusan kami muktamad, kalau kamu hendak juga kahwin dengan dia you can pack your bag now?”

Semenjak peristiwa itu Amar sering dimarahi si ibu. Satu malam, “Okey kamu tidak jadi kahwin dengan dia?” tanya Datin Shima. “Mummy dengar dulu cerita Amar, pertamanya Amar tidak faham kenapa marah-marah ni? Mummy belum pun kenal dia dan tiba-tiba hendak mengamuk?”

“Amar you know your mother well. Kalau mummy kata no, is no. Kalau Amar masih berkeras hendak kahwin, keluar dari rumah ini sekarang juga, mummy jijik dengar namanya.”

Dan satu malam, setelah setiap hari dimarahi si ibu, Amar keluar dari rumahnya dengan membawa sebuah beg kecil. Dia memohon ampun dan maaf, dia memohon dihalalkan segala makan dan minum. Dia memohon semoga mummy dan daddynya mendengar rintihannya. Yang keluar dari mulut ibunya Maryam betina jalang. Maryam tidak layak menjadi menantunya. Maryam juga lebih tua daripadanya, dan Maryam kata ibunya sudah membomohkan Amar, sebab itu Amar mengikut kata perempuan itu dan sanggup meninggalkan banglo mereka kerana seorang perempuan murahan.

“Bodoh sungguh kamu Amar, kamu tahu tak kamu tidak akan dapat sesen pun harta kami,” kata si ibu. Amar cuba hendak bersalam dengan ibunya tetapi ditepis. Bapanya juga sudah masuk ke bilik, sepatah pun tidak berkata.

Hanya setelah Amar pergi, ibunya teringat, “Sepatutnya aku ambil kunci keretanya, biar padan mukanya, menggatal. Kalau hendak sangat kahwin, banyak perempuan yang baik-baik boleh dicarikan. Hendak kahwin dengan anak Raja, anak Menteri pun Amar boleh, katanya dalam hati. Amar memang sudah dibomohkan, tidak mungkin Amar jadi bodoh dan sanggup keluar dari rumah.

Amar melutut di kaki ibu dan ayah Maryam. “Terimalah saya pak cik, mak cik. Ibu dan ayah saya sudah halau saya keluar rumah sebab saya berkeras mahu mengahwini Maryam. Berbulan saya cuba pujuk ibu tetapi ibu saya berkeras dengan keputusannya, kalau saya kahwin Maryam saya kena keluar rumah.”

“Pak cik, mak cik, saya juga kena beritahu, saya ini pun baru bekerja. Duit simpanan pun tidak ada. Saya mohon jangan diletakkan tinggi sangat duit hantarannya, maaf saya terpaksa mengaku keadaan saya yang tidak punya wang, tetapi saya berhajat sangat hendak menjadikan Maryam isteri saya yang sah. Saya berjanji akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.”

Maryam cuba memujuk Amar supaya kembali ke pangkuan ibu dan ayahnya. “Amar, kembalilah kepada mereka. Ibu awak mengandungkan awak sembilan bulan 10 hari, dan membesarkan awak penuh dengan kasih sayang, dia berhak ke atas awak. Lagipun saya tidak mahu kerana saya, awak dan keluarga bermusuhan. Amar, awak boleh cari isteri lain, yang seketurunan dengan awak, yang sama taraf, cantik lagi muda.”

Amar merayu dan terus merayu. “Maryam, kalau you hendak I tunggu 10 tahun lagi pun I sanggup tunggu. Di mata I, you tidak bersalah. Apa salah you yang ibu I tidak mahu waima mendengar nama you sahaja dia marah. I akan tunggu sehinggalah you kata you hendak kahwin dengan I.”

Kerana kejujuran Amar, akhirnya hati Maryam terbuka untuknya. Lagipun ibunya sudah lama menasihatinya. “Maryam kalau betul kamu tidak mahu Amar, kami hendak kamu kahwin dengan anak Pak Cik Saad, Halim.” Terkedu Maryam, Halim seperti abangnya, mana mungkin dia dijodohkan dengan Halim. Dari segi pemikiran pun tidak sealiran. Halim aktif dalam sebuah parti politik dan Maryam pula amat tidak bersetuju dengan aliran pemikiran parti tersebut. Dia tiada pilihan lagi cintanya hanya pada Amar. Dan Amar membuktikan cinta sejak keluar dari rumah tidak berpatah balik.

