Semalam (9 Februari) sekitar jam 12.50 tengahari, saya menerima pesanan Whatssap bertalu-talu daripada See Loun, menghantar gambar koleksi fesyen adik kesayangannya, Zang Toi di Minggu Fesyen New York 2020.
Saya seronok sekali, walau berada beratus ribu kilometer dari lokasi pertunjukan namun turut merasa tempias keterujaan keluarga House Of Toi. Dan apatah lagi jenama ini tidak asing lagi, saya mengenali Zang (sebagai pereka) nun lama semenjak zaman sekolah yang mana ketika itu dia sudah membina kerjaya di New York dan selepas 20 tahun, dia masih di kota metropolitan itu, meng-entertain barisan klien dari kalangan berpendapatan 10% tinggi (dan ke atas) di Amerika Syarikat, juga di seluruh dunia dengan koleksi ready to wear mewah.
Saya mengamati setiap gambar yang dihantar oleh uncle See Loun, melihatnya, ia tidak lari daripada gaya asal Zang Toi yang merupakan master dalam menghasilkan rekaan bersiluet mewah dan saya perasan dia gemar sekali menggunakan warna astral aura (saya rasalah, kalau merujuk kepada carta skim warna Pantone). Bercakap lagi tentang siluet, ini yang pereka tempatan kita yang muda-muda ‘kureng’ (kecuali Syaiful Baharim) sedangkan dalam rekaan, siluet adalah yang pertama diberi penekanan sebelum seorang pereka atau pembuat dress merancang keseluruhan elemen lain.
Berbalik pada Zang, selain koleksinya yang tinggi citarasa itu, topik lain yang selalu diperkatakan semenjak sekian lama dia menyertai pertunjukan fesyen New York adalah barisan tetamu ‘vip’. Tidak sama dengan rumah fesyen lain, tidak ada wajah selebriti atau supermodel seperti Gigi Hadid atau JLO mahupun Nicole Kidman di dewan pertunjukannya sebaliknya tetamu Zang banyak dari kalangan profesional seperti yang berlangsung dua hari lepas ada mantan Datuk Bandar New York dan peguam peribadi Presiden Trump Rudolph Giuliani, ahli terapi seks Amerika, pengarang, pengulas radio dan pengacara Dr. Ruth Westheimer, selain model 80-an Carol Alt. Dewan pertunjukan Zang juga biasa menjadi lokasi pertemuan keluarga dan sahabat handai Donald Trump. Sebagai contoh September tahun lalu dihadiri orang penting dari Parti Republikan selain Donald Trump Jr. dan kekasihnya Kimberly Guilfoyle. Cuma kali ini kelibat pasangan sejoli ini tidak kelihatan kerana kedua-duanya menjadi keynote speakers untuk Trump di Reno, Nevada.
Zang telah lama bekerja dengan suku sakat Trump. Bersama bekas isteri Trump, Ivana semenjak 1995 dan menurutnya Ivana antara pelanggan juga teman paling setia. Begitu juga dia tidak mendiskriminasi lagi satu isteri bekas wanita pertama atau bekas isteri Trump, Marla Maples. Marla hadir ke pertunjukannya September lalu dan turut hadir malam Ahad lalu. Dan tentunya Zang yang mencipta gaun warna putih dan merah jambu yang dipakai Melania di hari pertunangannya bersama Trump lebih 10 tahun lalu.
Dan seperti biasa, sebaik tamat show di New York, Zang Toi akan mengadakan tour sekitar Amerika membawa bersama koleksinya yang masih panas. Antaranya akan ke Saks Fifth Avenue di San Antonio pada Khamis untuk mempersembahkan koleksinya di sana, dan highlight dalam tour kali ini akan berlangsung April nanti di Nashville, atas kerjasama rakan lama dalam sektor peruncitan, Gus Mayer. Di sana, persembahan Zang diiringi Nashville Symphony iaitu seramai 700 pemuzik yang akan memainkan muzik simfoni orkestra lagu New York, New York, sementelah bandar ini merupakan ilham di sebalik penghasilan rekaannya.
Nak tahu, selepas hari pertunjukan, daripada pagi hingga jam lapan malam dan berlarutan hingga ketika artikel ini di tulis, Zang memerap di butiknya di Lexington Avenue, sibuk mengambil pesanan yang diterima bertalu-talu sebaik selepas model terakhir berjalan meninggalkan pentas pertunjukan. Tahniah Zang Toi! Lots of love from MajalahWM!