Mengira hari… dua minggu lagi genap usia cucu saya Sheraaz setahun. Kira-kira lima bulan Sheraaz di dalam kandungan ibunya tergerak hati untuk membantu mereka menguruskan pembantu rumah. Kadang-kadang ada kawan-kawan bertanya sama ada saya memerlukan pembantu. Setelah bertahun-tahun saya tidak mempunyai pembantu di rumah, saya tidak merasakan ia perlu lagi, lalu saya panjangkan pesanan kepada adik beradik, saudara mara mahupun jika ada kawan-kawan yang berminat. Namun semenjak mengetahui Janna mengandung, saya sebaliknya sibuk bertanya kawan-kawan yang ada connection dengan agensi pembantu rumah. Saya tahu anak saya perlukan pembantu tidak beberapa lama lagi. Dan lebih baik mendapatkannya sebelum anak lahir.
Nak dijadikan cerita, satu pagi saya singgah ke gerai nasi lemak yang betul-betul di depan Maybank USJ. Sebenarnya bukan kali pertama membeli tetapi beli dan balik terus, namun di pagi yang redup itu, saya disapa si perempuan yang menjual nasi lemak, “Saja nak tanya, puan perlukan pembantu rumah?” Soalannya tepat sekali, nak-nak, tapi bukanlah sekarang. Kiranya lima enam bulan menantu saya akan melahirkan anak…. Masa itu perlulah.” “Tak pe minta nombor telefon, nanti saya hubungi puan.” Lelaki di sebelah saya lihat warak rupanya, “Ya puan, kenalkan ini suami saya. Bantu-bantu saya sebelah pagi, lepas ni dia kerja di bengkel. Saya sebenarnya memang bawa orang masuk ke sini sebagai pembantu.”
Begitulah hubungan awal saya dengan si penjual nasi lemak… dan berikut beberapa perbualan melalui telefon sahaja. “Puan bayar enam ribu sahaja,” kami uruskan semua sekali. Ini jauh lebih murah daripada agen-agen yang lain, dan setakat ini orang yang saya bantu uruskan pembantu, inshaAllah okay belaka. Satu perkara saya kenal ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Saya sendiri pergi ke sana mencari mereka ini. InshaAllah contact saya di sana yang membantu menguruskannya okay sangat.”
“Saya uruskan ya?” kata perempuan nasi lemak bernama itu yang bernama Salina. “Saya bukan bukan orang Indo puan tetapi dari Sarawak dan kini tinggal berdekatan sahaja, dalam kawasan USJ.
“Puan tidak apalah, saya tidak perlu lagi, sebab besan saya sudah pun mendapatkan pembantu.” “Puan tidak mudah mendapatkan pembantu, sekarang saya ada dua orang, mereka sudah pun berada di Batam. Puan elok diambil sahaja, sebab tidak senang hendak dapat, kalau puan tidak mahu, ramai yang mahu, pendek cerita kita book dahulu.”
Mengetahui kawan baik saya Zahariah amat memerlukan pembantu rumah untuk menjaga ibunya yang tua dan akan berseorangan kalau dia keluar bekerja, saya seolah menggesanya untuk berjumpa dengan si perempuan ini. “You jumpa dia dan tanya sendiri, sebab dia kata dia sudah ada pembantu.” “Wirda, betulke, I takut ditipu lagi.” “InshaAllah perempuan ini jual nasi lemak di sini, katanya in between jualan dia uruskan pembantu, you sembang sendiri.”
“Puan, pembantunya sudah ada, puan perlu bayar sekarang. Kalau tidak saya beri orang lain?” Begini Salina, sebenarnya saya sudah tidak perlukan pembantu, kerana sudah ada.” “Tapi puan, kalau puan tolak susah lagi hendak dapat pembantu.” Tanyalah kawan-kawan cepat, kalau tidak orang lain ambil.” Begitulah antara perbualan saya dengannya.
Dalam pada itu saya mendapat tahu pembantu yang sudah pun berada di rumah besan sudah lari, dan si Salina pula tidak berhenti menghubungi. “Tetapi saya tidak cukup wang, tidak boleh dapatkan enam ribu sekarang,” saya beritahunya, tetapi saya bayar sebaik pembantu sampai ke sini.” Puan kena bank in sekarang,” sebab lusa saya akan ke Batam.”
Zahariah pun saya hubungi balik, “Jom kita jumpa akak nasi lemak itu, katanya maidnya dah pun ditempatkan di Batam.”
Panjang cerita Zah kala berjumpa dengan si akak tu. Antara cerita, “Kak, saya tidak mahu tertipu lagi, sudah banyak wang dihabiskan, janji ini janji itu, duit diberi, orang gaji tidak dapat, kadang-kadang baru bekerja dua minggu cabut, janji hendak ganti pembantu baru tetapi macam menunggu bulan jatuh ke riba, tidak pernah yang sampai. Ada juga yang bekerja tiga bulan (penjanjian selepas tiga bulan tiada lagi boleh diganti dengan yang baru andai dia cabut atau majikan tidak berkenan atau apa)… maknanya duit lesap.” Begitu kiranya sembangnya… daripada RM6,500 yang dicajnya sebelumnya pada Zah, Zah berjaya minta kurang dan dapat RM6,000. “Okay paling lambat minggu depan… ke sini.”
