Berkerja, berkahwin, beranak, bercerai dan bekerja semula. Itulah antara perjalanan hidup aku.
Aku seorang pelajar cemerlang, dihantar ke luar negara dan empat tahun kemudian aku pulang dengan segulung ijazah. Sungguh mudah aku mendapat kerja dan baru bekerja dua tahun aku mengenali lelaki ini, latar belakang pun hampir sama dengan aku malah universitinya pun tidak jauh dari universiti aku. Sudah tahu siapa dia dan siapa aku, kami jatuh cinta dan terus bersetuju untuk berkahwin. Majlis besar besaran kerana kedua ibu bapa bukan main suka kerana sama cantik sama padan, mereka gembira dan kami pun lebih lagi.
Cahaya mata pertama datang pula awal kerana kami tidak merancang. Tidak mudah bekerja bila pembantu rumah asyik buat hal dan kedua orang tua pula jauh untuk membantu menjaga. Suami mencadangkan aku berhenti sahaja bekerja kerana dia amat mampu menanggung keluarga dan anak-anak akan bertambah. Lama juga aku fikir kerana sayang dengan ijazah yang aku perolehi tetapi diyakinkan suami, tanggung jawab ibu mendidik anak-anak, “Apa yang ruginya kalau sayang dapat mendidik mereka, itulah yang terbaik, dan jadilah ibu mithali.” Termakan juga kata-kata suami.
Banyak suami yang cepat lupa diri bila pangkat besar dan suami gaji tinggi. Dan dia ingat isteri di rumah yang kerja jaga anak-anak seperti tidak menyumbang kan apa-apa, malah dia rasa isteri yang duduk di rumah adalah perempuan bodoh. Dia, suami aku sudah lupa janji-janjinya. Dan buat aku seperti bibik, makan hendak berhidang, satu pinggan pun tidak boleh dibawa ke sinki jauh sekali membasuhnya. Bajunya perlu berseterika dan kasutnya mesti digilap. Makanan pun dia hendak aku masak sedap-sedap sedangkan aku ini tanpa pembantu rumah terpaksa menjaga tiga anak, menghantar mengambil mereka ke sekolah dan sebagainya. Aduh bila aku komplain bukannya hendak bersimpati tetapi marah aku. Dia boleh herdik aku kerana dia penat kerja untuk tanggung kami anak beranak dan untuk berikan kemewahan, konon. Dengan penat lelah dia, katanya kami dapat tinggal di rumahnya yang besar dan berjalan-jalan naik keretanya mewah. Bila diminta mencari pembantu bagi mengurang kan beban kerja di rumah, boleh dia kata, “Siapa hendak bayar? “You kat rumah nak buat apa kalau kerja rumah hendak disuruh bibik?”
Aku masih boleh bertahan tetapi bila aku mendapat tahu dia sudah ada girlfriend di luar, itu aku marah sangat. Memang dasar lelaki, yang di rumah disuruh bertudung litup tetapi cari perempuan free hair dan berskirt singkat. Pergi majlis sudah tidak lagi rasa malu membawa girlfriend, introduce dia sana sini, aku apa? Betullah yang di rumah ini dia melayan macam bibik dan rupa pun sudah cam orang gaji. Mana tidaknya sampai tidak ada masa hendak menguruskan sendiri… dia pula tahu mengarah sahaja.
Akhir cerita bila aku dapat tahu mereka hendak berkahwin, ya aku beri dia laluan dan aku minta diceraikan. Cukuplah terseksa begini. Anak-anak semakin membesar dan mereka tidak suka melihat aku selamanya muram dan macam tiada minat untuk hidup. Aku rasa aku akan lebih senang hati kalau aku bercerai dan jalani hidup sendiri.
Mak ayah aku punyanya marah aku minta cerai. “Kamu nak makan apa? Makan pasir? Ke kamu yang mengada-adakan cerita, tengok Bahrain tu baik aje. Bila aku beritahu yang Bahrain nak kahwin seorang lagi, bukannya simpati tetapi marah aku lagi… “Kamu tunggu aje, sibuk hendak bercerai kenapa?“ Tetapi mereka tidak faham penderitaan aku, yang hidup terseksa. Diherdik dimarahi walaupun kecil sangat kesalahan aku. Dan aku letih sebenarnya, aku lahir bukan untuk dimarahi dikasari dan bukan pun untuk dijadikan orang gaji pada suami. Mak mentua juga begitu, menuduh aku yang bukan-bukan bila mana mengetahui aku yang hendak bercerai, yang kononnya kata mereka aku ini sudah ada pengganti… entah daripada mana cerita yang mereka dapat, aku dikatakan curang dan hendak kahwin, sedangkan yang sebenar laki aku yang menggatal.
Aku keluar cari kerja
Sudah diatur Allah percubaan aku memohon kerja diterima pada temu ramah pertama. Hari ini temu ramah lusanya aku sudah dipanggil ke tempat kerja. Aku bernasib baik kerana jiran yang suaminya telah meninggal dunia berbaik hati untuk menjaga anak-anak aku. Aku uruskan seorang pak cik untuk mengambil balik sekolah malah untuk urusan kokurikulum mereka, dan jiran yang sentiasa ada menjaga mereka… dia senang sekali berada di rumah aku untuk mempastikan anak-anak aku terurus. Sementelah anak tunggalnya sendiri di asrama penuh, dia menjadi ibu angkat kepada anak-anak aku.
