DESPERADOGAYA HIDUP

Sanggup Menyeksa Anak Sendiri Kerana Takut Suami Kahwin Lagi

Ceritanya macam tidak masuk akal. Masakan seorang ibu sanggup menyeksa anak zahir dan batin demi kebahagiaan rumah tangganya. Namun pada yang lebih mementing diri, sekalipun zuriatnya sendiri, dia sanggup berbuat apa saja. Sekali pun perbuatannya itu dianggap kejam.

Mahligai tiga tingkat gah di sebuah kawasan elit di ibu kota. Melihat dari luar sahaja tetamu teruja dengan kolam renang dan kehijauan yang ditanam dan disusun indah oleh pakar landskap  yang dibawa khas dari Australia. Bukan seorang tetapi dua lelaki Bangla digaji khas untuk menjaga kawasan yang agak luas. Pelbagai jenis bunga-bungaan yang kembang di taman. Sesekali terhidu bau harum mawar pelbagai warna. 

Masuk ke satu ruang sebuah pasu besar yang dipenuhi kuntum-kuntum mawar. Sungguh baunya mengharum pada segenap ruang di dalam mahligai ini. Ruang tamu yang moden, ruang makan untuk 12 tetamu dan ruang santai untuk membawang (sebab Datin selalu melayan kawan-kawannya di situ.) Turun ke tingkat seterusnya dapur dengan ‘island’nya yang besar. Di tingkat itu juga tersedia kamar khas untuk berurut. Sering ternampak kelibat si therapies, ada jakuzi dan bilik suana, sebelahnya pula gimnasium dan di satu level pula ada auditorium/teater yang boleh memuatkan untuk 15 hingga 20 orang. Tingkat atas kamar-kamar yang setiap biliknya berhias begitu cantik terutamanya master bedroom yang lengkap dengan walk in wardrobe dan washroom sebesar bilik master bedroom.

Panjang lebar penerangan insan yang bernama Haslinda menggambarkan kemewahan hidup sebuah keluarga yang juga ada bau bacang sebelah bapanya. 

Berpangkat Datuk/Datin kekayaan diperolehi di ketika Datuk menjadi orang politik. Tinggi pelajaran pun tidak, kedua Datuk dan Datin hanya melepasi peringkat diploma tetapi kerana pandai bercakap dan masuk kem yang betul, lalu bisnes Datuk menjadi-jadi lantaran membeli harta sana sini. Sudah tentu hidup penuh dengan keseronokan dan mewah serta ada segalanya. Tiga anak lelaki dan seorang perempuan. Sering dibawa melancong sana sini dan bersekolah private. Nah, pergi dan balik sekolah diambil dihantar oleh pemandu khas. Tiada yang peliknya bagi mereka orang berada, sebab keluarga-keluarga yang lain juga begitu caranya.

Masa berlalu, anak membesar, yang lelaki belajar di luar negara tetapi anak perempuan, sekadar di kolej persendirian sahaja. Alasan Datin dia tidak sanggup berjauhan dengan satu-satunya anak perempuannya. Betullah tu kerana naluri ibu memang begitu, anak perempuan dimanjai.

Daripada kecil tidaklah nampak yang Maria ini jelita tetapi biasalah anak orang kaya dengan pakaian lawa dan solekan serta dandanan berjaga, kuku bermanicure, pedicure selalu sudah tentu kejelitaannya terserlah. Begitu pun Maria seorang yang lemah lembut dan tidak sombong. Di kolej banyak juga jejaka yang mahu mendekatinya tetapi entah kenapa seorang pun tidak bisa menjadikan dia buah hati mereka. Semacam ada satu penghalang yang membuat mereka sama ada tidak berani atau tidak berminat setelah mengenalinya. Punca mengapa kurang minat pun tiada seorang daripada mereka mengetahui… pendek kata hendak dekat tetapi tidak boleh dekat, hendak mengajak keluar tetapi tiba-tiba bisu tidak boleh mengeluarkan kata-kata. Maria sendiri merasai ada yang tidak kena, tetapi dia tidak tahu kenapa. Dan setiap kali juga bercerita hal lelaki, ibunya akan memotong cakapnya. Memang ibunya konon tidak suka anaknya berkawan-kawan dengan lelaki macam itu sahaja, sebab katanya berdosa. Namun dia perasan adik lelaki dan dua abangnya bertukar ganti girlfriend, tidak pula dihalang oleh si ibu, malah dia mendapat tahu abangnya di London memang tinggal sebilik dengan girlfriend, tidak pula dilarang oleh ibu dan ayahnya. Mengapa mereka so sporting pulak itu, selalu bertanya khabar dan membelikan pelbagai hadiah. 