Duit saya RM3,000 dan duit Zah RM6,000 sudah diserahkan kepada Salina nasi lemak. Kami ambil kad pengenalan rupanya kad pengenalan suaminya untuk difotostat. Betul tempat kelahiran di Sarawak dan katanya sudah bertahun-tahun menjual nasi lemak di depan Maybank USJ.
Begitulah hari yang ditunggu tidak kian tiba. Kami terus menghubungi… “Ada masalahlah puan, lambat sangat kita uruskan, yang ditumpangkan di Batam itu, mereka sudah lari. Saya kena pergi cari balik… tengok esok saya ke Jakarta.” Konon dia berada di sanalah.
Dan alasan demi alasan, yang konon sudah sebelah kaki hampir hendak masuk ke Malaysia dengan seribu alasan diberikan, tetapi kami masih menunggu.
Saya pergi ke rumah Salina. Setiap kali pergi tiada seorang pun ada, pergi pagi tiada, petang tiada dan malam rumah gelap, tetapi sebuah karpet tergantung di pagar masih di situ, dan kasut-kasut masih bersepah di luar pintu. Maknanya orangnya masih ada. Saya hubungi namun tidak berjawab.
Ada sekali Salina menjawab satu daripada panggilan, “Puan sabar ya, saya menguruskan di sini. Tahulah untuk mereka keluar dari kampung bukan senang, banyak yang perlu diuruskan. Ibu bapa mereka pula hendak duit pendahuluan. Puan masukkanlah duit yang balance tu segera. Untuk kawan puan sudah beres, yang puan punya tersangkut ni.” Saya keraskan hati, “Bawa ke Malaysia dulu, saya bayar sebaik saya ambil dia, atau tak payahlah, nanti Salina bagi balik duit saya.”
“Puan, saya tidak menipu.” Bila waktu yang dijanji tidak juga ada. Antara alasannya, saya teringat katanya Indonesia sedang menghadapi pilihan raya, dan mereka tidak dibenarkan keluar, dan hanya selepas itu baru boleh meninggal kan tanah air.
Puan, saya tak tipu, ada orangnya, jangan susah hati. Maaf saya tidak bisa menipu. Anak saya belajar di sekolah tahfiz, penat-penat belajar agama, emak ayah pula menipu, tak kan lah. Lagipun kalau saya nak tipu juta-juta tu berbaloi juga. Ini puan berdua baru RMM9,000 aje. Kalau saya tipu Tuhan laknat saya… saya dan suami ahli jemaah di masjid…” begitulah cerita-ceritanya yang bila Zah ajak ajak pergi report polis, saya pula pujuk dia… “Sabar Zah, dia tak tipu, tapi entahlah apa masalahnya…”
Dan satu pagi Isnin saya pergi ke rumah mereka, sebab dijanjikan oleh suaminya, hari Ahad petang isterinya akan sampai membawa dua pembantu. Sebelum itu saya pergi berjumpanya, dan janjinya kalau isterinya tidak bawa pulang, sama ada dia akan memulangkan wang, atau dia ambil pembantu yang mereka ada. Kononnya dia ada beberapa orang pembantu yang mereka ini pergi dari rumah ke rumah, maknanya dia sebagai agen menghantar pembantu-pembantu part time ke rumah-rumah yang perlukan perhidmatan.
Hari Ahad, takkan saya hendak bergegas ke rumahnya malam itu, kerana menyangkakan semua okay, walaupun sang suami tidak menjawab panggilan. Kata di hati, biarlah si pembantu rehat, esok saya sendiri hantar rumah Zah.
Si Wirda Adnan pun percaya setiap butir yang dikatakan oleh sang suami, yang raut wajahnya pun orang baik-baik, alim. Saya juga pernah ternampak anaknya yang dikatakan bersekolah tahfiz, betul budaknya nampak baik. Salina orangnya ramah, kalau saya beli nasi sebelum ini, mesti dia memasukkan dalam plastik karipap lah, pulut panggang lah dan entah apa kuih, saya nak bayar tidak mahu. Saya jenis tidak berapa suka kuih manisan, kadang-kadang terbiar tak bermakan, last-last masuk tong sampah atau saya bawa ke kelas mengaji atau saya sedekah jiran sebelah. Okay, I reserve sikit untuk mengatakan dia ini muka orang baik, sebab mulutnya ramah saya rasa kadang-kadang dalam hati rasa bersalah kalau saya meragui keikhlasannya.
Di satu pagi Isnin, lebih setahun yang lalu seperti yang dijanjikan, saya pun bergegas ke rumah Salina. Takut lambat ke kelas agama, jam sembilan pagi saya sampai ke rumah Salina. Saya mengucap panjang… langsir sudah tiada, barang-barang yang bersepah di luar rumah sudah clear, karpet yang tersadai berbulan-bulan sudah tiada, dan di belakang (sebab rumahnya lot tepi, yang selalu penuh dengan periuk belanga, (maklumlah ada gerai jualan) sudah kosong. Jantung saya macam hendak jatuh… saya hanya mampu mengucap panjang.
