AGAMA

Soal Jawab Isu Solat Subuh Lewat 8 Minit di Selangor

Kenapa tiba-tiba waktu solat subuh di Selangor dilewatkan?

Ia berdasarkan penemuan dari kajian oleh Jakim, yang diketuai oleh Universiti Malaya dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yang lain. Kajian ini mendapati bahawa waktu bermulanya fajar sadiq, iaitu waktu bermulanya subuh, berlaku pada sudut matahari berada di kedudukan 18⁰ di bawah ufuk. Ia berbeza dengan waktu yang diguna pakai sebelum ini iaitu pada sudut matahari 20⁰. Jadi ia perlu dilewatkan.

Kenapa lewat lapan minit?

Sudut matahari pada fajar sadiq berubah dari 20⁰ ke 18⁰. 20⁰-18⁰ = 2⁰. 1⁰ mewakili 4 minit. Oleh kerana beza 2⁰, perbezaan waktu ialah 8 minit.

Kenapa Selangor sahaja yang ubah? 

Ia akan dilakukan oleh negeri lain bila tiba masanya. Sedikit latar belakang: Hasil kajian telah dibentangkan di Jawatankuasa Penyelidikan Fatwa Jakim. Laporan kajian ini diterima sebulat suara oleh jawatankuasa tersebut. Peringkat seterusnya, laporan akhir kajian ini dibentangkan di Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) pada 20.11.2019 lalu. Laporan kajian yang dibentangkan di peringkat MKI dipersembah maklumkan kepada DYMM Sultan atau Raja negeri masing-masing. Justeru, pihak negeri dengan kuasa undang-undang yang ada berhak mengumumkan keputusan berkenaan di peringkat negeri masing-masing. Selangor telah membuat pemakluman lebih awal dari negeri lain iaitu pada hari ini 28.11.2019 dan mengumumkan tarikh kuat kuasa pada keesokannya iaitu pada 29.11.2019.

Adakah solat subuh selama ini yang awal 8 minit dari waktu baru tidak sah?

Tidak timbul soalan itu kerana solat subuh selama ini berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah dan dilegalized secara rasmi melalui jabatan mufti negeri. Waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qatie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan/istiqra’. Adalah tersangat sukar dan agak mustahil mewujudkan taqwim solat yang betul-betul mengikut waktu yang sangat tepat hingga ke arka saat pada setiap lokasi. Waktu dalam taqwim pun sudah dimasukkan tempoh ihtiyat/berwaspada. Lagipun jika solat berjemaah subuh di masjid atau surau, persoalan ini tidak timbul kerana biasanya ada tempoh menunggu yang agak senggang iaitu daripada 10-15 minit selepas azan dilaungkan, barulah solat subuh didirikan.

Selangor telah umumkan waktu subuh lapan minit lebih lewat, jadi bagaimana dengan negeri-negeri lain, terutamanya Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan kawasan yang bersempadan Selangor?

Setiap penduduk negeri perlu patuh kepada arahan Ulul Amri negeri masing-masing. Ulul Amri negeri ialah DYMM Sultan atau Raja bagi negeri beRaja dan TYTM Yang Dipertua Negeri bagi negeri tidak beRaja . Jika Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hendaklah mengikut Yang Dipertuan Agung. Selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh pihak Ulul Amri, rakyat hanya ikut dan taat setia.

Adakah ia melibatkan waktu solat lain dan waktu syuruk? 

Tidak. Waktu lain tidak terlibat kerana keputusan ini khusus melibatkan solat subuh sahaja. Cuma bagi waktu imsak, ia juga dilewatkan iaitu 10 minit sebelum bermula subuh. Waktu syuruk iaitu waktu berakhirnya subuh/ terbit matahari kekal sebagaimana yang ada dalam taqwim solat.

 

Oleh: Dr. Saadan Man
DSM
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Akademi Pengajian Islam UM.

Related posts

Hukum Perempuan Berzina & Lelaki Yang Berzina

admin

Tiga Amalan Menjadi Syafaat di Akhirat

admin

Hebatnya Islam – Zikir Memakai Dan Menanggal Pakaian

admin

Leave a Comment