Lima belas tahun berlalu dikurniakan tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Hari-hari yang dilalui bukanlah penuh dengan cinta cintan. Pasang surut dilalui dalam membina rumah tangga mereka, ada masa berbaik dan ada masa bergaduh juga. Maryam mencuba mencari sebab kenapa kadang-kadang dia berasa amat panas, dan suaminya kadang-kadang marah yang tidak bertempat. Sedih juga memikirkan, mungkin kerana tiada restu ibu bapa, rumah tangga pun tidak aman. Kadang-kadang terfikir dia untuk minta dilepaskan, tidak larat melayan perangai Amar yang panas baran, dan kurang bertanggungjawab, tetapi bila difikirkan, betapa Amar sanggup meninggalkan kehidupan mewah bersama keluarga untuk bersamanya, dia tetap bersabar.

Maryam sebenar tidak putus-putus memanjatkan doa. Berdoa agar rumahtangga dalam aman dan damai. Doa yang tidak lepas supaya hati mentuanya lembut dan menerima mereka anak beranak. Malah masa anak sulungnya Adam lahir dia sudah minta Amar membawa Adam balik berjumpa tok wan dan tok maknya tetapi Amar degil. Jawapannya, “I akan pulang ke rumah parents I kalau mereka terima you sekali. Kalau setakat I dan anak-anak pun I tidak mahu.” “Amar you dan anak-anak you ada pertalian darah, pergilah mohon ampun dan maaf, pasti mereka terima you balik.” “Sayang, salah ke I kahwin dengan you? Apa salah you dihina oleh mother I? I kenal hati mummy dan daddy I, sekali mereka kata no, itulah keputusannya.”

Satu hari talian di rumahnya berbunyi, “Ya hendak bercakap dengan siapa?” “Mana Amar?” Siapa di talian?” “Saya tanya mana Amar?” “Amar tiada di rumah? Puan siapa?” “Saya Datin Shima, ibu Amar?” Mengigil Maryam, “Maaf Datin, nanti bila Amar pulang saya beritahu Datin ada hubungi.” “Beritahu dia, saya ini sudah hendak mati, dia lupa ke dia masih ada mak dan ayah?” “Ya Datin?” saya akan beritahu,” dan ganggang dimatikan.

Semenjak itu Amar sudah kerap juga berjumpa ibu dan ayahnya. Dan Maryam juga memujuk untuk membawa anak-anak. “Sayang, you jangan susah hati, mummy tidak terima I, it’s alright, bring them to see their grandparents.”

Maryam teringat selepas berkahwin, dia tidak pernah lupa kedatangan Aidilfitri untuk mengirimkan hamper kepada mentuanya, dengan kad bertandakan Maaf Zahir dan Batin, daripada Amar dan keluarga. Tiba Hari Ibu dan Hari Bapa, dia juga menghantar hadiah kepada mentua, tanpa disedari pun oleh suami. Dia tidak mahu Amar menghalang, biarlah hadiah sebagai pengganti diri Amar dan keluarga yang telah berpisah. Doanya satu hari terbuka hati mentuanya menerima mereka semua.

Selama setahun lebih, Amar dan anak-anak sudah sering ke rumah nenek mereka. Maryam gembira sekali, walaupun belum pun sekali diajak Amar untuk bertemu dengan orang tuanya. “Mummy dan daddy masih tidak mahu terima I lagi ke?” tanyanya. “Sayang, you pun kata kalau mummy dan daddy hanya terima I dan anak-anak, itu pun you bersyukur sangat kan?” Namun satu yang disedari oleh Maryam, setiap kali mereka pulang daripada menziarahi mentuanya,  Amar akan membawa pulangan makanan, “Ni mummy beri you, makanlah.”

Satu hari di tempat kerja, Maryam menerima panggilan daripada adik Amar. “Kakak, saya bawa pesan daripada mummy, dia hendak bercakap dengan kakak, kakak hubungi mummy balik jam empat. Sebab masa itu mummy kata, daddy tiada di rumah.”