Rumah yang konon dikatakan rumah sendiri itu sudah tidak bertuan lagi. Saya menghubungi Zah, Zah hanya mampu beristighfar. “Wirda kita ditipu lagi, mashaAllah.”
Salina memang tidak menjawab telefon, walaupun nombor itu masih boleh digunakan. Dan saya tidak pernah give up, terus menghubungi sang suami dan tidak pun berjawab. Nombor anaknya yang kebetulan satu hari Salina menggunakan nombor itu untuk menghubungi saya pun tidak berjawab. Dulu-dulu ada juga dia jawab, “Mak cik saya di asrama. Telefon mak saya, ini nombor saya, anaknya.”
Masih tidak give up, saya menghantar mesej dan terusan menghubungi dan satu hari dijawab oleh sang suami, dan kerana fed up sangat bahasa saya sudah agak kasar. “Penat tonggng tonggek solat, hantar anak ke tahfiz tapi menipu.” Dan dijawab sang suami, “Saya tidak menipu puan, nanti saya pulangkan wang puan semua.” Saya balas. “Pulangkan sekarang.” “Tunggu bila saya jual tanah saya.” “Bila?” “Beri saya sebulan dua lagi.”
Sebulan dan masuk dua bulan, tiga dan empat bulan, tiada juga berita dan saya hantar mesej, dan dijawabnya. “Wang tidak boleh bawa mati.” “Betul sebab tak boleh bawa matilah, saya hendak sekarang kerana kami masih hidup.”
Dan that was my last message. Kerana telefon ketiga-tigannya sudah tidak berfungsi dan mereka pun sudah tidak tahu di mana hendak cari.
Ya sudah masuk setahun lima bulan saya menunggu kalau-kalau si Salina yang mengaku tidak pernah menipu sesiapa dalam hidupnya memulangkan duit kami. Saya amatlah terkilan, dan berasa bersalah sangat kerana saya yang menggalakkan Zahariah untuk mengambil daripada pembantu itu, kerana ingat nak tolong dia. Konon saya ni kenallah dia sebab memang pun mereka sudah lama di tapak itu. Dan tak kan lah hendak menipu, itu sangkaan saya. Kesian Zah, saya sedih sebab sudahlah saya tidak dapat membantu anak saya mendapatkan pembantu, saya juga mengheret orang lain yang bukan pun banyak duit, dan duit melayang begitu sahaja. Zah kena keluarkan lagi duit kerana masih perlukan pembantu.
Di koridor Maybank ada seorang lelaki si tukang baiki kasut. Saya sering menghantar kasut ke situ, dan satu hari sempat bertanya, “Encik ada nampak si penjual nasi lemak…” “Oh sudah lama tidak menjual,” jawabnya. “Ada apa cari dia? Nak beli nasi lemak ke?” “Tak, tak apalah, memang dia tidak menjual lagi ya?”
Kebelakangan ini kerap pulak saya menghantar kasut untuk dibaiki tapaknya (kasut kalau tidak berpakai sangat, tidak kiralah mahal mana sekalipun akan tetap rosak tapak, getahnya akan pecah-pecah). “Ada ke nampak orang jual nasi lemak…” ”Apa ceritanya… kena tipu ya?” katanya. “Berapa? Sembilan ribu? Ya Allah banyaknya. Saya tahu… ada berapa orang mengadu pada saya terkena. itu hari seorang Cina sudah mengamuk…“
Tipah tertipu lagi… aduh ini kali ke berapa? Sudah malas nak cakap. Agen yang berdaftar ke, yang tidak berdaftar ke, yang masuk cara betul ke, cara haram ke, semua sudah dicuba. Tambahan dulu-dulu masa mak kami masih hidup… beribu-ribu lesap dan kakak saya memang dia tidak ada nasib dengan maid… baru-baru ini kena lagi. Diambil untuk menjaga ibu saudara suami yang sakit, kerja sekejap lari dan janji diganti, sampai sekarang tidak dapat dan ibu saudara terpaksa dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Nombor agen pun sudah tidak ada. Cucunya, ada tiga tahun dan dua tahun kena hantar nursery… cucu saya pun di nursery, malas nak fikir mencari pembantu lagi.
Ada kata ambil pembantu dari Filipina… mereka tidak menipu. Ini kami belum cuba, sebab kalau boleh eloklah pembantunya Islam, tetapi entahlah… Mungkin satu hari akan mencuba pembantu dari sana.
Saya tahu ramai di luar sana ada cerita Tipah tertipu sekali ini, malah ada yang dahsyat lagi kisah mereka yang saya ceritakan.
Saya seru pada sesiapa yang membaca rencana ini dan pernah kenal si penjual nasi lemak di hadapan Maybank USJ 9 harap diambil nombor dan cari saya di talian MajalahWM.com. Sakit hati sangat rasanya kena tipu dan double tipu pulak tu.