GAYA HIDUP

Deanna Chee menulis

Mengapa Ada Double Standard Dengan Mualaf?

“Saya paling tidak selesa apabila membaca komen atau pernyataan ini ;

“Dia ni mualaf. Bagi lah dia sedikit masa kalau nak suruh pakai tudung. Yang lahir Islam pun sekejap pakai, sekejap buka. Islam ni agama kasih sayang, tak payahlah desak dia pakai tudung macam esok dah nak kiamat.”

Apabila terbaca ayat ini, saya rasa macam…

“Sampai hati nak double standard dengan mualaf, kan.”

Saya pernah pujuk seorang kawan yang bergelar mualaf untuk berpakaian menutup aurat. Kawan saya ini baik dan solat namun bab berpakaian menutup aurat beliau tidak berapa nak dengar sangat.

“Ish. Nantilah. Nanti aku pakai juga. Don’t worry lah.”

Setiap kali saya tegur bab tutup aurat, kawan saya yang baik ini akan bagi jawapan yang sama. Tetapi saya tak pernah putus asa.

Kenapa tak putus asa?

Kerana di awal waktu hijrah saya dulu, mak angkat pernah kata,

“Pakai tudung dan tutup aurat adalah wajib. Takkanlah masa solat saja kita nak tutup aurat sebab syarat wajib solat ialah tutup aurat. Masa tidak solat, kita tidak pula tutup, sebab apa? Sebab fikir Allah celik masa kita solat tapi buta lepas kita habis solat? Macam itu? Kalau buat macam itu, tak rasa ke macam memperbodohkan Tuhan?”

Saya paling takut bila dengar ayat ‘memperbodohkan Tuhan’ itu.

Mualaf ialah orang yang terpujuk hatinya menerima Islam sebagai agamanya. Bagi saya proses menjadi mualaf ini sama seperti kita mendaftar masuk ke universiti dan menerima segala syarat dan terma tanpa dakwa-dakwi.

Benar, ada istilah pelajar baharu di universiti namun harus diingat istilah tersebut bukanlah untuk selamanya. Sebagai pelajar, kita tak boleh nak bermanja dengan gelaran pelajar baharu itu sehingga sambil lewa mengikut undang-undang universiti tersebut.

Samalah seperti menjadi mualaf.

Tidak perlu seronok dan ‘kembang’ sangat dimanjai dengan ayat atau komen media sosial;

“Eh takpelahhh. Baru lagi. Orang lain yang Islam pun tak tutup aurat. Nanti dah sampai waktu yang sesuai, pakai lah.”

Dan sebenarnya, jika nak ikut geram maka saya hendak balas komen netizen yang menulis ayat sokongan melambatkan tutup aurat untuk seorang mualaf itu dengan soalan ini;

1. Bilakah waktu yang sesuai itu? Ada tak waktu seperti bulan atau tahun yang menjadi jam loceng untuk para mualaf memakai pakaian tutup aurat?

2. Mengapa ada double standard dan memberi mualaf kelonggaran untuk tidak tutup aurat sedangkan kewajipan menurut terma agama atau pun kepercayaan ialah sama saja menurut Quran dan hadis tanpa mengira mualaf atau lahir Islam? 

Seorang mualaf, hatinya teguh. Mualaf juga jiwanya luhur. Mualaf juga sudah terampun dosa silam setelah memeluk agama Islam. 

Maka setelah dihadiahkan keteguhan hati kerana sanggup berjuang dan menerima hidayahNya serta dibersihkan segala dosa lampau maka apa yang diperlukan setelah itu adalah bersyukur.

Bagaimana kita nak bersyukur?

Bersyukur lah dengan mengikut segala perintah  Rabb kita.

Saya berharap semoga kawan-kawan mualaf sentiasa dirahmati Allah. Jangan sesekali bermanja-manja di bawah payung gelaran seorang mualaf sehingga sengaja meringankan perintah Allah.

Semoga kita semua berjiran di syurga nanti.

Related posts

Clarins Total Eye Lift & Contour Treatment Oil #ulasanproduk

admin

Football Republic Buka Cawagan di Sunway Pyramid

admin

Kabinet Privé Meraikan Tahun Baru Cina & Valentine Dengan Majlis Makan Tengahari Bersama Tetamu Kelas Atasan

admin

Leave a Comment