Menggigil Maryam, seribu yang bermain di fikirannya. Apa yang dia hendak cakapkan, apa yang ibu Amar hendak beritahu? Mungkinkah dia sudah ada orang untuk dikahwinkan dengan Amar? “Ahh aku tidak mahu berfikiran negatif. Aku hanya memikirkan yang terbaik sahaja. Barangkali masanya untuk mummy menerima aku.” Sebelum jam lima dia sudah duduk di surau pejabatnya, memohon Allah memberikan yang terbaik kepadanya dan keluarga.

Ganggang telefon di angkat di sebelah sana. “Boleh saya bercakap dengan Datin Shima, saya Maryam.” Dia tahu ada suara yang mendengar tetapi tidak menjawab. “Saya Maryam boleh saya bercakap dengan Datin Shima?”

“Ya Maryam, mummy ni.” Air matanya mengalir tanpa boleh ditahan lagi. Mendengar perkataan mummy daripada mulut ibu mentuanya adalah hadiah paling besar buatnya selama menjadi isteri. “Mummy saya mohon ampun dan maaf, saya….” “Hari minggu bawa anak-anak ke rumah.”

“Hari minggu mummy suruh bawa anak-anak ke rumah?” Amar terkejut kerana tiba-tiba sahaja ibunya berkata demikian. “You mimpi ke ni,” tanyanya kepada isteri. Kerana selepas dia berbaik tidak pernah sekalipun ibunya menyebut nama Maryam. “Apa pula rancangan mummy ni?” “You pergilah bawa mereka?”

“Sayang?” “I takut, nanti kalau mummy jerit dan sepak you, depan I, I akan benci pada mummy. I takut.”

“Takkan mummy nak sepak you? “I know my mother well, you pergi dulu bawa mereka.”

Kebetulan hari itu Hari Ibu. Maryam sudah pun menyediakan sebuah tas tangan untuk ibu mentua. Juga Polo T shirt untuk bapa mentua. Dan apa pun yang akan terjadi dia akan tenang, dan hanya mohon ampun dan maaf, itulah pesanan ibunya. “Biar orang hina kita tetapi jangan kita menghina dia kembali. Allah Maha Pengampun dan Maha Mengetahui.”

“Mana Amar,” sebaik melihat mereka. “Amar ada hal sikit, petang nanti dia datang. Terus Maryam melutut di kaki ibu mentuanya, sambil memohon maaf.”  Kemudian bersalaman dengan bapa mentuanya. Itulah kali pertama dia melihat kedua-dua wajah ini.”

Di ruang dapur sudah penuh hidangan. “Mummy yang masak, makanlah. Begitu si nenek melayan cucu-cucunya. “Sedaplah masakan tok mak,” Adam memujikan. Airil menyambut, “Tok mak pandai masak, mummy juga pandai masak.” Amina bersuara pula, “Nanti bila besar tok mak ajar Mina masak ya?”

Suasana seterusnya bertukar-tukar hadiah. Maryam juga diberikan sekotak hadiah. “Bukalah?” ibu mentua memberitahu. Terkejut Maryam melihat isi di dalamnya. Emas, gelang lapan butir, rantai, cincin dan subang.” “Mummy… Untuk Maryam ke ni?” “Yalah untuk siapa lagi,” jawab bapa mentuanya. Kami simpan barang kemas ini untuk isteri Amar, dan hari ini kami serahkan pada kamu Maryam.” Berderai air mata Maryam. Allah mendengar keluhan dan permintaannya.

Hubungan kemesraan terjalin mentua dan menantu. Walaupun baru mengenali, si ibu banyak bercerita mengenai kisah keluarganya dan sebagai. Mereka tidak langsung menyebut kisah lama, Maryam tidak bertanya dan si ibu tidak pun bercerita. Hubungan mereka terjalin mesra.

Satu hari si mentua mengajak Maryam membawanya berjumpa saudaranya. Adam menjadi driver, neneknya duduk di hadapan. Entah apa yang dibualkan, tiba-tiba Datin Shima meninggikan suaranya, dan marah-marah. “Mummy bukan tidak tahu latar belakang kamu Maryam, tetapi sebab Amar sayangkan kamu dan kamu ada anak-anak, mummy telan semua cerita yang mummy dengar. Sebelum ini mummy bukan tidak tahu yang kamu kaki botol, merokok… kaki… isteri Raja Badrul yang beritahu mummy?”