Pelik, memang Maria pelik, tetapi untuk membuka mulut pun dia tidak boleh. Entah apa yang membuatnya tidak boleh bersuara, dia pun tidak tahu. Kadang-kadang mahu rasanya dia bercerita kepada ayahnya, tetapi begitu juga halnya, dia tidak dapat menyuarakan kegusaran dan rasa hampa rasa hibanya kerana disekat oleh ibunya. Malah sesama perempuan pun mamanya menghalang, budak ini tidak sesuai, ini tidak elok berkawan dan sebagainya.

Masa berlalu, abang-abang pun sudah berkahwin. Majlis diadakan besar-besaran dan bila adik lelakinya pula hendak berkahwin, kawan-kawan menyoal, saudara mara pun bertanya, “Hai takkan kakaknya tidak hendak kahwin? Muka cantik macam Kajol, bergaya dan bekerja.”

Oh ya, bekerja pun di syarikat keluarga. Pernah Maria menyuarakan hasrat hati hendak mencari pengalaman di syarikat besar tetapi ditolak mentah-mentah oleh ibu dan ayahnya. Si ayah meminta dia yang menjaga syarikat dan si ibu merasakan mereka tidak ada orang lain yang boleh diharap untuk mengelolakan syarikatnya, tetapi itu semua alasan, disebabkan dia (mamanya) mahu mengawal pergerakan anak perempuannya. Pekerjanya sengaja diambil yang tua, yang sudah berkeluarga. Lebih ramai wanita daripada pekerja lelaki dan kalau ada lelaki pun pangkat kerani dan pembantu pejabat. Pendek kata tidak memberi peluang kepada Maria untuk mengenali mereka lebih lanjut.

Maria selalu merasakan ada sesuatu yang tidak kena tetapi dia tidak dapat memastikan apa. Kalau ada kawan-kawan ibunya yang cuba hendak mengenalkan anak bujang mereka dengan Maria, itu pun tidak dilayan oleh si ibu. “Hai sesama anak Datuk dan anak Tan Sri tak kan itu pun tidak sesuai?” Terdengar oleh Maria akan alasan-alasan yang diberi oleh mamanya. “Nanti saya tanya tuan badan. My daughter ini susah sikit, hendak boyfriend macam ini macam tu lah, manalah ada dua Shah Rukh Khan atau Brat Pitt kan Malaysia ini, pemilih sangat?”

Begitupun tidak pernah sekali dia menanya Maria. Dia menghalang sangat kalau ada kawan-kawannya yang cuba juga nak menjodohkan anak-anak kenalan mereka. “You all ni, biarlah dia mencari pasangannya sendiri. Saya dan Datuk tidak berani, nanti kalau apa-apa terjadi kita pula yang disalahkan. Kalau ditakdirkan dia tidak ada jodoh, kita nak kata apa. Saya ini sebenarnya okay aje.” 

Pernah Datin meninggikan suara bila mana ada saudara yang bertanya, “Bila pula giliran Maria naik pelamin?” “Yam, sebenarnya saya bosan dengan soalan begini. Bila dia rasa dia nak kahwin, dia kahwinlah, yang kau orang sibuk sangat mengapa? Saya yang jadi maknya pun tak risau, kau orang pulak yang menyibuk? Maria sendiri pun tidak kisah kalau dia jadi anak dara tua, faham?” Terdiam sepupunya. Namun setahu Maryam sepupunya, Maria memang ada keinginan untuk berkahwin. Usia pun sudah masuk 30 tahun dia takut kalau memanjat 30-an dan seterusnya, tiada lelaki yang sudi padanya.

Hidup Maria memang amat dikongkong di dalam mahligai mereka yang indah. Hendak facial, massage, ada orang datang ke rumah. Hendak tengok movie, panggung pun disediakan di rumah. Gimnasium, dan semuanya di hadapan mata. “Kalau Maria hendak berkaraoke bilik muzik pun ada. Melalaklah sekuatnya, menarilah sehingga ke pagi. Ajaklah kawan-kawan ke rumah berparti. Mama dan papa tidak kisah.”

