Saya ralit dalam kehangatan Piala Malaysia 2019, melihat keterujaan pemain JDT membawa pulang trofi, begitu juga dua tonggak utamanya, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. Safawi yang membawa pulang gelaran Pemain Terbaik tetapi dua nama ini dijulang kerana persembahan memukau.
Menonton pertandingan akhir Piala Malaysia, saya terkenang sukan petanque yang popularitinya jauh berbeza berbanding bola sepak. Kebetulan, sepanjang petang (di hari saya menulis artikel ini) saya di dataran kampung saya Felda Keratong 9 melihat warga peneroka dan penerokawati bermain petanque – pemandangan biasa waktu petang di sini, selain beberapa kumpulan bermain takraw. Setahu saya dalam mana-mana acara sukan, petanque barangkali antara yang paling kurang popular. Berapa kerat sangat yang pernah main atau siapa pun yang kenal pada atletnya. Malah seingat saya di sekolah saya dulu petanque tidak pernah dipertandingkan dalam temasya sukan tahunan.
Kerana begitu kisahnya, saya mendapatkan Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) YH Dato’ Haji Radzi Mansor. Kurang lebih sudah setahun Dato’ Radzi mengepalai PPM setelah mengalahkan penyandang jawatan terdahulu dalam mesyuarat agung PPM sekitar Ogos 2018, jadi saya mengajaknya bercerita tentang sukan kesayangannya ini.
Sedikit tentang Dato’ Radzi, beliau seorang ahli korporat, punya pengalaman luas dalam perniagaan pelancongan. Syarikatnya A&M Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang memiliki reputasi tinggi dalam perkhidmatan pakej umrah dan haji, dengan barisan klien yang banyaknya dari kalangan VVIP dan orang ternama selain selebriti tempatan. Selain ke Makkah, Madinah dan merata negara Arab, syarikat Dato’ Radzi juga menawarkan pelancongan ke serata benua dari Eropah ke Australia dan tidak ketinggalan negara-negara Asia.
Sebelum memegang jawatan Presiden PPM, beliau adalah Naib Presiden Persatuan Petanque Negeri Sembilan. Pada awal penerajuannya dalam PPM lagi, Malaysia telah membawa pulang empat pingat gangsa dan menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Petanque Pertama Konfederasi Sukan Boules Asia yang berlangsung di Odisha, India pada November 2018. Not bad, baru pegang jawatan sudah ada pencapaian.
Ikuti temubual saya bersama YH Dato’ Radzi Mansor di bawah;
Komen Dato’ tentang kantung akaun Persatuan Petanque Malaysia (PPM) yang ditinggalkan kosong sebelum Dato’ mengambil alih jawatan presiden pada Ogos lalu?
Usah kita lihat pada masalah yang timbul daripada pengurusan sebelum ini. Sudah-sudahlah dengan persengketaan mereka. Fokus saya sekarang adalah melakukan penambahbaikan untuk pembangunan sukan petanque, dan jauh sekali memikirkan keuntungan pihak individu. Kita perlu memperbaiki kekurangan yang sekian lama dialami. Saya yakin dengan kebijaksanaan dan kecekapan saya dengan bantuan ahli lain di bawah PPM, ia akan berjalan lancar dengan jayanya.
Tentang persiapan ke Sukan Sea 2019, dalam keadaan persatuan yang memiliki masalah kewangan berikutan masalah oleh pengurusan terdahulu, jadi bagaimana persediaan dilakukan?
Kami mendapat bantuan dana dari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), dan Institut Sukan Negara (ISN) yang digunakan untuk mempersiapkan atlet ke Sukan Sea. Kami juga berusaha mendapatkan injection dana dari syarikat swasta. Komitmen daripada barisan Exco juga sangat membantu. Para atlet baru saja pulang dari Indonesia mengikuti persediaan latihan di luar negara dan prestasi mereka amat memberangsangkan ditambah dengan bimbingan kemahiran daripada jurulatih rasmi negara. Saya mewakili PPM sangat berterima kasih kepada Presiden MOM, Dato’ Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli atas bantuan yang diberikan seperti sumbangan dana, selain menjaga kebajikan atlet dan menyediakan prasarana untuk atlet berlatih di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat AU2.
Sasaran untuk Sukan Sea 2019 di Filipina Disember ini?
Kami mensasarkan atlet membawa pulang satu pingat emas. Memandangkan hanya empat acara saja dipertandingkan di Sukan Sea kali ini, jadi tentunya setiap negara yang menghantar wakil berebut untuk mendapatkan setiap pingat emas tersebut. Penganjuran tahun ini berbeza dengan beberapa edisi sebelumnya yang mana Sukan Sea pernah mempertandingkan tujuh, sembilan dan 11 pingat emas.
Apakah bantuan yang Dato’ harapkan dari Kementerian Belia dan Sukan untuk sukan petanque? Sudah ada sesi one to one meeting dengan YB Syed Saddiq? Kalau sudah, boleh kongsikan tentangnya?