Maryam diam tidak menjawab sepatah pun sambil berzikir. Ya Allah berikan aku kesabaran, Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami. Kerana dia kenal dirinya, tidak pernah menyentuh arak, merokok dan jauh sekali jadi perempuan jalang. Dia tidak perlu pun mempertahankan dirinya. Adam juga diam, sesekali menjerling ke arahnya seolah memberitahu ‘be cool mummy, we know who you’re.’

Sesampai di rumah, si ibu mentua memohon maaf. “Sorry Maryam.” Maryam mengangguk sahaja, dan dia sendiri pun tidak tahu, maksud sorry tadi, dan dia tidak mahu membuka cerita semula.

Setelah hampir 13 tahun berkahwin, 10 tahun lebih dia tidak diterima sebagai ahli keluarga, barulah rahsia itu terbuka. Rupanya si ibu mentua termakan fitnah isteri Raja Badrul. Dan sebenarnya pun masa si Shila itu datang bertemu ibu Amar, dia dan suaminya Raja Badrul sudah pun bercerai. (Mengaku isteri lagi).

Maryam kenal siapa Shila. Pada zaman bujangnya, Shila, yang pernah mengetuk pintu pagar rumahnya sekuat hatinya, dan marah-marah. Maryam membuka pagar dan menjemput dia masuk, tanpa kenal siapa perempuan yang ‘ganas’ itu.

“Perkenalkan, saya ini tunang Raja Badrul, dan kami akan berkahwin hujung bulan depan?”

“Ya, kenapa…?”

“Oh buat tidak tahu pula, kamu masih berkawan dengannya kan?”

“Betul saya kenal  Raja Badrul dan saya tahu dia hendak berkahwin?” Apa masalahnya?”

“Raja asyik-asyik menyebut nama you?”

“Kenapa pula dia menyebut nama saya?”

“Jangan hendak berdrama, aku mahu kamu tinggalkan dia, aku yang hendak berkahwin dengan dia, bukan kamu, faham?”

“Maaf, cik Shila, saya tidak pernah kata saya nak kahwin dengan dia? Baliklah sebab saya langsung tidak ada hati setitik pun dengannya. Awak pergilah kahwin dengan dia… saya bukan penghalang.”

“Kamu boleh kahwin dengan Raja, tetapi saya mesti berkahwin dengan dia dahulu, kamu boleh jadi isteri kedua?”

“Kamu ni bodoh ke apa, aku masih siuman, dan aku langsung tidak berkenan dengan bakal laki kamu tu. Kalau aku hendak lama sudah aku kahwin dengan dia, faham?” Pertama kali suara Maryam meninggi. “Jadi sila balik sekarang?”

Rupanya dendam Shila masih belum habis. Rumahtangganya sudah musnah dan dia juga mahu memusnahkan hidup Maryam. Dengan menabur fitnah dia barangkali gembira mendapat tahu ibu dan Amar benci kepadanya.

Entahlah kata Maryam dia sukar memaafkan perempuan yang telah mengganggu kebahagiaan  hidupnya satu ketika dulu. Mujurlah Maryam sabar dan menerimanya sebagai dugaan Allah SWT.

Dan sesudah berjumpa, indah sekali kerana hubungan Maryam dengan mentua kini seperti anak dan ibu. Mentuanya memang seorang yang tegas tetapi baik hati dan kini dia dapat merasai kasih sayang daripada ibu mentuanya, lebih-lebih lagi setelah ibunya sendiri pulang ke rahmahtullah. Ibu mentua tempat dia bermanja, dan ibu mentua pula tempat dia bercerita. Tambah-tambah Amar satu-satunya anak lelakinya, dua adik perempuan Amar tinggal di luar negara.

 

Penulis: Maryam Adran

Related posts

“Abang Kesal, Betapa Seksa Hidup Tanpamu”

admin

Aku Tinggalkan Anak Di Depan Pintunya

admin

Sahabat Ajaklah Aku Ke Jannah

admin

Leave a Comment