Aku mahu buktikan walaupun aku sudah meninggalkan lama kerja pejabat, tetapi aku mampu melakukan yang terbaik. Aku tidak gentar menghadapi segala ujian, ujian peribadi yang menyeksa pun aku mampu lakukan. Malah tidak ramai tahu yang aku janda beranak tiga. Wajah aku ceria dan tidak sedikit pun kesal dengan kehidupan sebelum ini. Mungkin pangkat aku tidak setinggi pangkat kawan-kawan yang berkelulusan sama tetapi tidak mengapalah, aku akan buktikan janda ini mampu memberikan yang terbaik.
Tidak lama aku bekerja dengan syarikat yang satu ini, aku dinaikkan pangkat. Sebagai pengurus tugas aku bertambah besar dan client pun bertambah-tambah. Aku report terus kepada bos aku dan dia memang percaya yang aku boleh handle tugas-tugas besar seperti berjumpa dengan client yang bisnes mereka jutaan ringgit. Aku pun tiada hal, sama ada syarikat mereka kecil atau besar tanggung jawab aku adalah memperolehi bisnes. Bisnes yang ada dikekalkan dan mendapatkan bisnes lain juga. Aku yakin dengan cara berkerja aku dan bisnes modul yang aku cipta sendiri menambahkan kecemerlangan syarikat. Malah telah di buktinya dengan keuntungan syarikat yang ditunjukkan.
Janda rupanya you…
Hujung bulan memang aku pulang lewat. Akak jiran faham, dan kerana itu aku tidak rasa mengabaikan tanggung jawab anak-anak. Pernah bos bertanya, “Suami tak marah ke pulang lewat, aku diam sahaja dan memberitahu kerja banyak, dan sebaliknya memberitahu suami jaga anak. Namun lama-lama rahsia aku menjanda dapat dikesannya. Jadi apa? Aku sudah rasa dia kadang-kadang sudah pandai gunakan ayat-ayat yang buat aku tidak berapa suka… namun aku tetap hormat dia sebab dia ketua. Aku tidak mahu memikirkan sangat tentang bos yang mengada-ngada. Kadang aku sedar dia menggunakan bahasa kotor, aku diam tidak mahu menjadikan ia alasan untuk tawar hati berkerja.
Aku profesional, kalau aku tidak mahu dia tahu tentang latar belakang aku, begitu juga aku pun tidak mahu tahu akan latar belakangnya. Berapa orang isterinya pun aku tidak hendak tahu, anak-anaknya besar mana dan bersekolah di mana pun aku tidak hairan, begitulah aku sendiri tidak bisa bercerita tentang latar belakang aku.
Gambar sekadar hiasan // Karya: Ruangan.Fahmi (Instagram)
Satu hari bila mana dia hendak tahu juga aku ceritakan keadaan sebenarnya. Dia terkejut, “So awak memilih bercerai sebab tidak suka dimadukan?” “Ya Datuk, bagi saya kalau dia tidak boleh berlaku adil, tidak guna bermadu.” “Tetapi I boleh adil?” “Datuk begini, saya tidak mahu mencampurkan kerja dengan cinta cintan ni, saya bekerja demi Allah untuk menanggung keluarga dan diri saya juga untuk hidup. Saya tidak mahu berharap kepada sesiapa, waima bekas suami sendiri.”
Cukup aku katakan sejak tular aku ini seorang janda, kian ramai pula yang melihat semacam. Baik lelaki mahupun perempuan. Yang perempuan ada kalanya memerli, “sikit lagi kita terima kad undangan.” Ada juga yang tidak mahu rapat kerana takut aku ambil laki mereka dan sebagainya. Tetapi yang lelaki pula, cuba nak test saham, aduh rupanya orang kita Melayu khasnya masih tidak ke hadapan, apa salahnya aku janda? Aku ganggu hidup kau orang ke? Aku kacau rumah tangga kau orang ke? Apa semuanya ini?
Bertemu dengan ahli perniagaan Dato’ Sri…
Aku mendapat tahu bertahun syarikat tempat aku bekerja mahu menguruskan akaun sebuah syarikat yang terkenal ini, namun ada sahaja halangannya. Aku diarahkan membawa tawaran, cara apa pun syarikat kami perlu mendapatkannya. “Sayang, you ambil tugasan ini dalam masa setahun ini I mahu kita dapatkan akaun mereka, dan kalau you berjaya tawarannya, I beri you share dalam syarikat ini.” Tersentak aku, bila bos menggunakan perkataan sayang, pun aku tidak hairan, mampuslah kamu hendak membabasakan aku apa, yang penting aku mahu buktikan yang aku mampu buat bisnes dengan syarikat gergasi itu.