Maria merasakan pergi dan balik kerjanya pun diatur oleh ibunya. Kalau ada majlis, sama ada si ibu pergi bersama atau dia tidak dibenarkan pergi. Kawan-kawan perempuan dia pun sudah jarang berlabuh di rumahnya. Ada yang sudah berkahwin, seorang dua sudah pun punya anak, yang lain dah ada teman lelaki masing-masing. Maria buntu, dia rasa keinginannya untuk mencari teman lelaki pun hampir hilang. “Aku ini normal ke? Aku tidak benci lelaki tetapi kenapa? What is wrong with me?” Mengapa mama macam tidak suka kalau ada yang nak memadan-madankan dia dengan seseorang? Yang pelik, kalau yang tidak setaraf tak apa lah juga tetapi anak orang kaya pun dia tidak suka, yang lulusan luar negara pun dia seperti menghalang untuk dipekenalkan, tetapi mengapa?

Maria selalu perasan, kadang-kadang di rumah agam mereka adalah macam benda-benda pelik, terutama di dalam pasu besar yang penuh dengan kuntuman mawar merah. Ada bau yang harum, ya harum, tetapi ada satu bau yang tidak dapat ditentukan. Pernah jugalah dia ternampak bukan pun tukang kebun yang membersihkan dan menolong menukar air dan memasukkan bunga-bunganya tetapi orang yang tidak dikenali. Pernah sekali dia terserempak pak cik itu macam memasukkan sesuatu ke dalam pasu besar dan di sudut-sudut tertentu, dengan mulut kumang-kamit, seolah menjampi sesuatu. Oh kadang-kadang biliknya sendiri semacam ada sesuatu yang membuatnya tidak selesa, dan seperti ada penunggu… tengah malam badannya berpeluh-peluh sedangkan penghawa dinginnya full blast.

Datuk J, ayah Maria sebenarnya bukanlah suami yang baik sangat. Al maklum orang berduit, gemuk ke, pendek ke, hidung penyek ke, perempuan memang tidak kisah, sebab perempuan yang hendak orang seperti ini hanya mahu kepada duitnya. Lebih-lebih lagi Datuk J ini suka juga menayang kemewahannya, tentulah ada yang berkenan.

Dikhabarkan, Datuk J bukan sahaja punya serius girlfriend tetapi sudah hampir hendak berkahwin dengan perempuan itu. Si Datin bertambah gelabah. Dia sudah mendapat maklumat daripada seseorang yang tidak dikenalinya. Kemudian salah seorang daripada pekerja Datuk menawarkan perkhidmatan untuk menjejaki setiap langkah Datuk J. Gaji ‘overtime’ itu pun amat lumayan, masakan orang itu tidak mahu. Lagipun bukan pun susah, hanya melaporkan di mana Datuk J berada pada sekian-sekian waktu dan dengan siapa? Sementelah dia pun ada akses, mudah sangat baginya. Datuk J juga seperti amat percaya dengannya. “Tidak apa Datin, demi kebahagiaan keluarga Datuk Datin, saya akan bantu sebaik mungkin.”

Namun si pembantu tidak pandai mana pun. Dalam pada dia konon mengetahui setiap gerak geri Datuk J, bosnya lagi licik itu. Dia sendiri tidak pernah menyangka si bos punya perempuan simpanan. Hu hu, dan satu hari berceritalah si bos bahawa dia berhasrat untuk berkahwin dengan kekasih gelapnya. “Saya rasa cukuplah dosa yang saya lakukan selama ini, Sudah ramai perempuan yang saya nodai tetapi yang seorang ini, saya rasa tidak mahu menyimpannya lama-lama. Buat dosa aje, baik saya kahwin. Lagipun tidak salah pun saya beristeri seorang lagi. Saya pun mampu. Dia pula bukan jenis yang meminta. Cuma jangan dihebohkan pada Datin, mati saya. Janji semua?“ 

Dia bercakap kepada tiga kawan golfnya, “Datuk kita ini sama-sama ibarat dalam satu perahu, Datuk tolong kami, kami pun tolong Datuk. Perkara macam ini elok bini tidak usah tahu, nanti perang dunia ketiga.”

Dan dipendekkan cerita belum masa untuk berkahwin si bini sudah tahu. Si lelaki yang diupah is in a hot soup, sebab bukan dia yang pecah lubang tetapi orang lain. Mana mungkin orang yang diharapkan untuk memberi report tidak tahu perkara sebenarnya, buang duit sahaja mengupah sedangkan lakinya sampai hendak kahwin pun dia tidak tahu. Dia dipanggil untuk berjumpa si Datin, dan Tuhan sahaja yang tahu banyak mana maki hamun yang diterimanya.

