FESYEN

Fesyen Tempatan Suram…

Mac, kalendar fesyen utama untuk musim bunga dan panas 2021, saya melihat kerancakannya pada label antara bangsa tetapi cukup suram suasananya di pentas tempatan. Berdepan masalah pandemik, jualan terhadap item fesyen dilihat kurang sekali buat masa ini. Pembeli dilihat memilih untuk lebih berjimat,  barangkali memikirkan nasib yang mungkin kurang baik pada masa akan datang tambahan pula ekonomi yang kian menguncup. Sungguh pun begitu,  keadaan ini tidak mematahkan semangat beberapa pereka kita untuk terus berkarya agar jenama yang dibangunkan tidak mati dibunuh virus covid 19. 

Rizman Ruzaini misalnya, pereka yang terkenal di kalangan selebriti tempatan ini tampil berani melahirkan aksesori seperti bag, pakaian bayi,  dan juga kosmetik bahkan bag ciptaan Rizman Ruzaini dikatakan habis terjual dalam masa beberapa jam sahaja. Begitu juga dengan pereka Jovian Mandagie yang bijak mengambil peluang dalam situasi semasa dengan menjual essential produk, banyak yang dihasilkan selari dengan kehendak dan permintaan semasa. Rekaannya  elegan juga selari dengan DNA jenamanya sendiri lantas menjadikan topeng muka Jovian antara yang laris di pasaran.

Bagaimana dengan Dato Rizalman Ibrahim? Rizalman  begitu bijak  menghasilkan pelbagai idea kreatif antaranya menjual suplemen tambahan seperti Tneeq yang nyata amat laris dijual bahkan seringkali kehabisan stok. Pereka ini juga turut menjual  hand sanitizer yang seiring dengan keperluan semasa dan kehendak pembeli hari ini yang mungkin kurang berminat membeli pakaian. 

Namun berbeza dengan Zaimi Zulkifli yang tahu apa yang pelanggan memerlukan saat ini, lantas pereka ini menghadirkan sejadah beserta kain pelikat yang lengkap dengan bag agar mudah dibawa kerana saat pandemik ini memerlukan kita membawa sendiri sejadah untuk menunaikan solat di masjid. Zaimi wajar diberikan pujian.

Perkembangan sihat ini sebenarnya bagus untuk industri tempatan supaya merancakkan lagi ekonomi agar dapat bersaing dengan jenama antara bangsa. Peranan kita sebagai pengguna adalah dengan menyokong membeli produk tempatan kerana ini sahaja langkah yang ada agar kemeriahan arena fesyen tempatan akan terus bertahan.

Related posts

agnes b, Not Too Much, Nor Too Little

admin

Face Mask Sebagai ‘Fashion Statement’

admin

Koleksi Musim Luruh/Sejuk 2018 Anya Hindmarch

admin

Leave a Comment