Pertemuan demi pertemuan dengan pegawai-pegawainya dan aku diberitahu mesyuarat khas akan menemukan aku dengan pengerusi syarikat tersebut. Bukan main aku happy kerana bakal bertemu pengerusi, maknanya tanda-tanda syarikat kami akan mendapat tawaran untuk menjaga akaun mereka bertambah cerah. Hari itu aku membawa bersama pegawai undang-undang aku, berdua untuk bertentang mata. Diingatkan kepada aku, ini itu dan bunyinya chairman mereka amat serius orangnya. Be in time and well prepared. Dia hanya beri masa 20 minit paling tinggi untuk berjumpanya.
Pendek cerita, kami masuk ke biliknya… huh sungguh besar macam lagi cantik hiasan biliknya dan bila masuk dia terus duduk. “So I heard about you… pengurus yang bijak, dalam masa dua tahun kerja untuk berjaya bawa masuk banyak syarikat,” katanya. So proud perempuan Melayu muda macam kamu berdua berjaya,” sambil memandang kepada pegawai undang-undang di sebelah, “So awak juga janda ya?” Terkancir bibir aku dan pegawai aku tadi. Dalam hati, “So what kalau aku janda?” Datuk Seri, terus menyambung ceritanya. “You Diana sudah berapa lama bercerai, tidak mahu cari ganti ke. Ramai lelaki yang looking for inteligent single lady like you.” Dan blah-blah-blah, aku pun tidak berapa ingat apa bebelnya, tapi being a professional, aku senyum melayan Dato’ Sri ini. Dia boleh tanya pelbagai hal peribadi, dan apa yang boleh aku jawab, aku jawab dan senyum, sabar dan menyumpah di dalam hati. “Dasar jantan, tak malu ke, business meeting tapi kamu bercakap hal-hal remeh, dan macam tiada masa lain untuk bercerita hal peribadi.”
Pendek cerita, aku sakit hati sesangat. Ikutkan hati memang aku macam bertaubat untuk tidak menjejakkan kaki di syarikatnya. Kalau aku bagi tahu syarikat apa mesti ramai yang kenal dia, tetapi tidak apalah, aku tidak mahu masukan hal peribadi di sini, tetapi aku nak bagi tahu Datuk Seri memang miang orangnya. Tambah mengetahui aku janda, aduh aku dijadikan sasarannya. Mujur pegawai undang-undang itu ada suami, aduh kalau tidak dia juga kena. Yang aku geram dia sempat mengeluarkan perkataan-perkataan kotor, ingat aku bila dengar, akan naik syok. Helo Dato’ Sri… aku sudah masak dengan jantan-jantan ini. Selama aku bekerja, terutama selepas aku menjanda ini memang aku tidak hairan dengan perangai kalian. Di mana-mana biasa sahaja, tetapi tahukah kamu semua, ini tidak terjadi di syarikat Cina atau mat Salih mahupun syarikat kepunyaan India. Mereka memang pro, tidak mencampur adukkan bisnes dengan peribadi, tidak menggatal dengan client dan tidak ambil kesempatan. Kalaulah aku fikir sekadar makan gaji, aku berambus dari tempatnya masa itu juga tapi aku layan, sepuluh kali tukar subjek dan berbalik untuk pastikan dapat projek dia. Kata 20 minit tapi lebih sejam kami di biliknya dan cakap merapu.
“Lebih senang I beri you the full account kalau you jadi girlfriend I,” dia menghubungi aku di talian sebulan kemudian. Tetapi you sombong, kalau dah girlfriend banyak lagi bisnes I akan beri.”
Begitulah antara pengalaman aku dengan syarikat Melayu yang pernah aku bekerja. Tetapi sekarang I am my owm boss, malas hendak melayan kerenah jantan. Sebagai pekerja kadang-kadang kita rasa bersalah melayan, tetapi tidak dilayan susah juga. Hati memang sakit, ingat di zaman milenium ini hal sama ada masih single, atau berkahwin mahupun sudah menjanda bukan lagi perkara besar untuk dijadikan cerita. Tidak ada cerita sebenarnya namun keadaannya tidak seperti apa yang kita sangkakan. Kita ingat orang kita sudah maju ke hadapan dan perkara seperti aku janda dan kau nak ambil kesempatan tidak pernah ada dalam otak dan kamus tapi tidak… janda-janda seperti aku masih diperlakukan dengan tidak hormat. Kami tidak dilayan seperti perempuan biasa, kadang-kadang aku menangis mengenangkan masih ada jantan yang kurang ajar, pegang pangkat besar dan terhormat tetapi perangai menjengkelkan, dan mulut busuk… aku hendak tanya sekali lagi, apa masalah kamu jantan-jantan, kalau aku janda? Kepada Dato’ Sri yang seorang itu, Ya, apa masalahnya kalau aku janda? Kalau nak sangat mai pinang aku, untung nasib kamu hari itu aku terima jadi isteri kamu.
Oh ya, syarikat tempat aku kerja itu dapat juga akaun syarikat Dato’ Sri itu tetapi tidaklah sebesar mana. Aku diberi beberapa persent daripada keuntungan itu tetapi setelah aku dah pegang share, aku jual balik share aku itu, dan keluar dari syarikat itu, dan kini makan gaji sendiri. Syukur hidup aku lebih tenang begini.