“Datin, tunggu. Datin jangan terburu-buru saya ada jalan menyelamatkan Datuk untuk tidak berkahwin. Ini perkara mudah. “Jangan kamu hendak suruh aku bom dia sudahlah. Aku tidak mahu pula jadi pembunuh dan masuk jail?” katanya dalam nada yang tinggi. “Saya bukan bodoh. Kita tidak perlu membunuh perempuan tu, tapi tengoklah apa nanti. Beri saya dua tiga hari, sementara itu Datin jangan gelabah. Keep cool dan layan Datuk sebaiknya, kalau boleh ajak dia ke luar negara atau holiday sekejap dan saya uruskan semuanya.”

Mereka sudah mencuba bermacam-macam cara, ada sekejap okay dan kemudian tidak okay. Datin pun masih tidak berpuas hati dengan usaha yang dilakukan, kalau boleh dia hendak tundukkan terus Datuk dan ikut telunjuk bini sahaja. 

“Kalau sebelum ini Datuk berani main kayu tiga di belakang saya, kini saya hendak dia ikut satu persatu telunjuk saya. Kita buat dia macam tutup hati habis dengan perempuan kecuali isterinya sahaja.” “Betul Datin, memang ada caranya… Tetapi susah sikit, kecuali Datin sanggup menerima keadaan ini,” diulang oleh si bomoh beberapa kali. “Ayah (mengelar si bomoh sebagai ayah), apa sahaja saya akan lakukan. Saya mahu dia tutup hatinya pada semua perempuan, saya tidak mahu menyenakkan fikiran saya. Biar kita habis duit sikit sekarang, pada berhabis nanti hendak berkongsi-kongsi dengan bini dan anak-pinaknya pula. Saya rasa kita buat dia sampai dia terduduk. Tak larat lah ayah kalau nanti di kuburan berduyung-duyung anaknya datang dan menangis, kemudian berebut harta pusaka, sedangkan masa susah dulu mereka ada? Sekarang sudah senang, kita pula hendak berkongsi-kongsi dengan mereka.”

Itulah ceritanya, Datin dengan rela hati sudah menerima sumpah dengan si bomoh. Yakni dia sanggup menjadikan anaknya sendiri sebagai ‘tebusan’ untuk dia menyelamatkan rumah tangganya. Maksud tebusan itu bagaimana? Ya, sebagai ganti, anak perempuannya tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki pun. (Apa pula kena mengena anak perempuannya dengan suaminya yang hendak berkahwin dengan perempuan lain?) Memang bunyinya macam tidak mahu akal tetapi namanya perbuatan syaitan. Syaitan memang pun hendak membunuh mana-mana umat Muhammad yang mahu berbuat baik. Bukankah berkahwin itu satu perbuatan yang amat digalakkan? Sebagai ganti kepada suaminya yang tidak boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan, anak gadisnya juga ditegah untuk berkahwin. Dan kerana si ibu terlalu sayang akan kedudukannya sebagai satu-satunya isteri kepada sang suami, dia merelakan segalanya. Pada dia, ia tidak memudaratkan. Maria can still have a wonderful life, boleh holiday sana sini dan tiada siapa menghalang. Bila Maria sudah terbiasa hidup sendiri nanti dia pun hilang keinginan untuk berkahwin. Lantaran sepakat menutupkan nafsu anaknya sendiri supaya tidak berkeinginan dengan lelaki.

Hari ini Maria usia Maria sudah masuk 38 tahun. Masih bujang, dan seperti disebut oleh ibunya, bila sudah sampai pada usia tertentu dia pun tidak berminat lagi untuk mencari jodohnya. Sebagai ibu, katanya dia tidak mahu memaksa, “Maria, anak mama kan tidak rugi pun tidak berkahwin. You’re free dear, kalau berkahwin, see your papa tengok dah tua pun menggatal itupun mujur mama pandai layan, jadi dia tidak jadi kahwin. Nanti kalau Maria kahwin, how sure are you that your husband tak cari bini lain? Bila kita sudah berumur sikit, mereka pun ingat mereka masih muda, masih kuat, si anu pun asyik nak naik, tak boleh ditahan-tahan, kita tidak boleh kata apa-apa kan? Mama okay kalau Maria tidak kahwin. Maria ingat abang long, abang ngah dan Faisal tu happy sangat ke? Mama tahu masing-masing ada problem cuma mama tidak mahu ganggu mereka, pandai-pandailah jaga keluarga sendiri. Namun mama akan sedih kalau anak yang mama paling sayang ini akan menerima nasib sama.”

Related posts

Kes Penyakit Mental Di Tahap Kronik

Mahani Awang

Gaji Dua Ribu Belanja Lima Ribu

adminwm

Kisah Seorang Cancer Survivor – “Life Is Beautiful.” – Dr. Hajah Mai Sargeant

admin

Leave a Comment