YB Syed Saddiq miliki pengaruh besar di kalangan anak muda, jadi saya berharap dengan keterlibatannya bersama PPM dapat membantu menjadikan petanque antara sukan yang popular di kalangan anak muda, berbanding sebelum ini yang mana ia biasa dikaitkan sebagai sukan untuk orang yang dah pencen. Petanque juga kian menarik ramai wanita mengambil bahagian. Dalam Piala Dunia Petanque misalnya, sejumlah 456 atlet wanita mengambil bahagian manakala 14 peratus daripada 311,971 ahli berdaftar sukan petanque di Perancis adalah wanita. Dan di sini, kita ada ramai atlet wanita yang berpotensi untuk pergi lebih jauh. Saya harap atlet wanita kita mendapat perhatian pihak kementerian apatah lagi KBS mengumumkan ada peruntukan RM10 juta dikhususkan bagi pembangunan atlet wanita dalam Belanjawan 2020 lalu.
Sukan ini tak begitu popular di sini, jadi apakah langkah yang Dato’ ambil untuk menjadikan ia mendapat tarikan?
Salah satu yang kami lakukan adalah mewujudkan kembali Kejohanan Piala Persekutuan Petanque Malaysia seperti yang berlangsung di Seremban pada April lalu. Kami menerima sambutan yang amat baik kerana setiap negeri menghantar wakil. Saya yakin mereka akan terus bersama PPM dalam mengembangkan lagi sukan ini. Yang sebenar, ramai artis popular di luar negara yang hebat bermain petanque. Contohnya Mick Jagger pernah menang $19,000 dalam satu perlawanan di Cannes. Roger Moore pernah bermain beberapa pusingan petanque di Hotel Four Seasons di Beverly Hills ketika majlis Gala Unicef, manakala Bill Cosby mengkhaskan salah satu episod The Bill Cosby Show untuk petanque pada 1988. Selain mereka, Martha Stewart pernah bawa beberapa chef terkenal Perancis bermain petanque di Central Park, New York dan ditayangkan dalam rancangan The Martha Stewart Show. Saya menggunakan cara yang sama (pengaruh selebriti) untuk menaikkan minat terhadap sukan ini di negara kita yang mana kami melantik Dato’ Nassier Wahab sebagai Selebriti Petanque. Dato’ Nassier juga meminati sukan ini jadi dengan populariti dalam dunia muzik dan statusnya di kalangan rakan artis, dapat menarik lebih perhatian termasuk dari kalangan media.
Pendapat Dato’ apakah improvement yang diperlukan untuk kemajuan sukan petanque?
Banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Kita perlukan bantuan pakar klinikal seperti bahagian psikologi sukan contohnya kerana kejohanan petanque biasanya dipertandingkan selama beberapa hari. Contohnya kejohanan terbuka kebangsaan diadakan selama dua hari manakala untuk pertandingan besar seperti Sukan Sea selama empat hingga 10 hari. Jadi atlet bukan saja perlu miliki tahap kesihatan fizikal yang bagus tetapi juga kesihatan emosi supaya mereka dapat mengekalkan konsentrasi. Selain daripada itu, kita juga perlu membantu atlet dalam aspek rohani, ketenangan dan intelek kerana ia juga ada hubung kait dengan sukan petanque. Kemahiran sahaja tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan aspek lain yang sama penting.
Sasaran Dato’ sebagai Presiden Persekutuan Petanque Malaysia?
Yang pertamanya, kami berterima kasih kepada ahli gabungan negeri PPM dan ahli bersekutu PPM yang memajukan sukan petanque dari akar umbi. Untuk lebih ke hadapan PPM perlukan suntikan kewangan dari kementerian kerana ia cukup penting dalam menaikkan imej petanque. Saya juga cuba mendapatkan sokongan dari kelompok terdekat (pihak swasta) untuk membantu persiapan atlet bertanding di luar negara. Kami mensasarkan petanque diterima sebagai salah satu sukan teras dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia kerana ini adalah medium terawal untuk kita discover bakat-bakat baru. Kami bercadang untuk mengadakan lebih banyak pertandingan kerana selain dapat mempopularkan lagi sukan ini, juga dapat mempertingkatkan kemahiran atlet dan menjadikan mereka lebih kompetitif. Akan datang, yang mana masih dalam perancangan, kami akan mengadakan Piala Petanque Malaysia. Dalam pada mendapatkan khidmat jurulatih antarabangsa, kami juga tidak menafikan kehebatan jurulatih tempatan, untuk itu PPM menggunakan khidmat Zani Lisa Mohamed selaku ketua jurulatih dibantu Syed Ali Syed Akil. Kami juga ingin menambah lebih ramai jurulatih tempatan iaitu antara empat hingga 10 jurulatih di peringkat kebangsaan untuk meperkasakan skuad negara.
Terima kasih Dato’ dan selamat maju jaya untuk Sukan Sea 2019.
Sama-sama.
Penghargaan Lokasi: Cedar on 15, Hotel Impiana KLCC Jurugambar: IqqiVR.photogministry Grooming: Firz Razali / Instagram: @firz_razali Suntingan Gambar: IqqiVR.photogministry Pakaian: Koleksi peribadi Dato' Radzi Mansor Arahan Seni: Wirda Adnan Teks: Shaufik Yunus